Showing posts with label Wacana. Show all posts
Showing posts with label Wacana. Show all posts

Wednesday, 6 March 2024

Jangan Menisbahkan Sesuatu Kelompok, Tetapi Menampilkan Yang Lain Daripada Apa Yang Menjadi Pegangannya


Rasanya lebih baik mengaku tidak terikat dengan mazhab berbanding yang lain walaupun akan ada orang kecam. Kejujuran lebih patut ditampilkan berbanding bertopeng dengan rupa yang lain.
Perkara ini tidak perlu mengejutkan pun kerana jalanan ini adalah yang ditempuhi oleh al-Imām ašh-Šhawkāniyy dan al-Imām aṣ-Ṣonʿāniyy. Begitu juga ini menjadi jalanan keluarga ahli bait dari Ibn aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy.

Cuma, jangan menampilkan yang berbeza dari apa yang dicanangkan dan jenama yang dipromosikan. Inilah sikap yang dibenci.

Jangan kata bermazhab Ḥanbalī pada akidah dan fiqh, tapi yang ditampilkan adalah berbeza.

Kata berakidah Ḥanbalī, tetapi kitab utama dalam akidah seperti Nihāyah al-Mubtadʾīn, at-Tabṣiroh Fī Uṣūliddīn, al-Īḍōḥ Fī Uṣūliddīn dan lain-lain tidak pernah baca pun, bahkan tidak tahu sama sekali.

Kata fiqh bermazhab Ḥanbalī, tetapi kitab Zād al-Mustaqniʿ, Akẖṣor al-Mukẖtaṣorōt, Dalīl aṭ-Ṭōlib dan lain-lain tidak pernah mengaji pun. Bahkan, fiqh bercampur aduk yang langsung tidak menggambarkan bahawa dia iltizam dengan satu mazhab.

Ingatkan pakar dalam mazhab Ḥanbalī kerana kita pun mahu tadah kitab ini daripada mereka untuk belajar fiqh mazhab ini secara sistematik.

Rupa-rupanya yang dia belajar adalah dari kitab Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah, Muḥammad bin ʿAbdul Wahhāb dan salafi wahabi yang mutaakhirin. Sejak bila semua ini jadi muktamad untuk mazhab Ḥanbalī?

Yang lebih teruk lagi adalah mengaku Ash'arī yang mutaqaddim lagi muṯsbit, tetapi dalam sifat kalam, penafian jisim, isu al-Kasb dan praktikaliti ilmu kalam sekeras-kerasnya melawan Ashāʿirah dengan ejekan ahli kalam dan pengikut Aristotle.

Manhaj yang tidak ada jenama, tetapi sibuk mahu menumpang jenama orang lain.

Kalau pun ada ikhtiyarat pun, itu memang hampir semua ulama dalam mana-mana mazhab ada yang menyalahi muktamad, jumhur dan bahkan, kesemuanya.

Cuma, biarlah jangan sampai nampak indah khabar dari rupa sahaja dengan mengaku pakai jenama itu, tetapi terang-terangan melawan apa yang muktamad dan arus perdana mazhab itu sendiri yang paling teras sekali.

Cukup menyakitkan mata apabila membaca komentar atas nama tahqiq risalah Abū Naṣr as-Sijziyy dan Nihāyah al-Mubtadiʾīn yang cuba mengassertasi penolakannya terhadap ketetapan Ḥanābilah.

Bahkan, ada yang sampai cuba mendegradsikan perincian al-Qōḍī Abū Yaʿlā dalam menafikan sifat-sifat kekurangan dan mustahil bagi Allah dalam kitabnya Ibṭōl at-Taʾwīlāt.

Itu belum lagi usaha untuk membakulsampahkan kitab Iʿtiqōd al-Imām al-Munabbal karya Abū Faḍl at-Tamīmiyy kerana tidak dapat menerima ketetapan mazhab itu.

Inikah mazhab Ḥanbalī yang dicanangkan? Sangat menampakkan pengaku-pengaku ini banyak dakwa sendiri sahaja. Hakikatnya sembang sahaja.

---------------

Tentang akidah, mungkin ada yang ingin membangkitkan tentang al-Imām Ibn al-Jawziyy dan seolah-olah saya ada kecenderungan untuk membingkaikan gambaran akidah Ḥanbalī sejati adalah pada naratif Ibn al-Jawziyy.

Minta maaf ya. Akidah sebenar mazhab Ḥanbalī jauh lebih besar dari semata-mata untuk tumpu Ibn al-Jawziyy sahaja. Hanya orang yang kurang penerokaan sahaja yang hanya fokus Ibn al-Jawziyy semata-mata.

Sepertimana mazhab Ḥanbalī tidak hanya tersepit pada naratif Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah dan salafi terkebelakangan, seperti itu mazhab Ḥanbalī tidak hanya pada naratif Ibn al-Jawziyy semata-mata.

Konsep Majlis Riwayat Dan Ijazah


Ketikamana saya ingin menjalankan majlis riwayat dan ijazah, saya seringkali perlu menjelaskan tentang orientasi majlis ini, lebih-lebih lagi jika ada peserta baru atau peserta yang kurang biasa dengannya memandangkan ini adalah majlis yang agak langka dalam kalangan asatizah, agamawan dan penuntut ilmu agama sendiri. Tidak menghairankan kalau ramai yang tidak tahu tentangnya.

Saya perlu menjelaskannya supaya mereka tahu perjalanannya, formatnya, sasarannya dan nilai yang boleh dicapai dalam majlis ini. Adakalanya, ketidakfahaman ini menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan majlis ini, bahkan ada yang memberikan respons yang negatif terhadap majlis ini.

Adakalanya, saya merasa letih dan jemu untuk mengulangi penjelasan tentang majlis ini. Oleh itu, saya cuba menghasilkan penulisan yang mudah-mudahan senang untuk difahami bagi memahami intipati bagi majlis riwayat dan ijazah.

Saya berharap saya tidak perlu mengulangi lagi penjelasan saya. Cukup dengan mempamerkan penulisan ini untuk dibaca dan difahami.

Pengenalan

Majlis riwayat dan ijazah adalah majlis perlaksanaan tradisi bagi penyerahan silsilah pewarisan riwayat dari syeikh ijazah yang memperakukan dan memperkenankan penyerahannya untuk dihubungkan kepada seseorang yang lain untuk mendapatkannya dalam rantaian silsilah sanad.

Oleh itu, ada beberapa istilah yang penting untuk diambil tahu supaya dapat memahami intipati majlis ini, objektifnya dan tatacaranya. Bagi yang pertama kali atau tidak biasa dengan majlis ini, istilah ini amat wajar untuk mengetahuinya.

Yang pertama adalah sanad. Ia adalah jalur penghubung antara seseorang dengan seseorang yang lain yang menghubungkan pertalian kepada suatu riwayat. Selalunya ia berupa warisan dari generasi ke generasi yang seterusnya.

Contohnya adalah saya memperoleh jalur penghubung pertalian kepada kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah melalui ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr dan beliau pula melalui gurunya. Gurunya pula kepada gurunya sehingga kepada empunya kitab ini, al-Imām an-Nawawiyy.

Yang kedua adalah ijazah. Ia adalah perakuan dan perkenan seorang syeikh ijazah untuk menghubungkan nama orang yang meminta atau orang yang berminat atau orang yang dia berkenan dalam hubungan rantaian silsilah sanad.

Contohnya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr memperkenakan saya dan peserta yang lain untuk dihubungkan nama saya dengan ašh-Šhaykẖ dalam hubungan rantaian silsilah sanad kepada riwayat kitab al-Imām an-Nawawiyy. Dengan itu, saya mendapat ijazah sanad daripada beliau.

Yang ketiga adalah syeikh ijazah. Syeikh ijazah adalah orang yang memiliki penyambungan sanad dari syeikh ijazahnya yang lain. Syeikh ijazah berhak untuk memberi perkenan kepada orang lain dengan syarat yang dia kehendaki.

Contohnya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr adalah syeikh ijazah saya dan saya pula akan menjadi syeikh ijazah kepada mereka yang hadir dalam majlis yang saya adakan bagi memperoleh ijazah sanad.

Yang kempat adalah silsilah. Sepertimana seseorang ada silsilah keluarga yang menghubungkannya kepada seseorang seperti silsilah raja yang sekarang menghubungkan pertaliannya kepada raja pertama bagi negara itu, seperti itu juga silsilah yang ada bagi periwayatan ini.

Silsilah ini bukan atas dasar kekeluargaan, tetapi atas dasar perkenan antara syeikh ijazah dengan seseorang yang lain untuk dihubungkan dalam rantaian silsilah sanad untuk pertalian suatu riwayat secara zaman berzaman. Boleh juga untuk dipanggil dengan silsilah keluargaan, tetapi kekeluargaan secara artifisial atau kekeluargaan periwayatan.

Contohnya adalah hubungan saya dengan ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr bukanlah atas dasar kekeluargaan, tetapi nama saya dihubungkan dengan beliau kerana perkenan beliau untuk dihubungkan dalam rantaian silsilah sanad bagi kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah.

Jika ingin disebut sebagai keluarga pun, maka ia keluarga periwayatan bagi kitab itu. Maka, saya dan beliau serta sebegitu juga gurunya dan seterusnya adalah ahli keluarga saya dalam periwayatan untuk kitab itu.

Yang kelima adalah riwayat. Ia adalah subjek yang menjadi pertalian bagi sanad sama ada ia berupa kitab secara spesifik atau hadis musalsal atau mana-mana riwayat yang lain.

Contohnya adalah riwayat kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah. Ini adalah subjek pertalian bagi membentuk rantaian silsilah kekeluargaan secara artifisial secara zaman berzaman dari syeikh ijazah sehingga kepada al-Imām an-Nawawiyy.

Setelah faham istilah ini, baca semula definisi bagi majlis ini agar faham apa yang ingin menjadi intipati bagi majlis ini.

Tujuan

Tujuan majlis ini adalah supaya seseorang meneruskan legasi bagi yang mengijazahkannya dan mendapat warisan riwayat sama ada kitab atau mana-mana riwayat secara umum bagi mereka yang berkenan yang mana ia dilakukan oleh para masyayikh kita dan para pendahulu kita sejak zaman berzaman bagi tujuan keberkatan melalui perhubungan nama dalam rantaian silsilah sanad dan mengekalkan keistimewaan umat Islam pada aspek pewarisan yang nyata lagi berterusan.

Dengan kata lain, ia seolah-olah pembentukan rantaian silsilah kekeluargaan zaman berzaman melalui hubungan yang tersambung kepada suatu riwayat.

Contohnya adalah warisan kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah. Saya memperoleh penyambungan rantaian silsilah sanad ini melalui beberapa masyayikh saya yang mengijazahkan kepada saya.

Antaranya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr melalui suatu majlis bersamanya dalam talian, lalu saya diperkenankan oleh beliau untuk dihubungkan nama saya dengan nama ašh-Šhaykẖ dalam rantaian silsilah sanad.

Beliau pula mendapat ijazah sanad daripada gurunya melalui proses yang sama. Gurunya pula mendapat daripada gurunya yang sebelumnya melalui proses yang sama. Semua ini berlangsung sehinggalah kepada murid kepada al-Imām an-Nawawiyy mendapat ijazah daripada beliau sendiri, empunya kepada judul kitab ini.

Hubungan saya dengan beliau dan sebegitu juga beliau dengan guru-gurunya akan menghasilkan rantaian silsilah sanad seperti rantaian silsilah keluarga.

Saya juga ada menjelaskan sebab saya ingin menjayakan majlis ini di : https://marzukamartillo.blogspot.com/2024/03/sebab-saya-ingin-menjayakan-majlis.html

Tatacara

Terdapat beberapa tatacara dalam perlaksanaan tradisi ini sebelum penyerahan silsilah serta perakuan dari syeikh ijazah kepada mereka yang dia berkenan untuk dihubungkan namanya dalam rantaian sanad.

Antaranya adalah pembacaan kandungan kitab secara menyeluruh seperti jika seseorang ingin mendapatkan ijazah sanad bagi kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah, dia perlu melalui majlis dengar dari bacaan orang lain kepada syeikh ijazah atau dipanggil dengan majlis samāʿ atau dia sendiri membaca di hadapan syeikh ijazah bagi mendapatkan ijazah sanad itu atau ia dipanggil dengan majlis qirōʾah.

Tentang majlis ini, saya pernah memberikan pendedahannya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2024/03/reaksi-mereka-yang-tidak-pernah-hadis.html

Majlis tidak semestinya besar-besaran. Jika hanya ada dua orang sahaja, iaitu syeikh ijazah dan orang yang meminta sahaja, maka ini pun sudah memadai.

Selalunya, majlis seperti ini adakalanya tidak ada apa-apa ulasan atau syarahan langsung. Hanya dibaca sahaja dari awal hingga habis atau sebanyak mana yang mampu yang cukup untuk masa.

Jika ada pun, ia terserah kepada mereka yang ada autoriti untuk majlis itu. Jika ada ulasan atau syarahan pun, ia tidak akan panjang sepertimana kelas atau kuliah kerana hanya memfokuskan pengkhataman dan meraih keberkatan atas pembacaan sahaja.

