Sunday, 20 March 2022

Tarekat Yang Selamat Untuk Diikuti Menurut Saya

Ada beberapa lagi tarekat yang lain yang kita boleh ketengahkan sebagai tarekat yang lurus lagi berkualiti atau sekurang-kurangnya bebas daripada sebarang kontroversi yang tidak sepatutnya. Yang sepatutnya adalah institusi fatwa atau badan autoriti agama perlu mencari dan menawarkan tarekat yang lebih baik untuk masyarakat mengambilnya.

Mengapa pula tarekat an-Naqšhabandiyyah al-ʿAliyyah di bawah pimpinan Nāẓim al-Haqqōniyy pula sangat sibuk untuk dikehedapankan dan diusahakan agar didesak penerimaannya sehingga insitutsi fatwa wajib menarik balik gazet pengisytiharan kesesatannya seolah-olah di dunia tinggal tarekat ini sahaja? Ini tidak lain tidak bukan mesti ada orang besar di belakang tabir yang sibuk melobi dan mendesak pihak berautoriti agama.

----------------------------------------------------

Saya secara peribadi hanya mempercayai tarekat ašh-Šhaḏziliyyah ad-Darqōwiyyah aṣ-Ṣiddīqiyyah yang dipimpin oleh pewaris daripada madrasah keluarga al-Ġhumāriyy sahaja yang selamat daripada penyelewengan dan kerosakan. Yang lain-lain adalah yang sama ada sememangnya menyeleweng atau ada bau-bau bangkai atau belum dipastikan statusnya.

Saya tidak bersetuju dengan pandangan Syeikh Muḥammad Saʿīd Romaḍōn al-Būṭiyy yang menyatakan bahawa tidak ada tarekat kesufian yang selamat untuk disertai.

Ini kerana tarekat ini menjunjung yang menjadi tradisi dalam madrasah kelaurga al-Ġhumāriyy untuk tidak taklid terhadap syeikhnya atau mana-mana tokoh ilmuwan.

Walaupun keluarga ini kecuali Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy menyatakan bahawa Ibn ʿArobiyy adalah Šhaykẖ al-Akbar, tetapi itu bukan bermakna mereka akan memaksumkannya.

Ini juga yang diperakui oleh Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ yang merupakan murid besar yang pernah menimba ilmu dari keluarga ini seperti al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah, Syeikh ʿAbdul ʿAzīz dan as-Sayyid Ibrōhīm. Rujuk : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=564171913997086&id=100012128473491

Antara buktinya adalah al-Ḥāfiz ʿAbdullah bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy mengkritik Ibn ʿArobiyy dalam tiga isu. Pertama, isu kematian Firaun dalam keadaan beriman sepertimana yang dibentangkan dalam Bidaʿ at-Tafāsīr. Kedua, isu bumi hakikat sepertimana yang dibentangkan dalam Rofʿ al-Išhkāl ʿAn Masʾalah al-Muḥāl. Ketiga, penolakan riwayat Sahl at-Tustariyy tentang beliau mengetahui tentang keadaan muridnya sejak zaman arwah lagi sepertimana yang dibentangkan dalam Awliyāʾ Wa Karomāt.

Malah, al-Ḥāfiẓ antara tokoh yang terkenal dengan kekerasannya terhadap pentaklid sehingga Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ menyatatakan bahawa beliau dibenci oleh golongan pentaklid selain daripada wahabi. Boleh baca selebihnya di sini : https://www.facebook.com/photo.php?fbid=715661776469194&set=pb.100040761337193.-2207520000..&type=3

Begitu juga dengan adiknya, Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy -walaupun akhirnya beliau keluar daripada tarekat ini- yang mana kitabnya az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh memuatkan kritikan terhadap sebahagian golongan sufi yang jahil yang keterlaluan dalam ketaksubannya terhadap syeikhnya. Boleh baca selebihnya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/az-zawiyah-wa-ma-fiha-min-al-bida-wa-al.html

Oleh itu, tarekat ini tidak menekankan ketaatan yang buta dan mutlak atau segenap para perkara terhadap syeikh. Dengan ini, sekurang-kurangnya, selamat untuk bagi sesiapa yang mengikuti tarekat ini. Bahkan, jika sampai masanya adanya pemaksaan dari syeikh yang memimpin tarekat ini, maka tidak perlu teragak-agak untuk yakin bahawa tarekat ini sudah mula menyeleweng.

Tambah lebih mulia tarekat ini dipimpin oleh ahli ilmu yang berkaliber. Pengelola bagi tarekat ini mengimarahkan zawiyah dengan majlis ilmu yang kritis dan dilengkapi dengan ilmu alat seperti ilmu uṣūluddīn, ilmu fiqh, ilmu uṣūl, ilmu hadis, ilmu bahasa dan lain-lain sepertimana yang dijalankan oleh keluarga ini ketika memimpin tarekat ini.

