Friday, 26 March 2021

Mengapa Saya Minat Mengkaji Manhaj Dan Pemikiran Keluarga Al-Ġhumāriyy?


Rentetan daripada penulisan sebelumnya : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=489938465708194&set=pb.100040761337193.-2207520000..&type=3

1. Alhamdulillah. Setelah mengerah usaha untuk mencari karya-karya keluarga al-Ġhumāriyy, keturunan Rasulullah SAW yang ahli hadis lagi sufi, berjaya mengumpulkannya sehingga menjadi sebuah rak perpustakaan digital. Termasuk sekali karya yang mengkaji tentang manhaj dan pemikiran mereka sama ada berbentuk sanggahan atau bedah pemikiran. Fail mencecah 400 MB lebih. 

Sesiapa yang ingin dapatkan kitabnya (semuanya berbahasa Arab), boleh muat turun sekaligus atau satu persatu di pautan ini yang saya kongsikan di Google Drive saya : https://drive.google.com/drive/folders/19TvgL46DAbskVtanQtiZtFVUZDoiAy6C?usp=sharing

Atau kalau ada masalah, boleh bincang dengan saya bagaimana cara lain untuk saya menghantarnya.

2. Tidak semua kualiti penulisannya cantik seperti cetakan sekarang. Ada yang diambil daripada cetakan lama. Jadi, para pembaca sememangnya perlu bersabar sedikit melihat beberapa kalimah yang tidak jelas dan kabur atau titik huruf yang agak mengelirukan atau font yang tidak begitu mesra pembaca. Apapun, apabila sudah hadapi kesulitan ini, sudah faham bagaimana perihnya kerja mentahqiq kitab?

3. Saya tidak berjaya mengumpulkan kesemuanya. Ada sebahagiannya memang tiada PDF setelah saya mengusahakan pencariannya. Ada sebahagiannya boleh kita isytiharkan sebagai karya yang telah hilang ditelan zaman. Mungkin sebab sambutan sesuatu judul karya tersebut tidak begitu gah sepertimana karya yang lain sehingga ia tidak begitu disimpan rapi atau karya tersebut adalah terhad untuk lingkungan tertentu sehingga orang luar tidak dapat menggapainya. Kalau ada, saya akan cuba tambah dan kemas kini dari semasa ke semasa.

4. Saya dahulu sebenarnya mengenali nama keluarga al-Ġhumāriyy dari sekadar selapis sahaja atau cerita-cerita yang dikongsikan oleh para asatizah tentangnya. Tidak lebih daripada itu. Malah, tidak pernah langsung membaca kitabnya. Orang kata: "Kenal gitu-gitu sahaja".

5. Sehinggalah saya mula mengikuti hantaran Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ, anak murid al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy di Facebook. Adakalanya, beliau berkongsi cerita tentang keluarga al-Ġhumāriyy ini.

6. Yang menjadi menarik perhatian saya adalah ketika beliau memperkenalkan bahawa manhaj keluarga al-Ġhumāriyy ini sememangnya menentang ketaksuban dan taklid yang buta. Sebelum ini memang saya pernah dengar yang mereka pernah mengkritik sufi yang batil sekalipun mereka adalah sufi. Namun, mendengar perkongsian sebegini sememangnya mengejutkan dan mengujakan saya.

7. Bayangkan kalau manhaj ini menjadi perjuangan dan prinsip. Kalau keluarga al-Ġhumāriyy ini berada di tanah Melayu pada era awal pertengahan abad ke-20, pasti mereka ini akan disebutkan sebagai kaum tua berfikrah kaum muda. Untuk konteks semasa, mereka mungkin akan digelar Aswaja berbaju wahabi.

