Showing posts with label Celoteh. Show all posts
Showing posts with label Celoteh. Show all posts

Wednesday, 6 March 2024

Sebab Saya Ingin Menjayakan Majlis Riwayat Dan Ijazah Di Server Discord Sembang Akidah Dan Politik



Sepatutnya slot setiap Sabtu jam 10 pm adalah milik Shirohige Sama untuk dia mengepalai sesi perbincangan akidah tergempar mingguan yang diadakan di sini : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Cuma, kenapa saya bertekad untuk ambil masanya walaupun 10 minit awal untuk menjayakan majlis riwayat dan ijazah?

Yang pertama adalah inilah acara kemuncak bagi server Sembang Politik dan Akidah yang mana atas tujuan inilah server ini dibangunkan.
 
Pada masa keramaian ini untuk mengimarahkan sesi dan bertandang untuk belajar, berdiskusi dan mengutarakan pandangan, inilah satu-satunya masa yang dapat saya ambil kesempatan untuk merealisasikan majlis ini.

Yang kedua -dan ini poin yang paling penting sekali- adalah melestarikan majlis riwayat dan mempertahankannya dari punah inilah pesan Kiyai Ahmad Marwazie dalam cuplikan video ini, artikel yang merakamkan temu bualnya dan ucap tamanya ketika hadir ke Malaysia.
 
Jika ini menjadi perkara ulangan dari semasa ke semasa, semestinya inilah visi yang dibawa oleh Kiyai Ahmad Marwazie dan antara teras utama dalam penceburan lapangan pendidikan.

Majlis riwayat dan ijazah atau program atau tradisi yang berkenaan dengannya dilihat sangat jarang di Malaysia. Tanyalah mana-mana asatizah pun, mereka akan akui perkara ini dan mereka sendiri akan menegaskan bahawa majlis seperti ini penting lagi wajar dihidupkan.

Kebiasaan sekali kita mendengar keluhan bahawa kegiatan ini jarang dijayakan di Malaysia, para penuntut sangat sukar untuk memperolehnya dan mereka yang ada kepedulian dengannya seringkali terlepas peluang berharga ini. Namun, setelah bertahun-tahun keluhan, apa tindakan kita dalam memperkasakannya?

Kita boleh lihat masalah pudarnya tradisi ini pada pelajar bahasa Arab yang begitu sukar sekali untuk mendapatkan sanad kitab Matn al-Ājurrūmiyyah, padahal kitab ini adalah kitab pilihan untuk mempelajari atau mengajar bahasa Arab dan kelas pengajiannya tersebar di serata dunia.
 
Sepatutnya adalah semakin popular kitab, semakin mudah untuk memperoleh sanad. Namun, kenapa yang terjadi adalah sebaliknya?
 
Seolah-olah kita sedang menyaksikan apa yang ašh-Šhaykẖ al-ʿAllāmah Musnid ad-Dunyā Muḥammad Yāsīn al-Fādāniyy menyaksikannya di Indonesia pada masanya pada kegiatan periwayatan.
Guru-guru berkaliber kita sangat ramai, tetapi periwayatan dari guru-guru kita sangat lesu dalam menitikberatkannya dalam mewariskan legasinya melalui ketersambungan silsilah ilmu, kerohanian dan keberkatan.

Mengenang apa yang diusahakan oleh ašh-Šhaykẖ Muḥammad Yāsīn al-Fādāniyy, saya pun fikir bahawa saya juga perlu mengambil langkah dalam merealisasikan apa yang menjadi visi ašh-Šhaykẖ Musnid ad-Dunyā meskipun saya bukanlah ahlinya dan kerdil usaha saya untuk memperkasakannya.
Antara usaha saya dalam memperkasakannya adalah melalui kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab yang saya jayakan dan saya berharap peserta yang mengikut kelas saya. Ini saya sudah cerita panjang lebar di halaman Facebook saya di Kelas Kemahiran Pembacaan Bahasa Arab - Ridzwan.

Cuma, saya terfikir bahawa jika ia sekadar terhad untuk kelas saya sahaja, orang lain di luar tidak berpeluang untuk mendapatkannya. Sememangnya tidak patut jika seseorang itu ingin majlis ini menyegar di pelusuk ceruk tanah air kita ini, tetapi hanya tertutup untuk orang tertentu sahaja yang mampu mendapatkannya.

Oleh itu, saya menceburkan diri untuk menghidupkan majlis ini bermula dengan rakan-rakan saya yang berada di Discord. Saya berharap rakan-rakan saya dari kalangan wibu, gamer atau bukan dari kalangan agamawan juga berpeluang mendapat sama apa yang asatizah di Malaysia sendiri yang jarang mendapatkannya.