Antaranya adalah tidak membaca secara spesifik, tetapi membahaskan kandungan yang ada dalam buku itu, lalu diijazahkan kepada hadirin. Ini seperti yang dilakukan oleh ašh-Šhaykẖ ʿAliyy Jumʿah yang membahaskan kandungan Iḥyāʾ ʿUlūmiddīn karya al-Imām al-Ġhozzāliyy tanpa membacanya secara penuh dan sekadar membahaskan kandungan atau pengisian yang ada dalam kitab tersebut. Lalu, di akhir majlis, beliau mengijazahkan semua yang hadir dengan kesemua kitab al-Imām al-Ġhozzāliyy.

Antaranya adalah dengan cara pengajian berkitab seperti seseorang mempelajari kitab al-Waroqōt karya Imām al-Ḥaromayn sehingga khatam, lalu guru mengijazahkan sanad kitab itu kepada muridnya.

Apapun, perolehan pengijazahan pula bergantung kepada syarat yang ditetapkan syeikh ijazah. Adakalanya, dia mensyaratkan pembacaan kesemua kandungannya. Adakalanya, dia sekadar mensyaratkan pembacaan sebahagian daripadanya.

Adakalanya, tidak perlu dibacakan langsung dan cukup untuk meminta kepadanya, lalu dia akan terus memberinya. Adakalanya, dia mensyaratkan kehadiran penuh atau kehadiran pada kebanyakannya pada majlis yang dia mengadakannya. Pelbagai lagi syarat yang boleh dia tetapkan.

Dengan kata lain, semua syarat perolehan ini tergantung kepada syeikh itu sendiri.

Majlis Bersama Saya

Untuk setakat ini, majlis ini bersama saya, ada dua wahana utama saya menjalankannya.

Yang pertama adalah di server Discord "Sembang Akidah Dan Politik" di : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Selalunya, saya akan membuat majlis ini pada 5-10 minit sebelum sesi perbincangan pada setiap Sabtu jam 10 malam.

Untuk mendapatkan info dan pengumuman tentang majlis ini, boleh lihat saluran telegram di : https://t.me/+IOKXKrbKuVE4MjA1

Yang kedua adalah melalui kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab. Sebarang maklumat dan penerangan tentang kelas boleh didapatkan di : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Mereka yang mengikuti kelas ini bersama saya dan menghabiskannya dengan jayanya, iaitu mampu menjadi pembaca independen akan mendapat ijazah sanad lebih 400 kitab para ulama.

Saya menerima jemputan untuk mengadakannya di wahana yang berbeza. Dipersilakan untuk berbincang bersama saya.

Cuma, saya ingin mengingatkan bahawa apa yang menjadi eksklusif seperti yang eksklusif untuk pelajar kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab saya sama sekali tidak akan diberikan kepada orang luar secara mudah demi memberi keadilan kepada peserta dan jika saya ingin memperkenankannya, ia perlu melalui proses yang agak teknikal.

Reaksi Mereka Yang Tidak Pernah Hadis Majlis Samāʿ Atau Qirōʾah Atau Tidak Biasa Dengannya Apabila Mereka Hadir


Orang yang tidak pernah hadir atau tidak pernah dengar langsung tentang majlis Samāʿ atau Qirōʾah, mesti akan beri reaksi: "Majlis apa ini yang baca kitab ulama dengan laju-laju macam mesingan? Mana syarahnya? Mana penjelasannya? Mana komentarnya?".

Apabila saya menghadiri majlis Samāʿ untuk kitab Mukẖtaṣor al-Buwayṭiyy yang dipimpin oleh ustaz Syed Shahridzan, beliau berulang kali mengingatkan bahawa majlis beliau adalah bukan majlis talaqqi supaya orang tidak salah faham orientasi majlisnya.

Perkara sama yang diungkapkan oleh Syeikh Nazrul Nasir ketika menceritakan respons negatif dari seseorang yang hadir majlis Qirōʾah untuk Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy yang dibaca dengan pantas.

Sebenarnya, majlis bacaan secara laju untuk pengijazahan sanad adalah perkara tradisi yang zaman berzaman yang telah melata pengamalannya bagi yang telah lama bergelumang dengannya.

Antara rekod yang paling laju adalah al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy yang membaca Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy di hadapan Abū ʿAbdul Roḥmān al-Ḥīriyy sebanyak tiga majlis.

Dua majlis yang pertama adalah dibuat pada waktu Maghrib hingga Subuh. Majlis yang terakhir adalah pada waktu Dhuha sehingga Maghrib, kemudian berakhir dari Maghrib sehingga terbit fajar esoknya**.

Kepantasan ini sehingga dikomentari oleh al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang berkata :

وهذا شيء لا أعلم أحدًا فِي زماننا يستطيعه

"Ini adalah sesuatu yang aku tidak tahu seseorang pada zaman kita yang berkemampuan untuknya". [Tārīkẖ al-Islām].

Benar. Kalau dibuat majlis yang berdurasi sejam untuk Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy setiap hari, ia mungkin mengambil masa 60 jam - 70 jam untuk pembacaan yang paling laju dalam kalangan Qōriʾ yang ada pada hari ini.

Kalau buat tanpa henti, itu adalah tiga hari berturut-turut tanpa rehat, tidur, makan dan solat!

Bayangkan al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy hanya menghabiskan kira-kira 40 jam sahaja jika mengikut kiraan waktu Maghrib dan Isyak sehingga Subuh di Malaysia! Itu pun sudah tentu ada selang waktu solat, rehat dan lain-lain.

Ini memang pecah rekod dunia. Entah bagaimana mulut al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy ketika membaca Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy. Mungkin lebih laju daripada gandaan dua kali ganda yang ada di pilihan Youtube dalam set kelajuan video!

Apapun, tidak perlu mengejutkan jika terserempak majlis sebegini. Ia adalah biasa di negara Arab dan juga sepanjang zaman dalam tradisi pengijazahan sanad. Ini kerana ada sebahagian sanad tidak hanya diperoleh dengan pengajian sahaja. Ia boleh dengan majlis sebegini.

Oleh itu, jangan sebab tidak biasa atau tidak pernah dengar terus diingkari. Seseorang menganggap bodoh perbuatan membaca laju-laju seumpama mesingan yang entah difahami atau tidak hakikatnya ignoran tentang tradisi ini dan kelebihannya.

Majlis ini pun ada kelebihannya tersendiri. Antaranya adalah :

-Memperkenalkan kandungan isi bagi yang belum pernah membacanya. Cuma, selalunya ia tidak dapat dimanfaatkan jika tidak mahir bahasa Arab kerana selalunya majlis ini adalah untuk kitab bahasa Arab.

Bagi yang tidak pernah baca kitab, pasti mereka akan mendapat manfaat pada pengisian kandungannya walaupun tidak sebanyak dengan pembacaan secara tekun. Dapat idea tentangnya sudah memadai.

-Bagi yang pernah mempelajarinya, ia adalah sebagai ulangkaji dan mengingatkan apa yang terlupa. Ini pun sama bagi kemahiran bahasa Arab.

-Bagi yang malas membaca, mereka sudah dibantu untuk dibacakan untuk mereka atau mereka baca sama-sama dengan lihat teks.

-Bagi mereka yang sudah berkemahiran, mereka sebenarnya lebih mengutamakan perolehan sanad kerana mereka sudah tahu kemahiran kitab.

Ambil contoh Matn al-Ājurrūmiyyah. Bagi yang sudah menguasai bahasa Arab, tetapi tidak pernah melalui pembelajaran kitab ini, maka untuk dia memperoleh sanad, tidak perlu bagi mereka mengulang pengajian. Cukup mereka mendapatkan sanad secara dengar atau pembacaan teks sahaja.

Ia berbeza dengan mereka yang baru atau belum ada kemahiran. Mereka dalam kelompok ini tidak ada manfaat perolehan sanad melainkan setelah melalui proses pengajian. Mereka ini lebih baik mendalami dan menghalusi kandungan yang ada di dalamnya barulah perolehan sanad itu bermakna untuk mereka.

-Yang lebih penting adalah menjimatkan masa untuk mendapatkan sanad. Mahu dapat sanad Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy dengan majlis pengajian? Berapa lama?

Kalau buat mingguan sekali sahaja, jangan mimpilah untuk dapat dengan setahun sahaja. Lagi-lagi kalau jenis malas mengaji dan sukar untuk istiqamah.

Justeru, acara sebeginilah yang memudahkan jalan walaupun sememangnya tanpa dinafikan bahawa jalan pengajian adalah jauh lebih baik daripada segala-galanya dari bagai-bagai ijazah.

**Tārikẖ Baġdād :

ولما ورد بغداد كان قد اصطحب معه كتبه عازما على المجاورة بمكة وكانت وقر بعير وفي جملتها " صحيح البخاري "، وكان سمعه من أبي الهيثم الكشميهني عن الفربري فلم يقض لقافلة الحجيج النفوذ في تلك السنة لفساد الطريق ورجع الناس فعاد إسماعيل معهم إلى نيسابور، ولما كان قبل خروجه بأيام خاطبته في قراءة كتاب " الصحيح " فأجابني إلى ذلك فقرأت جميعه عليه في ثلاثة مجالس، اثنان منها في ليلتين كنت أبتدأ بالقراءة وقت صلاة المغرب وأقطعها عند صلاة الفجر، وقبل أن أقرأ المجلس الثالث عبر الشيخ إلى الجانب الشرقي مع القافلة ونزل الجزيرة بسوق يحيى، فمضيت إليه مع طائفة من أصحابنا كانوا حضروا قراءتي عليه في الليلتين الماضيتين، وقرأت عليه في الجزيرة من ضحوة النهار إلى المغرب ثم من المغرب إلى وقت طلوع الفجر ففرغت من الكتاب، ورحل الشيخ في صبيحة تلك الليلة مع القافلة

Contoh Majlis Samāʿ Atau Qirōʾah


Bagi yang tidak pernah tahu tentang majlis samāʿ dan qirōʾah atau belum terbiasa dengannya, beginilah majlisnya.

Ia sekadar hanya membaca sahaja tanpa ada syarahan atau kupasan atau komentar melainkan jika dimahukan oleh pihak yang berkenaan. Jika ada komentar atau kupasan pun, selalunya tidak panjang kerana yang lebih penting adalah cepat untuk menghabiskannya.

Bahkan, ia dibaca dengan laju yang adakalanya peserta sukar untuk mengikutinya dengan mudah.
Sama ada peserta faham atau tidak faham, itu tidak penting. Yang penting adalah mengambil berkat dengan mendengar pembacaan dan peroleh ijazah sanad.

Tuesday, 13 February 2024

Kelebihan Belajar Dengan Asatizah Yang Tidak Ramai Murid

Kelebihan belajar bersama guru yang tidak ramai murid atau pengikut adalah apabila kita ingin berbincang atau bertanya, kita boleh ambil masa kita lebih lama tanpa perlu risau untuk berebut dengan orang lain atau rasa risau orang lain menyampah dengan kita kerana kita terlalu lama berinteraksi dengan guru.

Tetapi, kekurangannya adalah kalau dimarahi, kita sahaja yang kena marah. Berlainan kalau ramai. Bolehlah untuk tegur yang hadir secara umum tanpa sebut nama-nama sesiapa. Cuma, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.

Kalau seorang atau beberapa orang sebegini di kelas yang sedikit hadirinnya, masing-masing tahu siapa yang guru itu marah walaupun ditegur secara umum. Tambah lagi kalau kelas seorang sahaja pelajar yang hadir. Memang mahu lari ke mana lagi?

Apapun, saya tetap suka beri perhatian kepada mereka yang kurang popular dengan salah satu faktor yang telah disebutkan tadi.

Faktor yang kedua adalah adakalanya, kita selalu beri tumpuan kepada asatizah yang popular yang sudah ramai murid, pengikut dan teman sekelilingnya sehingga mereka itu mendapat lebih dari apa yang secukupnya.

Sedangkan, asatizah yang kurang popular ini seringkali disisihkan, tidak diambil peduli dan dipandang enteng. Selalunya asatizah yang kurang popular ini ada tanggapan: "Siapalah dia ini yang perlu kita menyibukkan diri dengannya?"

Padahal, adakalanya asatizah yang kurang popular ini jauh lebih berketerampilan berbanding yang popular. Kalau bukan dari segenap sudut, salah satu aspeknya sudah lebih menyerlah berbanding yang popular. Cuma, orang kita tidak mahu ambil tahu dan ambil peduli sebab sudah dibayangi dengan asatizah yang popular.

Saya adakalanya kasihan yang sebahagian asatizah yang kurang popular ini yang terpaksa membatalkan pengajian kerana kurang pendaftaran atau menamatkan kelas walaupun tidak habis silibus pembelajaran kerana kurang kehadiran yang sepatutnya.

Padahal, ilmunya, penguasaannya dan pengajaranya sebahagian aspeknya lebih banyak membantu untuk perjalanan pembelajaran kita dan mencambahkan lagi benih-benih kefahaman yang berbuah.

Lebih menyedihkan lagi, mereka ini adakalanya hidup dengan cukup-cukup makan dan kesempitan kerana tiada orang menghiraukannya dan memberi khidmat kepadanya.

Berbeza dengan asatizah popular kalau rumahnya ditimpa banjir dan memusnahkan rumahnya, ramai yang akan membantu dan kerugian asatizah yang popular dapat ditampung, bahkan mendapat keuntungan sehingga boleh membeli rumah yang baru di tempat yang baru dan dapat membeli kitab-kitab serta keperluan rumah yang baru!

