Wednesday, 27 April 2022

Koleksi Penulisan Saya Yang Berkaitan Dengan Tokoh Ahli Bait Dari Keluarga Al-Ġhumāriyy

Segala puji bagi Allah dengan setinggi-tinggi kesyukuran. Selawat dan salam ke atas junjungan yang mulia lagi sebaik-baik makhluk, Rasulullah صلى الله عليه وسلم dan juga ke atas keluarga baginda yang menjadi wasiat untuk umatnya berpegang teguh kepadanya serta sahabat baginda yang semulia-mulia ikutan.

Pejam celik pejam celik, saya tidak sangka saya sudah banyak menghasilkan penulisan berkenaan dengan tokoh ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy atau yang ada selitan daripada mereka.

Saya mula berminat mengenali keluarga ini setelah Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ memperkenalkan saya tentang keluarga ini yang selama ini saya hanya tahu pada nama dan beberapa dari nama buku. Akhirnya, minat yang saya laburkan untuk mengkaji dan mendalami apa yang ada pada keluarga ini membuahkan hasil yang sangat bermanfaat.

Sejujurnya, saya dahulu jarang untuk ambil tahu tentang ahli bait. Hanya sekadar mengenali golongan al-Habib yang mendominasi pengaruh dan seakan-akan menjadi naratif bagi pandang alam tentang ahli bait secara keseluruhan. Lebih-lebih lagi apabila isu yang berkaitan dengan al-Ḥabīb ini sangat kontroversi, saya menjadi muak dan luntur sangka baik saya dengan orang kenamaan dari ahli bait.

Sehinggalah saya mengenali keluarga al-Ġhumāriyy, saya menemukan sesuatu yang berbeza yang tidak ada pada ahli bait yang lain, khususnya pada zaman ini dari kalangan al-Ḥabīb. Mereka menampilkan manhaj yang cukup unik dan sememangnya menjadi pemain penting dalam wacana arus perdana dan tradisi yang meluas dalam salah satu aliran pemikiran.

Tradisi keilmuan mereka yang sangat menekankan ikutan kepada dalil dan menjauhi diri daripada taklid lagi ketaksuban serta membudayakan intelektualisme dalam karya mereka sememangnya cukup mengkagumkan bagi mereka yang telah menikmati karya mereka dan merasai manfaat yang dicurahkan dari khazanah peninggalan mereka.

Bagi saya, keluarga al-Ġhumāriyy adalah tokoh yang diperlukan, khususnya bagi pihak Aswaja untuk mereka ada rujukan fokal untuk menuju ke manhaj keilmuan yang murni lagi lurus. Ini kerana mereka adalah ahli bait dan diangkat tinggi oleh golongan Aswaja dan sufi. Mengapa tidak mengambil tokoh mereka sendiri untuk menjadi paksi kepada manhaj yang sejahtera?

Saya sampai berani untuk berkata bahawa sesiapa yang tidak mengenali keluarga al-Ġhumāriyy, dia tidak akan mampu mengiktiraf kepelbagaian yang ada pada para ulama serta keunikan pemikiran dan manhaj pada setiap individu ahli ilmu. Kebanyakan orang yang saya jumpa yang tidak mengenali keluarga ini atau jauh daripada manhaj mereka adalah rata-ratanya simplistik, beku, jumud dan binari; Sama ada engkau Aswaja atau wahabi.

Apabila mengenali keluarga ini, cerapan kita mulai luas dan kita mula bersikap peka dalam ikutan kita sunnah serta mengiktiraf bahawa setiap ulama ada kepelbagaian masing-masing walaupun dalam satu bendera yang sama, di samping bertambah entusias kita untuk terus mengkaji, belajar dan berfikir.

Walaupun keluarga ini sememangnya terkenal dengan kelantangan menentang wahabi, tetapi mereka juga membawa tajdid kepada kelompok mereka sendiri. Atas sebab itulah mereka dibenci oleh golongan pentaklid dari kalangan sebahagian Aswaja dan sufi sendiri.

Mereka bukan sengaja untuk mencari gaduh dengan menimbulkan polemik, tetapi disebabkan tradisi keilmuan mereka yang berbeza dengan persekitaran mereka menyebabkan ia mendapat tentangan daripada orang yang terpuruk dalam dogma yang telah mencengkam lama zaman berzaman. Mereka bukan berseteru dengan wahabi dan bukan berbalah dengan sesama kelompok sendiri melainkan kerana ketegasan mereka untuk membawa masyarakat kepada manhaj yang sejahtera dan ikutan kepada dalil, bukan atas dasar sentimen atau kepuakan.