Sekurang-kurangnya rakan-rakan yang hadir bukan sahaja dapat mempelajari, memahami dan mendalami perkara yang berkaitan dengan akidah dan agama, mereka juga memperoleh ijazah sanad kepada pengarang sebagai penghargaan daripada saya atas komitmen mereka untuk hadir bertandang dalam menuntut ilmu, mengongsikan idea yang bernas, menyertai dalam perbincangan dan memeriahkan sesi.

Saya bukanlah sesiapa pun dari kalangan yang terbaik. Kerja ini sepatutnya digalas oleh musnid atau asatizah yang berketerampilan.
 
Namun, rakan-rakan saya ini kebiasaannya disisihkan dan sukar mendapat tempat dalam kalangan agamawan. Saya tidak gemar membiarkan mereka terlepas kebaikan yang mahal ini hanya kerana mereka ini wibu, gamer atau bukan orang agama.
 
Mereka juga berhak untuk mendapatkan bahagian kebaikan dalam agama dan mereka sepatutnya dihargai kerana sudi dan berusaha untuk mengisi masa mereka untuk berkumpul demi sesi keagamaan dan kerohanian.
 
Kalau saya tidak mendekati dan menyediakan ruang untuk mereka mendapat riwayat dan ijazah yang merupakan suatu yang langka dalam kalangan asatizah sendiri, siapa lagi?

Saya mengucapkan terima kasih kepada Zeddy Tate yang menyediakan ruang untuk saya menjayakan kegiatan ini dan saya juga berterima kasih kepada Shirohige Sama yang sudi memberikan laluan beberapa minit dari sesinya untuk saya memimpin majlis yang jarang dapat ditemukan di Malaysia.
Walau apapun, majlis riwayat dan ijazah tidak terhad pada 5-10 minit sebelum sesi perbincangan akidah tergempar. Jika ada waktu lain yang bersesuaian, saya boleh melakukannya pada hari yang lain. Sekali lagi, 5-10 minit sebelum sesi adalah sekadar untuk memanfaatkan kesempatan ketika ramai dan buat masa sekarang, itu sahaja masa yang saya dapat peruntukkan untuk meneruskan majlis ini.

------------------------------

Pun begitu, sebahagian ijazah sanad dan kitab adalah eksklusif untuk peserta kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab saya demi menjaga keadilan peserta yang tidak merasa rugi bahawa orang lain di luar pun mendapat sama seperti peluang lain.

Sesiapa yang ingin mendapatkan ijazah sanad eksklusif yang tidak diberikan ke luar melainkan dengan cara yang sangat teknikal, boleh hubungi saya di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Tuesday, 13 February 2024

Kelebihan Belajar Dengan Asatizah Yang Tidak Ramai Murid

Kelebihan belajar bersama guru yang tidak ramai murid atau pengikut adalah apabila kita ingin berbincang atau bertanya, kita boleh ambil masa kita lebih lama tanpa perlu risau untuk berebut dengan orang lain atau rasa risau orang lain menyampah dengan kita kerana kita terlalu lama berinteraksi dengan guru.

Tetapi, kekurangannya adalah kalau dimarahi, kita sahaja yang kena marah. Berlainan kalau ramai. Bolehlah untuk tegur yang hadir secara umum tanpa sebut nama-nama sesiapa. Cuma, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.

Kalau seorang atau beberapa orang sebegini di kelas yang sedikit hadirinnya, masing-masing tahu siapa yang guru itu marah walaupun ditegur secara umum. Tambah lagi kalau kelas seorang sahaja pelajar yang hadir. Memang mahu lari ke mana lagi?

Apapun, saya tetap suka beri perhatian kepada mereka yang kurang popular dengan salah satu faktor yang telah disebutkan tadi.

Faktor yang kedua adalah adakalanya, kita selalu beri tumpuan kepada asatizah yang popular yang sudah ramai murid, pengikut dan teman sekelilingnya sehingga mereka itu mendapat lebih dari apa yang secukupnya.

Sedangkan, asatizah yang kurang popular ini seringkali disisihkan, tidak diambil peduli dan dipandang enteng. Selalunya asatizah yang kurang popular ini ada tanggapan: "Siapalah dia ini yang perlu kita menyibukkan diri dengannya?"