Bagaimana kalau rumah asatizah kurang popular ditimpa yang sama? Rasanya, ingin beli semula kitab yang hilang pun tidak dapat ditampung. Apa lagi untuk membeli rumah baru untuk kehidupan yang lebih selesa.

Ini bukanlah bermakna untuk mengajak orang lain menjauhkan diri daripada asatizah popular atau menujukan celaan kepada asatizah yang popular.

Saya hanya ingin menyeru jika antara kita ambil perhatian juga di sekeliling kita dari kalangan asatizah yang kurang popular dan dia didapati pada kelebihannya, kebolehannya, kewibawaannya dan keahliannya.

Mereka ini sepatutnya diberikan perhatian juga, lebih-lebih lagi jika ia adalah kejiranan atau orang yang berdekatan di kawasan kita atau orang yang mudah untuk kita hubungi di media sosial atau seumpamanya.

Faktor yang lain pula adalah apabila kita berulang-alik dalam pengajian asatizah yang popular, asatizah ini akan menghargai kehadiran kita dan menanti-nanti komitmen kita walaupun sekadar hadir.

Apabila seorang guru memandang kita dengan pandangan yang baik dan fokus pada kita dengan penuh penghargaan, mudah-mudahan ia bermakna dalam jalinan hubungan bersama guru dan ia menjadi doa untuk kita agar dilimpahkan lagi kebaikan dalam ilmu dan amal.

Ini adalah keberkatan yang kita harapkan dalam kelas pengajian yang tidak ramai murid. Cukuplah suatu majlis ilmu diharapkan keberkatannya apabila seorang guru ada rasa kasih kepada murid yang selalu bertandang kepadanya, sentiasa rindu untuk bertentang mata, bersemangat untuk mengajar kerana hadirnya kita dan menanti-nanti imarah majlis dari kita tatkala orang lain lebih memilih untuk membelakannginya dan menyisihkannya.

Kita berharap agar kita semua termasuk yang mendapat bahagian keberkatan yanag agung ini.

Berbanding asatizah popular yang ramai hadirin yang mana-mana kadangkala adanya kita atau tiadanya kita, tetap sama sahaja di sisi mereka. Kalau ingat pun, selalunya terlupa.

Untuk membina hubungan rapat dan mesra pun agak sukar memandangkan terlalu ramai yang berebut-rebut untuk bersemuka dengannya, bertandang dengannya dan bergaul dengannya.

Apabila masing-masing dari kalangan murid bersaing dan mungkin bergelut untuk mendapatkan perhatian dari guru, saya fikir kalau jadi sebegini, seeloknya cari asatizah lain untuk dia dampingi yang setara dengan asatizah popular itu.

Itu lebih baik dari dia memudaratkan orang lain untuk tolak-menolak terhadap pelajar lain atau memudaratkan diri sendiri kerana tidak dapat menunaikan hasrat yang ingin dicapai untuk dia memperoleh perhatian dari guru.

Mudah-mudahan dia menemukan asatizah sedemikian yang mudah untuk dia capai.

Teguran Untuk Orang Yang Merasa Dirinya Pandai Dalam Agama Tanpa Penguasaan Bahasa Arab


"Aku tidak pandai bahasa Arab pun tidak apa. Asalkan aku baca terjemahan al-Umm, ar-Risālah dan Musnad ašh-Šhāfiʿiyy yang mana pendakwa-pendakwa mengikut mazhab ašh-Šhāfiʿiyy tidak baca pun kitab ini".
Ini sama macam perangai orang yang berkata: "Aku tidak sekolah pun tidak apa. Asalkan aku boleh buat duit, bla bla bla...".

Sejujurnya, kita tidak minta pun kelayakan akademik untuk membuktikan hujah seseorang itu valid atau tidak kerana kadangkala itu tidak mencerminkan sebenar pun kefahaman seseorang. Ini semua orang maklum tentangnya walaupun sijil akademik serba sedikit dapat membantu beberapa aspek.

Betul bahawa kita perlu lapang telinga untuk mendengarkan hujah setiap pihak kerana meneladani firman Allah Subḥanahu Wa Taʿālā :

فَبَشِّرْ عِبَادِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

"Sampaikanlah khabar gembira kepada hamba-Ku yang mendengarkan hujah, lalu mengikut yang sebaik-baiknya. Mereka itulah orang yang Allah memberi hidayah kepada mereka dan mereka itu adalah orang yang punya perseptif". [Surah az-Zumar ayat 17-18].

Cuma, pastikanlah seseorang itu ada menampilkan merit untuk mengukuhkan lagi validitas poinnya.

Antara merit pertama yang diukur adalah kemampuan pembacaan bahasa Arab. Ini semua orang akan ambil berat dan beri perhatian dalam membezakan seseorang itu sekurang-kurangnya ada asas ilmu alat yang paling vital untuk melayakkan seseorang itu menjadi faqih atau tidak.

Kalau ini tidak lepas, maka orang itu sendiri buang masa dirinya dan buang masa orang lain.

Buang masa dirinya kerana sibuk dengan perkara yang belum patut untuk dia sentuh, tetapi bahasa Arab yang paling penting untuk pembinaan kemantapan dalam kemahiran ilmu agama yang lain tidak diusahakan untuk mempelajarinya.

Buang masa orang lain kerana perlu melayan orang yang dirinya sendiri membuang masa dirinya. Kalau kita perlu pilih rakan yang betul, kita pun pilih rival yang sesuai. Buat apa kita perlu bazir masa dengan orang yang tidak ada usaha untuk bina merit pada dirinya? Ada banyak lagi yang boleh dibuat.

Orang pun tidak akan ambil ilmu agama sembarangan. Kenapa kita pula sembarangan ingin peduli melayan orang yang tidak ada tahap yang sesuai dalam menjadi protagonis kita? Itu tanda orang yang tidak matang dalam memilih kawan dan lawan.

Proses penapisan pun kita akan pilih yang ada kualiti dan ada merit untuk mana-mana urusan pun. Kalau tidak ada, barulah kita ambil alternatif yang kurang popular atau yang kurang penarafannya. Kita sendiri tidak membazir masa untuk mencari produk yang kurang kuang kualiti dan entah apa-apa meritnya. Mengapa disibukkan pula dengan orang itu hanya kerana dia ada hujah?

Ini tiba-tiba orang yang tidak tahu bahasa Arab cuba melagak dan menyangak seolah-olah dengan adanya dia menerbitkan hujah, maka dia setara dengan orang lain dan dia beranggapan semua orang perlu meletakkan hujahnya dengan hujah para ulama dalam satu dacing untuk dinilai mana satu yang lebih merit.

Hei sang lembap yang tohor akalnya! Allah membezakan kedudukan setiap orang dengan ilmu. Dia ʿAzza Wa Jalla telah berfirman :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

"Nescaya Allah mengangkat orang beriman dari kalangan kalian dan orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat". [Surah al-Mujādilah ayat 11].

Ilmu pertama yang paling membezakan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak adalah pada kemampuan bahasa Arab. Kalau tahap pertama ini tidak lepas, seseorang itu sangka dengan mengutarakan hujah dan penulisan yang dilihat tuntas melayakkan seseorang utnuk sama meritnya dengan orang yang sudah melepasi pelbagai tangga?

Sedarlah diri wahai sang dangkal. Tidak malukah dengan tangga pertama yang tidak pernah dia capai cuba membongak bahawa dia sudah terbang ke kayangan hanya kerana dia dapat bersembang secara ilmiah?

Betul. Hujah anda mungkin akan diambil kira. Namun, dalam proses penapisan, anda orang yang terakhir untuk dipertimbangkan. Memang anda diletakkan di bawah kasta yang rendah sebab anda sendiri yang membiarkan diri anda di situ.

Orang suruh belajar bahasa Arab, hafal tasrif dan wazan, bersungguh-sungguh untuk praktis dan ambil masa untuk rajin mengulangkaji, membaca lebih luas dan tekun anda buat apa? Buat-buat tidak tahu dan tidak peduli.

Sibuk dengan kegiatan lain yang bukan tidak terfokus pun. Bahkan, beri banyak alasan macam-macam seperti sibuk dengan kerja. Namun, ada masa untuk gaduh dengan orang lain dan ke sana ke sini untuk menampilkan pada orang ramai bahawa dialah yang paling betul, paling berpengetahuan dan paling berpendidikan!

Tidak pernah rasa terdesak pun untuk melangkah dengan tekad sekalipun sudah sembang tentang manhaj, kelompok dan polemik bertahun-tahun lamanya. Dialah sendiri yang menghinakan dirinya dan merendahkan kedudukannya, malah membiarkannya sebegitu.

Kita bukan ingin mendakwa bahawa orang yang sudah pandai bahasa Arab ini adalah serba berpengetahuan dan lebih mulia.

Cuma, kita merasa hairan kerana kita yang bersusah payah untuk habiskan wang dan masa demi belajar dalam mendapatkan kemahiran bahasa Arab dengan menghadapi segala pening, hafal, baca sebanyak-banyaknya dan lain-lain, tetapi orang yang tidak tahu apa-apa tentang bahasa Arab dan tidak pernah melalui susah payah seperti orang yang belajar begitu lancang sekali untuk membongak seolah-olah di tahap yang tinggi dan setara dengan orang yang mahir bahasa Arab hanya kerana dia menampakkan dirinya berbicara dengan hujah atau membaca kitab tahap tinggi versi terjemahan yang jarang dibaca oleh kebanyakan orang.

Orang ini sebenarnya menghina para penuntut ilmu dan ahli ilmu yang telah menempuh ranjau onak dan duri seolah-olah sama sahaja kedudukannya hanya kerana dia ada hujah.

Susah payah selama ini untuk dipelajari hanyalah sampah buangan dan kemuliaan ilmu itu diperoleh tanpa usaha. Sepertinya cukup seseorang itu mendakwa bahawa dia ada hujah telah melayakkannya ia untuk berdiri di mana sahaja yang dia mahu.

Penuntut ilmu tidak perlu layan orang yang rendahan sebegini dan menghinakan diri untuk menempatkan mereka di ruang yang sama, apatah lagi mengangkatnya dengan tinggi.

Kita ketika memilih produk atau pakej pun tidak akan mengambil dari agensi atau syarikat atau pengeluar yang mencurigakan, entah apa meritnya, rendah mutunya dan sedikit penarafannya secara sembarangan. Mengapa dalam keilmuan, kita boleh ceduk dari mana-mana air sahaja?

-------------------------

Selagimana saya ada masa yang fleksibel, saya akan bantu orang yang ingin belajar bahasa Arab sampai boleh membaca dengan bekalan yang tersedia lengkap pada aspek yang kritikal.

Hanya tinggal bawa diri, bayar yuran bulanan dan beli kamus secara berkala sahaja.

Pelajar yang berjaya menghabiskan dengan jayanya, dengan izin Allah, akan mendapat ijazah sanad untuk pelbagai kitab. Antaranya adalah Musnad ašh-Šhāfiʿiyy.

Boleh hubungi saya di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Mengapa Saya Setuju Untuk Tidak Mengaitkan Kisah Israk Dan Mikraj Dengan Penjelasan Sains

Saya agak setuju untuk tidak mengaitkan kisah Israk dan Mikraj dengan penjelasan sains untuk dua sebab.

Pertama, ini kerana pada zaman rasul kita صلى الله عليه وآله وسلم tiada teknologi atau kemampuan yang canggih untuk memenuhi kriteria dan hukum sains yang telah pun dirasionalkan penjelasannya pada masa kini. Ia tetap sesuatu yang berupa keajaiban yang melangkaui sains pada zaman tersebut.

Mungkin seseorang boleh menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai contoh sahaja untuk suatu penjelasan sains pada masa kini, tetapi untuk mengatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa saintifik dan rasional dari sudut sains adalah tidak tepat kerana itu adalah penilaian orang sekarang untuk konteks zaman sekarang, bukan tanggapan orang pada zaman itu seiring dengan perkembangan pengetahuan pada zaman itu.

Kedua, falsafah di sebalik peristiwa ini adalah keimanan yang utuh untuk sesuatu yang tidak terjangkau oleh manusia ketika itu dan manusia sekarang pun menilai mustahil secara adat untuk ada orang ketika itu dapat menjalankan seperti apa yang mereka telah dapat sekarang ini.

Kalau semuanya boleh dijelaskan dengan saintifik, hilang falsafah sebenar untuk peristiwa Israk dan Mikraj dalam menampilkan keajaiban yang wajib diimani secara utuh, di samping pengajaran dari beberapa siri penemuan baginda terhadap kelakuan penghuni neraka yang diazab atas dosa masing-masing.

----------------------------

Dalam masa yang sama, wajar setiap penceramah untuk menyaring hadis-hadis yang tidak sabit untuk disampaikan di meja kuliah. Sepertimana peristiwa ini tidak patut dicemari dengan perkaitan sains, lebih-lebih lagi yang pseudo, tentu lagi pseudohadis sama sekali tidak patut dimasukkan dalam menu penyampaian kuliah.

Salam Israk dan Mikraj

Tidak Pandai Bahasa Arab, Tetapi Ingin Baca Buku Terjemahan Bagi Kitab Al-Imām Ašh-Šhāfiʿiyy?


