Sunday, 3 October 2021

Membedah Ciri Kebejatan Sufi Yang Menyeleweng Melalui Analisis Syeikh Muḥammad Az-Zamzamiyy Dalam Bantahannya Kepada Tarekat At-Tijāniyy Melalui Kitabnya Iʿlām Al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām At-Tijāniyy Min Al-Kaḏzib Aẓ-Ẓōhir Wa Al-Kufr Al-Mubīn


Sesiapa sahaja yang ingin mengenal puncak kebejatan yang ada pada tarekat kesufian, saya mencadangkan untuk membaca kitab Iʿlām al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏzib aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn karya Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq, tokoh sufi berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم dari keluarga al-Ġhumāriyy.

Boleh dikatakan hampir kesemua isu yang membabitkan kebobrokan dan korupsi yang ada pada kesufian telah wujud pada tarekat at-Tijāniyy yang menjadi sasaran kritikan kepada Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy pada zamannya. Ia adalah karya yang ringkas, tetapi padat dengan pelbagai manfaat dalam memahami prinsip-prinsip Islam untuk mendepani penyelewengan yang ada pada tarekat kesufian.

Dalam penghasilan kitab ini, beliau meluahkan kehairanan kerana para ulama Morocco berdiam diri daripada kerosakan, kehancuran dan kesesatan tarekat at-Tijāniyy yang telah menyesatkan orang ramai dari timur dan barat. Dalam kesempatannya, beliau menegaskan bahawa kewajipan para ulama untuk menyuarakan dan menentang kebatilan yang telah nyata serta tidak boleh berdiam diri dari mengingatkannya kepada para umat.

Sebenarnya, inilah yang berlaku apabila seseorang berada di sebuah kawasan yang melatanya kesufian. Oleh sebab masyarakat menganggap bahawa ia salah satu ajaran Islam dan mereka menggunakan istilah ahli sunnah dalam pengajaran mereka serta menyeru kepada pendidikan kerohanian, mereka menerimanya sebegitu sahaja tanpa mengamati kandungan pembawaannya dan intipati pengajarannya.

Hakikatnya, abangnya, al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy juga pernah menerajui usaha untuk membawa pembaikian kepada praktik kesufian dengan menapis beberapa kisah karamah para wali Allah yang diada-adakan oleh para pelampau sufi dengan manhaj keilmuan yang kritis melalui kitabnya Awliyāʾ Wa Karomāt. Akan tetapi, dalam mukaddimah kitab tersebut, dia menyatakan bahawa kalaulah kebanyakan orang mendengar kitab itu kepada mereka, pasti dia dituduh sebagai cenderung kepada wahabi!

Sememangnya inilah cabaran apabila seseorang ingin membawa pembaharuan dan pembaikian dalam tradisi kesufian. Kalaulah tokoh berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم sendiri yang membela praktik kesufian pun dilabel wahabi dan ditentang kerana menyalahi beberapa perkara yang ada pada kesufian, tentu lagi sesiapa sahaja yang selain dari ahli bait ataupun yang lebih kerdil daripada tokoh ini untuk menerima tentangan sebegini.

Pada zaman Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy, telah berleluasa tarekat kesufian yang menyimpang sehingga mendorongnya untuk menulis kitab az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh. Dalam ini, beliau memaparkan bentuk-bentuk kesesatan, bidaah, kemungkaran dan kerosakan yang pada tarekat kesufian, di samping mengkritik mereka. Dalam kritikannya, tarekat at-Tijāniyy adalah yang dia sifatkannya sebagai yang paling teruk sehingga mendapat penghasilan kitab khas dalam menyergah kebatilannya.

Kitab ini ditulis dalam merespons lapan soalan dari penanya tentang isu yang berbangkit daripada tarekat ini. Namun, berbanding kita melihat soalan dan jawapannya, di sini kita simpulkan tempat putaran yang menjadi perlegaran bagi tarekat ini yang menjadi sebab kerosakan kepadanya.

Kita sememangnya maklum bahawa pengalaman yang diperoleh melalui kejadian yang mencarik adat atau yang disebutkan sebagai karamah bagi mana-mana tarekat wujud pada mereka demi untuk mengunggulkan keistimewaan yang ada pada mereka. Dalam tarekat at-Tijāniyy ini, syeikh tarekat tersebut mendakwa bahawa dia melihat Rasulullah صلى الله عليه وسلم secara yaqazah dan mengkhabarkan beberapa perkara. Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy antara orang yang menolak berlakunya perkara seperti ini dengan membentangkan kalam ulama seperti Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy, al-Qoṣṭolāniyy dan as-Saẖōwiyy serta menganalisisnya.