Padahal, adakalanya asatizah yang kurang popular ini jauh lebih berketerampilan berbanding yang popular. Kalau bukan dari segenap sudut, salah satu aspeknya sudah lebih menyerlah berbanding yang popular. Cuma, orang kita tidak mahu ambil tahu dan ambil peduli sebab sudah dibayangi dengan asatizah yang popular.

Saya adakalanya kasihan yang sebahagian asatizah yang kurang popular ini yang terpaksa membatalkan pengajian kerana kurang pendaftaran atau menamatkan kelas walaupun tidak habis silibus pembelajaran kerana kurang kehadiran yang sepatutnya.

Padahal, ilmunya, penguasaannya dan pengajaranya sebahagian aspeknya lebih banyak membantu untuk perjalanan pembelajaran kita dan mencambahkan lagi benih-benih kefahaman yang berbuah.

Lebih menyedihkan lagi, mereka ini adakalanya hidup dengan cukup-cukup makan dan kesempitan kerana tiada orang menghiraukannya dan memberi khidmat kepadanya.

Berbeza dengan asatizah popular kalau rumahnya ditimpa banjir dan memusnahkan rumahnya, ramai yang akan membantu dan kerugian asatizah yang popular dapat ditampung, bahkan mendapat keuntungan sehingga boleh membeli rumah yang baru di tempat yang baru dan dapat membeli kitab-kitab serta keperluan rumah yang baru!

Bagaimana kalau rumah asatizah kurang popular ditimpa yang sama? Rasanya, ingin beli semula kitab yang hilang pun tidak dapat ditampung. Apa lagi untuk membeli rumah baru untuk kehidupan yang lebih selesa.

Ini bukanlah bermakna untuk mengajak orang lain menjauhkan diri daripada asatizah popular atau menujukan celaan kepada asatizah yang popular.

Saya hanya ingin menyeru jika antara kita ambil perhatian juga di sekeliling kita dari kalangan asatizah yang kurang popular dan dia didapati pada kelebihannya, kebolehannya, kewibawaannya dan keahliannya.

Mereka ini sepatutnya diberikan perhatian juga, lebih-lebih lagi jika ia adalah kejiranan atau orang yang berdekatan di kawasan kita atau orang yang mudah untuk kita hubungi di media sosial atau seumpamanya.

Faktor yang lain pula adalah apabila kita berulang-alik dalam pengajian asatizah yang popular, asatizah ini akan menghargai kehadiran kita dan menanti-nanti komitmen kita walaupun sekadar hadir.

Apabila seorang guru memandang kita dengan pandangan yang baik dan fokus pada kita dengan penuh penghargaan, mudah-mudahan ia bermakna dalam jalinan hubungan bersama guru dan ia menjadi doa untuk kita agar dilimpahkan lagi kebaikan dalam ilmu dan amal.

Ini adalah keberkatan yang kita harapkan dalam kelas pengajian yang tidak ramai murid. Cukuplah suatu majlis ilmu diharapkan keberkatannya apabila seorang guru ada rasa kasih kepada murid yang selalu bertandang kepadanya, sentiasa rindu untuk bertentang mata, bersemangat untuk mengajar kerana hadirnya kita dan menanti-nanti imarah majlis dari kita tatkala orang lain lebih memilih untuk membelakannginya dan menyisihkannya.

Kita berharap agar kita semua termasuk yang mendapat bahagian keberkatan yanag agung ini.

Berbanding asatizah popular yang ramai hadirin yang mana-mana kadangkala adanya kita atau tiadanya kita, tetap sama sahaja di sisi mereka. Kalau ingat pun, selalunya terlupa.

Untuk membina hubungan rapat dan mesra pun agak sukar memandangkan terlalu ramai yang berebut-rebut untuk bersemuka dengannya, bertandang dengannya dan bergaul dengannya.

Apabila masing-masing dari kalangan murid bersaing dan mungkin bergelut untuk mendapatkan perhatian dari guru, saya fikir kalau jadi sebegini, seeloknya cari asatizah lain untuk dia dampingi yang setara dengan asatizah popular itu.

Itu lebih baik dari dia memudaratkan orang lain untuk tolak-menolak terhadap pelajar lain atau memudaratkan diri sendiri kerana tidak dapat menunaikan hasrat yang ingin dicapai untuk dia memperoleh perhatian dari guru.

Mudah-mudahan dia menemukan asatizah sedemikian yang mudah untuk dia capai.