Setakat ini, saya belum pernah jumpa mana-mana asatizah salafi yang popular yang tidak mahir bahasa Arab. Hampir-hampir tiada untuk menemukan orang sebegitu.
Jangan memalukan mereka dengan membongak sebegini dengan seolah-olah berkata: "Tidak apa jika saya tidak mahir asalkan saya baca kitab tinggi yang terjemahan!".

Malah, yang lebih merugikan sekali pada terjemahan bagi kitab al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy adalah ia menghilangkan estetika dan kemanisan untuk menelaah bahasa Arab dari beliau.

Kehebatan bahasa al-Imām ini sehingga ulama pakar bahasa, Abū Manṣūr al-Azhariyy mendedikasikan kamus khas untuk memahami kosa kata yang beliau guna, iaitu az-Zāhir Fī Ġhōrīb Alfāẓh.

Bahkan, bahasa beliau adalah hujah dalam bahasa. Jika tiada al-Quran, hadis dan syair untuk dijadikan hujah, maka penggunaan kata-kata al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy boleh dijadikan dalam bahasa.

Beliau dipuji dengan kemahiran bahasa Arab beliau. ʿAbdul Mālik bin Hišhām berkata :

الشافعي بصير باللغة، يؤخذ عنه، ولسانه لغة فاكتبوه

"Ašh-Šhāfiʿiyy adalah orang yang celik dalam bahasa dalam keadaan diambil daripadanya dan lisannya adalah bahasa. Maka, kalian tulislah darinya". [Tahḏzīb at-Tahḏzīb karya al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy].

Abū al-Walīd bin Abū al-Jārūd berkata :

إن الشافعي لغة وحده، يُحتجُ بها

"Sesungguhnya ašh-Šhāfiʿiyy itu adalah bahasa satu-satunya dalam keadaan dihujahkan dengannya". [Tahḏzīb at-Tahḏzīb karya al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy].

Yūnus bin ʿAbdul Aʿlā berkata :

كان الشافعي إذا أخذ في العربية، قلت: هو بهذا أعلم، وإذا تكلَّم في الشعر وإنشاده، قلت: هو بهذا أعلم

"Dahulu ašh-Šhāfiʿiyy apabila dia mengambil dalam bahasa Arab, aku berkata: "Dia lebih tahu tentang ini. Apabila dia berkata pada syair dan mendendangkannya, aku berkata: "Dia lebih tahu tentang ini". [Muʿjam al-Buldān karya Yāqūt al-Ḥamawiyy].

Ibn Manẓūr berkata :

والشافعي فصيح حجة في اللغة

"Ašh-Šhāfiʿiyy adalah fasih lagi hujah dalam bahasa". [Lisān al-ʿArob].

Sangat rugi! Sangat rugi orang yang membaca kitab al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy tanpa penguasaan bahasa Arab.

Belajar bahasa Arab sampai boleh membaca tidak susah pun. Jadi susah sebab sebahagian pengajar dan penganjur tamak ingin menekan kemahiran membaca, mendengar, menulis dan bertutur sekaligus atau sebahagian mereka mengajarkan orang yang kosong bahasa Arab dengan kitab turats yang belum atau sememangnya tidak kondusif untuk mereka.

Saya boleh bantu untuk ajar dengan penyediaan lengkap pada yang paling krusial dan kritikal. Tanyalah yang sertai kelas bahasa Arab bersama saya. Semuanya akan berkata bahawa cukup bawa diri sahaja. Hanya tinggal bayar yuran bulanan dan keluar belanja untuk beli kamus sendiri secara berkala sahaja.

Malah, yang belajar dengan saya akan mendapat ijazah sanad kitab Musnad ašh-Šhāfiʿiyy dengan syarat berjaya menghabiskan dengan saya dengan jayanya. Kalau ingin tuntut ijazah sanad kitab al-Umm dan ar-Risālah karya al-Imām ini, saya boleh tunaikan apabila sudah sampai tahapnya.

Sesiapa yang ingin sertai kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab bersama saya boleh hubungi saya di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Wednesday, 10 January 2024

Apakah Kafir Yang Berjasa Di Dunia Akan Mendapat Keselamatan Di Hari Akhirat


Jawapan Buya Yahya bahawa anaknya tidak haram mendoakan ibu bapa yang meninggal dunia yang berbeza agama memang pahit untuk ditelan bagi anak yang mengenali ibu bapanya seorang yang baik lagi berbakti kepada dirinya dan masyarakatnya, lagipula dikenali dengan tulus dan kasih sayangnya ketika hidupnya di dunia.
Pautan Youtube : https://www.youtube.com/watch?v=LtXNJyOKh4c

Ada perbincangan di server Sembang Akidah Dan Politik ketika sesi perbincangan akidah tergempar mingguan tentang persoalan seseorang yang di dunia sudah banyak berjasa di masyarakat dan dunia yang tidak dinafikan lagi; adakah Allah tidak akan mengganjari pahala dan memberikan syurga untuknya?

Boleh sertai sesi perbincangan di Disord di sini pada setiap Sabtu jam 10 pm : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Jawapannya adalah Allah boleh membalas jasa baiknya dengan memberikan kesenangan di dunia dan kenikmatannya seperti mendapat penghargaan, dimudahkan urusan kehidupannya di dunia dan lain-lain memandangkan sifat ar-Roḥmān (الرَّحْمَنِ) meliputi yang kafir dan Musllim, sebegitu juga di dunia dan di akhirat.

Adapun ar-Roḥīm (الرَّحِيم), maka ini khusus untuk Muslim dan hari akhirat sahaja.

Begitu juga Allah itu ašh-Šhakūr (الشَّكُورُ), Yang Maha Berterima Kasih. Allah bukan kedekut untuk menghargai kebaikan seseorang hanya kerana dia itu bukan Muslim kerana Dia berfirman :

وَمَا يَفْعَلُوا مِنْ خَيْرٍ فَلَن يُكْفَرُوهُ ۗ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالْمُتَّقِينَ

"Apa yang mereka lakukan yang berupa kebaikan, pasti mereka tidak akan diingkarinya. Allah jua sangat mengetahui tentang orang yang bertakwa". [Surah Āli ʿImrōn ayat 115].

Malah, kalau dia berharap pada Allah agar mendapat apa yang dia impikan yang berupa laba dan kesenangan dunia yang tempat orang mengharapkan imbalasan yang segera ini, dia akan mendapatkannya kerana Dia berfirman :

مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا

"Sesiapa yang menginginkan kesegeraan, nescaya Kami akan menyegarakan apa yang Kami kehendaki untuknya di dalamnya (dunia) bagi orang yang berkeinginan. Kemudian, Kami menjadikan Jahannam yang dia masuk ke dalamnya kepadanya dalam keadaan hina lagi tersingkir". [Surah al-Isrōʾ ayat 18].

Perkataan "al-ʿĀjilah" (الْعَاجِلَة) di sini adalah dunia sepertimana tafsiran al-Baġhowiyy dalam tafsirnya. Dunia dinamai dengan segera. Maka, sesiapa yang mengharapkan apa yang boleh didapatkan segera di dunia ini, maka dia akan dapat dengan segera sesuai dengan nama dunia.

Sebegitulah keluasan sifat ar-Roḥmān dan ašh-Šhakūr bagi-Nya. Ini bermakna setiap insan sama ada yang Muslim dan kafir yang hidup di dunia ini akan merasai kenikmatan kepemurahan-Nya dan terima kasih daripada-Nya meskipun berbeza dari segi kadar keberkatan dan nilai pemberian-Nya.

Pun begitu, untuk hari akhirat, yang kafir atau yang bukan Muslim, lebih-lebih lagi yang sudah tertegak risalah dakwah rasul-Nya tidak berhak mendapat bahagian kejayaan di akhirat meskipun di dunia sudah bertungkus-lumus jauh lebih dari apa yang Muslim dapat melakukannya.

Kaedah menyebutkan :

لَنْ يَنَالَ أَحَدٌ أَجْرَ مَنْ لَا يَخْدُمِهُ

"Seseorang tidak akan mendapat ganjaran orang yang dia tidak berkhidmat kepadanya".

Analogi sangat mudah. Jika seseorang tidak bekerja di bawah suatu syarikat, dia tidak berhak mendapat gaji bulanan dari syarikat itu sekalipun dia telah menyumbang bakti yang tidak disaingi oleh mana-mana yang lain.

Dia tidak berhak berkata kepada pihak pengurusan syarikat: "Saya sudah berbuat baik di luar syarikat ini dan orang sekelliling tidak menafikan sumbangan yang telah saya laksanakan lebih dari apa pekerja syarikat mampu kamu tawarkan. Tidak bolehkah memberi saya gaji sepertimana pekerja di syarikat kamu?". Tentu sekali ini adalah kebodohan.

Sama juga anak yang berkata pihak kepada ibunya agar syarikat menimbangkan pemberian gaji kepada ibunya sepertimana pekerja syarikat kerana ibunya menabur bakti kepada masyarakat di sekitar syarikatnya.

Syarikat mungkin boleh mempertimbangkan untuk memberikan anugerah yang berupa penghargaan, wang sumbangan dan lain-lain. Akan tetapi, untuk mendapat hak ganjaran yang sama sepertimana pekerja, sudah tentu ia tidak mungkin.

Kenyataan ini agak pahit, lebih-lebih lagi jika ia berkaitan dengan keselamatan dan kejayaan di hari akhirat. Akan tetapi, analogi mudah ini sebenarnya memaparkan hakikat yang tidak boleh dinafikan lagi.

Walau apapun, kita sebagai Muslim yang berprinsip sebegini bukan bermakna kita terus berpendapat bahawa ibu bapa yang kafir atau non-Muslim yang banyak menyumbang kepada masyarakat akan masuk neraka jika mati dalam keadaan tidak beriman. Itu urusan Allah dan kita tidak ada pengetahuan tentangnya.

Kematian mereka disebut dengan seeloknya dan kita tidak bermudah-mudahan berkata: "Apa guna banyak menyumbang, tetapi kafir? Masuk juga neraka akhirnya". Lebih-lebih lagi orang itu adalah ibu ayah kita atau keluarga kita. Sekurang-kurangnya tahanlah lidah dari berkomentar sedemikian.

Cuma, prinsip umum kita adalah orang kafir berhak mendapat limpahan di dunia, tetapi di akhirat, mereka tidak mendapatkannya. Adapun untuk mengaplikasikannya kepada individu tertentu, itu bukan kerja kita.

Sememangnya menyedihkan bagi anak yang kasih kepada ibu bapanya tidak dapat mendoakan kebahagiaan hari akhirat untuk mereka berdua apabila mereka berdua meninggal dunia dalam keadaan kufur.

Pun begitu, seorang anak akhirnya perlu beringat juga tentang bagaimana kasihnya kepada Allah, rasul-Nya dan agama-Nya. Akhirnya, kesemua itu akan lebih patut didahulukan berbanding ibu bapa sendiri.

Di hari akhirat nanti, ibu, ayah, anak, keluarga dan kerabat tidak akan dapat memberi manfaat dan mudarat kepada orang lain. Semuanya akan berbalik pada masing-masing. Akhirnya, lebih baik kita kasihani diri sendiri dan jaga keselamatan agama sendiri jika ingin selamat di hari kebangkitan.

Kecuali kalau ada yang bodoh untuk berkata dia lebih rela masuk neraka asalkan ibu ayahnya masuk syurga.

Terpaling Harmoni : Nasib Umat Islam Di Negara Kita Dan Sikap Sebahagian Mereka Yang Terpaling Harmoni


Sekarang ini, ramai mula memandang sinis sikap terpaling harmoni dari orang sebelah sana ketika berlakunya suatu sekolah Kristian tidak membenarkan majlis pengkhataman al-Quran.
Saya dari dahulu lagi sudah bersuara dengan tegas tentang sikap sebahagian orang ini sibuk ingin memyenangkan jiwa orang kafir dan ingin menjalankan perhubungan harmoni sehingga gadai prinsip akidah dan prinsip agama, khususnya ketika perbincangan tentang ucapan selamat sempena perayaan agama lain.

Boleh baca di sini :

(a) https://www.facebook.com/marzuka.martilloiii.7/posts/pfbid02f7FbuRnoLz1ibqPTQFZAoodepHzQEEf9Tq2APKRnZdkNHPEJgqw5qD4hRJg9G1Evl

(b) https://www.facebook.com/marzuka.martilloiii.7/posts/pfbid02oY5PuLLvtVX3fJGbc9CCBkVJ65tyDWerC6unWoTD8bsvbprv21WXdzLxz4ksJhWMl

(d) https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1118756036159764&set=pb.100040761337193.-2207520000&type=3

Akhirnya, lihat sendiri bagaimana harmoni yang kita beri pada mereka dibalas dengan sikap terpaling harmoni dari mereka kepada kita.

Kita sendiri sudah menyampah dengan bongak harmoni yang dicanang-canangkan. Semuanya retorik dan dusta sahaja.

Saya juga sudah lama meluahkan rasa geram dengan sebahagian pembawa slogan rahmat sekalian alam dan geng maqashit yang banyaknya cuba memihak kepada orang kafir, mencari keredhaan mereka dan memberi mereka banyak ruang.

Rahmat sekalian alam ini akhirnya menjadikan umat Islam tidak mendapat rahmat apa-apapun. Lebih baik sahaja ditukar slogan kepada rahmat sekalian kafir sahaja.

