Thursday, 16 December 2021

Kekal Bersama Meskipun Saling Berseteru

Perkara ini tidaklah mustahil berlaku bahawa dua insan yang saling berseteru, masih duduk semajlis bersama tanpa terputus persaudaraan.

Al-Ḥāfiẓ Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy, tokoh ahli hadis sufi berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم sangat kuat mencemuh aliran al-Ašhʿariyy. Kalau baca kalamnya yang dikumpulkan oleh Ṣōdiq bin Salīm bin Ṣōdiq dalam Ḏzamm al-Ašhāʿiroh Wa al-Mutakallimīn Wa al-Falāsifah memang pedih untuk dibaca. Beliau memang bantai kaw-kaw dan tidak beri diskaun langsung.  Atas sebab itu walaupun beliau ini sufi yang pekat, tetap ada yang mengatakan beliau ini menganut akidah wahabi.

Kalau sesiapa yang baca bagaimana dia taburkan celaan, pasti orang akan bercakap kepadanya kalau beliau masih hidup: "Beginikah akhlak seorang ulama, apalagi yang berketurunan Nabi Muḥammad صلى الله عليه وسلم wahai syeikh?". Memang pun. Seorang tokoh sufi memang punyai keberanian mencemuh yang mana salafi sendiri tidak akan mencemuh sepertimana beliau lakukan. Ini memang kedahsyatan yang memang perlu diakui.

Malah, beliau juga sampai berkata kepada anak murid kanannya, Syeikh ʿAbdullah bin ʿAbdul Qōdir at-Talīdiyy: "Aku hairan engkau boleh merasa syak dengan kesesatan al-Ašhʿariyy dan pendustaan mereka terhadap nama-nama Allah dan sifat-Nya?".

Namun, yang menariknya, beliau masih boleh duduk di majlis para sufi bersama dan zikir sambil menari bersama walaupun beliau mengutuk habis-habisan aliran al-Ašhʿariyy yang menjadi ikutan sufi pada arus perdana. 

Adiknya, Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy dalam kitabnya az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh pernah menceritakan bahawa abangnya pernah menari sampai tercabut serbannya dari kepalanya. Entah apa yang terjadi pada kepalanya sampai boleh menjadi begitu. Pelik kan tokoh yang berakidah wahabi, tetapi berzikir sambil menari sehingga tercabut serbannya?

Beliau juga walaupun sangat membahang permusuhannya terhadap aliran tersebut, namun para sufi yang menganut aliran al-Ašhʿariyy dan Aswaja secara umumnya tetap menadah ilmu daripadanya, mengambil manfaat daripada karya-karyanya dan mengangkat tinggi kedudukannya di mata dunia. Mereka semua boleh melupakan sebentar persengketaan beliau dan fokus untuk menggali kebaikan daripadanya sambil memuji tinggi untuk beliau.

Sudah tentu, golongan al-Ašhʿariyy merasa pahit menerima kenyataan terhadap permusuhan beliau terhadap mereka. Namun, itu tidak menyebabkan mereka melupakan jasa baiknya, mengakui keunggulan ilmu mereka dan meletakkan di kedudukan yang terbilang. Berbeza aliran tidak sama sekali menghalangi pergandingan dan persaudaraan.

--------------------------

Setiap minggu, ustaz Noor Deros akan mengadakan kuliah Makrifat ASWJ dengan rujukan Kubrō al-Yaqīniyyāt al-Kawniyyah karya Syeikh Muḥammad Saʿīd Romaḍōn al-Būṭiyy di Rasta TTDI. Yang menghadiri untuk duduk bersama bukan mereka dari kalangan al-Ašhʿariyy, ada juga dari kalangan salafi.

Di sana, walaupun ada pertembungan perbezaan aliran, tetapi masing-masing yang hadir boleh berbincang dengan baik. Mereka tidak hanya berbincang dalam isu al-Asmā` wa aṣ-Ṣifāt sepertimana yang terjadi polemik yang berpanjangan antara al-Ašhʿariyy dengan salafi. Mereka juga adakalnya berbincang tentang politik, sihir, gerakan ateisme, pemikiran liberal, kesihatan mental, isu-isu moral, prinsip-prinsip mendasar dalam agama Islam dan sehinggalah kepada cerita pengamalan peribadi.

Walaupun perbezaan aliran, masing-masing boleh fokus kepada isu yang patut diberi perhatian besar dan yang boleh dicari titik sepakat tanpa perlu terbawa-bawa dengan dendam isu yang lain. Ada masanya kita berbalah, tetapi apabila sampai masa perlu ketepikan sebentar untuk fokus kepada isu yang lain dan perlu bersepakat, itulah yang patut dilakukan.

Kita sebenarnya lebih suka duduk bersama orang yang boleh bawa bincang secara matang berbanding orang yang hanya sentiasa memikirkan permusuhan dan hanya berpemikiran binari dalam imej salah dan benar. Lebih baik kita berdamping dengan teman yang kita saling bergeseran secara matang berbanding dengan kawan yang hanya tersepit dengan .

Adakalanya, saya merasakan begitu agung penyebutan Allah Tabāroka Wa Taʿālā :

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

"Tidak sama kebaikan dan keburukan. Tolaklah dengan cara yang paling terbaik, lalu didapati yang menjadi permusuhan antara engkau dengan dia seolah-olah dia adalah teman rapat pendamping". [Surah Fuṣṣilāt ayat 34].

Bagaimana dua orang yang saling bermusuhan boleh menjadi seorang teman yang rapat ketika penolakan terhadap keburukan? Apabila seseorang merasai pengalaman ini, perasaannya akan lain apabila membaca firman Allah yang agung ini. Cubalah duduk dengan sang musuh yang lebih matang dalam berdialog dan boleh bawa bincang. Ia akan berbeza.

Saya ke sana untuk pertemuan tersebut pun kerana lebih baik kita ada sekelompok teman yang saling berbincang secara matang. Yang datang ke sana juga ada dari kalangan yang berpendidikan, berpengalaman dan tahu beberapa selok belok yang kita tidak tahu pun wujudnya lorong tersebut. Kita sama-sama belajar, sama-sama saling berkenalan, sama-sama berbincang serta setiap daripada kita membina komuniti dan jaringan.

--------------------------

Pernah ada yang bertanya kepada saya tentang Noor Deros. Pada saya, Noor Deros tidak ubah beza dengan Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ḥasaniyy. Pendiriannya dalam isu kesufian tidak banyak berbeza. Sesiapa yang sudah membaca kitabnya az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh, maaka tidak pelik kalau ada dari kalangan al-Ašh'ariyy yang sebegitu.

Sesiapa yang mengenal keunikan yang ada pada keluarga al-Ġhumāriyy, maka dia tidak mudah gelisah apabila bertemu dengan orang yang seumpama al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy dan adiknya , Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy serta adik-beradiknya yang lain.

Sejujurnya saya katakan, sesiapa yang tidak mengenali keunikan yang ada pada keluarga al-Ġhumāriyy, dia akan mudah merasa kekok untuk melihat kepelbagaian pemikiran yang ada pada setiap tokoh ilmuwan. 

No comments:

Post a Comment