Saya bersyukur kerana saya yang kerdil ini dan yang masih belum layak untuk menjadi jurucakap bagi pihak mereka dapat menghasilkan penulisan yang memperkenalkan mereka kepada para pembaca dan hasil yang saya ambil manfaat daripada penelaahan karya mereka atau yang saya ikut rapat daripada muridnya dan para pengkajinya.

Semoga ia bermanfaat untuk para pembaca dan sekaligus menambahkan minat kita kepada ahli bait dan khazanah mereka yang berharga sekalipun penulisan saya mungkin tidak sempurna dan masih penuh dengan kekurangan.

Semuanya saya akan kumpulkannya di sini. Saya akan tambah senarai di sini jika ada penulisan yang baru dari semasa ke semasa. Mungkin ada yang lain yang saya tidak memasukkannya kerana bukan penulisan artikel khusus, tetapi ia lebih kepada hasyiah sahaja, terutamanya ketika saya kongsi artikel dari orang lain. Cuma, yang di sini boleh dianggap yang penulisan artikel yang utama.

Apabila saya mengikuti rapat beberapa orang yang ternama dari kalangan murid dan peminat ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy, saya tidak pernah nampak mereka membuka cerita tentang karamah atau menggembar-gemburkan kejadian yang pelik pada mereka.

 
Sememangnya sebahagian ahli keluarga ini menceritakan sendiri pengalaman mereka yang unik, tetapi komuniti ini langsung tidak membesar-besarkan atau menjadikan ia sesuatu yang sangat signifikan untuk diperkenalkan dan disebarkan. Seolah-olah ia dibiarkan sahaja dalam penulisan mereka tanpa perlu digembar-gemburkan.

Akhirnya, para komuniti peminat keluarga al-Ġhumāriyy lebih bersikap "don't give a damn" tentang karamah atau kejadian yang mencarik adat ini. Bahkan, komuniti ini lebih menganggap karya-karya peninggalan mereka dan sumbang bakti keilmuan mereka adalah karamah yang dibanggakan, disebut-sebutkan dan dikongsi bersama.

Komuniti ini lebih suka bercerita tentang manhaj mereka, mengkaji pola pemikiran mereka, meneliti pendalilan mereka dan menjengah keilmuan mereka melalui khazanah yang mereka tinggalkan, bukan cerita-cerita yang mencarik adat. Inilah keistimewaan yang saya secara peribadi berbangga dengan komuniti para peminat keluarga al-Ġhumāriyy.

Peninggalan dan manhaj keluarga al-Ġhumāriyy adalah warisan dan tradisi keilmuan, seni berfikir dan semangat intelektualisme. Sesiapa yang menjulang tinggi keluarga ini sememangnya wajib dan bertanggungjawab untuk menyebarkan dan menghidupkan perjuangan pembaharuan dan kerancakan keilmuan yang berteraskan pengikutan dalil dan sunnah dengan menjadikan karya mereka sebagai inspirasi.
 
Kita sebagai komuniti peminat keluarga ini adalah penyambung kepada legasi keilmuan dan pemikiran, bukan ketaksuban dan fanatik yang hanya tahu memuja orang lain sahaja.

Saya bukanlah mahu merendahkan atau memperkecilkan tokoh yang disebutkan ini. Akan tetapi, saya tidak suka melihat sikap sebahagian orang yang memuja tokoh ahli bait atau mana-mana ulama seperti ini.
 
Tidak ada masalah berkongsi karamah yang ada pada seseorang tokoh ulama kerana banyak sahaja kitab biografi yang memuatkan cerita ini dalam selitan, tetapi kemuliaan mereka bukan semata-mata kerana itu dan bukan sebegini cara memuliakan mereka.

Jika anda lihat sendiri bagaimana komuniti peminat ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy ini memuliakan keluarga ini, pasti akan melihat perbezaan yang nyata jika dibandingkan orang fanatik seperti ini dan anda akan faham mengapa saya tidak suka cara sebegini dalam memuliakan para ulama.

Segala puji bagi Allah. Saya telah menghasilkan beberapa penulisan untuk memperkenalkan ahli bait dari keluarga ini. Mudah-mudahan ia bermanfaat dan mencetuskan minat untuk mengenali keluarga ini.