8. Apa lagi. Saya pun mula mencari dan mengumpulkan karya-karya mereka untuk mendalami manhaj mereka.

9. Boleh dikatakan apa yang dikongsikan Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ ini sebahagian besarnya tidak direkodkan atau dibentangkan dalam mana-mana laman web sama ada berbentuk forum atau artikel. Bayangkan, manhaj keluarga al-Ġhumāriyy dalam penentangannya terhadap ketaksuban mazhab ini seakan-akan tertutup dari pandangan dunia Muslim sama ada dari salafi atau Aswaja sendiri. Saya berterima kasih kepada syeikh. Kalaulah bukan kerana perkongsiannya, saya pun akan termasuk orang yang tidak tahu menahu tentangnya.

10. Lagipun, sememangnya maklum untuk kita menghirup nafas kehidupan di abad ke-21 yang terdapat bentuk pengaruh yang membina persepsi kita terhadap tokoh keturunan Rasulullah SAW. Dominannya adalah mereka yang berketurunan baginda yang mulia ini adalah al-Ašhʿariyy dan sufi sama seperti keluarga al-Ġhumāriyy melainkan al-Ḥāfiẓ Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy. Beliau bukan al-Ašhʿariyy. 

11. Namun, selalu sahaja mereka yang berketurunan baginda ini dan selalunya daripada yang menyandang gelaran al-Ḥabīb ini terpalit dengan isu-isu hadis palsu, riwayat yang batil, penglipur lara, membawa fahaman Bāṭiniyyah, cenderung pada syiah, menjadi qubūriyyūn yang terjebak dengan syirik dan mengeluarkan pendapat yang merapu. 

12. Soal sama ada ia adalah sekadar tuduhan atau fakta, itu kita ketepikan dahulu dan bincang di tempat lain. Di sini kita sekadar menisbahkannya secara umum tanpa memperakuinya atau mendustakannya. Semoga Allah memaafkan mereka jika benar mereka tersilap serta memperbaiki keadaan mereka. Semoga Allah membebaskan mereka dari tuduhan tersebut jika ia adalah dusta dan menghancurkan para penghambur dusta terhadapnya.

13. Yang keluaran daripada Arab ini mungkin "okay" sedikit walaupun ada juga kontroversinya. Akan tetapi, yang keluaran Indonesia ini mungkin ditemukan macam-macam keanehan yang kalau membeliakkan mata selama setahun atau mengerlipkan mata sejuta kali pun, masih sukar untuk mempercayai bahawa mereka itu benar-benar dari keturunan baginda. Yang menambahkan hairan lagi adalah ia dikultuskan oleh kelompok Aswaja dan jika ada Aswaja tidak menyukai amalan tersebut, zahir di wajah mereka rasa keberatan untuk menegurnya.

14. Oleh sebab ada tanggapan ini, kedudukan dan kehormatan keturunan Rasulullah SAW ini seolah-olah sedang dipersoalkan dan dicabar, malah sudah mungkin sudah pun wujud pengingkaran untuk menempatkan mereka ini dalam kedudukan yang layak dijulang tinggi. "Keturunan Rasulullah seperti ini?", soal mereka. Dan mereka bersoal lagi yang sama seperti itu apabila mendepani isu-isu yang agak kurang menyedapkan hati tentang mereka.

15. Beberapa orang mula terhakis kepercayaan terhadap mereka. Orang ingin mengetahui apakah ada lagi tokoh yang mewakili dari zuriat baginda ini mampu mengembalikan kepercayaan kepada mereka dan membersihkan tanggapan buruk terhadap mereka yang mewarisi darah baginda. Seakan-akan kedudukan yang mulia untuk mereka yang berketurunan baginda ini memiliki kerusi kekosongan dan kelompongan yang perlu ditampal dan diisi disebabkan kewibawaan mereka dipertikaikan

16. Jika dibiarkan, ia bukan sahaja akan merosakkan reputasi keturunan baginda, tetapi ia juga akan memberi kesan kaprah juga kepada aliran Aswaja secara umum kerana sama-sama berkongsi manhaj. Sudah tentu Aswaja akan merasa berat untuk menyinggung mereka apabila nyata penyimpangan menurutnya, apatah lagi membuangnya daripada golongan yang diterima sebagai ahli ilmu memandangkan mereka adalah zuriat baginda yang memiliki kedudukan terhormat. Ekoran itu, serangan terhadap al-Ḥabīb adalah serangan terhadap Aswaja juga.

