Terima kasih kepada saudara Aḥmad ʿAqīl Akbar bin Zayd kerana menghasilkan muka depan bagi buku ini dan juga cop digital. Sesiapa yang ingin mendapatkan khidmat penghasilan muka depan buku dan cop yang berkaligrafi, boleh hubunginya.
Tidak ada versi cetakan kerana di dalamnya penuh dengan hiperpautan yang menghubungkan beberapa halaman yang lain yang ada dalam buku ini sehingga buku ini hanya dapat dimanfaatkan secara digital sahaja.
Buku ini adalah percuma sahaja untuk semua, lebih-lebih lagi yang ada kepentingan untuk riwayat. Saya tidak mendapat apa-apa dana dan biaya untuk menghasilkannya. Cuma, kalau ada bayaran pun, ia adalah sebab untuk upah kelas atau majlis sahaja. Tiada kena mengena dengan karya ini.
Dahulu, buku ini dinamakan Ṣufuḥāt Fī Marwiyyāt Wa Ijāzāt (صُفُحَات فَي مَرْوِيَّاتٍ وَإِجَازَاتٍ), iaitu beberapa lembaran pada yang diriwayatkan dan ijazah yang mana saya hanya bercadang untuk hanya menghasilkan terhad sekadar 200 muka surat sahaja.
Buat masa sekarang, saya tidak akan mengijazahkan secara munāwalah (penyerahan)[2] dengan versi prototaip ini kepada sesiapa, terutamanya mereka yang mendapat ijazah ʿāmmah daripada saya yang telah menghabiskan kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab (KEMBARA) bersama saya yang mana saya menjanjikannya kepada mereka yang menghabiskannya dengan jayanya, iaitu menjadi pembaca yang independen yang berkemahiran atau kepada mana-mana penerima ijazah yang layak.
Cuma, saya tetap menerbitkan prototaip terlebih dahulu sambil mengemas kini dari semasa ke semasa kerana sebahagian orang bertanya tentang periwayatan saya pada ijazah yang saya peroleh dan ingin semak apa yang saya ada.
Buat masa sekarang, versi prototaip ini menampilkan sekilas tentang apa yang saya telah peroleh, apa yang sah riwayatnya dari saya melalui masyayikh ijazah yang saya terima, masmūʿāt saya dan pentakhrijan beberapa riwayat daripadanya.
Kandungan yang ada dalam tema buku ini boleh diisi dengan penyenaraian nama masyayikh ijazah, biografi masyayikh ijazah mereka, riwayat-riwayat mereka sama ada yang melalui bacaan di hadapan masyayikh ijazah atau musnid atau mendengar bacaan atau penyerahan atau persuratan atau ijazah.
Yang paling minimum dan yang paling penting yang patut diisi adalah siapa masyayikh ijazah mereka dan tambahan bonus yang sangat berguna adalah siapa masyayikh ijazah kepada masyayikh ijazah mereka yang mengijazahkannya dan siapa yang dia meriwayatkannya. Ada ini sahaja pun sudah cukup. Selebihnya adalah idea bebas masing-masing.
Nama tsabat ini juga beraneka. Ada yang disebutkan al-Fahrosah (فَهْرَسَة), iaitu indeks. Ada yang disebutkan dengan al-Mašyakẖoh (الْمَشْيَخَة), iaitu senarai masyayikh mereka atau Muʿjam ašh-Šyuyūkẖ (مُعْجَم الشُّيُوخِ), iaitu ensiklopedia kamus.
Penulisan tsabat boleh dengan hasil tangan sendiri atau dari hasil kerja orang lain untuk khidmat kepadanya dalam mengumpulkan riwayatnya. Biasanya khidmat orang lain kepadanya dipanggil dengan at-Takẖrīj (التَّخْرِيج), iaitu mengeluarkan sumber periwayatan seseorang. Kadangkala, untuk zaman sekarang, ia meluas dengan ungkapkan dengan al-Iʿdād (الْإِعْدَاد), iaitu penyediaan atau al-Jamʿ (الْجَمْع), iaitu pengumpulan.
Sebab Saya Menghasilkan Tsabat Untuk Saya Sendiri
Saya telah memaklumkan kepada peserta KEMBARA pada sesi orientasi lagi bahawa sijil penyertaan memang tidak diberikan kerana sijil penyertaan dari saya secara peribadi tidak ada laku apa-apa pun walaupun saya boleh terbitkan sijil persaksian pada kemampuannya untuk menjadi pembacaan untuk peserta yang menghabiskan dengan jayanya, iaitu menjadi pembaca yang independen yang berkemahiran.
