Friday, 30 April 2021

Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy Pernah Dituduh Cenderung Pada Wahabi!


Saya tergelak sedikit melihat pengakuan salah seorang keturunan Rasulullah SAW yang sufi lagi ahli hadis dari keluarga al-Ġhumāriyy yang menjadi kekaguman bagi ASWAJA, al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq yang berkata bahawa beliau pernah dituduh berkecenderungan dengan wahabi kerana sebahagian isu karamah wali. Bayangkan, beliau yang aktif melawan wahabi dan memiliki karya yang jelas menentang wahabi pun dituduh cenderung kepada wahabi!

Sebenarnya sangat jarang untuk ditemukan mana-mana tokoh yang zuriat baginda yang sufi dituduh ada kecenderungan pada wahabi. Kes sebegini sememangnya wajar untuk kita ambil cakna tentangnya.

Dalam kitab beliau ini, iaitu al-Awliyāʾ Wa al-Karōmāt, beliau bersikap kritis dalam penerimaan cerita-cerita karamah yang tersebar dalam kalangan sufi. Sebahagiannya mengarut dan khurafat melalui pertimbangan ilmiah. Dalam menolak serta menyatakan bahawa cerita itu mengarut, beliau membentangkan hujah naqliyy dan ʿaqliyy dalam menepis serta menyaring ketulenan dan pengukuran keabsahan cerita karamah wali.

Dalam muqaddimah kitab ini, beliau mengingatkan bahawa sesiapa sahaja yang tidak memperbaguskan diri dalam ilmu kalam dan usul fiqh, lebih baik dia mendiamkan diri daripada berbicara topik karamat kerana apabila dia berbicara, dia menjelekkan dirinya dan menzahirkan kebodohannya.

Dalam muqaddimah kitab ini juga, beliau mengingatkan jangan bersikap melampau dalam meletakkan kewalian sehingga taraf seolah-olah seumpama memiliki taraf kenabian sehinggalah ketuhanan. 

Contohnya adalah dakwaan bahawa Allah mewakilkan setiap wali dalam kuburan memiliki kekuasan untuk menunaikan hajat para penziarahnya yang bertawassul dengan wali tersebut. Menurut beliau, ini adalah salah dengan apa yang disebutkan oleh tokoh sufi tersebut. Beliau membawakan kalam al-Quṭb Šhamsuddīn Muḥammad al-Ḥanafiyy bahawa apabila seseorang wali itu mati, telah terputus perlaksanaannya dalam memberi pertolongan. Kalaulah berlaku pertolongan kepada para penziarah selepas kematian wali atau tertunai hajat penziarah, ia sebenarnya adalah daripada Allah melalui tangan wali Allah yang masih hidup kerana yang mati tidak ada penghuluran pertolongan padanya dan tidak ada kekuasaan di kuburnya.

Antara cerita karamah wali yang beliau tolak adalah kisah yang kononnya ar-Rifāʿiyy mencium tangan Rasulullah SAW di kuburan. Beliau membentangkan mengapa cerita ini mengarut dan tidak sabit. Salah satu penghujahan beliau adalah di kuburan nabi semestinya ramai orang akan menyaksikan peristiwa tersebut. Baik dari Iraq, Syam, Yaman dan seumpamanya. Oleh sebab ia adalah peristiwa yang ajaib, pasti orang ramai akan menyebarkannya dengan pantas. Akan tetapi, cerita ini hanya berdasarkan beberapa orang sahaja. Atas sebab itulah beliau menolaknya. Panjang perbahasan beliau dalam menolak cerita ini.

Antara cerita karamah yang lain adalah kononnya Jalāluddīn ar-Rūmiyy yang menghidupkan orang mati. Malah, kononnya cara penghidupan ar-Rūmiyy jauh lebih hebat daripada Nabi ʿĪsā AS. Kalau Nabi ʿĪsā menghidupkan orang yang mati, baginda berkata: "Bangunlah dengan izin Allah". Akan tetapi, kononnya ar-Rūmiyy berkata kepada si mati ketika beliau mengantuk, lalu berkata: "Bangunlah dengan izinku!". Oleh sebab keterlaluan sebegini, beliau mengatakan ini adalah cerita para pelampau yang berdusta.

Banyak lagi cerita yang beliau tolak yang beliau masukkan dalam bab peringatan terhadap karamah-karamah yang tidak diterima dan tidak masuk akal. Saya memang mencadangkan pembacaan karya ini kerana kita boleh meneliti sendiri bagaimana cara pemikiran kritis beliau dalam membentangkan hujahnya.

Namun, dalam banyak cerita yang beliau tolak, beliau juga seterusnya membawakan cerita-cerita karamah yang sabit dan yang boleh diterima. Maksudnya, beliau bukanlah menolak sepenuhnya cerita-cerita karamah wali. Hanyasahaja beliau tapis dan saring. 

Namun, sebab sikap kritis beliau ini, beliau yang sufi dan berketurunan Rasulullah SAW pun dituduh ada cenderung kepada wahabi!

Nota : Dalam kitab ini, beliau berpandangan Khidir adalah nabi, bukan wali. Beliiau berkata bahawa pandangan Khidir adalah wali tidak betul. Ini sememangnya bersalahan dengan pandangan arus perdana sufi. Cuma, beliau tidak menafikan berlakunya pertemuan wali Allah dengan Khidir. Antaranya adalah pertemuan khalifah ʿUmar bin ʿAbdul ʿAzīz dengannya.

Mengenali Keluarga Al-Ġhumāriyy

(a) Keluarga al-Ġhumāriyy : Keturunan Rasulullah SAW Yang Menentang Ketaksuban, Taklid Buta Dan Sufi Yang Batil

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/keluarga-al-ghumariyy-keturunan.html

(b) Mengapa Saya Minat Mengkaji Manhaj Dan Pemikiran Keluarga Al-Ġhumāriyy?

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/mengapa-saya-minat-mengkaji-manhaj-dan.html

(c) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah Al-Ġhumāriyy Menarik Balik Karyanya Al-Kanz Aṯs-Ṯsamīn Kerana Terdapat Hadis Dhaif Di Dalamnya

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-al-ghumariyy-menarik.html 

(d) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy Pernah Menarik Balik Pandangannya

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html

(e) Az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh : Karya Tokoh Berketurunan Rasulullah SAW Dalam Membasmi Sufi Yang Batil

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/az-zawiyah-wa-ma-fiha-min-al-bida-wa-al.html

No comments:

Post a Comment