Pembongak rahmat sekalian alam ini rela menjadi pak sanggup dan berhempas pulas mencari senyuman dari pihak kafir atas alasan dakwah, bersikap rahmat dan menampilkan toleransi keberagamaan. Malah, kalau tersinggung sang tanpa sengaja, sanggup tunduk dan minta maaf seolah-olah menjadi manusia paling bersalah di muka bumi.

Namun, dengan sesama Muslim, sanggup bergaduh, bermasam muka, bertekak dan tidak ada rasa bersalah dalam putus hubungan pun. Adakalanya, minta maaf pun tidak mahu. Hubungan persaudaraan di atas agama kebenaran lagi mulia sanggup digadai, dijual beli dan dirunding demi kepuasan kawannya yang kafir.

Satu lagi geng maqashit ini. Tidak habis-habis mempromosi orang kafir boleh menerima zakat, daging agihan korban, menjadi hakim syarie bagi umat Islam, bahkan menjadi pemimpin tertinggi dalam negara dan pelbagai lagi yang diberikan kepada kafir kerana atas alasan ada pandangan ulama mengenainya dan melihat kepada pertimbangan maqasid.

Apakah sudah tidak ada umat Islam di negara kita yang miskin sehingga zakat seolah-olah ada lebihan untuk agih kepada orang lain dan daging korban diberikan kepada orang yang tidak memuliakan hari raya yang agung yang mana dalam takbirnya mengekspresikan kebencian terhadap kekufuran?

Adakah sudah tidak umat Islam lagi yang boleh tolong sehingga perlu angkat juga orang kafir untuk selesaikan masalah umat Islam dan menguruskan hal ehwal Islam?

Kita sudah beri banyak muka kepada kafir demi keharmonian setiap penduduk di negara ini. Sekarang, inikah progres harmoni yang kita ingin capai? Di mana silapnya?

-----------------------

Semasa berbincang bersama Syahir Yuumei di server Discord perbincangan akidah dan politik, dia ada menyebut satu nama figura yang besar yang tidak asing lagi dalam dunia Islam yang membenarkan ucapan selamat sempena agama lain.

Namun, ia menjadi bahang apabila ucapan selamatnya sempena perayaan Krismas yang agak problematik pada akidah sehingga ramai yang sudah mula bersuara kebimbangan dan kritikan.

Saya tidak mahu sebut namanya di sini kerana dikhuatiri mengundang kekeruhan suasana. Akan tetapi, apa yang saya beritahu kepadanya dan kepada hadirin bahawa itulah kesannya apabila kita membenarkan ucapan selamat sempena agama lain.

Ramai yang menjustifikasikan bahawa ada pendapat ulama yang membenarkannya. Namun, kami sudah cakna dan kami lebih tahu apa impaknya jika membenarkannya.

Kalau lihat di negara sendiri tentang perangai orang terpaling harmoni pun masih tidak membuka jiwa dan mengetuk kesedaran hati, untuk apa akidah yang yang tersemat dalam jiwa? Sekadar kepercayaan sahaja?

Ada juga yang sampai sinis dan seakan-akan ingin bertekak dengan saya kerana saya berkeras dalam isu ucapan ini. Namun, mereka boleh lihat sendiri tentang slogan keharmonian yang mereka rasa pada hari ini yang dahulu itulah mereka yang ingin menagihnya bersama kafir.

-----------------------

Setiap sekolah sememangnya ada hak untuk membatalkan program yang melibatkan keagamaan lain. Akan tetapi, isunya bukan semata-mata pembatalan majlis khatam al-Quran.

Umat Islam di Malaysia, khususnya pekerja Muslim dikerah untuk mendekorasi premis dan kedai sempena perayaan agama lain, malah diheret untuk hadir ke upacara perayaan agama lain dan para pekerja tidak ada hak untuk menolaknya.

Ada juga pekerja yang bekerja di bawah syarikat Muslim, khususnya yang ada kaitan dengan minuman dan makanan disuruh untuk mengangkat bekas arak dan memindahkannya. Malah, lelaki Muslim juga tidak dibenarkan solat Jumaat, khususnya yang bekerja di mall.

Negara harmoni apa ini kalau pekerja diabaikan haknya untuk tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan agamanya? Umat Islam sudah terlalu bagi kompromi untuk kesenangan hidup orang kafir, bahkan banyak hak mereka dicabul supaya tidak kehilangan sesuap nasi untuk perut mengisinya.

Malang sekali negara yang dibanggakan sebagai negara umat Islam, agama rasminya adalah Islam dan pemimpin agungnya adalah Muslim, tetapi pekerja Muslim seakan-akan hidup di bawah ketuanan kafir.

Sudah 60 tahun lebih kita merdeka, tetapi apa nasib umat Islam di tanah air sendiri sekarang? Pemimpin kita dahulu dan sekarang ini apa sebenarnya gerak kerja mereka untuk memartabatkan dan memperkasakan agama?

Jika merasakan saya berkeras dalam isu ucapan selamat sempena perayaan agama lain, anda tengoklah nasib umat Islam, khususnya pekerja kita dalam hal ehwal agamanya. Harmonikah itu?

Mencari harmoni untuk menyenangkan kafir dengan ucapan selamat, sedangkan pekerja umat Islam dipaksa dan dikerah untuk terbabit dengan perayaan agama lain walaupun sekadar dekorasi premis tanpa mereka boleh untuk menidakkannya.

Kenapa Dalam Sebulan Perlu Ada Komitmen Untuk Kelas Atau Pengajian Agama?


Saya rasalah kalau sampai perlu minta duit ibu ayah pun, lebih baik minta untuk membuat bayaran ikuti pengajian agama atau sertai kelas agama, rasanya ibu ayahnya lebih redha dan sanggup beri lebih berbanding untuk kospelir yang entah apa-apa dan tidak mungkin akan setia kepadanya meskipun ibu ayah pun bukan orang beragama sangat.

Malah, ibu ayah akan rasa bersalah kalau tidak berusaha apa-apa untuk membantu anaknya untuk kebaikan agama. Ibu ayah akan lebih kasihan untuk bantu dalam aspek agama jika ingin dibandingkan dengan hobi atau minat peribadi.

Tambah lagi kalau yang jenis entah apa-apa. Itu kalau minta kepada ibu ayah, memang diherdik oleh merekae berdua.

Mungkin ini kedengaran klise, tetapi poin yang saya ingin sampaikan adalah adakalanya, kesedaran beragama seseorang ini sekurang-kurangnya membantu diri untuk mengawal diri dari terjebak dengan sia-sia, tidak berfaedah dan tidak bermanfaat sama ada dari segi peruntukan masa atau kewangan.

Apabila kita ada komitmen sukarela kewangan dan masa pada sesuatu, minat kita akan terarah kepada itu. Sebab itulah kalau komitmen sukarela kewangan dan masa seseorang itu terarah kepada anime dan kosplayer, itulah yang akan membawa diri kita dalam perbelanjaan wang dan peruntukan masa.

Sekurang-kurangnya apabila kita ada komitmen kewangan dan masa untuk kelas agama sebagai contoh, apabila suatu masa bertembung antara peruntukan masa dan wang untuk agama atau hiburan lain, kita akan mula ada pertimbangan untuk mana satu yang lebih berbaloi untuk dibelanjakan dan diberikan masa.

Kalau dahulu, kita tidak peduli pun untuk habiskan wang dan masa untuk hiburan yang kita minat. Sekarang, apabila ada komitmen untuk kelas agama, sekurang-kurangnya kalau Allah tidak melimpahkan kefahaman, Allah akan mengurniakan keberkatan yang sekurang-kurangnya kita mula bertimbang untuk memikirkan ke mana masa dan duit untuk digunakan. Usah pandang rendah dengan ini.

Pesan kepada kita semua adalah cuba kalau boleh, sekurang-kurangnya dalam sebulan itu ada komitmen masa dan wang untuk kelas agama atau pengajiannya walaupun satu kelas. Rata-rata yuran untuk kelas atau program keagamaan ini sangat murah jika ingin dibandingkan yuran selain bidang agama.

Kalau sebelum ini, kita ada bulatan kawan yang terlalu wibu, gamer dan yang terlalu dalam dengan hiburan, cubalah cari sekurang-kurangnya seorang ustaz atau agamawan untuk didampingi dan rapat. Kalau kita sendiri tidak mahu menyedarkan diri sendiri, siapa lagi yang boleh?

------------------------------

Setakat ini, kalau untuk yang percuma yang ada hampir-hampir sama minat, boleh sertai sesi perbincangan akidah setiap Sabtu jam 10 pm di server Discord di sini : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Server ini memang ditubuhkan khas untuk mengumpulkan rakan-rakan dari kalangan wibu, gamer dan lain-lain untuk sama-sama mencari dan membina bulatan rakan dalam minat ke arah agama.

Tinggal lagi untuk komitmen untuk hadir dan sama-sama beri idea yang bernas untuk disumbangkan atau tumpahkan pertanyaan yang berbaloi untuk menerima.

Saya ada cerita beberapa sedikit yang berkenaan dengan server Discord di sini : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=1116336199735081&set=pb.100040761337193.-2207520000&type=3

------------------------------

Jika ingin berbayar dan membina pemantapan, saya menawarkan kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab di bawah bimbingan saya sendiri sehingga peserta dapat membaca teks Arab yang tidak berbaris secara independen.

Terbuka untuk yang kosong atau yang pernah ada latar belakang pembelajran bahasa Arab. Terbuka untuk yang tiada latar belakang pengajian agama ataupun yang ada.

Maklumat lanjut boleh didapati di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Kelebihannya adalah jika peserta yang komitmen menghadiri Discord akan mendapat ijazah sanad kitab, peserta kelas bahasa Arab pun akan mendapat juga, tetapi ijazah sanad kitab yang program luar atau orang lain tidak akan mudah untuk mendapatkannya.

Dengan kata lain, ia adalah ijazah sanad yang istimewa untuk peserta kelas saya dan tidak diberikan sembarangan kepada orang luar

Friday, 5 January 2024

Sikap Suka Meminta-Minta Dalam Pembinaan Tahfiz Dan Institusi Agama


Celoteh 20 sen pada hari Jumaat dan rasa ingin menjadikannya sebagai khutbah Jumaat pada hari ini.
Semalam dapat panggilan dari suatu organisasi alam sekitar untuk minta sumbangan yang dahulu saya pernah beri sumbangan dan pihaknya menghubungi saya untuk buat sumbangan sekali lagi.

Saya memang sudah bertekad yang saya tidak akan lagi menyumbang mana-mana organisasi kecuali kepada guru saya atau institusi yang saya belajar sekarang ini biarpun saya tidak pernah hadir ke kelasnya kerana mereka ini lebih berbaloi untuk dibantu.

Sebab sebagai pengajar yang bergerak sendiri, sememangnya saya faham bahawa susah untuk menampung kehidupan sendiri yang entah bagaimana pasang surutnya. Itu sebab saya lebih rela menyalurkan wang kepada insan yang sama-sama saya rasai bersama kesusahan mereka seperti guru-guru saya.

Cuma, setelah panggilan dari organisasi itu dibuat, habis keluar bermacam iklan tentang tahfiz yang memohon sumbangan di Facebook.

Memang sudah banyak kali yang kalau sembang tentang sesuatu yang berdekatan dengan laptop atau telefon, Facebook ini suka mencuri dengar maklumat penggunanya dan beberapa jam kemudian, akan keluar iklan yang dia berhasil curi dengar tadi.

Walau apapun, isu mengemis untuk pembangunan tahfiz dan penyeliaannya pun satu lagi yang agak menggeramkan saya.

Yang pertama, dari mana agaknya dapat duit itu untuk menyiarkan iklan di Facebook? Kalau dari sumbangan, ada akad atau tidak untuk menyatakan secara telus bahawa sebahagian sumbangan akan diambil untuk urusan pengurusan? Kalau tiada, ini sememangnya memakan harta yang batil. Tidak berkat tahfiz yang dibangunkan dan iklan yang disiarkan.

Yang kedua, mudah sungguh ingin bina institusi keagamaan. Cukup menagih derma dari orang ramai terus berbondong-bondong orang pindahkan duit ke akaun bank.

Tidak perlu keluar modal pun untuk pembangunan. Entah-entah kos-kos utiliti bulanan atau tahunan, kos pengurusan dan kos penyeliaan semuanya ditanggung oleh derma.

Anda marah pengemis di tepi jalan dan gelandangan yang tidak usaha untuk mencari kerja dalam menampung kehidupan. Sekarang, anda menjustifikasikan mengemis atas tujuan untuk gerak kerja agama dan institusi agama?

Tukarlah nama kepada infak, sumbangan, derma, sedekah dan pelbagai lagi yang cantik belaka. Ia tidak menukar hakikat yang anda mengemis.

Saya yang bergerak sendiri adakalanya rasa iri hati tengok mereka ini sangat mudah membangunkan prasarana dan meneruskan organisasi mereka dengan menagih derma dari orang ramai.

Rasa kehimpitan sahaja terus siar iklan untuk menghebahkan bantuan sedekah dan dijamin mereka akan dapat dengan berbondong-bondong. 10 tahun buat yang sama pun kalau masyarakat masih tolol, 10 tahun jualah mereka akan korek duit orang ramai dengan mengemis atas nama agama!

Sedangkan, saya ingin menyediakan keperluan pengajaran, buku untuk saya ulangkaji dan belajar dalam meningkatkan kemahiran diri dan pelbagai lagi semuanya perlu keluar belanja sendiri. Adakalanya, perlu buat pilihan sukar sama untuk dapat makan sehari atau beli buku yang sangat penting lagi terhad di pasaran dan bila-bila masa akan habis!