Cuma, apabila saya menyebutkan bahawa sijil penyertaan kelas saya tidak laku, ada seorang peserta bertanya tentang apa tawaran lain jika sijil tidak laku sebagai alternatif. Saya ada terfikir sebentar. Tetapi, tidak lama kemudian dari beberapa saat, terbit idea untuk mengadakan pengijazahan.
Bagi saya, pengijazahan adalah yang paling laku untuk saya tawarkan kepada para peserta sebagai hadiah untuk mereka berbanding sijil penyertaan, di samping kemahiran yang mereka dapat lantaran kesungguhan mereka dan dedikasi mereka untuk belajar, hafal dan ulangkaji.
Sejak dari itu, antara keistimewaan yang saya tawar pada KEMBARA di bawah kendalian saya adalah pengijazahan riwayat kepada peserta. Kitab yang dijadikan praktik pembelajaran pun akan menggunakan kitab yang ada sanad atau ijazah untuknya selagimana bersesuaian. Ini adalah keistimewaan yang langka di tanah air kita. Sebanyak-banyak pujian kepada Allah jua.
Setinggi-tinggi pujian kepada Allah jua pada sudah ada beberapa peserta yang telah pun mendapatkan ijazah riwayat dari saya melalui kelas ini. Antaranya adalah semua kitab al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy, semua kitab al-Imām ʿAbdul Qōhir bin ʿAbdul Roḥmān al-Jurjāniyy, al-Musalsal Bi al-Inšhād dan beberapa al-Musalsal yang lain.
Banyak lagi ijazah kitab lain yang sedang dinantikan peserta untuk mendapatkannya dengan syarat dibuktikan kesungguhan untuk mempelajarinya dan perkembangan dalam progres pembelajarannya.
Bagi peserta yang menghabiskan kelas dengan kejayaan, iaitu mampu menjadi pembaca yang independen secara betul, saya akan menganugerahkan ijazah ʿāmmah dari saya sepertimana lebih 300 masyayikh ijazah ʿāmmah saya[7] mengijazahkan ʿāmmah kepada saya dan melalui ijazah 300 masyayikh ijazah ini pula akan menyampaikan kepada ribuan kitab para ulama dan saya tidak berlebihan apabila bercakap tentang ribuan.
Angka ini akan bertambah dari semasa ke semasa. Itu sebab ia adalah projek sepanjang hayat saya. Selagimana saya hidup, selagi itu tsabat ini akan dikemas kini.
Untuk memudahkan peserta dalam mencari, merujuk dan mendapatkan riwayat dari saya, inilah antara sebab saya menghasilkan tsabat.
Bahkan, tsabat ini juga berguna jika Allah merezekikan saya untuk mula berkecimpung sebagai musnid yang sebenar dan mengijazahkan ʿāmmah kepada mereka yang layak dan berhak. Selepas ini, para penerima ijazah melalui di luar KEMBARA pun yang ingin rujukan kepada riwayat saya telah pun saya menyediakan untuk mereka.
Seterusnya adalah saya sentiasa mendapat pesanan, khususnya syeikh ijazah atau musnid tempatan atau yang dijemput dari luar negara sebagai musnid bagi majlis tempatan untuk menghidupkan majlis riwayat dan ijazah. Mereka akan mengingatkan perkara ini sama ada di permulaan majlis atau di akhir majlis.
Cuma, saya jarang untuk menemukan pesanan ini di majlis yang diadakan di luar negara. Saya faham mengapa ada perkara ini berlaku.
Ini kerana di Malaysia atau di nusantara secara umum, majlis riwayat dan ijazah amat terpencil dan jarang untuk ditemukan. Suasana sangat malap, kelam dan tidak diberi perhatian yang serius sehingga seolah-olah jika dua bulan tanpa ada apa-apa majlis ini tidak dirasakan apa-apa.
Sangat berbeza di negara Arab dan jajaran Urdu yang adanya rutin harian atau mingguan atau bulanan sehingga masyayikh ijazah atau musnid yang dijemput tiada keperluan untuk menyampaikan pesanan ini kerana sudah ada kegiatan aktif dan pesat tanpa perlu risau tentang produktiviti aktiviti ini.
Bukti pasifnya kegiatan di negara kita untuk majlis ini adalah untuk mendapatkan al-Musalsal Bil Awwaliyyah di negara sendiri pun seolah-olah perlu cari di ceruk kampung dan di perut bumi.
Saya pernah melihat poster untuk suatu majlis yang ada font tulisan besar bahawa ditawarkan ijazah al-Musalsal Bil Awwaliyyah dari seorang shaykh yang dijemput seakan-akan ia adalah tawaran istimewa walaupun kitab yang dibaca atau yang dibedah atau yang disyarah tidak diperoleh ijazahnya pun.