Kemudian, setelah Muḥammad az-Zamzamiyy membahaskan tidak sabitnya kejadian ini ketimbang dalil sunnah, beliau menyatakan dakwaan seperti ini sebenarnya untuk memuji dirinya sendiri dan menetapkan keistimewaannya. Ini poin yang sangat penting untuk kita jengah dan ambil perhatian. Sebab pertama yang menjadi kerosakan bagi tarekat kesufian adalah membangga-banggakan perolehan yang ada padanya, khususnya dengan sandaran batil.

Malah, sememangnya terdapat pengakuan syeikh tarekat ini dalam al-Jawāhir al-Maʿānī sepertimana yang dikutip Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy tentang kedudukan tinggi tarekatnya :

أن لنا مرتبة عند الله تناهت في العو عند الله إلى حد يحرم ذكره ليس هي ما أفشته لكم ولو صرحت بها لأجمع أهل الحق والعرفان على كفري فضلا عما عداهم وليست هي التي ذكرت لكم، بل هي من ورائها ومن خاصية تلك المرتبة أن من لم يحافط على تغيير قلبي بعدم حفظ حرة أصحابنا، طرده الله من رقبه ولبه ما منحه

"Sesungguhnya kita ada martabat di sisi Allah yang telah sampai di ketinggian di sisi Allah sehingga had yang haram penyebutannya yang bukanlah ia adalah apa yang aku membukanya secara terang kepada kalian. Kalaulah aku menyatakan dengan jelas tentangnya, pasti ahli kebenaran dan yang mengenal sepakat terhadap kekufuranku, lebih-lebih lagi orang yang selain mereka, sedangkan bukanlah ia adalah yang aku sebutkan kepada kalian, tetapi ia adalah apa yang dari sebaliknya dan dari ciri khas martabat itu bahawa sesiapa yang tidak memelihara perubahan jantungku dengan tanpa menjaga kehormatan sahabat-sahabat kami, pasti Allah menyingkirkannya dari kedekatan-Nya dan Dia mencabutnya dari apa yang Dia anugerahkan kepadanya". [Iʿlām al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏzib aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn, m/s 28].

Muḥammad az-Zamzamiyy menempelak kenyataan ini :

ماذا تكون يا ترى لا تعلم مرتبة عالية عند الله يكفر مدعيها بإجماع أهل الحق إلا النبوة؟ فهل كان يمهد لدعوى النبوة بهذه الفضائل التي مدح بنفسه وبالغ في إطرائها؟

"Kenapa engkau ini menjadi tidak mengetahui martabat tinggi di sisi Allah yang dikafirkan pendakwanya dengan ijmak ahli kebenaran melainkan kenabian? Adakah dia menyediakan dakwaan kenabian terhadap kelebihan-kelebihan ini yang dia memuji dirinya sendiri dengnanya dan berlebihan dalam memuja-mujinya?". [Iʿlām al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏzib aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn, m/s 28].

Sebenarnya, beberapa tarekat atau beberapa aliran kesufian mahu mempromosikan keistimewaan mereka dengan mendakwa pelbagai perolehan yang ghaib dan tidak didapati secara kebiasaan. Antara sebabnya adalah supaya untuk mensakralkan tradisi pengamalan mereka, memukau pengikutnya secara buta dan ingin dijadikan perisai dari dikritik.

Antara dakwaan syeikh tersebut dalam lihatan secara yaqazah adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengkhabarkan bahawa syeikh tersebut adalah termasuk orang yang aman dan sesiapa yang melihatnya akan mati dalam keadaan iman dan sesiapa yang berbuat baik kepadanya akan masuk ke syurga tanpa hisab.

Apa sebenarnya yang diinginkan daripada perkhabaran ini? Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy menyatakan inilah bentuk untuk mendakwa kesucian pada diri dengan pujian dan nisbah kelebihan padanya. Ini juga poin yang penting untuk ditekankan. Sebab kedua yang menjadi kerosakan mereka adalah memaksumkan syeikh tarekat masing-masing.

