Wednesday, 27 April 2022

Al-Ḥāfiẓ Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq Al-Ġhumāriyy Wa Juhūduh Fī Kẖidmah Al-Ḥadīṯs Min Kẖilāl Ajzāʾih al-Ḥadīṯsiyyah Karya Dr ʿAlyāʾ Muḥammad Zaḥl : Menjengah Kehebatan Al-Ḥāfiẓ Dalam Ilmu Bahasa Arab

Segala puji bagi Allah. Sampai juga buku yang saya cuba beli pakai debit kad dari syarikat luar negara melalui laman sesawang mereka. Ini kali pertama saya cuba dalam hidup saya untuk melihat sejauh mana syarikat mereka ini boleh menunaikan hak kewajipan mereka sebagai peniaga. Sekali lagi, saya bersyukur kepada Allah kerana terhindar dari penipuan dalam talian.

Saya tidak jangka buku ini tebal. Apabila lihat dalam katalog, saya sangka ia mungkin buku kecil saiz A5 yang hanya seratus muka surat. Rupanya sebesar hampir A4 dan ada 400 muka surat lebih. Akan tetapi, berbaloi pun bukunya berharga $15. Cuma, yang menjadi mahal adalah kerana kos penghantaran sehingga ia mencecah $40.12 yang memakan RM 150.

Selepas ini, saya akan cuba menjejak dan mendapatkan buku di dalam talian, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan tokoh ilmuwan dari keluarga al-Ġhumāriyy.

----------------------

Buku ini, al-Ḥāfiẓ Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy Wa Juhūduh Fī Kẖidmah al-Ḥadīṯs Min Kẖilāl Ajzāʾih al-Ḥadīṯsiyyah karya Dr ʿAlyāʾ Muḥammad Zaḥl memuatkan dan membahaskan sumbangan al-Ḥāfiẓ Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy dalam bidang hadis melalui kajian buku kecilnya yang berselerak sama ada dalam kajian sanad ataupun fiqh hadis.

Sumbangan beliau tidak sekadar hanya meneruskan legasi yang lama dan sekadar pewaris kepada tradisi yang sebelumnya. Beliau juga berperanan sebagai pembawa pembaharuan dalam ilmu hadis yang tidak terikat dengan taklid serta bergerak di atas penilaian tajam dan komprehensif dalam menumpahkan hasil idea dan kajiannya dalam setiap topik perbincangan hadis.

Kedudukannya dalam bidang hadis memang tidak dapat dipertikaikan sehingga sebahagian orang memanggilnya sebagai penutup para al-Ḥāfiẓ. Ini sebenarnya gelaran berlebihan kerana tiada siapa yang berhak untuk mendakwa bahawa darjat al-Ḥāfiẓ sudah tertutup selama-lamanya. Bahkan, beliau dikatakan lebih mahir dalam hadis berbanding adik-beradiknya yang lain.

Dalam mengenali beliau, kita tidak dapat tidak semestinya mengenal pesaingnya dalam bidang hadis, Syeikh Muḥammad al-Albāniyy, watak penting salafi yang paling menyerlah dalam bidang hadis.

Namun, sangat menyayat hati bahawa pemikiran dan manhaj Syeikh al-Albāniyy lebih dikenali dan lebih diberikan perhatian berbanding al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy sehingga al-Ḥāfiẓ seakan-akan tersisih dari wacana ilmu hadis, sedangkan beliau diperakui sebahagian lawannya bahawa beliau mengungguli Syeikh al-Albāniyy dalam bidang hadis dan beliau juga watak penting dalam wacana hadis pada zaman beliau.

Rujuk : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=1462772650803670&id=100012128473491

Ilmu hadis ini adakalanya tidak begitu mengenal aliran seperti aliran sufi atau aliran salafi. Bahkan, ustaz Umar Muhammad Noor dalam Aliran Kritik Hadis Semasa dalam membentangkan manhaj aliran sufi dan salafi dalam manhaj penilaian hadis, bagi para pembaca, kita tidak akan mendapati perbezaan yang besar antara aliran sufi dan salafi.

Sekurang-kurangnya khidmat penulisan buku ini adalah memperkenalkan kepada dunia bahawa al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy juga adalah tokoh penting dalam ilmu hadis yang tidak patut kita melupakannya dan mengabaikannya.

Usaha penulis untuk menjejak pelbagai buku penulisan beliau yang sukar didapati di pasaran pada hari ini dan berusaha untuk mengkajinya sememangnya patut dipuji dan diberi penghargaan yang tinggi. Malah, yang menariknya, informasi dalam buku sangat padat dan memang terlebih kenyang jika membacanya. Sememangnya menunjukkan al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy sangat menyerlah dalam ilmu hadis.

Malah, sebagai pecinta ahli bait, buku seperti ini sememangnya patut dimiliki dan dimanfaatkan supaya kita lebih dalam memahami beberapa tokoh ilmuwan yang terbilang dari kalangan ahli bait.

Al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy bukan calang-calang ahli bait yang sesiapa sahaja boleh setara dengannya. Mengapa tidak kita menjengah dan menghayati kehebatan yang beliau tonjolkan dan tinggalkan kepada kita semua?

No comments:

Post a Comment