Monday, 21 June 2021

Al-ʿAllāmah Syeikh Muḥammad Bin Aṣ-Ṣiddīq : Ayah Yang Melahirkan Kesemua Anaknya Bertaraf Ulama

Sempena hari bapa (walaupun sudah terlepas), izinkan saya kongsi cerita seorang ayah yang hebat yang melahirkan anak-anaknya bertaraf ulama.

Kalau disebutkan keluarga al-Ġhumāriyy, sejarah akan merujuk kepada adik-beradik yang berketurunan Rasulullah SAW kesemuanya adalah yang sarjana ilmu yang terbilang, khususnya dalam kesufian. 

Al-Ḥāfiẓ Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq adalah yang sulung. Kemudian, diikuti adiknya yang lain seperti ʿAbdullah, Muḥammad az-Zamzamiyy, ʿAbdul ʿAzīz, ʿAbdul Ḥayy, al-Ḥasan dan Ibrōhīm. 

Nama adik-adik beradik ini menempa nama keluarga yang menjadi kemegahan dan kebanggan kerana jarang sekali untuk menemukan adik-beradik yang sedemikian ramai yang menyerlah menjadi ulama.

Namun, adakah mereka menjadi berjaya ke tahap yang gemilang ini secara kebetulan? Sudah tentu tidak.

Ia adalah hasil didikan ayah mereka semua, Al-ʿAllāmah Syeikh Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq yang tidak juga tertandingi hebatnya.

Tidak banyak rujukan yang menceritakan ayahnya kecuali melalui penceritaan anak-anaknya. Mungkin sahaja kalau anak-anaknya tidak menceritakan tentang ayahnya, mungkin sahaja ayahnya akan tersembunyi di mata sejarah. Kalau anak-anaknya tidak terkenal, pasti sahaja ayahnya juga sedemikian.

Sememangnya ayah mereka agak tidak suka dikenali. Beliau memang suka cari jalan yang kosong walaupun jauh perjalannnya dan cepat berjalannya apabila beliau keluar ingin ziarah, memenuhi undangan atau menyampaikan pengajaran kerana beliau tidak ingin dilihat oleh orang keramaian.

Malah, kerana ketidaksukaan beliau kepada populariti, beliau tidak seperti anak-anaknya yang ada minat untuk menulis kitab meskipun keluasan ilmu dan kemapanan hafalan sangat memudahkan beliau untuk menjayakan cita-citanya. Sebahagiannya dibakar dan sebahagiannya tidak ditemui seperti at-Taʿawwuḏz dan Basmalah menurut mazhab Mālikiyy.

Pun begitu, ia tetap tidak memadamkan fakta yang sememangnya beliau luas dalam capaian ilmu. Beliau mahir dalam ilmu bahasa, ilmu kalam, ilmu mantiq, ilmu tafsir, ilmu fiqh, ilmu usul, ilmu politik dan ilmu perubatan. Beliau dipuji dengan memiliki keluasan pembacaan, kuat hujahnya, fasih bicaranya, kebijaksanannya dan peribadi yang mulia.

Beliau dahulu pada fasa awal kehidupannya agak terikat dengan mazhab Mālikiyy. Namun, setelah itu, beliau mula menjadi terbuka kepada pelbagai mazhab demi mengikut pengamalan bersesuaian dengan sunnah, cuma masih dalam kitaran empat mazhab yang utama atau jika ada pendapat ulama padanya. 

Beliau juga menentang ketaksuban mazhab dan melawan taklid yang tercela. Beliau aktif terlibat dalam pendebatan dengan para pentaklid tegar yang tidak ingin berpaling daripada mazhab dan meninggalkan dalil dari sunnah. 

Kisah perdebatan ini ada dalam at-Taṣowwur Wa at-Taṣdīq Bi Akẖbār ašh-Šhaykẖ Muḥammad Ibn aṣ-Ṣiddīq karya al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy. 

Antaranya adalah beliau pernah menghadiri suatu walimah dan bersamanya beberapa orang fakir yang berpuasa sunat. Ketikamana dihidangkan makanan, beliau menyuruh mereka memakannya kerana beramal dengan sabda Rasulullah SAW: "Orang yang berpuasa sunat adalah penguasa dirinya. Jika dia mahu, teruskan berpuasa. Jika dia tidak mahu, berbukalah". Berdirilah salah seorang pentaklid yang jahil dalam keadaan hingar-bingar disebabkan hal itu disebabkan kebiasaan mereka ketika melihat pengamalan dengan sunnah.

Malah, perdebatan beliau sampai orang yang taksub berkata: "Apa yang Allah dan rasul-Nya katakan, aku letakkannya di bawah dua kaki aku! Apa yang Kholīl katakan, maka aku letakkannya di atas kepalaku!".

Semua yang diperjuangkan oleh ayahnya terabadi dalam kesemua anak-anaknya. Mereka semua menyambung legasi ayahnya dalam membawa gagasan untuk bebas dari ketaksuban mazhab dan melawan taklid yang tercela serta menyeru kepada pengamalan sunnah. 