Ini kerana ramai sufi berlebih-lebihan mengangkat syeikhnya sehingga ke tahap dia seolah-olah dijamin kasih sayangnya kepada Allah, selamat dari tipu daya-Nya dan selamat dari perasaan munafik yang mana para Sahabat رضي الله عنهم أجمعين pun merasa tidak selamat daripadanya. Inilah cara untuk memaksumkan syeikh dan sistem yang diamalkan dalam tarekat tersebut tanpa mereka sedar walaupun mereka selalu sahaja menafikannya.

Apa sebenarnya tujuannya untuk memaksumkan syeikh ini? Dari sinilah munculnya bidaah sama ada dari aspek akidah yang berbentuk perkhabaran ghaib atau pensyariatan yang diada-adakan yang menyalahi syariat. Oleh sebab syeikh tarekat telah dimaksumkan, dia seolah-olah ada mandat daripada Allah untuk menjustifikasikan apa sahaja pegangan dan amalan walaupun menyalahi syariat serta itu tidak akan ditentang oleh para pengikutnya kerana terpedaya dengan canangan keistimewaan syeikh tersebut sehingga lupa kepentingan mengikut kepada sunnah dan beriltizam kepada dalil yang didasari ilmiah. Poin ketiga ini adalah punca kerosakan sufi.

Dalam tarekat at-Tijāniyy yang dikritik Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy ini, syeikh tersebut mendakwa dua perkara dalam aspek akidah yang berbentuk perkhabaran ghaib melalui dakwaan perkhabaran Rasulullah صلى الله عليه وسلم secara yaqazah.
 
Yang pertama adalah dia mendakwa bahawa sesiapa sahaja yang mengamalkan zikir daripada tarekat tersebut akan diampunkan dosanya yang akan datang dan yang terdahulu serta dimasukkan dalam syurga tanpa hisab dan hukuman serta pelbagai lagi yang lain. Yang kedua adalah bahawa kelebihan selawat al-Fātiḥ menyamai pembacaan al-Quran sebanyak enam kali!

Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy berkata bahawa dakwaan ini adalah karut dan tidak perlu dilayan kerana menetapkan perkara ghaib hanya mandat daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Malah, penetapan selawat al-Fātiḥ lebih baik daripada pembacaan al-Quran adalah jelas kalam yang kufur yang tidak perlu dipertahankan lagi. Perkara ini antara yang dijelaskan panjang lebar oleh Muḥammad az-Zamzamiyy dalam kitab ini.

Pun begitu, itu pun masih ada yang berdegil untuk mempertahankan kenyataan ini yang sememangnya menyalahi dalil yang jelas yang boleh difahami oleh mana-mana orang awam sekalipun! Inilah sebab keempat kepada kerosakan sufi, iaitu taat secara semberono dan taklid membabi buta walaupun terang-terangan batil.

Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy telah membentangkan jawapan balas terhadap mereka yang mempertahankannya. Antara kritikan yang ditujukan kepada mereka yang mempertahankannya adalah dakwaan mereka bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم tidak menyampaikan kelebihan ini pada para sahabatnya. Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy membantah bahawa ini adalah sesuatu yang tidak mungkin kerana ini adalah tuduhan terhadap baginda bahawa baginda menyembunyikan sebahagian penyampaiannya dan mengkhianati tanggungjawabnya dalam menyampaikan apa yang diwajibkan kepadanya.

Malah, antara cara syeikh mempertahankan dakwaan ini adalah bahawa ia adalah perkhabaran ghaib yang mana akal tidak boleh capai padanya dan ia terkeluar daripada kaedah yang maklum. Padahal, sumber perkhabaran ghaibnya yang didakwa adalah ia merupakan penerimaan lembaran daripada cahaya dengan perantara malaikat yang terjadi dalam mimpinya! Lihat bagaimana dia menyamakan dapatan kebatinannya sama sepertimana autoriti al-Quran dan as-Sunnah!

Inilah punca kerosakan kesufian yang kelima. Mereka menjadikan selain al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber autoriti untuk menetapkan perkara ghaib atau suatu pensyariatan.

Sebab itulah Muḥammad az-Zamzamiyy menyatakan di akhir perbahasan soalan yang terakhir bahawa mimpi pertemuan dengan Rasulullah صلى الله عليه وسلم pun tidak akan diambil kira apabila menyalahi syariat. Cukuplah kita berpegang kepada ini. Maka, apa sahaja dakwaan yang datang kepadanya perlulah diperhatikan sama ada ia bersesuaian dengan syariat ataupun tidak sebelum menerima dan memperakui dapatan tersebut.