Saya sendiri kalau meminta pun untuk tampung kehidupan saya walau 10 tahun minta tanpa henti pun belum tentu dapat walau sesen kerana saya bukan sesiapa di mata orang dan tidak ada membangunkan infrastruktur yang dapat mengagumkan penderma.

Cuma, apabila memikirkan tentang maruah, rasanya semua maklum bahawa usaha sendiri dan bersusah payah dengannya adalah suatu yang mulia. Sama-sama kita berharap kepada Allah agar sentiasa istiqamah di jalan ini, cekal dalam menghadapi dugaannya, dilimpahi kurnia-Nya atas sebab bertekad di jalan ini dan membawa kita ke penghujung yang terhormat di dunia dan di akhirat.

Namun, sekarang meminta-minta dimuliakan kerana ingin membangunkan institusi keagamaan atas dasar pahala sedekah jariah!

Hakikatnya itu adalah jalan mudah untuk capai sesuatu tanpa keluar modal dan belanja sendiri pun. Cukup pandai buat iklan untuk merayu dan meraih simpati, tunggu masa sahaja duit masuk berkepuk dalam bank. Hidup tidak perlu fikir susah kerana duit orang lain terus masuk.

Aktres porno OnlyFans rasanya lagi bermaruah dari pihak ini kerana mereka usaha sendiri juga untuk jual badan dan mengorbanan kesopanan diri demi konten. Jika tidak dapat sambutan, mereka juga akan rasai kesusahannya. Tidak ada jalan mudah dalam tidak mahu tanggung risiko untuk walaupun cara mereka adalah keji dalam memperoleh pendapatan.

Namun, pengemis di tepi jalan dan pengemis pembangunan tahfiz ini apa bezanya? Rasanya sampai bila ingin terus mengemis dan harapkan bantuan derma orang ramai? 10 tahun? 20 tahun?

Saya tahu celoteh ini akan ada yang benci, lebih-lebih lagi dari peminta derma, pihak yang terbabit dengannya dan sudah lama menyumbang. Tetapi, cubalah fikir. Adakah bermaruah untuk sesuatu itu hidup hanya dengan mengharapkan sumbangan luar tanpa usaha sendiri?

Kenapa Non-Muslim Lebih Cepat Dan Lebih Banyak Mendapat Kesenangan Dunia Berbanding Muslim


Dalam perbincangan di server Discord, sembang akidah dan politik, Gardenia Jasmine ada membangkitkan satu persoalan yang menarik tentang jika non-Muslim dan Muslim diberikan kesenangan yang sama di dunia, kenapa non-Muslim akan lebih cepat maju dalam hal ehwal kesenangan berbanding Muslim?
Boleh sertai sesi perbincangan di Disord di sini pada setiap Sabtu jam 10 pm : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Antara jawapan yang diutarakan adalah dengan firman Allah berikut :

مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا

"Sesiapa yang menginginkan kesegeraan, nescaya Kami akan menyegarakan apa yang Kami kehendaki untuknya di dalamnya (dunia) bagi orang yang berkeinginan. Kemudian, Kami menjadikan Jahannam yang dia masuk ke dalamnya kepadanya dalam keadaan hina lagi tersingkir". [Surah al-Isrōʾ ayat 18].

Perkataan "al-ʿĀjilah" (الْعَاجِلَة) di sini adalah dunia sepertimana tafsiran al-Baġhowiyy dalam tafsirnya. Dunia dinamai dengan segera. Maka, sesiapa yang mengharapkan apa yang boleh didapatkan segera di dunia ini, maka dia akan dapat dengan segera sesuai dengan nama dunia.

Inilah salah satu jawapan kenapa non-Muslim jika diberikan bahagian kesenangan kepada mereka, mereka akan mendapat lebih cepat dan lebih banyak daripada Muslim kerana Muslim tidak menjadikan dunia ini sebagai matlamat akhir dan segala-galanya.

Muslim akan diuji dengan kelambatan atau kekurangan dari sudut kenikmatan dunia kerana mereka bukan mengharapkan nikmat yang berderas turun dalam kadar segera.

Betul. Non-Muslim antara yang mendapat hak bahagian rahmat di dunia kerana sifat "ar-Roḥmān" (الرَّحْمَن) adalah memberi rahmat yang merangkumi dunia dan akhirat sama ada ada yang Muslim atau selainnya.

Adapun untuk keselamatan dan rahmat di hari akhirat, non-Muslim tidak berhak untuk mendapatkannya.

-------------------------

Walaupun dunia bukan matlamat orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tetapi jangan lupa bahagian di dunia. Kita sendiri pun tidak akan dapat memetik buah di hari akhirat jika kita tidak membuat perusahaan pertanian ketika di dunia. Hasil yang kita tuai di hari akhirat adalah apa yang kita tanam dan jaga di dunia.

Hasil yang kita akan dapat di dunia mungkin akan diuji dengan ketinggalan atau tidak semegah orang non-Muslim. Akan tetapi, bukan bermakna kita biarkan diri sahaja menjadi umat yang merempat, kalah dalam persaingan, mengalah dalam perjuangan dan hanya berharap dengan pengeluaran dan dapatan non-Muslim.

Kita diutuskan supaya menjadi khalifah. Apakah selayaknya khalifah adalah seorang yang diatasi oleh seseorang yang lain, digagahi oleh lawannya dan diperhambakan dengan kehinaan? Sudah tentu ini tidak selayaknya bagi seseorang yang ditugaskan sebagai khalifah di muka bumi.

Tuesday, 2 January 2024

Tidak Perlu Agama Untuk Menjadi Baik?


Beberapa malam lepas di server Discord "Sembang Akidah Dan Politik", ada perbincangan tentang mengapa manusia memerlukan akidah.
Boleh sertai sesi perbincangan akidah tergempar pada setiap Sabtu jam 10 pm di sini : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Antara isu yang berbangkit adalah kata-kata orang: "Tidak perlu agama jika ingin insan yang menjadi baik".

Kata-kata ini jika ditinjau sepintas lalu, memang mengujakan dan memukau. Akan tetapi, apabila kita melontarkan dua persoalan yang berupa kemusykilan, kita akan nampak betapa rapuhnya kata-kata sebegini.

Kita melihat kepada empat poin yang teras untuk membuktikan kerapuhan kata-kata ini yang bersalut dengan manis.

Poin pertama adalah kita melontarkan soalan: "Kenapa engkau buat baik dan atas dasar apa engkau berbuat baik sesama manusia, haiwan dan alam?".

Jawapan orang yang beragama sangat mudah. Mereka akan berkata: "Ini kerana tuhan yang menyuruhnya".

Cuba pula persoalan ini diajukan kepada yang berkata tidak perlu agama untuk menjadi seorang yang baik. Apa jawapan bagi kenapa ini?

Pasti akan menemukan kerumitan untuk menjawab soalan. Ini kerana dia akan tiga jawapan yang dia boleh beri dan kedua-duanya tetap tiada.

Mereka akan membawa penafsiran falsafah atau ahli falsafah. Tidak kiralah falsafah utilitarianisme atau apa sahaja yang ingin dibawakan, soalan kita adalah kenapa kita perlu ikut penafsiran falsafah ini dan ahli falsafah ini? Adakah ahli falsafah ini tuhan dan falsafah ini agama yang perlu kita tunduk dan ikut?

Poin kedua adalah mereka akan menjawab dengan berkata: "Kita perlu menjadi baik kerana itulah sepatutnya yang dilakukan oleh seorang manusia".

Jawapan ini pun enak untuk didengari kalau ia jadi kata-kata yang diungkapkan dalam filem yang bertemakan penegakan dan perjuangan keadilan.

Sekali lagi, jawapannya mudah untuk dirobohkan dengan jawapan balas yang sangat ringkas.

Penafsiran siapa tentang seorang manusia itu perlu menjadi atau tanggungjawab manusia perlu melakukannya? Mereka? Akhirnya, ia berbalik sama dengan kemusykilan yang ditimbulkan pada poin yang pertama.

Poin ketiga adalah mereka akan menjawab dengan berkata: "Saya berbuat baik kerana saya ingin menjadi baik".

Ini juga adalah jawapan yang berbasis sentimental yang memang menyentuh jiwa pendengar bagi sekilas lalu. Kalau masukkan kata-kata ini dalam babak anime, boleh jadi penyedap cerita.

Cuma, jika ditinjau secara objektif, ia juga terbina atas kerapuhan untuk dua sebab.

Pertama, jika seseorang tidak menjadi baik dan menjadi seorang yang jahat, siapa yang akan menghukuminya?

Jawapan orang yang beragama sangat mudah dengan berkata: "Tuhan akan menghukuminya pada hari akhirat".

Bagaimana pula bagi yang tidak beragama? Sekali lagi, ia sangat sukar untuk dijawab.

Lebih-lebih lagi jika ada pemimpin diktator yang hidup dengan menindas orang ramai, merampas banyak hak dan menikmati pelbagai kesenangan sehingga akhir hayat tanpa sempat dihukum di dunia. Siapa yang akan membalas kejahatan orang sebegini menurut orang yang berkata tidak perlu agama untuk menjadi baik?

Antara kemusykilan lagi adalah apa itu tulus dalam berbuat baik? Mungkin yang dapat diutarakan adalah tidak terlalu tamak mengharapkan balasan baik dan sentiasa berprinsip sekalipun tiada orang bersama di sekelilingnya.

Soalannya adalah sekali lagi ditanyakan dengan: "Siapa yang akan membalas jika seseorang tidak tulus melalui konsep ini?".

Kita ambil contoh kes senario untuk memahakan masalah ini. Boleh atau tidak kita melanggar lampu trafik merah di jalan kampung di tengah malam yang tiada orang sekelilingnya, termasuklah polis?

Atas dasar apa untuk mematuhi lampu trafik? Takut dengan polis? Atau seseorang ikut undang-undang kerana undang-undang sudah tetapkan sebegitu atau kerana seseorang itu ingin ikut undang-undang?

Babak dialog antara Munakata Reisi dan Mikoto Suoh dalam anime K-Project ini memang menarik untuk ditinjau tentang persoalan ini.

Kita lihat babak ketikamana Mikoto ditegur oleh Munakata kerana merokok di taman permainan kanak-kanak.

Munakata : "Ini adalah kawasan larangan merokok".

Mikoto : "Cuma kita sahaja yang berada di sini" (maksudnya tidak ada orang lain selain kita pun di sini).

Munakata : "Itu tidak penting. Ia adalah peraturan".

Mikoto : "Peraturan untuk siapa?".

Munakata : *Sedikit tersentak, tergamam dan terdiam sebentar*

Munakata : "Peraturan adalah peraturan. Kamu mesti patuh peraturan walaupun tiada siapa di sekeliling".

Mikoto : "Tidak ada sesiapa pun yang sempurna di dunia ini".

Munakata : "Apa yang kau cakap ni?".

Mikoto : "Peraturan yang dibuat oleh manusia akan terdedah kepada salah guna. Jadi, aku akan buat apa yang aku mahu".

Munakata : "Ya. Tiada siapa yang sempurna. Disebabkan manusia tidak sempurna itulah kita sebagai manusia menetapkan peraturan. Itulah bagaimana masyarakat terbentuk".

Dengan kata lain, Munakata pada babak ini ingin menjustifikasikan bahawa kita perlu ada moral dan bersikap baik kerana peraturan yang telah ditetapkan berkata sebegitu.

Apabila dipersoalkan, mengapa perlu ikut peraturan? Munakata tidak dapat menjawab. Apa yang dia dapat mengatakan bahawa adalah peraturan adalah peraturan! Seolah-olah jawapan kepada pertanyaan: "Mengapa wang kertas kita perlu ditambat dengan gandum?" adalah: "Kerana gandum adalah gandum!".

Oleh itu, dapatlah kita melihat kelompongan bahawa bersikap baik hanya kerana undang-undang atau peraturan yang berkata sebegitu. Cuba fikirkan sebentar, mengapa Munakata terdiam sebentar apabila ditanya: "Peraturan untuk siapa?".

Kedua, jika mereka menjadi baik kerana mereka ingin menjadi baik, lantas, kenapa keinginan mereka perlu diobligasi oleh orang lain? Kenapa mesti kami ikut keinginan mereka? Siapa mereka? Tuhan kami?

Atau mereka berkata bahawa itu adalah pilihan mereka dan jawapan menurut sudut pandang mereka yang terserah orang lain untuk menerimanya atau menolaknya.

Kalau begitu, kata-kata mereka sebenarnya tidak ada kebenaran yang universal. Maksudnya, semua orang bebas untuk berpendapat dan berbuat apa sahaja yang bukan tujuan baik tanpa terikat dengan sesiapa pun.

Poin keempat adalah mereka akan berkata: "Kita berbuat baik kerana jika kita benci orang lain buat jahat kepada kita, maka kita pun jangan buat jahat kepada orang lain.

Kemusykilannya adalah jika moral tidak diikat dengan kehendak manusia yang lain, siapa yang peduli apa perasaan orang lain? Inilah yang akan diktator yang paling berkuasa di muka bumi akan menjawabnya.