Mereka menjadi mujaddid kepada praktis kesufian dengan menghidupkan tradisi ilmu hadis, penyaringan kritis dan melawan kekarutan, kejahilan dan ketaksuban. 

Semoga Allah merahmati Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq. Sememangnya seorang ayah yang hebat yang melahirkan anak-anaknya yang jaguhan di pentas dunia.

Oleh itu, wajar bagi seorang ayah yang ingin melahirkan anak-anak yang hebat perlu menjadi seorang yang hebat terlebih dahulu.

Antara sifat-sifat yang terpuji beliau adalah beliau tidak pernah melentangkan dua kaki atau satu kaki menyilangkan kaki walaupun bersama keluarganya, tidak juga ketika sakitnya atau pada sihatnya kecuali apabila beliau penat. Beliau selalu sahaja duduk berjongkok, khususnya ketika pembacaan dan penulisan.

Antaranya adalah beliau tidak suka makan dalam sehari kecuali dua kali sahaja, iaitu ketika waktu pagi dan selepas Asar. Beliau membenci makan lebih tiga kali dalam sehari.

Antaranya adalah beliau sangat marah kalau melihat anak mereka ada kecenderungna kepada anak-anak duniawi dalam penyerupaan kepada mereka dan mengikut jejak langkah mereka. Ia adalah dosa yang sangat besar menurutnya.

Antara yang lain adalah beliau sangat benci kepada pegawai kerajaan dan mereka yang terlibat dengannya. Beliau menyuruh untuk saling berjauhan daripadanya dan berusaha mendapatkan pendapatan dengan pertukangan atau perniagaan. Lebih-lebih lagi terhadap rencana penghukuman dan persaksian, beliau sangat berlebihan dalam tempelak terhadapnya dan berjauhan daripadanya.

Antaranya adalah beliau tidak memakan makanan orang kafir. Beliau pernah berkata bahawa antara nikmat Allah kepadanya adalah beliau tidak pernah makan coklat dalam hidupnya. Ketika beliau pergi ke Mesir, beliau tiggal lama di sana hanya dengan mamakan roti dan mentega.

Antaranya adalah beliau sangat benci menyerupakan diri dengan orang kafir walaupun sedikit. Beliau hairan melihat sebahagian ulama Mesir dalam penyerupaan mereka dari segi pemakaian kasut, rupa katil, tempat tinggal mereka, pemakanan mereka dengan garfu dan pisau serta mencukur janggut mereka.

Antaranya adalah beliau tidak suka memakai pakaian yang berbeza dengan adat setempat. Ini kerana beliau tidak suka dikenali dan beliau tidak mahu menampakkan diri seolah-olah ada aura ketokohan ketika orang melihatnya memakai pakaian berbeza.

Antaranya adalah beliau tidak suka memanggil nama orang lain semata-mata melainkan dengan "Sayyid" atau "Mawlāya" meskipun ketika ketiadaan bersamanya.

Antaranya adalah beliau sangat membesarkan penghormatan dan kecintaan kepada guru-gurunya yang beliau mengambil ilmu daripadanya walaupun pembelajaran yang sekejap. Beliau berlebih-lebihan dalam menekankan adab bersama mereka. Tidak mengkehendapankan mereka dalam suatu permasalahan dan tidak menzahirkan ilmunya di tempat perkumpulan mereka walaupun dia lebih alim daripadanya serta tidak berdebat dengan mereka dalam sesuatu kecuali secara sedikit bersama adab dan penghormatan yang sempurna.

Antaranya adalah beliau sangat memuliakan pembawa ilmu meskipun mereka adalah orang yang mendengkinya dan musuhnya yang berlebihan dalam celaannya dan pengucilannya disebabkan permusuhannya. 

Beliau sangat menghormati pembawa al-Quran, khususnya para huffaz yang tujuh yang berpengkhususan dalam ilmu qiraat. Beliau sangat terpesona dengan orang seperti ini dan terangkat kegembiraannya ketika melihat salah seorang daripada mereka serta memuliakan mereka dengan segala apa yang beliau ada. Beliau mengingati biografinya dan ceritanya. Beliau bercerita tentangnya ketika ketiadaan bersamanya untuk membangkitkan dorongan kepada para pendengar agar sibuk dengan menghafal qiaraat dan beramal dengan yang warid pada memuliakan pembawa al-Quran. Kadangkala beliau memberi sebab untuknya dengan katanya bahawa sesungguhnya ilmu ini hampir-hampir terputus".

Untuk mendapatkan cerita lanjut, boleh membaca at-Taṣowwur Wat at-Taṣdīq yang telah disebutkan tadi dan Taʿrīf al-Muʾtasī Bi Aḥwāl Nafsī karya ʿAbdul ʿAzīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq.

Semoga Allah mencucuri ayahnya dan anak-anaknya yang membawa reformasi dan dakwah kepada sunnah kepada masyarakat dunia.

No comments:

Post a Comment