Inilah tradisi daripada as-Sayyid Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy, selaku pengasas tarekat ini yang menghidupkan tradisi ilmiah dengan kitab yang muktabar. Salah satunya adalah pengajaran Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy. Kemudian, disambung pula oleh anak-anaknya yang terdiri daripada barisan ulama yang terbilang.

Jika ada pemimpin tarekat ini mula dipimpin dan dikelola oleh orang yang jahil dan penuh kecelaruan, maka ketahuilah bahawa tarekat ini sudah mula menyimpang arus.

Yang menariknya adalah tarekat ini tidak berpegang kepada fahaman Nūr Muḥammad, khususnya yang diiktikadkan sebagai awal ciptaan kerana keluarga ini sepakat terhadap kepalsuan hadisnya. Ini sudah cukup untuk menampilkan perbezaan jelas antara tarekat ini dengan tarekat yang lain dalam perkara yang mendasar.

Oleh itu, boleh dikatakan bahawa tarekat ini bersih daripada falsafah asing yang entah daripada mana meskipun saya tidak berani untuk mengatakan bahawa ia tidak bersih sepenuhnya. Akan tetapi, iltizam mereka untuk mengikut al-Quran dan as-Sunnah serta bertepatan dengan hujah ilmiah dan rasional tidak diragui lagi yang menjadi simbol kebesaran bagi tarekat ini.

Antara yang wajar dipuji adalah bagaimana al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah menghasilkan karya khas untuk mengkritik qasidah Burdah yang menjadi dendangan biasa dalam riadah kesufian. Begitu juga beliau mempertahankan bahawa Kẖoḍir عليه السلام adalah nabi, bukan wali yang mana ini menyalahi pegangan umum bagi para sufi. Ini menunjukkan kepedulian yang mendalam bagi pengelola tarekat ini untuk setia dengan sunnah dan hujah kebenaran.

Malah, tarekat ini sangat keras dalam penentangan hadis palsu. Ini kerana tarekat ini dipimpin oleh ahli hadis yang amat tegas terhadap palsu. Untuk karya hadis palsu, Al-Ḥāfiẓ Aḥmad ada al-Muġhīr ʿAlā al-Aḥādiṯs al-Mawḍūʿah Fī al-Jāmiʿ aṣ-Ṣoġhīr dan al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah ada Iršhād aṭ-Ṭōlib an-Najīb Ilā Mā Fī Min al-Mawlid an-Nabawiyy Min al-Akāḏzīb.

Dengan itu, pengikut tarekat ini sekurang-kurangnya terselamat daripada hadis-hadis yang tidak berasas, malah ditambah pula dengan bimbingan ilmu yang kritis bagi membentuk seorang ilmuwan yang berjiwa sufi yang sejati.

Apakah ada tarekat yang memiliki kelebihan dan bermanhaj seperti tarekat ini?

Yang menarik lagi adalah tarekat aš-Šhāḏziliyyah juga ada nama ilmuwan yang berpengaruh dan mereka ini membawa pembaharuan dan pembaikan dalam tradisi kesufian seperti al-Hāfiẓ Jalāluddīn as-Suyūṭiyy dan as-Sayyid Aḥmad Zarrūq, di samping keluarga al-Ġhumāriyy. Mereka ini bukan meneruskan taklid buta, tetapi meneruskan legasi bersama pembaikan dan pembaharuan secara kritis.

Andaikata kalau tarekat ini mula ada pengelola dan pengikut yang mula menongkah arus dan berlaku pertikaian dalam suatu manhaj atau pengamalan, maka nama tokoh ini sekurang-kurangnya boleh menjadi hakim dan rujukan bagi meleraikan pertikaian.

Pada saya, sepatutnya kita menghantar penuntut ilmu untuk menimba ilmu daripada pewaris sejati daripada keluarga al-Ġhumāriyy sama ada di zawiyahnya di Morocco atau daripada Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy di masjid Hady ar-Rosūl atau dengan Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ di Mesir atau sesiapa sahaja yang lain atau bagi pelajar di Kolej as-Sofa, boleh bersungguh-sungguh mempelajari daripada Sayyid ʿAbdul Munʿim bin ʿAbdul ʿAzīz bin aṣ-Ṣiddīq.

Kemudian, pulang dengan membawa tarekat yang diwarisi keluarga ini kepada masyarakat dan memperkenalkannya sebagai tarekat yang muktabar lagi selamat diikuti. Pihak yang berautoriti boleh endors mereka ini untuk mengukuhkan lagi tradisi daripada keluarga ini di tanah air kita.

Biarkan tarekat an-Naqšhabandiyyah al-ʿAliyyah itu kekal dalam statusnya dan terkubur. Tidak perlu dihidupkan lagi dan tidak perlu lagi disibukkan. Ketengahkan tarekat lain yang lebih muktabar dan lebih berkualiti. Selagimana ada banyak alternatifnya, pilih yang selainnya. Tidak perlu sibuk lagi pada yang telah rosak.

Gambar : Zawiyah tarekat ašh-Šhāḏziliyyah ad-Darqōwiyyah aṣ-Ṣiddīqiyyah.

No comments:

Post a Comment