Saya hanya mampu tepuk dahi dan geleng kepala menzahirkan rasa terkilan betapa negara kita ini sangat kering untuk mendapatkan al-Musalsal Bil Awwaliyyah.
Padahal, di majlis luar negara, al-Musalsal Bil Awwaliyyah seakan-akan cenderamata yang pelancong pun boleh mendapatkannya di kedai tepi jalan. Sangat mudah untuk mencarinya, mengutipnya dan mengumpulkannya.
Saya sudah mendengar penyebutan al-Musalsal Bil Awwaliyyah ini entah berapa puluh kali dari lafaz masyayikh dan musnidin. Jika ia pertama kali dibacakan di hadapan masyayikh atau musnid, saya sudah mendengar pembacaannya di hadapan beberapa ratus yang berbeza. Cuma, sempat atau rajin untuk merekodkannya atau tidak. Itu sahaja.
Saya tiada niat untuk membesarkan diri ketika penyebutan ini. Saya cuma ingin menzahirkan rasa keanehan dan persoalan pada kenapa sangat berbeza kadar kesenangan pencarian al-Musalsal Bil Awwaliyyah ini antara negara luar dan negara kita.
Saya mengambil berat pada pesanan masyayikh dan musnid yang mengijazahkan kepada saya, lebih-lebih lagi jika ia adalah program di nusantara di samping saya tidak mengenpikan dan memencilkan dirayah dan pengajian.
Itulah sebabnya pengijazahan saya adalah melalui KEMBARA dengan mempraktikkan pembelajaran melalui kitab sebelum mendapatkan ijazah daripada saya.
Majlis riwayat dan ijazah yang saya mengadakannya di luar KEMBARA pun saya tidak hanya sekadar jadi batu tunggul dan hanya bercakap untuk pengijazahan di akhir majlis.
Jika ada keperluan untuk ulas atau syarah atau kongsi, saya akan melaksanakannya. Bahkan, jika perlu membuka kepada perbincangan atau kritik pun, saya mengalu-alukannya. Ini semua supaya majlis tidak dilihat mengesampingkan dirayah dan kefahaman.
Periwayatan sememangnya tidak seberat kepentingannya berbanding dirayah dan ini sama sekali tidak dinafikan. Namun, bukan bermakna seseorang perlu mengabaikan periwayatan hanya sahaja ia tidak sepenting dirayah. Jika dapat disertakan bersama, tentu sahaja ia lebih baik.
Tradisi periwayatan tetap berjalan sepanjang zaman dan ia ada signifikasi yang besar dalam sejarah. Tidak ada kitab biografi para ulama melainkan direkodkan kitab yang dibaca di hadapan syeikh atau didengar bacaan atau berapa kadarnya sama ada secara penuh atau secara kebanyakannya atau hanya beberapa yang sedikit. Begitu juga direkodkan siapa yang mengijazahkannya jika tiada pembacaan atau dengar di hadapan syeikh.
Seseorang boleh memulakan langkah untuk mengambil tahu signfikasi tradisi ini dengan membaca ad-Duror al-Kāminah Fī Aʿyān al-Miʾah aṯs-Ṯsāminah Fī karya al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy dan aḍ-Ḍowʿ al-Lāmiʿ Li Ahl al-Qorn at-Tāsiʿ karya al-Ḥāfiẓ as-Sakẖōwiyy[8].
Ini sememangnya tidak mengharainkan kerana kita sendiri yang berpijak pada zaman ini pun sudah melihat di hadapan mata sendiri tentang kurangnya kepedulian masyayikh, musnid, guru dan asatizah di sini untuk merekodkan dan memperkasakannya.
Kadangkala, ketiadaan anjuran majlis periwayatan ini boleh dibiarkan berbulan-bulan tanpa rasa apa-apa bersalah. Apatah lagi serius untuk mendokumentasikan riwayat dan pengijazahan.
Saya berharap penulisan saya ini sekurang-kurangnya adalah khidmat kepada masyayikh ijazah saya yang telah menghargai saya dengan pengijazahan dengan merekodkan periwayatan mereka dan kitab-kitab mereka agar para pembaca boleh mengambil manfaat daripadanya.
Saya tidak mahu periwayatan di tanah Malaysia yang tercinta ini ini menjadi lenyap dan terkubur bersama tuannya yang salah satu faktornya adalah kerana tuannya sendiri yang tidak ada warisan legasi untuknya dan tiada tekad yang kuat untuk merealisasikannya.