17. Inilah antara sebab lain yang saya mulai mendalami manhaj keluarga al-Ġhumāriyy. Sebab saya sendiri juga ada perasaan yang sama seperti orang lain yang ada ketidaksenangan terhadap cerita-cerita dari ahli bait semasa ini yang wujudnya skandal yang menjatuhkan kredibiliti keilmuannya. Saya juga muak untuk berada di atmosfera yang agak menghimpit dada saya ketika berinteraksi dengan isu-isu yang berkaitan dengan tokoh al-Ḥabīb sehingga saya perlu ke dunia baru untuk mengembalikan kesegaran hela nafas saya.

18. Yang menarik perhatian saya terhadap keluarga al-Ġhumāriyy adalah bahawa mereka ini sememangnya calon yang mampu menjadi pengubat kepada keresahan kepada masyarakat. Mereka ini dapat mengisi kekosongan yang didambakan oleh masyarakat untuk melihat sinar bahawa pembawa darah baginda pada era ini bukanlah dimonopoli oleh sang jahil lagi bebal yang memperdaya orang awam.

19. Ini kerana manhaj yang mereka persembahkan kepada dunia ilmiah sememangnya unik sama ada pada kaca mata dunia Aswaja atau pada keturunan Rasulullah SAW secara khusus. Zaman kita ini mungkin tidak dapat melihatnya kerana mereka sudah pun lama meninggalkan kita sebelum dunia menuju kepesatan globalisasi pada hari ini.

20. Setakat apa yang saya usahakan dengan bantuan dan qudrah yang dilimpahkan oleh Allah, keunikan ini hanya terzahir pada karya-karya hasil tangan mereka. Ia tidak terdapat dalam forum dan juga artikel dalam membentangkan hal ini. Kalau ada, mungkin di ceruk-ceruk yang jarang ditemukan.

21. Antara keunikan keluarga al-Ġhumāriyy adalah mereka begitu aktif dalam penulisan. Sama ada penulisan yang ringkas, panjang, berbentuk risalah, berbentuk kritikan, berbentuk penyemakan dan lain-lain. Saya setakat ini tidak tahu kalau ada tokoh daripada keturunan baginda yang selain daripada keluarga al-Ġhumāriyy ini juga bergiat aktif dalam pengkaryaan. Namun, kecergasan aktif mereka dalam penulisan ilmiah telah membawa mereka merangkul pingat emas dalam kemahsyurannya di zamannya.

22. Pun begitu, walau terkenalnya keluarga al-Ġhumāriyy dan kuatnya pengaruh di mata Aswaja, masih tidak banyak terjemahan kitabnya walau dari Indonesia. Sedangkan ada karya mereka ini nipis bersaiz poket dan boleh sahaja dibukukan sebelas atau sedozen judul atau lebih dalam satu buku sekaligus!

23. Sebab itu, tidak ramai yang tahu tentangnya meskipun nama mereka ini juga berpengaruh di nusantara. Hanya mereka yang mahir berbahasa Arab sahaja yang mampu menciduk dan menatapi keunikan yang ada pada keluarga al-Ġhumāriyy. Dan mereka yang berbahasa Arab dari golongan Aswaja ini pun belum tentu tahu hal ini. 

24. Saya sendiri pun tahu hanya melalui perkongsian Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ. Saya pun tidak tahu kalau ada anak-anak murid yang menadah ilmu daripada beliau akan mengongsikan manhaj keluarga al-Ġhumāriyy atau ingin mewariskan manhaj keluarga ini apabila balik ke tempat masing-masing di nusantara. Bagaimana mungkin yang Aswaja yang tidak mengikuti beliau akan dapat tahu tentang hal ini?