Teguran Untuk Orang Yang Merasa Dirinya Pandai Dalam Agama Tanpa Penguasaan Bahasa Arab


"Aku tidak pandai bahasa Arab pun tidak apa. Asalkan aku baca terjemahan al-Umm, ar-Risālah dan Musnad ašh-Šhāfiʿiyy yang mana pendakwa-pendakwa mengikut mazhab ašh-Šhāfiʿiyy tidak baca pun kitab ini".
Ini sama macam perangai orang yang berkata: "Aku tidak sekolah pun tidak apa. Asalkan aku boleh buat duit, bla bla bla...".

Sejujurnya, kita tidak minta pun kelayakan akademik untuk membuktikan hujah seseorang itu valid atau tidak kerana kadangkala itu tidak mencerminkan sebenar pun kefahaman seseorang. Ini semua orang maklum tentangnya walaupun sijil akademik serba sedikit dapat membantu beberapa aspek.

Betul bahawa kita perlu lapang telinga untuk mendengarkan hujah setiap pihak kerana meneladani firman Allah Subḥanahu Wa Taʿālā :

فَبَشِّرْ عِبَادِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

"Sampaikanlah khabar gembira kepada hamba-Ku yang mendengarkan hujah, lalu mengikut yang sebaik-baiknya. Mereka itulah orang yang Allah memberi hidayah kepada mereka dan mereka itu adalah orang yang punya perseptif". [Surah az-Zumar ayat 17-18].

Cuma, pastikanlah seseorang itu ada menampilkan merit untuk mengukuhkan lagi validitas poinnya.

Antara merit pertama yang diukur adalah kemampuan pembacaan bahasa Arab. Ini semua orang akan ambil berat dan beri perhatian dalam membezakan seseorang itu sekurang-kurangnya ada asas ilmu alat yang paling vital untuk melayakkan seseorang itu menjadi faqih atau tidak.

Kalau ini tidak lepas, maka orang itu sendiri buang masa dirinya dan buang masa orang lain.

Buang masa dirinya kerana sibuk dengan perkara yang belum patut untuk dia sentuh, tetapi bahasa Arab yang paling penting untuk pembinaan kemantapan dalam kemahiran ilmu agama yang lain tidak diusahakan untuk mempelajarinya.

Buang masa orang lain kerana perlu melayan orang yang dirinya sendiri membuang masa dirinya. Kalau kita perlu pilih rakan yang betul, kita pun pilih rival yang sesuai. Buat apa kita perlu bazir masa dengan orang yang tidak ada usaha untuk bina merit pada dirinya? Ada banyak lagi yang boleh dibuat.

Orang pun tidak akan ambil ilmu agama sembarangan. Kenapa kita pula sembarangan ingin peduli melayan orang yang tidak ada tahap yang sesuai dalam menjadi protagonis kita? Itu tanda orang yang tidak matang dalam memilih kawan dan lawan.

Proses penapisan pun kita akan pilih yang ada kualiti dan ada merit untuk mana-mana urusan pun. Kalau tidak ada, barulah kita ambil alternatif yang kurang popular atau yang kurang penarafannya. Kita sendiri tidak membazir masa untuk mencari produk yang kurang kuang kualiti dan entah apa-apa meritnya. Mengapa disibukkan pula dengan orang itu hanya kerana dia ada hujah?

Ini tiba-tiba orang yang tidak tahu bahasa Arab cuba melagak dan menyangak seolah-olah dengan adanya dia menerbitkan hujah, maka dia setara dengan orang lain dan dia beranggapan semua orang perlu meletakkan hujahnya dengan hujah para ulama dalam satu dacing untuk dinilai mana satu yang lebih merit.

Hei sang lembap yang tohor akalnya! Allah membezakan kedudukan setiap orang dengan ilmu. Dia ʿAzza Wa Jalla telah berfirman :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

"Nescaya Allah mengangkat orang beriman dari kalangan kalian dan orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat". [Surah al-Mujādilah ayat 11].

Ilmu pertama yang paling membezakan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak adalah pada kemampuan bahasa Arab. Kalau tahap pertama ini tidak lepas, seseorang itu sangka dengan mengutarakan hujah dan penulisan yang dilihat tuntas melayakkan seseorang utnuk sama meritnya dengan orang yang sudah melepasi pelbagai tangga?

Sedarlah diri wahai sang dangkal. Tidak malukah dengan tangga pertama yang tidak pernah dia capai cuba membongak bahawa dia sudah terbang ke kayangan hanya kerana dia dapat bersembang secara ilmiah?

Betul. Hujah anda mungkin akan diambil kira. Namun, dalam proses penapisan, anda orang yang terakhir untuk dipertimbangkan. Memang anda diletakkan di bawah kasta yang rendah sebab anda sendiri yang membiarkan diri anda di situ.