Bandingkan sahaja keaktifan kegiatan majlis ini dan pembukuan tsabat di negara kita dengan negara Arab dan yang di jajaran Urdu.
Saya berharap ini adalah usaha untuk diri saya sendiri dalam melestarikannya dan membumikannya di tanah ini sehingga ia subur dan buahnya dipetik oleh orang yang mengharapkannya.
Bukti yang nyata adalah di tanah air kita ini, walaupun sudah ada dokumentasi tentang tsabat dan periwayatan, siapakah yang benar-benar memberi perhatian kepada ini?
Kemudian, antara faktor besar untuk saya menjalankan penghasilan tsabat ini adalah kerana saya adalah orang awam dan tidak ada apa-apa kelebihan besar pun dengan para ulama. Namun, saya mengharapkan agar saya juga dapat menyebarkan manfaat kepada orang yang mengharapkannya melalui periwayatan.
Antara manfaat yang saya ingin sebar adalah dengan dua bentuk. Yang pertama adalah jika Allah mentakdirkan saya untuk panjang umur, maka isnad saya akan menjadi tinggi dan segala puji bagi Allah kerana saya memiliki beberapa daripadanya walau untuk zaman ini.
Ini adalah yang terjadi pada Abū al-ʿAbbās Ibn ašh-Šhiḥnah al-Ḥajjār yang merupakan salah seorang awam yang berumur panjang yang lebih 100 tahun[10]. Dia mendengar Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy daripada Ibn az-Zabīdiyy pada 630 Hijrah.
Namun, orang ramai dari kalangan para imam dan huffaz, apatah lagi yang lebih rendah darjatnya berkejaran untuk mendapatkan isnad daripadanya pada 730 Hijrah disebabkan tingginya isnad ini. Perkara ini disebutkan oleh al-Ḥāfiẓ as-Sakẖōwiyy dalam Fatḥ al-Muġhīṯs Šharḥ Alfiyyah al-Ḥadīṯs.
Sekalipun orang awam, tetapi kerana faktor usia panjang dan mungkin sahaja faktor kesolehannya yang dipuji seperti yang disebut oleh al-Ḥafiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy dalam ad-Duror al-Kāminah Fī Aʿyān al-Miʾah aṯs-Ṯsāminah, orang ramai tetap memanfaatkannya dengan mengambil riwayat daripadanya.
Sebegitu juga Muḥammad bin Fahd al-Hāšhimiyy al-Makkiyy dalam Muʿjam ašh-Šhuyūkẖ pun mengambil riwayat daripada orang yang buta huruf seperti Ibrōhīm bin Muḥammad bin Yūnus al-Maġhribiyy al-Ḥalabiyy yang dikenali dengan Ibn aḍ-Ḍuʿayyif dan ditambah pula dikenali dengan sebagai orang yang soleh.
Saya berharap saya termasuk dalam apa yang Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersabda:
خَيْرُ النَّاسِ مَنْ طَالَ عُمُرُهُ وَحَسُنَ عَمَلُهُ
"Sebaik-baik orang adalah orang yang panjang umurnya dan baik amalannya". [Riwayat at-Tirmiḏziyy].
Bentuk yang kedua adalah jika umur saya tidak panjang, saya berharap penulisan saya meninggalkan beberapa info tentang periwayatan yang dapat dimanfaatkan oleh penerima ijazah atau para pembaca.
Contohnya adalah mungkin seseorang itu pernah mendapat ijazah daripada seseorang syeikh, tetapi tidak tahu apa riwayatnya dan apa karyanya. Saya berharap dengan apa yang saya kongsi dalam buku ini, dapatlah mengongsikan apa yang para pembara berhajat kepadanya.
----------------
Berminat untuk menyertai kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab bersama saya agar dapat membaca dan memahami karya penulisan ulama, di samping untuk mendapatkan ijazah untuk ribuan kitab?
Hubungi saya di pautan yang dilampirkan di ruangan komen.
Sebenarnya ini angka yang sangat sedikit. Komuniti musnid dan riwayat yang saya ikuti, lebih-lebih lagi yang senior, angka perolehan ijazah ʿāmmah dari 400 masyayikh dan musnid ini adalah angka yang normal. Ya! Angka yang normal! Bukan angka yang dianggap terlalu banyak.
Saya ada sahaja beberapa masyayikh ijazah saya yang memiliki ijazah lebih dari 600 masyayikh ijazah ʿāmmah. Itu tidak menghairankan sama sekali, lebih-lebih lagi di zaman ini yang kemudahan perhubungan sudah mudah dan ditambah lagi apabila ada organisasi yang teguh untuk menggerakkannya.