25. Antara keunikan mereka adalah mereka ini menentang taklid yang berasaskan ketaksuban. Sekalipun mereka bermazhab Mālikiyy kecuali al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy telah berpindah ke mazhab ašh-Šhāfiʿiyy dan kecuali juga Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq yang tidak menisbahkan diri dengan mana-mana mazhab, tetapi mereka tetap menyelisihi beberapa pandangan dalam mazhab yang mereka telusuri jalurannya. Malah, mereka sendiri menentang orang yang taksub kepada mazhab dan meninggalkan as-Sunnah.

26. Sekalipun mereka adalah sufi, mereka tetap lantang dan tegas dalam membidas hadis-hadis yang batil daripada para sufi yang jahil dan menolak penafsiran sufi yang menyeleweng terhadap teks-teks agama yang suci. Mereka tidak mendiamkan diri apabila riwayat yang batil melintasi di hadapan mata mereka, apatah lagi menjadi pembawa dan penyampai kepada riwayat tersebut.

27. Saya telah memperkenalkan manhaj mereka ini pada penulisan saya yang lalu dan saya tidak ingin memanjangkannya lagi di sini. Boleh rujuk di pautan ini untuk pembacaan lanjut : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=489938465708194&set=pb.100040761337193.-2207520000..&type=3

28. Yang agak mengecewakan adalah manhaj mereka ini tidak begitu diambil berat oleh golongan Aswaja. Mereka hanya meraikan keluarga al-Ġhumāriyy kerana mereka adalah keturunan Rasulullah SAW, ahli hadis yang mencapai taraf al-Ḥāfiẓ, sufi dan melawan al-Albāniyy dan wahabi. Namun, manhaj yang mereka perjuangkan ini tidak menjadi teras dalam praktik agama mereka.

29. Walhal, jika kita mengambil prinsip keluarga al-Ġhumāriyy ini, sebenarnya ia menguntungkan Aswaja dan memadamkan keresahan apabila berhadapan dengan isu-isu yang kontroversi yang berkaitan dengan al-Ḥabīb. 

30. Selepas ini, apabila kita menemukan beberapa kesilapan yang nyata yang melangkaui kod merah, maka kita ambil prinsip sepertimana yang ditegakkan oleh keluarga al-Ġhumāriyy. Apabila terbit di lidah mereka hadis-hadis palsu dan batil, maka kita akan menolak dan menegakkan yang benar sepertimana yang keluarga al-Ġhumāriyy akan lakukan. Apabila didapati sebahagian mereka ini melakukan penafsiran terhadap al-Quran dan hadis yang bersalahan dengan kaedah ilmu, maka kita menepisnya sepertimana yang keluarga al-Ġhumāriyy akan lakukan. Ini kerana keluarga al-Ġhumāriyy ini dari keturunan Rasulullah SAW juga. Apa masalahnya jika kita meneladaninya dan menyalakan obor perjuangan mereka di sanubari kita?

31. Daripada apa yang keluarga al-Ġhumāriyy tonjolkan, nyatalah bahawa bukan semua yang datang daripada zuriat baginda dikultuskan dan dikuduskan seolah-olah ia terbebas daripada mana-mana penghakiman metodologi ilmu yang mapan. Malah, mereka sendiri juga akan ditimbang dan dinilai melalui neraca ilmu. Keturunan baginda sememangnya wajib dimuliakan, tetapi bukan bermakna mereka terbebas daripada taklif syariat dan hak-hak ilmu.

32. Bukti bahawa keturunan Rasulullah SAW tidak dikultuskan adalah kita melihat bagaimana golongan al-Ašhʿariyy tidak ada masalah untuk menolak al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy yang menentang, malah mencela aliran al-Ašhʿariyy. Jika kaum al-Ašhʿariyy menolaknya atas dasar hujah ilmiah, bukan kerana taksub, maka seyogianya kita sebagai Muslim perlu juga sedemikian. Hujah tetap diangkat tinggi dan diberikan haknya untuk diikuti meskipun ia menyalahi aliran tertentu atau tokoh tertentu.