Orang suruh belajar bahasa Arab, hafal tasrif dan wazan, bersungguh-sungguh untuk praktis dan ambil masa untuk rajin mengulangkaji, membaca lebih luas dan tekun anda buat apa? Buat-buat tidak tahu dan tidak peduli.

Sibuk dengan kegiatan lain yang bukan tidak terfokus pun. Bahkan, beri banyak alasan macam-macam seperti sibuk dengan kerja. Namun, ada masa untuk gaduh dengan orang lain dan ke sana ke sini untuk menampilkan pada orang ramai bahawa dialah yang paling betul, paling berpengetahuan dan paling berpendidikan!

Tidak pernah rasa terdesak pun untuk melangkah dengan tekad sekalipun sudah sembang tentang manhaj, kelompok dan polemik bertahun-tahun lamanya. Dialah sendiri yang menghinakan dirinya dan merendahkan kedudukannya, malah membiarkannya sebegitu.

Kita bukan ingin mendakwa bahawa orang yang sudah pandai bahasa Arab ini adalah serba berpengetahuan dan lebih mulia.

Cuma, kita merasa hairan kerana kita yang bersusah payah untuk habiskan wang dan masa demi belajar dalam mendapatkan kemahiran bahasa Arab dengan menghadapi segala pening, hafal, baca sebanyak-banyaknya dan lain-lain, tetapi orang yang tidak tahu apa-apa tentang bahasa Arab dan tidak pernah melalui susah payah seperti orang yang belajar begitu lancang sekali untuk membongak seolah-olah di tahap yang tinggi dan setara dengan orang yang mahir bahasa Arab hanya kerana dia menampakkan dirinya berbicara dengan hujah atau membaca kitab tahap tinggi versi terjemahan yang jarang dibaca oleh kebanyakan orang.

Orang ini sebenarnya menghina para penuntut ilmu dan ahli ilmu yang telah menempuh ranjau onak dan duri seolah-olah sama sahaja kedudukannya hanya kerana dia ada hujah.

Susah payah selama ini untuk dipelajari hanyalah sampah buangan dan kemuliaan ilmu itu diperoleh tanpa usaha. Sepertinya cukup seseorang itu mendakwa bahawa dia ada hujah telah melayakkannya ia untuk berdiri di mana sahaja yang dia mahu.

Penuntut ilmu tidak perlu layan orang yang rendahan sebegini dan menghinakan diri untuk menempatkan mereka di ruang yang sama, apatah lagi mengangkatnya dengan tinggi.

Kita ketika memilih produk atau pakej pun tidak akan mengambil dari agensi atau syarikat atau pengeluar yang mencurigakan, entah apa meritnya, rendah mutunya dan sedikit penarafannya secara sembarangan. Mengapa dalam keilmuan, kita boleh ceduk dari mana-mana air sahaja?

-------------------------

Selagimana saya ada masa yang fleksibel, saya akan bantu orang yang ingin belajar bahasa Arab sampai boleh membaca dengan bekalan yang tersedia lengkap pada aspek yang kritikal.

Hanya tinggal bawa diri, bayar yuran bulanan dan beli kamus secara berkala sahaja.

Pelajar yang berjaya menghabiskan dengan jayanya, dengan izin Allah, akan mendapat ijazah sanad untuk pelbagai kitab. Antaranya adalah Musnad ašh-Šhāfiʿiyy.

Boleh hubungi saya di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Kenapa Ketidaksahan Sebahagian Enakmen Syariah Kelantan Menjadikan Isu Yang Membimbangkan Umat Islam


Ada sebab kenapa kegugatan kedaulatan Mahkamah Syariah ini menjadi kebimbangan sekalipun punca asal kesalahan adalah pelanggaran dari Kelantan dan sememangnya negeri itu memberi bola tanggung kepada pesaingnya.

Jika lihat rekod sebelum ini yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di mahkamah, kita sebenarnya berhadapan dengan gasakan yang agak teruk.

Sebelum ini kita diasak dahsyat dalam isu kalimah Allah dan kita pula tewas dalam keabsahan pengislaman 3 anak Siew Heng.

Cuba bayangkan yang semua ini tidak terjangka akan terjadi di negara yang Islam merupakan agama rasmi dan kuat konservatif agamanya. Kesan Domino sebenarnya bukan bermula baru-baru ini, tetapi ia adalah rentetan dari yang lepas.