Jika kita mengikuti mana-mana polemik atau isu yang menjadi pendebatan hangat yang berkaitan dengan sufi seperti sama ada Khidir عليه السلام adalah wali Allah atau nabi, sama ada Khidir عليه السلام masih hidup atau tidak, sama ada bolehnya berlaku penampakan Rasulullah صلى الله عليه وسلم secara jaga dan pelbagai lagi, kita tidak perlu peduli apa dalil dan penghujahan mereka dalam menetapkan status kewalian Khidir عليه السلام, kes . Kita perlu lihat apa motif di sebalik dakwaan mereka dalam berpendapat Khidir r masih hidup dan tidak mustahilnya berlakunya penampakan Rasulullah صلى الله عليه وسلم secara jaga.

Kita lihat di sebalik mereka mempertahankan harusnya berlaku penampakan baginda secara jaga sebagai contoh, mereka sebenarnya ingin menetapkan pujian terhadap mereka, keistimewaan pada mereka dan membenarkan dakwaan yang mengarut dan bidaah yang menyalahi syariat seperti mengatakan bahawa selawat al-Fāṭiḥ lebih baik daripada pembacaan al-Quran. Inilah yang sebenarnya yang mahu dipertahankan ketika bersungguh-sungguh mempertahankan harusnya berlaku penampakan baginda secara jaga. Tidak syak lagi bahawa kalaulah benar keharusan penampakan baginda secara jaga, maka perkhabaran yang menyalahi syariat adalah tertolak dan tidak perlu dipedulikan.

Seterusnya, antara cara syeikh mempertahankan dakwaan ini adalah bahawa ia mendakwa bahawa ia adalah dapatan yang khas yang mana baginda mengkhususkan sesuatu dari kalangan umatnya. Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy membantah bahawa tidak ada dalam agama ini yang orang tertentu memiliki pensyariatan atau hukum-hakam yang khusus yang tidak ada pada orang lain dari kalangan Muslim seperti penerimaan perkhabaran tentang kelebihan selawat al-Fātiḥ ini hanya kepada syeikh tarekat at-Tijāniyy sahaja.

Kemudian, antara cara syeikh ini mempertahankan dakwaan ini adalah dengan menutup perbincangan. Muḥammad az-Zamzamiyy mengutip kata-kata syeikh ini dalam al-Jawāhir al-Maʿānī bahawa dia berkata :

ومن أراد المناقشة في هذا الباب قليترك فإنه لا يفيد استقصاء حجج المقال واترك عنك محاجة من يطلب منك الحجج. فمن أراد الله حرمانه من خيرها، صرف قلبه بالوسوسة وبقوله من أين أتى خبرها

"Sesiapa yang menginginkan perbincangan pada bab ini, maka hendaklah dia meninggalkannya. Ini kerana sesungguhnya ia tidak memberi faedah evualusi hujah yang diperkatakan. Dan tinggalkan pendebatan orang yang menuntut penghujahan daripadamu. Sesiapa yang Allah mahu keharaman kebaikan daripadanya, maka Dia memalingkan jantungnya ke waswas dan pertanyaan tentang dari mana khabarnya datang". [Iʿlām al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏzib aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn, m/s 22].

Inilah sebab keenam bagi kerosakan sufi, mereka menutup perbincangan ilmiah, tidak mahu bertanggungjawab dalam bersikap transparensi atau telus dalam beragama serta enggan menunaikan hak ilmu dalam penyampaian dan dakwaan. Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy merespons kata-kata ini dengan membentaknya :

فانظر كيف لبس على أصحابه وصرفهم عن النظر في الدليل بالمغالطة والكلام الفارغ الذي هو من جنس كلام اليهود في الرد على من يجادلهم في دينهم

"Lihatlah bagaimana dia mengaburkan pengikutnya dan memalingkan mereka daripada memerhati dalil dengan sebab terjebak dalam kekeliruan dan kalam yang kosong yang ia adalah dari jenis kalam Yahudi dalam menolak orang yang berdebat dengan mereka pada agama mereka". [Iʿlām al-Muslimīn Bi Mā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏzib aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn, m/s 22].