Boleh baca di sini antaranya :

> Keluarga al-Ġhumāriyy : Keturunan Rasulullah SAW Yang Menentang Ketaksuban, Taklid Buta Dan Sufi Yang Batil

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/keluarga-al-ghumariyy-keturunan.html

> Mengapa Saya Minat Mengkaji Manhaj Dan Pemikiran Keluarga Al-Ġhumāriyy?

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/mengapa-saya-minat-mengkaji-manhaj-dan.html

> Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah Al-Ġhumāriyy Menarik Balik Karyanya Al-Kanz Aṯs-Ṯsamīn Kerana Terdapat Hadis Dhaif Di Dalamnya

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-al-ghumariyy-menarik.html

> Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy Pernah Menarik Balik Pandangannya

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html

> Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy Pernah Dituduh Cenderung Pada Wahabi!

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html

> Az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh : Karya Tokoh Berketurunan Rasulullah SAW Dalam Membasmi Sufi Yang Batil

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/az-zawiyah-wa-ma-fiha-min-al-bida-wa-al.html

> Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy Pernah Dituduh Cenderung Pada Wahabi!

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html

> Al-ʿAllāmah Syeikh Muḥammad Bin Aṣ-Ṣiddīq : Ayah Yang Melahirkan Kesemua Anaknya Bertaraf Ulama

> Tokoh Ulama Yang Berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم Yang Dituduh / Dilabel Wahabi

> Kekal Bersama Meskipun Saling Berseteru

> Kesaksian Keluarga Al-Ġhumāriyy Terhadap Kejelekan Perangai Ketaksuban Yang Melampau

> Keluarga Al-Ġhumāriyy Dan Punca Mereka Tidak Mendapat Sambutan Di Tanah Air Kita

> Al-Ḥāfiẓ Aḥmad Al-Ġhumāriyy Dan Ikutan Mazhab

> Pembaharuan Yang Radikal Oleh Al-Ḥāfiẓ Aḥmad Bin Muḥammad Bin Aṣ-Ṣiddīq Al-Ġhumāriyy Dan Adiknya, Syeikh Muḥammad Az-Zamzamiyy

> Tarekat Yang Selamat Untuk Diikuti Menurut Saya

> Konsisten Keluarga Al-Ġhumāriyy Dan Para Pengikutnya Dalam Manhaj Beragama Dan Kecelaruan Manhaj Sebahagian Tarekat

> Sedikit Cuplikan Pada Buku Al-Ijtihadāt Wa Al-Īḍōfāt Al-ʿIlmiyyah Li As-Sayyid ʿAbdillah Ibn Aṣ-Ṣiddīq Al-Ġhumāriyy Karya Dr Fadwā Bankīrōn

> Sedikit Sedutan Pemikiran Al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy Bin Muḥammad Bin Aṣ-Ṣiddīq Al-Ġhumāriyy Pada Buku Al-Ajwibah Al-Fiqhiyyah

> Al-Ḥāfiẓ Aḥmad Al-Ġhumāriyy Dan Syiah Imāmiyyah


> Peringatan Penting Ketika Melakukan Takhrij Hadis


> Buku Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah Al-Ġhumāriyy Yang Dicadangkan Pembacaan Sempena Maulid


> Ulasan Buku Iršhād aṭ-Ṭōlib an-Najīb Ilā Mā Fī al-Mawlid an-Nabawiyy Min al-Akāḏzīb Karya al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy


> Membedah Ciri Kebejatan Sufi Yang Menyeleweng Melalui Analisis Syeikh Muḥammad Az-Zamzamiyy Dalam Bantahannya Kepada Tarekat At-Tijāniyy Melalui Kitabnya Iʿlām Al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām At-Tijāniyy Min Al-Kaḏzib Aẓ-Ẓōhir Wa Al-Kufr Al-Mubīn


> Tokoh Hadis Ahli Bait Menghukum Palsu Terhadap Hadis Riwayat Jabir Tentang Nur Muhammad


> Cara Komuniti Peminat Tokoh Ahli Bait Dari Keluarga Al-Ġhumāriyy Memuliakan Tokoh Ini


> الفوائد النفسية من الحافظ أحمد بن الصديق الغماري في الاجتهاد والمجتهد


> Al-Ḥāfiẓ Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq Al-Ġhumāriyy Wa Juhūduh Fī Kẖidmah Al-Ḥadīṯs Min Kẖilāl Ajzāʾih al-Ḥadīṯsiyyah Karya Dr ʿAlyāʾ Muḥammad Zaḥl : Menjengah Kehebatan Al-Ḥāfiẓ Dalam Ilmu Bahasa Arab

No comments:

Post a Comment