Mereka tidak peduli pun kalau ada orang cuba menyakitinya atau menghalanginya atau cuba berbuat jahat kepadanya kerana mereka akan dibinaskan, dihapuskan dan dipenggal. Mereka tidak peduli pun jika dapat meragut seramai mana pun manusia asalkan dia dapat apa yang dia buat.

Akhirnya, mereka ini mati dengan peninggalan dan kisah hidup yang menyenangkan perbut mereka tanpa hak bela orang yang terkorban dan dirampas dapat dituntut. Siapa yang akan membalas mereka ini jika agama tidak diperlukan untuk seseorang berbuat baik?

---------------------------------------------------

Atas sebab itulah besarnya firman Allah ʿAzza Wa Jalla :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku". [Surah aḏz-Ḏzāriyāt ayat 56].

Beribadah tidak hanya terjadi melainkan ketundukan yang mengakui kehinaan pada diri.

Umat Islam mengakui bahawa kita tidak mampu membina nilai dan prinsip moral, di samping mengobligasikan kepada orang lain dan menghukumi orang yang menyalahi moral melainkan semuanya diserahkan kepada Allah.

Jika ditanya: "Kenapa kamu buat baik?". Jawapan umat Islam adalah kerana Allah yang suruh.

Jika ditanya: "Siapa yang akan membalas orang yang tidak membuat baik?". Jawapan umat Islam adalah Allah yang membalasnya.

Akhirnya, kita semua tidak dapat berbuat apa-apa dalam isu moral ini melainkan menyerahkan segala-galanya kepada Allah, tunduk dengan segala junjungan dan hina kerana tidak dapat menampilkan sesuatu yang lebih baik dari apa yang ada pada-Nya.

Cuba lihat sepertimana kupasan tentang moral di atas dan amatilah betapa berkecamuknya apabila hidup tidak ingin beribadah kepada-Nya.

Maka, menjadi hamba-Nya bukanlah suatu kehinaan, tetapi suatu kemuliaan dan kesejahteraan untuk minda kita dan kehidupan kita.

---------------------------------------------------

Akan timbul pula kemusykilan pula kepada orang yang beragama bahawa jika falsafah dan manusia pun banyak penafsiran tentang moral, agama pun banyak ajarannya dan prinsipnya. Tidakkah sama sahaja kesnya seperti falsafah?

Jawapan mudahnya adalah seseorang hidup yang lebih teratur, sistematik dan kemas apabila ia berteraskan sesuatu yang masuk akal untuknya.

Kita ambil contoh yang mudah. Masuk akalkah kita akan melaburkan duit ke organisasi yang disenarai hitam, ada rekod buruk, prestasi yang tidak baik, banyak skandal dan berlompong sana sini, lalu diharapkan pulangan yang baik daripadanya?

Sudah tentu tidak. Dalam ventur pencarian agama pun sedemikian. Mana-mana agama yang hanya mematikan fungsi akal dan hanya menambahkan kegoncangan pada prinsip mendasar pada setiapkali ia didalami, itu bukan agama sejati yang wajar diikut.

Dalam kehidupan dunia pun kita tidak akan buat sebegini walaupun sekecil-kecil perkara. Apalagi perkara yang mengimplikasikan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ia sememangnya tidak mudah. Pelaburan wang untuk keuntungan jangka masa panjang pun bukan ambil masa sehari untuk dibuat keputusan. Tentu sahaja keputusan yang mengubah seluruh hidup kita akan mengambil masa yang lebih panjang untuk dicari dan dipertimbangkan.

Friday, 8 December 2023

Tidak Boleh Mentafsirkan Al-Quran Dengan Sains?


"Tidak boleh mentafsirkan al-Quran dengan sains kerana sains sentiasa terdapat perubahan".
Selalu sangat kita kedengaran jerkah ini apabila seseorang mengemukakan penjelasan sains dalam menyingkapi kandungan suatu ayat al-Quran dan mengaitkannya dengan penemuan sains, faktanya dan dapatannya.

Penafsiran sebegini seringkali dikecam secara rambang dan seringkali ia dilabel dengan gelaran Bucailleism secara negatif walaupun ia ada perkaitan yang tepat antara ayat al-Quran dengan penemuan sains yang telah sabit tanpa ragu lagi.

Betul. Tiada siapa nafi bahawa sains ada perubahan yang selaras dengan perkembangan semasa dari penemuan terbaru semasa. Ambil contoh Hukum Newton yang tidak boleh dipakai ketika menjengah ke dunia kuantum ynag mana selama ini ia dianggap mutlak kebenarannya.

Akan tetapi, ini perkara yang penting untuk diketahui apa fungsi menjadikan penjelasan sains sebagai salah satu metod dalam penafsiran.

a) Al-Istiʾnās (الاستئناس) - Sokongan Penarik.

Penghujahan dan penjelasan dengan sains adalah sekadar sokongan penarik sahaja. Bukan menjadi sumber yang putus dalam membuat ketetapan dalam syarak yang sama seperti hadis sahih, ijmak dan qiyas.

Sama sahaja prinsipnya dengan para mufassirin yang menjadikan hadis dhaif dan kisah israiliat sebagai penjelasan kepada ayat al-Quran. Tiada siapa yang kata sumber hadis dhaif dan kisah israiliat ini memberikan kekuatan yang putus dalam penjelasan ayat al-Quran.

Akan tetapi, dalam isu sokongan penarik ini, sememangnya ramai ulama memberikan kelonggaran dan bermudah-mudahan kerana ia bukan sahaja berfungsi sebagai penyedap tambahan sahaja seperti hadis dhaif dan kisah israiliat yang memperincikan kisah atau konteks, tetapi juga sebagai penguat keyakinan bagi para pembaca.

Tidakkah Allah berfirman? :

فَإِن كُنتَ فِي شَكٍّ مِّمَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكَ

"Jika engkau dalam syarak terhadap apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyalah orang yang membaca kitab dari kalangan sebelum kamu". [Surah Yūnus ayat 94].

Kalaulah apa yang ada pada ahli kitab dapat menjadi penghilang kepada syak, apakah kita tidak boleh merujuk dapatan sains untuk menghilangkan syak yang ada? Sedangkan, jika ditimbang dari dasar faedah kekuatan ilmu, dapatan sains jauh lebih meyakinkan daripada bicara ahli kitab.

Cuma, jika didapati dapatan sains yang terbaru membatalkan apa yang selama ini menjadi pegangan, maka kita tetap berkeyakinan bahawa al-Quran tidaklah salah dan dapatan baru tidak boleh dijadikan pertentangan antaranya dengan dapatan yang terkini. Inilah beza objektif sokongan penarik dan sumber penghujahan.

Sama juga seperti apabila didapati ada hadis sahih yang menyelisihi hadis dhaif. Sememangnya hadis dhaif diketepikan dan ia tidak dapat menjadi sebab untuk mewujudkan pertentangan al-Quran dan hadis dhaif.

b) Al-Ilzam (الالزام) - Pembenaman

Perkara yang paling penting dalam membuktikan kebenaran adalah mengilzamkan (pembenaman) hujah pihak lawan. Untuk membenamkannya, kita perlu pandai menggunakan perkara yang menjadi musallamat (postulat) kepada pihak lawan.

Tidak penting kalau kita tidak menerima musallamat mereka, premis mereka atau prinsip pegangan mereka asalkan tercapai maksud kita dalam pembenaman.

Apa musallamat yang ada pihak lawan? Sains! Mengapa tidak kita menjadikannya sebagai musallamat dalam menegakkan kebenaran dari pihak kita dan mengalahkan apa yang ada dari pihak musuh?

Samalah juga kita menggunakan Bible dalam menumbangkan pegangan Kristian, padahal kita bukannya percaya dan terima apa yang ada dalam kandungan Injil yang ada pada hari ini. Akan tetapi, kita sekadar menjadikannya sebagai bahan untuk membenamkan pihak lain sahaja.

Akhir bicara adalah semestinya tanggungjawab kita untuk memastikan ayat al-Quran terpelihara dari penafsiran yang bias dan salah walaupun tujuannya adalah untuk menambahkan faedah keaykainan dan kekuatan penghujahan.

Saya pernah terjumpa beberapa penafsiran yang mengaitkan dengan sejarah dan sains yang tidak bertepatan dengan bahasa. Antaranya adalah boleh didapati di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/11/menjawab-tuduhan-bahawa-al-quran-salah.html

Friday, 15 September 2023

Buat Pelajar Yang Rasa Terlambat Belajar Dan Menghadapi Masalah Pembelajaran

Mungkin ada orang merasakan bahawa dirinya sudah terlalu lewat untuk mempelajari bahasa Arab atau apa jua ilmu agama jika dibandingkan dengan beberapa kawannya yang lain yang sebaya yang sudah pun dilihat cemerlang dan menyerlah dalam bahasa Arabnya dan kepandaiannya dalam ilmu agama.

Mungkin juga ada yang merasakan diri ini terlalu bermasalah dalam pembelajaran di sekolah, universiti atau bidang pekerjaannya sehingga dia juga mengandaikan bahawa dia juga akan hadapi masalah yang sama dalam agama. Dia mungkin berhadapan dengan kapasiti memori yang tidak kuat atau pemprosesan akal yang tidak ligat.

Akan tetapi, sebagai motivasi kepada para pelajar, termasuk diri saya sendiri, kita melihat dua memoir tentang ulama yang menjadi tonggak fuqaha utama bagi mazhab ašh-Šhāfiʿiyy.

Dua orang ini pun bukan bermula dengan cemerlang sepertimana para ulama yang lain dan mereka juga berhadapan dengan masalah apa yang sebahagian pelajar berkeluh kesah padanya. Akan tetapi, apa yang membezakan mereka berdua dan pelajar lain sehingga kedua-dua ini naik ke martabat yang agung?

Mari kita amati kisah mereka berdua.

Tokoh Pertama : Al-Qoffāl[1] aṣ-Ṣoġhīr : Lambat mula belajar agama dan menghadapi masalah hafalan, tetapi akhirnya menjadi tonggak utama bagi fuqaha ašh-Šhāfiʿiyyah kerana konsisten dan komitmen.

Abū Bakr ʿAbdul Roḥmān bin Aḥmad ʿAbdullah al-Marwaziyy atau dikenali dengan al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr adalah nama yang tidak asing bagi pelajar, apalagi ilmuwan daripada mazhab ašh-Šhāfiʿiyy.

Beliau disifatkan oleh Yāqūt al-Ḥamawiyy dalam Muʿjam al-Buldān sebagai salah seorang tonggak fuqaha ašh-Šhāfiʿiyyah. Seakan-akan zaman mazhab ašh-Šhāfiʿiyy tidak boleh lepas ke zaman lain melainkan perlu melalui transit daripada beliau.

Akan tetapi, pada masa dahulunya, beliau bukan seorang yang berminat dengan ilmu agama semenjak kecil sepertimana ilmuwan yang lain dan beliau juga bukanlah sama kapasiti memorinya seperti para ulama yang lain yang bermula pembelajarannya dengan gilang-gemilang pada hafalannya.

Yāqūt al-Ḥamawiyy menyebutkan memoirnya :

أن القفّال الشاشي صنع قفلا ومفتاحا وزنه دانق واحد فأعجب الناس به جدّا وسار ذكره وبلغ خبره إلى القفّال هذا فصنع قفلا مع مفتاحه وزنه طسّوج وأراه الناس فاستحسنوه ولم يشع له ذكر فقال يوما لبعض من يأنس إليه: ألا ترى كلّ شيء يفتقر إلى الحظ؟ عمل الشاشي قفلا وزنه دانق وطنّت به البلاد، وعملت أنا قفلا بمقدار ربعه ما ذكرني أحد! فقال له: إنما الذكر بالعلم لا بالأقفال، فرغب في العلم واشتغل به وقد بلغ من عمره أربعين سنة وجاء إلى شيخ من أهل مرو وعرّفه رغبته فيما رغب فيه فلقّنه أول كتاب المزني، وهو: هذا كتاب اختصرته، فرقي إلى سطحه وكرّر عليه هذه الثلاثة ألفاظ من العشاء إلى أن طلع الفجر فحملته عينه فنام ثم انتبه وقد نسيها فضاق صدره وقال: أيش أقول للشيخ؟ وخرج من بيته فقالت له امرأة من جيرانه: يا أبا بكر لقد أسهرتنا البارحة في قولك هذا كتاب اختصرته، فتلقنها منها وعاد إلى شيخه وأخبره بما كان منه، فقال له: لا يصدّنّك هذا عن الاشتغال فإنك إذا لازمت الحفظ والاشتغال صار لك عادة، فجدّ ولازم الاشتغال حتى كان منه ما كان فعاش ثمانين سنة أربعين جاهلا وأربعين عالما

Bahawasanya al-Qoffāl ašh-Šhāšhiyy[2] membikin kunci dan mangga yang timbangannya adalah seketul dānaq[3]. Orang ramai begitu kagum dengannya dan menyebar penyebutannya.

Khabarnya itu sampai kepada al-Qoffāl yang ini[3], lalu dia pun membikin mangga bersama kuncinya yang timbangannya adalah satu ṭossūj[4]. Dia memperlihatkannya kepada orang ramai. Orang ramai memandang bagus padanya, tetapi tidak tersiar penyebutan tentangnya.

