Tuesday, 19 October 2021

Buku Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah Al-Ġhumāriyy Yang Dicadangkan Pembacaan Sempena Maulid


Seeloknya sambutan maulid ini, kita mengisi slot hari kita dengan membaca atau mendengar ceramah yang berkaitan dengan kelebihan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, menjengah semula sebab perutusan baginda kepada umat manusia, saat-saat kelahiran baginda dan mengambil pengajaran pada beberapa perkara yang sesuai dengan tema sambutan kita.

Berikut adalah antara buku yang saya jadikan pembacaan dan cadangkan pembacaan adalah buku daripada al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy sempena maulid.

Ada beberapa sebab mengapa istimewanya buku yang ditulis oleh al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy :

a) Beliau adalah yang tokoh ilmuwan berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Sememangnya molek kalau kita membaca dari hasil tangan ahli bait yang menceritakan tentang datuknya صلى الله عليه وسلم.

b) Beliau sangat tegas dengan hadis palsu. Dengan itu, buku beliau selamat daripada riwayat yang tidak sabit, hadis palsu dan cerita yang tiada sandaran. InsyaAllah.

Saya pernah menulis tentang buku yang dihasilkan beliau dalam menerangkan hadis palsu tentang maulid : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=623232185712154&set=pb.100040761337193.-2207520000..&type=3

Bahkan, beliau pernah menarik balik karya beliau sendiri yang berjudul al-Kanz aṯs-Ṯsamīn kerana beliau mendapati terdapat hadis dhaif di dalamnya selepas melakukan semakan. Saya pernah menulisnya di sini : https://www.facebook.com/photo/?fbid=493740805327960&set=a.456402969061744

Oleh itu, boleh dikatakan buku beliau akan dipastikan hadis yang sahih baginya. InsyaAllah.

c) Beliau adalah ahli ilmu yang mujtahid lagi mahir pelbagai bidang. Penguasaannya dalam ilmu kalam, ilmu usul fiqh, ilmu hadis, ilmu tafsir dan keluasan capaian ilmunya diperakui dan diiktiraf. Beliau bukan calang-calang ahli bait, apatah lagi jika ingin disamabandingkan dengan tokoh yang lain. Maka, sewajarnya kita membaca buku daripada ilmuwan yang terbilang itu sendiri.

Berikut adalah buku beliau yang berkaitan dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم :

a) Dilālah al-Qurʾān al-Mubīn ʿAlā Anna an-Nabiyy Afḍol al-ʿAlāmīn.

Buku ini mengumpulkan ayat-ayat al-Quran dan penafsiran beliau pada ayat itu dari pelbagai surah untuk menetapkan bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah makhluk paling mulia di alam ini.

b) Al-Aḥādiṯs al-Muntaqōh Fī Faḍōʾil Rosūlillah.

Hadis ini mengumpulkan beberapa kelebihan yang dikurniakan kepada baginda صلى الله عليه وسلم. Namun, dalam masa yang sama, beliau merespons beberapa isu aliran sesat seperti Qadiyani, Muktazilah dan pengingkar hadis untuk beberapa perkara.

c) An-Nafkẖah al-Ilāhiyyah Fī aṣ-Ṣolāh ʿAlā Kẖoyr al-Bariyyah

Buku ini ada tiga tema utama. Pertama, beliau mengumpulkan hadis-hadis kelebihan berselawat kepada baginda صلى الله عليه وسلم. Kedua, beliau mengumpulkan beberapa cerita dalam mimpi pertemuan dengan baginda tentang kelebihan berselawat. Sebahagian daripada mimpi tersebut menceritakan sangat menggalakkkan menulis selawat seperti "صلى الله عليه وسلم" setiap kali menulis nama baginda.

Ketiga, beliau mengumpulkan beberapa selawat yang beraneka sama ada yang warid daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri, para sahabatnya dan beberapa rekaan dalam berselawat. Sesiapa yang mahu mengumpulkan koleksi selawat, boleh lihat buku ini.

d) Afḍol al-Maqūl Fī Manāqib Afḍol Rosūl

Buku ini pula mengumpulkan beberapa mukjizat dan kelebihan pada baginda صلى الله عليه وسلم serta ulasan daripada penulis sendiri setelah membawakan hadis tentangnya.

No comments:

Post a Comment