Mungkin boleh ada penafian bahawa yang baru-baru ini tidak akan melunturkan kekuasaan Mahkamah Syariah, tetapi masa hadapan, jika gelombang ini berterusan dan tidak dirintangi, kita tidak tahu apa lagi yang bakal dirobek dan didegradasikan pada yang berkaitan dengan Islam dan keluhurannya di negara ini.

Ya mungkin kali ini negeri Kelantan jadi pencetus kepada badai yang memalukan kita semua. Cuma, jangan lalai bahawa selepas ini bukan Kelantan sahaja yang akan jadi sasaran dan yang selama ini kita merasa betul tidak akan mendapat tentangan.

Sikap Aneh Sebahagian Pemegang Saham Tempatan Apabila Restoran Francais Di Bawahnya Diboikot


"McD dan Starbuck salahkan i$rqh311 kerana punca saham dan jualan merundum"
"Salah satu organisasi pemegang saham terbesar KFC Malaysia ialah Lembaga Tabung Haji".

LMAO. Orang peduli apa? Ada keluaran tempatan lagi Muslim bukannya mahu bantu. Sibuk cari produk dan keluaran orang kafir demi keuntungan cepat.

Lepas itu, menyalahkan umat Islam lain dan tempatan pula kenapa ketinggalan dalam persaingan ekonomi dan penonjolan dalam jenama antarabangsa.

Padahal, duit besar gedabak ada pada syarikat engkau tidak disalurkan untuk kembangkan potensi tempatan dan orang Islam pun.

Sekarang apabila rugi disebabkan terpalit dengan isu i$rqh311, mempergunakan pula bahawa pemegang saham dan pekerja yang bekerja di bawahnya adalah orang Muslim dan Islam supaya ingin terus kekal relevan.

Rugi pada saham dan jualan engkau satu hal. Pekerja yang bekerja di situ lagi kasihan kerana dikecam teruk akibat syarikat yang dia bekerja di situ terpalit isu yang membabitkan maruah umat Islam di negara sana.

Tidak perlulah cakap jihad kalau syarikat umat Islam sendiri dan anak tempatan sendiri dipinggirkan. Rakyat Malaysia yang Muslim rata-ratanya memang memboikot sebab itu sahaja cara untuk menzahirkan jihad dan solidariti kerana mereka tidak ada kemampuan kewangan untuk kukuh dan bangkit dengan ekonomi.

Yang pemegang saham yang punya duit banyak ini buat apa? Fikir duit poket sendiri atau fikir kepentingan umat Islam secara umumnya?

Antara sebab rakyat boikot bukan sebab pemegang saham ini menjalankan operasi francais yang terbabit dengan negara penindas sana sahaja.

Rakyat juga boitkot kerana pemegang saham ini sendiri tidak peduli untuk jaga dan bantu perniagaan Muslim dan keluaran tempatan. Mengapa pula rakyat perlu peduli, kasihan dan jaga mereka pula?

Kami Terpaling Ulama Kerana Mengadakan Sesi Perbincangan Akidah Mingguan


Kami dikatakan terpaling ulama menurut kamu kerana mengadakan sesi perbincangan akidah mingguan dan berbincang agama bersama teman dalam server. Setakat ini belum ada pergaduhan melainkan kamu yang lebih banyak memulakan dahulu.

Kami tidak lupa apa yang kamu cakap ini yang sememangnya kritikal terhadap iman kamu sendiri dan berpotensi menyakitkan hati orang lain kerana ucapan sebegini yang diluahkan secara sebegitu sahaja di sekeliling teman yang sensitif dengan ini.

Kamu fikir ini bukan lagi fardu ain untuk sekurang-kurangnya setiap orang yang ada dalam server yang berpengetahuan walaupun sedikit untuk tampil menjawab? Kamu fikir ini bukan fardu ain lagi untuk setiap orang yang tidak tahu menjadi wajib ke atas dirinya untuk belajar bagi menangkis virus ini?

Oh! Mungkin kamu tidak peduli lagi sama ada ini fardu ain atau tidak atau kamu mungkin tidak peduli lagi sama ada tugas ini tugas ulama atau sesiapa sahaja yang ada kebolehan sekalipun bukan ulama kerana kamu sendiri tidak peduli pada membuat pertimbangan sebelum berkata-kata dan sebab itu kamu tanpa semena-mena bercakap seperti orang yang tidak peduli lagi perasaan orang dan status keimanan diri.

Mungkin kamu tidak peduli lagi sama ada ini fardu ain atau tidak atau kamu mungkin tidak peduli lagi sama ada ini adalah tugas ulama atau sesiapa sahaja yang ada bahagian nikmat daripada Allah walaupun bukan ulama kerana kamu sendiri tidak peduli dengan kasih sayang Allah terhadap kamu dengan menempatkan kamu di lingkungan teman-teman yang melayani kamu dengan baik dan cuba membantu kamu dari segi emosi.

