Saya sebenarnya bukanlah peminat ARG. Cuma, ini antara buku keluaran ARG yang paling saya suka dan yang paling rekomen pembacaannya. Sekalipun berbeza fikrah, ini kebaikan yang saya raikan dan saya memanfaatkan daripadanya.
Bahkan, bagi peminat keluarga al-Ġhumāriyy (kecuali Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy) jika membaca buku ini, mungkin mereka akan berkongsi perasaan yang sama dengan saya atau mungkin lebih lagi dan menyambut baik buku ini.
Saya teringat kata-kata pentahqiq kitab Iṯsbāt al-Ḥadd Lillah Wa Binahhu Qōʿid Wa Jālis ʿAlā al-ʿAršh (terjemahan: Mengisbatkan Had Untuk Allah Dan Bahawanya Dia Duduk Di Atas Arasy) karya Abū Maḥmūd ad-Dašhtiyy dalam mencela al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang mengingkari pengisbatan had untuk Allah :
وللأسف فإن كثيرا من المشتغلين بتدريس عقائد أهل السنة والتأليف فيها قد تابعوا الذهبي في هذه المسألة وغيرها من المسائل التي خالف فيها أهل السنة كمسألة الطعن في الأقران والمقام المحمود والصورة والترك بقبر النبي صلى الله عليه وسلم والتمسح به وشد الرحل إليه وغيرها من المسائل!
"Yang mendukacitakan adalah sesungguhnya kebanyakan orang yang sibuk dengan pengajaran akidah ahli sunnah dan pengarangan padanya telah seiring dengan aḏz-Ḏzahabiyy dalam permasalahan ini dan selainnya daripada permasalahan yang lain yang dia menyelisihi ahli sunnah padanya seperti masalah celaan terhadap persaingan, al-Maqōm al-Maḥmūd, aṣ-Ṣūroh, bertabarruk pada kubur Nabi صلى الله عليه وسلم, mengusapnya, tekad kembara kepadanya dan selainnya dari permasalahan itu".
Sememangnya ironi al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang tidak diragukan lagi sebagai tokoh besar dalam rujukan salafi dan manhaj al-Ḥāfiẓ sememangnya dijadikan pegangan bagi kebanyakan salafi pada hari ini walaupun mereka berkaptenkan Ibn Taymiyyah serta al-Ḥāfiẓ sememangnya dikenali sebagai memusuhi aliran al-Ašhʿariyy sepertimana yang disebutkan muridnya, Tājuddīn as-Subkiyy tampak memihak kepada apa yang dilakukan oleh golongan al-Qubūriyyūn yang selalu dikutuk oleh salafi.
Bagaimana seorang tokoh yang menjadi paksi salafi ini dalam masa yang sama memandang baik amalan yang dilakukan oleh al-Qubūriyyūn? Buku ini mendedahkan sedikit sebanyak tentang apa yang ada di sisi al-Ḥāfiẓ pada isu ziarah dan amalan di perkuburan.
Bahkan al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy juga ada seiras dengan al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy dalam isu ini. Walaupun al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy sangat mengutuk keras terhadap aliran al-Ašhʿariyy, tetapi dalam isu amalan di perkuburan, sememangnya dikenali kepekatannya dengan kesufian.
Sememangnya pelik kalau tokoh besar yang dijulang tinggi salafi ada perbezaan yang ketara dengan rata-rata salafi sepertimana keluarga al-Ġumāriyy yang ada perbezaan yang nyata dengan rata-rata sufi dan Aswaja yang memandang hebat terhadap keluarga ini.
Apapun, buku ini memang mampu beri kejutan besar atau tamparan hebat kepada salafi kerana di dalam buku ini banyak menukilkan pengamalan ulama dari catatan sejarah tentang amalan di perkuburan seperti berdoa di sana, membaca al-Qurān dan mengambil berkat daripadanya.
Saya mengharapkan cetakan seterusnya dapat memperincikan lebih banyak lagi fiqh yang berkaitan dengan amalan di perkuburan dan isu-isu sufi yang berkaitan dengan amalan di perkuburan memandangkan saya lihat masih ada banyak yang tidak terisi, tetapi sangat penting untuk dibahaskan.
Kemudian, buku ini memaparkan bagaimana Ibn Taymiyyah dan para pengikutnya dari kalangan wahabi mula mengorak perspektif yang berbeza secara ekstrim dalam isu amalan di perkuburan sehingga ada istilah al-Qubūriyyūn untuk dijadikan sasaran peluru pelaku bidaah dan musyrik kepada pelakunya.
Untuk bahagian ini, saya ada hidu bias kerana mungkin terlalu menyasarkan kepada wahabi sehingga terabai yang selain daripada wahabi yang bersuara tentang isu yang hampir serupa dan bahagian yang termasuk yang diperselisihkan oleh ulama. Saya berharap cetakan seterusnya lebih adil dalam membahas tentang kelompok selain wahabi yang tidak menggemari beberapa amalan di perkuburan yang menjadi polemik.
No comments:
Post a Comment