Ketiadaan transparensi atau ketelusan dalam beragama dan kepedulian terhadap dalil inilah sebenarnya yang membinasakan tarekat kesufian. Antara sebab utamanya adalah kejauhan daripada mengikut al-Quran dan as-Sunnah serta bertaklid buta terhadap tokoh-tokoh yang ternama. Perkara inilah antara yang menjadi tema besar yang disentuh oleh Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy dalam sanggahan terhadap tarekat ini melalui kitab ini.

Adakalanya, alasan biasa yang selalu dilontarkan dalam mengelakkan diri daripada perbincangan ilmiah dan analisis dalil adalah: "Kamu bukan ahli dan kamu tiada sanad tarekat. Kamu belum faham lagi. Kamu perlu belajar dan mengamalkan tarekat daripada kami terlebih dahulu!". Apa sahaja bentuk alasan hakikatnya bermatlamatkan untuk mengelakkan perbincangan secara ilmiah dan kembali kepada dalil yang tulen.

Sebenarnya, tidak perlu pun bagi seseorang mengikuti tarekat ini pun untuk dia tahu kebatilan dakwaan selawat al-Fātiḥ lebih baik daripada pembacaan al-Quran. Cukup melihat bagaimana beberapa prinsip mendasar atau keseluruhannya untuk pengikutnya atau syeikhnya menjustifikasikan sedemikian untuk mengetahui sejauhmana kebenaran ajaran ini. Begitu juga mana-mana pengajaran dari pengikut aliran kesufian yang disebarkan kepada orang ramai. Alasan bahawa kita bukan ahlinya atau tiada sanad atau belum faham lagi sebenarnya dalih untuk menutup kepincangan yang ada pada mereka.

Kemudian, pada aspek pensyariatan, syeikh tarekat ini mennyatakan dua perkara. Pertama, dia menyatatakan bahawa bahawa sesiapa sahaja yang mengambil wirid daripadanya, maka hendaklah dia meninggalkan wirid yang dia ambil daripada tarekat lain dan tidak boleh dia kembali kepadanya selama-lamanya. Yang kedua adalah tidak boleh sama sekali menziarahi sesiapa pun dari kalangan wali Allah sama ada masih hidup atau mati.

Sudah tentu ini adalah suruhan yang menyalahi syariat dan tidak perlu dituruti. Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy telah menjelaskan kebatilan ini. Namun, malangnya masih ada lagi sebilangan sufi yang ingin taat kepada yang mungkar dari syeikhnya dan tidak mempedulikan lagi kalam Allah dan sabda rasul-Nya. Semua perkara ingin dimenangkan kepada alirannya, tarekatnya atau tokoh panutannya.

Melalui apa yang telah dibentangkan ini, terdapat enam perkara yang merosakkan kesufian dan tarekatnya.
 
1) Berbangga-bangga dengan kelebihan dan keistimewaan pada tarekat, khususnya yang berkaitan perolehan yang mencarik adat, dapatan kebatinan, pembukaan ghaib dan pengalaman kerohanian demi mempengaruhi orang ramai dan menidakkan segala kritikan terhadapnya.

2) Memaksumkan syeikhnya walaupun pengikutnya tidak menyebutkannya secara terang-terangan atau menafikannya.
 
3) Mengabaikan ikutan kepada sunnah dan mendahulukan apa yang menjadi kepercayaan dan pengamalan tarekat sama ada berbentuk dapatan ghaib atau seumpamanya.

4) Taat secara semberono dan taklid membabi buta.
 
5) Menjadikan selain al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber autoriti untuk menetapkan perkara ghaib atau suatu pensyariatan.

6) Tidak bersikap transparensi dalam agama, bertanggungjawab terhadap amanah ilmu dan menjauhi perbincangan dalil.

Sememangnya buku dari tokoh sufi berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم ini wajar dibaca dan menjadi panduan kepada masyarakat untuk mengenali penyimpangan yang ada pada tarekat kesufian. Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy telah melakukan yang terbaik dalam membentangkan dalil daripada hadis serta menganalisisnya dengan tajam, menyajikan pendirian Islam yang sebenar dalam mendepani sesuatu dakwaan serta mengembalikan matlamat tasawwuf yang asal.

Tarekat at-Tijāniyy yang menjadi subjek perbahasan ini adalah salah satu daripada mereka yang berada di puncak kerosakan, bagaimana pula dengan tarekat yang lain? Jadikanlah buku ini sebagai panduan dan pembinaan metodologi dalam menilai tarekat kesufian.

No comments:

Post a Comment