Baiklah. Kalau kamu rasa sepatutnya ini adalah urusan ulama, apakah kamu berjumpa para ulama untuk memberi terapi pada penyakit yang menimpa kamu sekarang ini?

Daripada para ulama dan asatizah terus dipersalahkan kerana dianggap tidak mendekati orang seperti kamu dan tidak melayan mesra dengan orang seperti kamu, sekurang-kurangnya kami tolong untuk mendekati orang seperti kamu yang mana kami dan kamu memiliki persamaan dalam pelbagai latar dan perkara supaya jurang kefahaman dan perbincangan antara kamu dan kami tidak terlalu lebar.

Kami terpaling ulama menurut kamu sebab kami cuba mempertahankan diri kami dari muntah berpenyakit kamu. Kami terpaling ulama menurut kamu kerana kami berusaha membantu rakan-rakan di server itu dalam membina imunisasi melalui pembelajaran akidah agar tidak terjangkit dari penyakit yang kamu timbulkan.

Kami terpaling ulama kerana saling berganding antara satu sama lain melalui sesi perbincangan secara terbuka supaya kami dapat membuat semakan status kesihatan akidah masing-masing agar tidak terjebak dengan penyakit kamu ini.

Kemudian, apabila kamu tidak mendapat apa yang kamu mahu di server itu setelah semua orang melayan kamu dengan baik-baik biarpun kenyataan kamu ini sangat meruncing dan setelah rakan-rakan yang ada di situ memaafkan semua drama yang berlaku antara kamu sebelum ini, kamu meludahkan semua orang yang ada di server itu dan berambus dengan cara tidak terhormat.

Kamu patut rasa bersyukur dan bernasib baik kerana kami di server ini tidak ingin menjadi orang yang mengecam, offensif dan hostiliti apabila melihat kenyataan yang kamu luahkan. Kami sama sekali tidak menghukumi buruk ke atas kamu dan kami cuba melayaninya seperti seorang rakan yang memerlukan bantuan.

Bahkan, kalau seperti ini terjadi pada anak kami, kami sebagai ayah atau ibu akan bertanggungjawab untuk menjelaskan dan merawat. Bukan campak semua urusan kepada para ulama tanpa keperluan, lebih-lebih lagi masalah yang mereka tidak terbabit pun. Selagi kami ada kapasiti untuk bantu tanpa perlu mengheret orang luar, kami akan bantu.

Berbeza di tempat lain yang barangkali kamu akan diserang bertubi-tubi dan menambahkan lagi stres kamu, bahkan kamu akan dihalau dengan cara yang sangat terhina! Bandingkanlah wahai yang tidak mengerti untuk bersyukur bagaimana layanan ahli dalam server dan yang bakal kamu akan menerima di tempat lain.

Kalau kamu tidak dapat melihat kasih sayang Allah kepada kamu, sekurang-kurangnya cubalah lihat kasih sayang teman-teman kamu di server itu. Kecuali kalau anda memang membutakan mata dan tidak mahu menghargai sama sekali dengan hanya mementingkan diri sendiri.

Kami tidak lupa. Kami akan ingat ini dan beberapa lain yang kamu menimbulkan kegusaran yang berkaitan dengan sensitivit perkara keimanan rakan-rakan di server ini. Kami kalau boleh ingin padam semua hantaran kamu di server itu disebabkan sikap kamu yang celaka lagi jelek yang tidak tahu bersyukur.

Tetapi, kami sengaja tidak buat sedemikian supaya mereka yang datang berkunjung selepas ini menilai siapa yang sebenarnya mencetuskan perbalahan tidak tentu pasal dan tidak tahu menghargai kesantunan teman-teman yang kamu bina hubungan di dalam server itu.

Apabila kami tahu ini potensi yang mungkin ada pada orang lain seperti kamu, kami tetap akan meneruskan sesi yang kamu kata terpaling ulama agar mereka yang berpotensi ini dapat kami usaha untuk bantu dan tangani biarpun kamu membencinya dan menghasut orang lain untuk membencinya.

Betul kami bukan ulama dan kami hanyalah sang kuman yang tidak seberapa pun, tetapi amanah yang para ulama titipkan kepada kami untuk menyampaikan dan menyebarkan inilah kami usaha untuk merealisasikannya.

