Akan tetapi, kita perlu beringat bahawa dalam menyampaikan beberapa perkara baginda, kita perlu berhati-hati, cermat dan teliti dalam penyampaian beberapa hadis dan riwayat yang berkaitan dengan baginda.
Jangan sama sekali mencemarkan sambutan maulid kita dengan kisah-kisah yang batil, riwayat yang tidak berasas dan hadis-hadis palsu. Mencintai junjungan baginda jangan hanya sekadar sentimen sahaja, tetapi perlu cakna dan peka dalam penyifatan dan penceritaan tentang baginda.
Untuk menepis kelompongan yang ada pada ceramah dan penyampaian yang berkaitan dengan majlis maulid, al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy, tokoh ilmuwan lagi ahli hadis sufi yang berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengambil inisiatif untuk menghasilkan buku kecil yang berjudul Iršhād aṭ-Ṭōlib an-Najīb Ilā Mā Fī al-Mawlid an-Nabawiyy Min al-Akāḏzīb.
Dalam buku yang nipis ini, beliau memulakan terlebih dahulu tentang sejarah penulisan tentang maulid secara ringkas.
Secara ringkasnya, setakat yang beliau tahu, yang mula-mula menghasilkan karya tentang kelahiran baginda adalah al-ʿAllāmah al-ʿAzfiyy as-Sabtiyy. Kemudian al-Ḥāfiẓ Abū al-Kẖiṭōb Ibn Diḥyah mengarang kitab tentang kelahiran baginda, lalu beliau membentangkannya kepada raja aṣ-Ṣōliḥ Ayyūb yang baginda mengadakan majlis maulid besar-besaran yang para ulama, para pemuka dan orang awam mengajak kepadanya.
Kemudian, terus-menerus penulisan yang berkaitannya melainkan al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy menzahirkan rasa kekecewaan kerana karya-karya terkebelakangan ini melebar luas dalam penyebutan khabar palsu dan riwayat yang rapuh.
Kemudian, beliau memaparkan sebab secara ringkas kepincangan yang ada karya yang berkaitan dengan maulid. Salah satu sebabnya adalah kerana adanya penyebutan hadis palsu dan atsar yang rapuh.
Dalam kesempatan yang sama, beliau mencadangkan pembacaan buku beliau yang berjudul Faḍōʾil an-Nabiyy Fī al-Qurʾān. Kata beliau, buku ini akan menjadi penyejuk mata, melapangkan dada dan menenangkan hati setiap Mukmin yang mencintai Nabi صلى الله عليه وسلم. Ini kerana buku ini adalah pendalilan daripada al-Qurʾān sendiri dan terbebas daripada kepalsuan.
Seterusnya, beliau membawakan beberapa hadis yang sahih tentang pengenalan kepada kewujudan baginda seperti kesucian nasabnya, keawalan kenabian berbanding para nabi yang lain, sebab Rasulullah diutuskan dengan menukil kalam Ibn Rojab al-Ḥanbaliyy dan sifat manusiawi baginda.
Akhirnya, tema yang penting dalam kitab ini adalah mengumpulkan beberapa hadis palsu yang berkaitan dengannya.
Antara hadis dan riwayat yang beliau menghukumkan palsu adalah :
-Hadis riwayat Jābir tentang awal penciptaan alam adalah Nūr Muḥammad
-Hadis: "Aku adalah cahaya di hadapan tuhanku sebelum Dia menciptakan Adam selama empat puluh ribu tahun".
-Hadis awal penciptaan segala sesuatu adalah cahaya baginda.
-Hadis: "Kalau bukan kerana engkau, nescaya aku tidak menciptakan alam buana",
-Hadis: "Aku adalah nabi, sedangkan Adam masih antara air dan tanah".
-Riwayat bahawa baginda lahir dalam keadaan berkhitan
-Riwayat bahawa ketika ibu baginda, Amīnah ketika sakit melahirkan anak, Āsiah, Ibu Mūsā dan Ibu ʿĪsā hadir ketika itu.
Bahkan, ada hadis palsu itu mampu menyebabkan seseorang itu beriktikad sesuatu yang kufur dan menyebabkan kurangnya adab terhadap hak malaikat. Beliau menyebutkan contoh daripadanya.
Atas sebab inilah kita wajib berjaga-jaga dalam penyampaian hadis, lebih-lebih lagi seseorang yang dijemput sebagai penceramah atau panel. Seeloknya mereka wajar membelek buku ini sebentar supaya mereka beringat dan peka untuk menjaga kesahihan hadis.
Buku kecil ini ditulis oleh tokoh ahli bait yang berusaha untuk membasmi mana-mana kepalsuan yang disandarkan kepada junjungan datuknya صلى الله عليه وسلم.
Sebab itulah beliau dalam buku ini menyebutkan bahawa antara kesempurnaan pengagungan terhadap baginda dan kesempurnaan cinta terhadap baginda adalah menolak sudut-sudut kepalsuan dan menjauhkan diri daripada menyisipkannya.
Walaupun buku ini nipis, tetapi ia mengandungi pengisian yang besar untuk menggesa setiap orang yang menyampaikan dan mengongsikan riwayat tentang Rasulullah صلى الله عليه وسلم agar sentiasa cakna dan berwaspada tentang kesahihannya.
Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy telah menyumbang jasa yang terbaik dalam memurnikan semula tradisi kesufian dalam menepis riwayat palsu yang berlegar dalam kelompok mereka.
Meskipun beliau adalah sufi, bagi sesiapa yang mengenali beliau, beliau tidak begitu apologetik terhadap segala yang menjadi prinsip, manhaj dan tradisi kesufian, membenarkan apa sahaja yang ada pada kesufian dan membela mereka tanpa haknya.
Inilah ahli bait yang wajar dicontohi dan diteladani. Menjadi ahli bait bukan untuk memenangkan mana-mana aliran, tetapi bergiat usaha untuk menyeru kepada sunnah kanjeng baginda صلى الله عليه وسلم yang murni lagi mapan.
No comments:
Post a Comment