Dia berkata kepada orang yang menyenanginya pada suatu hari: "Adakah kalian tidak melihat bahawa setiap sesuatu memerlukan habuan? Ašh-Šhāšhiyy membuat mangga yang timbangannya adalah sedānaq, tetapi bergema seluruh negara dengannya. Aku pula membuat mangga dengan kadar seperempat daripadanya, tetapi tiada siapa pun mengingatinya!". Orang itu berkata kepadanya: "Sebenarnya ingatan itu adalah dengan sebab ilmu, bukan sebab mangganya".

Lantas, dia pun berminat dengan ilmu dan komitmen dengannya. Dia telah pun sampai ke usia 40 tahun. Dia datang kepada seorang syeikh daripada penduduk Merv dan dia memperkenalkannya kepadanya minatnya pada apa yang dia berminat padanya. Lalu, syeikh itu mengajarinya kitab al-Muzaniyy dan ia adalah :

هَذَا كِتَابٌ اخْتَصَرْتُهُ

"Ini adalah kitab yang aku meringkaskannya"

Dia pun naik ke bumbung rumahnya dan mengulangi tiga lafaz ini dari waktu Isyak hingga ke Subuh. Lalu, matanya mula mengantuk dan dia pun tertidur.

Kemudian, dia tersedar dan dia telah terlupa akannya. Dadanya menjadi sesak dan dia berkata: "Apa yang aku ingin berkata kepada syeikh?".

Dia pun keluar dari rumahnya, lalu seorang wanita dari jirannya berkata kepadanya: "Wahai Abū Bakr! Engkau mengganggu tidur kami pada kata-kata kamu: "Ini adalah kitab yang aku meringkaskannya"". Dia pun teringat padanya.

Dia kembali kepada syeikhnya dan dia pun memberitahunya tentang apa yang jadi daripadanya. Syeikh itu berkata: "Janganlah sama sekali sampai ini menghalangimu daripada komitmen. Sesungguhnya engkau apabila engkau lazimi hafalan dan komitmen, ia menjadi biasa untukmu".

Lalu, dia pun bersungguh-sungguh dan melazimi komitmen sehingga menjadi apa yang dia menjadi daripadanya. Dia hidup 80 tahun yang 40 tahun dalam keadaan jahil dan 40 tahun dalam keadaan berilmu. [Muʿjam al-Buldān].

Tokoh Kedua : Ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy : Pelajar Yang Lambat Faham, Tetapi Menjadi Murid Yang Paling Kanan Kepada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy Dan Orang Yang Penting Dalam Periwayatannya Daripada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy

Tanpa ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy, hampir kesemua kitab yang penting daripada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy seperti al-Umm dan ar-Risālah pasti tidak akan sampai ke tangan kita pada hari ini. Jika kita membaca karya al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy, pasti naskhah akan tertulis: "Ar-Robīʿ Bin Sulaymān berkata". Beliaulah orang yang paling banyak meriwayatkan karya daripadanya.

Namun, sebagai pengetahuan, ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy adalah antara orang yang lambat faham.

Al-Imām Tājuddīn as-Subkiyy menukilkan daripada al-Qoffāl dalam Fatāwā miliknya :

كَانَ الرّبيع بطئ الْفَهم فكرر الشافعى عَلَيْهِ مَسْأَلَة وَاحِدَة أَرْبَعِينَ مرّة فَلم يفهم وَقَامَ من الْمجْلس حَيَاء فَدَعَاهُ الشافعى فى خلْوَة وَكرر عَلَيْهِ حَتَّى فهم

Ar-Robīʿ dahulu lambat faham. Lalu, al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy mengulangi permasalahan yang sama sehingga 40 kali. Namun, dia masih tidak faham. Dia pun bangun dalam keadaan malu. Lantas, al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy memanggilnya untuk sesi persendirian dan dia mengulanginya sampai faham. [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō].

Cuba bayangkan kalau seseorang mengulangi perkara yang sama sehingga 40 kali, tetapi masih tidak faham. Secara normalnya, kita sebagai guru pun akan sakit kepala dengan pelajar ini dan murid yang lain pun akan memandang betapa bengongnya pelajar ini.

Akan tetapi, berkat kesabaran al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy melayaninya dan berbakti dengan muridnya yang bersungguh-sungguh untuk belajar dengannya, ar-Robīʿ menjadi murid kesayangannya, paling setia kepadanya dan murid paling penting baginya.

Al-Imām Tājuddīn as-Subkiyy berkata :

وَكَانَ يقْرَأ بالألحان وَكَانَ الشافعى يُحِبهُ وَقَالَ لَهُ يَوْمًا مَا أحبك إِلَى وَقَالَ مَا خدمنى أحد قطّ مَا خدمنى الرّبيع بن سُلَيْمَان. وَقَالَ لَهُ يَوْمًا يَا ربيع لَو أمكننى أَن أطعمك الْعلم لأطعمتك

Dahulu dia selalu membaca dengan lahn[6]. Dahulu ašh-Šhāfiʿiyy mencintainya. Dia berkata kepadanya pada suatu hari: "Betapa aku mencintai engkau". Dia berkata: "Tidak ada seseorang sama sekali pun yang berkhidmat kepadaku dengan apa yang ar-Robīʿ bin Sulaymān berkhidmat kepadaku". Dia berkata: "Wahai Robīʿ! Kalaulah aku mampu untuk memberi kamu makan ilmu, pasti aku akan memberi kamu makan!". [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō].

Pengajaran

Terdapat beberapa pengajaran yang kita boleh ambil daripada ini sama ada kepada pengajar atau pelajar.

Pertama, bagi pelajar, tidak ada ubat untuk masalah kurang kekuatan hafalan dan tipis kemampuan akal melainkan dengan konsisten dan komitmen. Inilah yang membezakan al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr dan ar-Robīʿ bin Sulaymān al-Murōdiyy.

Bayangkan sebodoh-bodoh diri kita atau serendah-rendah orang dari sudut ilmu jika mengulang-ulangi tiga perkataan dari Isyak ke Subuh, pasti akan tersemat dalam ingatan secara padu dan jika diterangkan satu permasalahan yang sama sebanyak 10 kali pun, ia sudah cukup untuk memahamkan kita.

Cuba bayangkan kalau kita sendiri bertemu dengan orang yang tidak mampu ingat apa-apapun setelah mengulang-ulang hafalan tiga patah perkataan dari Isyak ke Subuh atau sudah dijelaskan sehingga 40 kali untuk satu permasalahan yang sama pun masih tidak dimengerti. Kita pasti akan anggap bahawa ini adalah pelajar yang bermasalah, malah terlalu teruk dan kritikal.

Akan tetapi, kenapa kita yang merasakan kita tidak berhadapan dengan masalah ini atau menghadapinya, tetapi tidak seteruk itu masih lagi di kedudukan yang ketinggalan jauh daripada kedua-dua tokoh ini. Jawapannya adalah komitmen dan konsisten.

Benar bahawa seseorang itu akan mengalah jika sudah mencuba sepuluh kali atau sudah mengulangi-ulangniya beratus-ratus kali. Namun, sesiapa yang terus melangkah dalam menuntut ilmu semata-mata kerana keredhaan Allah, dengan izin Allah, jalan ke syurga bukan sahaja akan dimudahkan untuknya. Jalan untuk kefahaman dan gedung pengetahuan yang melimpah juga akan termudah untuknya.

Bagi pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran, seseorang itu mungkin malu jika kita terzahir kegagalannya dan masalahnya yang teruk pada pelajar lain yang jauh lebih genius dan pandai sehingga dia ingin keluar kelas sepertimana ar-Robīʿ bin Sulaymān atau mungkin berhenti terus serta merta dari meneruskan belajar.

Akan tetapi, kalau dia mengalah, ini bermakna dia telah meninggalkan langkah kita ke hadapan. Sedangkan untuk sampai ke destinasi adalah dengan terus bergerak ke hadapan biarpun perlahan atau banyak rintangannya.

Oleh itu, kesungguhan, komitmen dan konsisten akan menjadi pengubat yang satu-satunya. Jangan menyalahkan diri kerana lembab untuk faham atau kurang daya hafalan. Salahkan diri sendiri hanya kerana tidak terus berusaha.

Kedua, usah rasa terlalu terlambat untuk mula belajar dalam ilmu agama. Sememangnya benar bahawa di usia 40-an, sememangnya para ulama di usia ini sudah menempa nama dengan keagungan dan berprestij.

Kita ambil contoh al-Imām an-Nawawiyy yang wafat pada usia 40-an. Kalaulah al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr hidup sezaman dengan al-Imām an-Nawawiyy, pasti sememangnya ada perbezaan darjat yang tingginya umpama langit dan bumi walaupun sebaya usia.

Kalaulah kita terus dikerumuni bisikan negatif yang kita ini sudah terlambat dan jauh ketinggalan berbanding mereka yang sebaya, sampai bila-bila pun kita tidak akan mula belajar. Kalaulah al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr berfikiran sebegitu, pasti beliau tidak akan menjadi apa yang kita sekarang menyebut-nyebut keagungannya.

Ketiga, pengajaran kepada pengajar, guru atau cikgu adalah bersabar dan raikan pelajar yang lambat faham atau kurang kapisiti hafalannya, lebih-lebih lagi dia tidak mengalah dan setia untuk terus belajar.

Jangan sisihkan dia hanya kerana lambat berbanding pelajar lain. Barangkali dia mungkin sahaja akan menjadi murid yang paling penting untuk kita, paling kita sayangi dan paling kanan dalam sekalian murid yang kita ada.

Cuba bayangkan kalau al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy tidak mahu melayaninya, mengejeknya sebagai lembab dan ketinggalan berbanding pelajar yang lain. Kita sendiri pun tidak akan kenal kadar pengetahuan al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy tanpa periwayatan kitabnya daripada ar-Robīʿ.

Bayangkan kalau syeikh bagi al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr menempelaknya sebagai lembab dan bengap kerana masih tidak mampu menghafal tiga patah perkataan sekalipun telah mengulang-ulanginya dari Isyak hingga Subuh. Pasti kita sendiri tidak akan menemukan tonggak utama bagi mazhab ašh-Šhāfiʿiyy.

Sebagai pengajar, raikan kepelbagaian pelajar. Laju apabila perlu laju dan perlahan apabila perlu perlahan.

Di saat sistem pendidikan sekolah hanya melayan kepada "purata" tahap pencapaian pelajar, bukan melihat secara individu menyebabkan pelajar yang di luar "purata" dari kalangan yang bukan bijak pandai akan diketepikan dan dikucilkan kerana mencantikkan statistik dan orang atasan yang tidak pernah atau sedikit terbabit secara langsung dalam pengajaran.

Pendidikan adalah bukan untuk "purata". Tetapi, untuk semua orang yang ingin belajar dan setia dengannya. Kalaulah al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy hanya melayani "purata" sahaja, sudah tentu ar-Robīʿ bin Sulaymān hanyalah habuk yang tidak ada apa-apa untuk dicartakan dalam senarai statistik atau sekadar menjadi sampel kes kepada pelajar yang keciciran dan gagal.

Keempat, zahir daripada cerita ini adalah motif al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr untuk belajar agama adalah kerana ingin mendapatkan penyebutan orang ramai dan diiktiraf sepertimana pendahulunya, al-Qoffāl ašh-Šhāšhiyy.

Kita sebagai guru, lebih-lebih lagi guru agama akan melihat ini sebagai niat yang tidak baik dan tidak murni. Saya tidaklah berkata ini sememangnya motif sebagai al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr dalam menuntut ilmu agama. -Saya berlindung daripada Allah dari menuduh buruk terhadap para ulama dan dituduh sedemikian-. Namun, kita andaikan jika ini menjadi motif sebenar bagi seseorang yang datang bertandang untuk belajar.

Namun, seyogia bagi seorang guru adalah terus menyambut minat seseorang yang hadir untuk belajar, tetapi dalam masa yang sama tidak lupa untuk mengingatkannya agar membersihkan jiwa dan menuluskan niat dalam menuntut ilmu agama.

Kalau dari awal kita enggan memberikan ruang kepada seseorang penuntut ilmu kerana diketahui motifnya untuk kemahsyuran, barangkali dari sebab sikap kita, orang itu mungkin tidak lagi mahu mempelajari ilmu agama sama sekali.

Sepertimana yang kita maklum bahawa jika tidak dapat buat semua, maka jangan tinggal semua. Bahkan, pengislahan juga bukan mesti dengan sehari dua untuk selesai. Adakalanya, berperingkat dan memakan masa.

Sebagai pendidik, kita perlu bersabar dengan karenah pelajar yang mungkin datang untuk suatu niat yang kita tidak menyukainya. Proses pendidikan sama ada dari segi pengetahuan dan kefahaman pun ambil masa yang panjang. Apakah kita ingin mengharapkan kejernihan jiwa hanya selesai dengan seminggu sahaja?

Atas sebab itulah, guru tetap memberikan ruang kepada mereka dan dalam masa yang sama, aspek akal dan jiwa disinergikan bersama dalam pendidikan.

[1]Panggilan untuk usahawan mangga kunci.

[2]Sebelum al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr, ada juga yang dikenali dengan Qoffāl. Beliau adalah Abū Bakr Muḥammad bin ʿAliyy bin Ismāʿīl ašh-Šhāšhiyy atau dikenali dengan al-Qoffāl al-Kabīr.

[3]Seperenam dirham.

[4]Al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr yang kita sedang menceritakannya sekarang.

[5]Seperempat daripada dānaq.

[6]Tersalah dalam tatabahasa Arab.