Bagi mereka yang berminat untuk mengamati perbahasan dalil tanpa terikat dengan mazhab tertentu atau seseorang imam, maka sewajarnya untuk membaca karya tokoh ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy ini, al-Faqīh al-Uṣūliyy an-Nāqid al-Mujaddid ʿAbdul Ḥayy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ḥasaniyy.
Buku ini mengumpulkan beberapa karya al-Fāqih ʿAbdul Ḥayy tentang fiqh seputar bab penyucian dan solat. Karya beliau tidak hanya memaparkan bahawa hukum bagi sesuatu perkara dan dalil bagi pandangan tersebut, tetapi beliau juga menyajikan perbincangan yang kompleks lagi tajam dalam menganalisis dalil bagi sesuatu permasalahan.
Sebahagian orang secara gampang melemparkan tuduhan bahawa pertanyaan tentang dalil, pencariannya dan perbincangannya serta seruan kepada al-Kitāb dan as-Sunnah adalah golongan salafi yang tidak mahu bermazhab. Padahal, ia juga adalah jalan yang ditempuhi ahli bait sepanjang zaman berzaman dalam kesungguhan mereka untuk mengikuti sunnah datuk mereka صلى الله عليه وعلى آله وسلم yang mulia lagi suci.
Boleh dikatakan, keluarga al-Ġhumāriyy keseluruhannya tidak terikat dengan mazhab tertentu. Al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy antara yang paling bertenaga dalam menyerlahkan ijtihadnya dan pembaharuannya dalam usaha untuk memaparkan bagaimana daya kritis seorang ahli ilmu yang sejati dan manhaj yang sejahtera untuk diikuti.
Benar sekali bahawa buku beliau ini memang tidak patut dibaca oleh golongan pentaklid yang jumud, beku dan tidak suka mazhabnya atau imamnya dikritik. Buku beliau ini walaupun fokus tentang isu perbincangan fiqh dan dalilnya, tetapi beliau tetap menyelitkan celaan terhadap perangai para pentaklid yang taksub yang tidak mahu mengikuti dalil dan menyelewengkan makna nas demi memenangkan mazhabnya, di samping menekankan kepentingan untuk beriltizam dengan dalil sekalipun menyalahi imamnya dan mazhabnya.
Sekalipun beliau ada kepedulian yang mendalam dan entusias yang bergelora dalam mencapai pandangan yang benar berasaskan dalil, beliau tetap juga membela para ulama yang dicela dengan tidak sepatutnya. Misalnya adalah beliau membela al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy dari penyifatan yang buruk oleh Ibn al-ʿArobiyy al-Mālikiyy.
Apa yang ditonjolkan beliau adalah kita fokus perbincangan dalil, mengkritik apa yang salah, membentangkan apa yang benar dan membawa pandangan ulama yang tepat dalam pandangannya bagi permasalahan itu tanpa menyentuh mana-mana peribadi para ulama, apatah lagi merobek kredibilitinya dan mengoyakkan kewibawaan mazhab hanya kerana sebahagian perkara menyalahi sunnah.
Pun begitu, ia tetap tidak menghalang keperluan mengingatkan sebahagian pentaklid yang beku dan para pentaksubnya kerana baginya, inilah halangan yang utama untuk seseorang Muslim mencapai penganalisisan dalil secara matang lagi bermakna. Tidak hairan jika di banyak tempat, beliau menaburkan kritikan keras terhadap jenis kelompok seperti ini kerana golongan inilah yang paling bermasalah dalam tradisi keilmuan.
Buku beliau ini memang akan dibenci pentaklid kerana beliau banyak menyajikan celaan terhadap mereka, banyak mengkritik tokoh ilmuwan mereka dan melaksanakan sesuatu yang dibenci mereka, tetapi ia adalah manfaat yang besar yang wajar dihargai dan dijadikan pedoman bagi orang yang berkemahuan dalam melangkah di atas manhaj yang sejahtera kerana apa yang ditonjolkan tokoh ahli bait yang berkemahiran uṣūl fiqh ini adalah manifestasi yang diimpikan oleh golongan ini.
Buku ini tidak hanya memaparkan kritikan, dalil dan penyalahan beliau terhadap beberapa pandangan dalam mazhab, tetapi beliau juga memaparkan kaedah-kaedah fiqh yang kita boleh mempelajari penerapannya, penguatan poinnya dari sudut ilmu bahasa, penghujahan rasional yang mengenyangkan pembaca, hadis yang menjadi hujah kuat dalam mempertahankan suatu pandangan serta pembentangan analisis beliau dalam mendepani pengemukaan dalil dan hujah dari pihak lawannya.
Ini semua manfaat yang ingin ditimba dari orang yang ingin mengerti manhaj yang bersepadu dengan tradisi keilmuan yang celik lagi kritis. Buku ini sememangnya khazanah yang agung yang tidak boleh diperkecilkan nilainya.
Malang sekali kalau karya ahli bait ini seolah-olah seperti sepi dan mungkin sahaja tidak dikenali oleh para pecinta ahli bait. Seakan-akan khazanahnya terpendam serta tidak diberikan ruangan yang secukupnya untuk menyerlah dan bersinar.
Nama keluarga al-Ġhumāriyy rasanya tidak asing lagi. Bahkan, setiap kali namanya disebut, ia ada sanjungan yang tinggi terhadapnya. Namun, apa jadi? Kemahsyuran mereka hanya tinggal nama dan gelaran, tetapi tidak pada praktik, tradisi dan manhaj yang mereka bawa dan perjuangkan.
Apakah kerana kita sudah terlalu jemu atau tiada kepedulian dalam bersepadu dengan dalil atau sememangnya termasuk orang dicela oleh al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy sehingga karya-karya keluarga ini atau mereka yang meniti di atas titian yang sama sepertimana keluarga ini sukar mendapat tempat di masyarakat kita? Renungkanlah dan fikirkanlah.
Saya tidak akan hairan jika al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy yang ahli bait pun akan menjadi mangsa pelabelan wahabi kerana sikap sebahagian orang yang dicela. Itu tidak menghairankan jika ia berlaku kerana dalam buku ini ada sekali dia menyinggung aliran al-Ašhʿariyy dan dia diperkenalkan sebagai seorang salafi.
-------------------------------
Nota : Ketika saya menyemak beberapa atsar yang ada dalam buku ini, saya mendapati ada sebahagiannya penukilan secara makna yang agak lari daripada teks asal di rujukan asal, ada yang tersalah nukil dan ada yang tidak diketahui dari mana beliau menukilkannya seperti beliau berkata ia dalam Muṣonnaf ʿAbdul Rozzāq, tetapi apabila disemak, saya tidak menemukannya dan pentahqiq sendiri berkata dia tidak menemukannya.
Mungkin pada sudut atsar, beliau tidak sekompeten sepertimana abangnya, al-Ḥāfiẓ Aḥmad dan al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah yang teliti berkejituan dalam penukilan sekalipun beliau jaguh dalam bidang uṣūl fiqh. Mungkin sekali beliau lebih bergantung kepada rujukan sekunder dalam menukilkan atsar dan tidak mengambil berat perujukan dari sumber asalnya. Moga Allah memaafkan atas kekurangannya dan kesalahannya.
Akan tetapi, dalam hadis, beliau masih menjaga teks asalnya sepertimana yang ada dalam rujukan primer.
No comments:
Post a Comment