Friday, 8 April 2022

Sedikit Cuplikan Pada Buku Al-Ijtihadāt Wa Al-Īḍōfāt Al-ʿIlmiyyah Li As-Sayyid ʿAbdillah Ibn Aṣ-Ṣiddīq Al-Ġhumāriyy Karya Dr Fadwā Bankīrōn


Al-Ijtihadāt Wa al-Īḍōfāt al-ʿIlmiyyah Li as-Sayyid ʿAbdillah Ibn aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy karya Dr Fadwā Bankīrōn mempersembahkan hasil sumbangan keilmuan al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy yang belum pernah ada sebelum beliau dan yang beliau bersendirian dengannya.

Membaca karya ini, sesiapa pun tidak akan meragukan bahawa Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy sememangnya mujaddid pada zamannya. Dari karya ini juga kita mengetahui bahawa beliau tidak hanya mengulang apa yang dahulu dan meniru apa jua yang telah lama menjadi tradisinya. Beliau bahkan mengambil inisiatif untuk membawa sesuatu yang berlainan dan yang belum pernah ada zaman beliau atau bidang kajian tersebut masih dalam piscisan yang tidak diambil berat oleh ramai ilmuwan.

Antara kajian baharu yang beliau sumbangkan adalah pengumpulan tafsir-tafsir yang bidaah dengan judul Bidaʿ at-Tafāsīr. Dari karya ini sahaja menampakkan keluasan pembacaan beliau dan ketekunannya dalam mencari tafsir yang dianggap bidaah lagi menyalahi kaedah ilmu dengan mengorek karya Muktazilah, syiah sehinggalah ahli sunnah. Tidak sekadar itu, beliau juga akan membentangkan kritikan yang tuntas dan mengenyangkan dalam menyanggah penafsiran seperti itu.

Antara karya yang belum pernah ada sebelum ini adalah pengumpulan hadis tentang pengutusan Rasulullah صلى الله عليه وسلم kepada aṯs-Tṣaqolayn, iaitu manusia dan jin. Bahkan, dalam karya ini, beliau menyebutkan empat orang sahabat baginda dari kalangan jin yang mungkin belum pernah ada mana-mana kitab biografi para Sahabat memasukkannya seperti ʿAmr bin al-Jūmānah, ʿAmr bin Aṯsāl al-Jinniyy, ʿAmr, iaitu jin yang lain dan Ibn Lūḏzān al-Jinniyy.

Malah, dalam pembaharuan yang beliau bawa, ada sebahagiannya yang beliau menyalahi sekalian ulama. Contohnya adalah isu penolakan penasakhan terhadap tilawah al-Quran dan penghukuman ilal terhadap hadis kaum Yahudi yang dilaknat kerana menjadikan kubur para nabi sebagai masjid.

Keberanian beliau ini sememangnya membuktikan bahawa membawa pembaharuan perlu tidak gentar dengan bersendirian dan melawan arus walaupun menyalahi sekalian para ulama. Bahkan, perlu yakin dengan kemampuan diri dan teguh kepercayaan terhadap ijtihad yang dibentangkan dan dipertahankan.

Bagi yang mengenali beliau, sememangnya mengetahui beliau ada banyak seteru dan pesaing kiri dan kanannya. Bahkan, di beberapa karya beliau, sememangnya beliau menceritakan sendiri pengamalan perbalahan dan pertikaian beliau dengan beberapa orang atau sebahagian pihak sehingga termasuk dari kalangan sufi sendiri. Oleh itu, membawa pembaharuan perlu bersiap sedia dan cekal dalam menerima penentangan di pelbagai arah dan menempuh jalan yang menongkah arus.

Sememangnya patut bagi kita semua yang mengagung tinggi ahli bait untuk membaca salah seorang tokoh besar sufi daripadanya dan juga keluarga al-Ġhumāriyy secara umumnya. Mereka dari keluarga ini mempersembahkan apa yang mana-mana keluarga ahli bait tidak mampu menirunya. Khazanah mereka sangat berharga untuk dipelihara, dikaji dan diperkenalkan kepada masyarakat kerana apa yang ditonjolkan oleh mereka adalah manhaj yang sejahtera lagi berautoriti untuk diikuti.

No comments:

Post a Comment