Sunday, 20 March 2022

Konsisten Keluarga Al-Ġhumāriyy Dan Para Pengikutnya Dalam Manhaj Beragama Dan Kecelaruan Manhaj Sebahagian Tarekat

Keluarga al-Ġhumāriyy adalah tokoh ahli bait sufi mujaddid yang tidak bermazhab tertentu sekalipun mereka ada khidmat untuk mazhab Mālikiyy. Dalam masa yang sama, mereka keras dalam penentangan terhadap taklid dan ketaksuban, di samping menghidupkan ijtihad dan tradisi intelektual yang kritis.

Sememangnya beberapa orang di zamannya tidak suka sikap keluarga ini. Misalnya adalah Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ pun menyatakan bahawa al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy ini sememangnya dibenci oleh golongan pentaklid, di samping dibenci golongan wahabi. Boleh baca selanjutnya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2022/04/al-hafiz-ahmad-al-ghumariyy-dan-ikutan.html

Usaha pembaharuan keluarga ini sememangnya menongkah arus terhadap apa yang menjadi warisan turun-temurun yang dijadikan resam. Mereka juga ada pandangan dan ijtihad yang baru yang sebahagiannya sememangnya kontroversi dan menghangatkan suasana. Kalau ada yang ingin menuduh keluarga ini ingin membawa mazhab kelima pada zaman mereka, itu tidak menghairankan.

Kadang, kita melihat sebahagian Aswaja yang konon menjulang tinggi keluarga ini sangat marah kalau sebahagian orang dilihat tidak konsisten dengan sati mazhab, berfatwa dengan mazhab lain, melakukan talfiq dan ada ijtihad baru. Di mata mereka, orang seperti ini adalah ingin melagak mujtahid, membawa mazhab kelima dan paling melucukan adalah melabelnya sebagai wahabi!

Namun, lihat apa jadi apabila sebahagian mereka ini mempertahankan suatu syeikh tarekat dalam hukum bersalaman dengan wanita bukan mahram. Mereka tidak segan silu mengambil mazhab yang syaz, keluar dari pengiltizaman kepada mazhab yang satu dan mencampuradukkan mazhab, malah melakukan ijtihad baharu asalkan dapat membela syeikh tarekat tersebut daripada dipersalahkan. Bahkan, mereka tidak peduli pun kalau tarekat mereka atau syeikh mereka membawa mazhab kelima pada hari ini!

Apa sudah terjadi? Selama ini yang mencemuh orang lain sebagai pembawa mazhab kelima atau berkata buruk dengan bermacam-macam orang kerana tidak mengikut mazhab ašh-Šhāfiʿiyy secara konsisten. Sekarang, bagaimana? Hipokrit atau jilat ludah sendiri ketika bersungguh-sungguh mempertahankan syeikh dan tarekat mereka?

Segala puji bagi Allah. Dia memperlihatkan betapa konsistennya mereka yang benar-benar mengikuti manhaj keluarga ahli bait dari jalur Ibn aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy ini. Mereka yang berjalan di atas manhaj keluarga ini tidak perlu pun melayani sentimen dan kedunguan manhaj orang bercelaru seperti itu. Semoga kita semua termasuk orang yang tegar di atas jalan yang lurus dan terhindar daripada golongan yang rancu.

Mereka yang setia dengan manhaj keluarga al-Ġhumāriyy memilih pandangan itu kerana itulah kebenaran yang mereka yakini dan mereka konsisten dengannya. Pandangan mereka tidak dipengaruhi oleh sesiapa melainkan Allah, rasul-Nya dan dalil-dalil yang kuat untuk diikuti. Mereka tidak ada masalah jika itu membawa mereka keluar dari mazhab yang mereka pelajari dahulu, mazhab yang menjadi ikutan setempat dan menyalahi gurunya kerana ikutan mereka atas dasar sunnah dan hujah.

Adapun, orang dungu seperti itu, mereka memilih pandangan itu kerana syeikhnya mengamalkan pandangan itu. Jika syeikhnya berpindah kepada yang lain, mereka pula akan mengambil dan mempertahankan pandangan yang lain sekalipun natijahnya adalah pencampuran mazhab, talfiq, pengambilan pandangan yang minoriti lagi syaz dan mendiri mazhab kelima yang mereka selalu cela kepada orang lain!

Tambah lagi berbeza adalah kelaurga ini dan tarekat tersebut adalah sekalipun adanya pencampuran mazhab, tetapi keluarga ini sangat menitikberatkan dalam menjauhkan diri daripada taklid dan ketaksuban. Bahkan, keluarga ini sangat tegas terhadap hadis palsu. Boleh baca selanjutnya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2022/03/tarekat-yang-selamat-untuk-diikuti.html

Berbeza dengan sebahagian tarekat yang lain yang sentiasa mendesak dan menekan untuk ketaatan penuh terhadap syeikh, tidak boleh mempersoalkannya, tidak boleh meraguinya, tidak boleh menyelishinya dan tidak boleh menyalahkannya apabila jelas. Para pengikut sudah dibutakan kesemua pancaindera dan akal demi membuktikan penghormatan besar kepada syeikh dan kesetiaan yang utuh pada tarekat.

Malah, sesiapa yang menyelishinya atau menyalahinya dalam beberapa pandangan syeikh, ia seakan-akan menentang wali Allah! Kalau yang diselisihi adalah dari golongan al-Ḥabīb, pasti dituduh pula sebagai pembenci ahli bait dan tidak hormat kepada keturunan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم!

Segala puji bagi Allah atas kelahiran, kemunculan dan sumbang bakti keluarga al-Ġhumāriyy sebagai tokoh ilmuwan ahli bait yang menjadi bukti kepada ikutan manhaj keberagamaan yang murni. Tanpa mereka, umat ini, khususnya dari kalangan Aswaja dan sufi hanya mampu berfikiran binari ataua bersikap hipokrit seperti ini.

Segala puji bagi Allah. Kemudian, segala puji bagi Allah. Semoga Allah meninggikan kedudukan keluarga ini di dunia dan di akhirat. Mereka adalah sebaik-baik ahli bait yang dilahirkan untuk zaman ini.

Gambar : Zawiyah aṣ-Ṣiddīqiyyah.

No comments:

Post a Comment