33. Malah, karya-karya yang mengkritik keluarga al-Ġhumāriyy pun tidak kurang dahsyatnya yang kalau seseorang lihat tajuk dan mukaddimah kitab kritikan pun, sudah cukup menggerunkan mata yang menelaah bagaimana penyifatan para pengkritik terhadap mereka. 

34. Kemudian, ada juga cerita yang Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq  berkonflik terhadap sesama adik beradiknya. Karyanya yang berjudul az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh ini walaupun menyinggung sufi yang jahil secara umum, tetapi sebenarnya ia juga menyentuh kelompok sufi yang dikelola oleh abangnya, al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy menurut latar belakang cerita penghasilan karya ini. Malah, terdapat dakwaan bahawa Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy berlepas diri daripada madrasah aṣ-Ṣiddīqiyyah. Bahkan, terdapat dakwaan bahawa Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy adalah wahabi!

35. Apapun, ini sekadar untuk menyentuh bahawa keturunan baginda pun bukanlah permit yang membebaskan seseorang daripada bebanan hujah ilmiah terhadapnya. Mereka juga wajib untuk mengikuti ilmu yang tulen dan menyampaikan ketulenan. Apabila wujudnya kesalahan, maka tetaplah ia salah. Keturunan Rasulullah SAW tidak mewarisi kemaksuman.

36. Apabila kita faham manhaj mereka, maka sedarlah kita bahawa keluarga al-Ġhumāriyy sememangnya barisan yang layak mengisi kekosongan dan kelompongan kemuliaan yang dipersoalkan oleh sebahagian orang kerana melihat isu-isu yang kurang enak terhadap al-Ḥabīb. Mereka sebenarnya mengembalikan kepercayaan yang telah merosot kerana hampa melihat beberapa al-Ḥabīb yang dilihat gagal memainkan peranan untuk membawa imej manhaj yang sejahtera.

37. Jika ada tokoh al-Ḥabīb atau selain mereka yang membawa gagasan sama seperti keluarga al-Ġhumāriyy, maka segala puji bagi Allah dan ia adalah antara nikmat yang besar yang wajib disyukuri. Jika sememangya benar ia adalah indah khabar daripada rupa, maka kita telah hadam apa prinsip kita.

38. Saya harap perkongsian ini dapat membawa pengenalan bahawa keturunan Rasulullah SAW tidak hanya terhad pada skop tertentu, iaitu hanya pada al-Ḥabīb sahaja dan bagaimana kita ingin berinteraksi dengan isu-isu yang berkaitan dengan zuriat baginda yang didominasi dengan gelaran al-Ḥabīb. 

39. Selepas ini, jangan mempergunakan falasi Argumentum Ad Verecundiam dengan menjaja "fulan keturunan Rasulullah" atau seumpamanya semata-mata untuk mempertahankan kedegilan atau membenamkan hujah ilmiah daripada orang lain, apatah lagi mengkuduskan amalan yang telah nyata salah. Sebegitukah mahu diucapkan di hadapan Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy kalau beliau masih hidup?

40. Sekurang-kurangnya, para sufi ini seeloknya membaca karya beliau yang berjudul az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh. Bukanlah bermakna perlu menyetujui semua, tetapi sekurang-kurangnya membuka minda dan mencelikkan mata serba sedikit untuk membezakan yang jernih dan yang keruh.

Lagi dalam mengenali keluarga al-Ġhumāriyy :

(a) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah Al-Ġhumāriyy Menarik Balik Karyanya Al-Kanz Aṯs-Ṯsamīn Kerana Terdapat Hadis Dhaif Di Dalamnya

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-al-ghumariyy-menarik.html   

(b) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy Pernah Menarik Balik Pandangannya

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html

(c) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy Pernah Dituduh Cenderung Pada Wahabi!

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html

(d) Az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh : Karya Tokoh Berketurunan Rasulullah SAW Dalam Membasmi Sufi Yang Batil

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/az-zawiyah-wa-ma-fiha-min-al-bida-wa-al.html

No comments:

Post a Comment