Mudah-mudahan orang yang menginginkan manfaat akan mendapatkan manfaat melalui usaha kami yang kerdil ini. Mudah-mudahan orang yang terjauh dari para ulama dan asatizah dapat didekatkan melalui sesi ini.

Mudah-mudahan penyebaran ilmu melalui sesi ini meningkatkan keberkatan dalam ilmu kami, menambah kasih sayang daripada-Nya, membaiki apa yang kami kurang dan memantapkan apa yang telah kami pelajari dari guru-guru yang kami kasihi.

Kami mengucapkan terima kasih kepada Zeddy Tate dan Shirohige Sama atas kerjasama dan insiatif dalam menjayakan majlis ini dan mengumpulkan teman-teman yang sudi berkongsi manfaat dan bertemu untuk kebaikan bersama.

Tuesday, 5 September 2023

"Kalau kau betul, buatlah laporan polis dan BNM bahawa itu adalah scammer".

"Kalau kau betul, buatlah laporan polis dan BNM bahawa itu adalah scammer".

Lolz. Kau ingat kalau buat laporan, polis dan BNM ni nak layan sangat ke, apa lagi nak ambil tindakan secara serius?

Lagi-lagi kita ini marhaen yang kelas rendah, tidak berpengaruh dan tidak ada apa-apa nama pun dalam masyarakat. Kes kita ini macam kes budak-budak mengadu pada ayah dan ibu kerana kena ejek di sekolah.

Tambah lagi pula kalau kes itu akibat kecuaian dan kebodohan sendiri kerana terbabit dengan sindiket yang kempen kesedaran tentang sudah dipergiatkan baik dari yang rasmi atau bukan rasmi.

Rasanya pihak polis dan BNM pun dalam hati akan cakap: "Padan muka! Kau tu yang bebal sangat terikut tu dah kenapa? Aku dulu dah cakap dan berbuih ulang, tapi kau bongok tak nak belajar dan ambil serius".

Sekarang ini, kalau polis dan BNM tidak mahu meneruskan kerja, bukan bermakna kita duduk, diam dan tunggu sahaja sambil acah-acah tidak berpihak kepada mana-mana bahagian.

Kita yang ada ruang yang ada dan upaya yang kita mampu untuk hindar dan memperingatkan masyarakat tentang scammer.

Tidak perlu tunggu BNM buat kenyataan pun sama ada ia mencurigakan atau pun tidak.

Diri sendiri boleh belajar ciri-ciri bisnes scammer dan jauhkan. Tiktok, instagram dan Facebook habis masa layan perkara bodoh seharian takkan tak boleh peruntukkan 20 minit untuk belajar sesuatu? Nak tunggu terhantuk baru tengadah? Nak tunggu duit lesap baru nak belajar dan kenal bau-bau scammer?

Yang berpengetahuan pula ambil peranan untuk membawa kempen kesedaran dan mengaggresifkan peringatan. Jenayah dan mangsa boleh dicegah dari awal dengan ada peringatan dari mereka ini. Jangan semua perkara harap polis dan BNM untuk selesaikan semuanya.



Rasai "Tak-Bermakna" Untuk Mendapat Makna


Kalau tanya aku secara peribadi, aku memang tidak minat acara keramaian seperti acara orang wibu, Jom Heboh atau apa sahaja acara yang mahu dinamakan. Begitu juga dengan aktviti dalam pakej pelancongan seperti tengok pemandangan, meneroka hutan, membeli belah dan lain-lain. Atau pun hobi biasa seperti memancing, berkayak atau apa sahaja.

Bagi aku, cukup aku ada buku untuk dibaca, akses kepada internet yang mantap dan ruang yang selesa untuk jalani kehidupan harian, itu sudah cukup untuk keseluruhan hidup aku.

Sejujurnya dan aku cakap awal-awal. Kalau sesiapa yang ingin memilih aku sebagai suami, dia mungkin perlu sedia untuk duduk di rumah sahaja. Aku memang cerewet dan memang tidak ada minat untuk aktiviti atau acara yang telah disebutkan walaupun untuk sekadar cuba-cuba, lalui pengalaman pertama atau merasai dengan pancaindera secara langsung.

Sebab aku mungkin macam 2B. Kebanyakan yang dibuat oleh manusia adalah "tak-bermakna" pada set minda aku. Sampai sekarang aku tidak dapat mengerti kenapa perlu aku hadiri acara keramaian untuk tengok gelagat masyarakat di sana, berjalan jauh berbatu-batu jaraknya semata-mata untuk tengok pemandangan dan kumpul gambar banyak-banyak atas alasan "kenangan" dan "pengalaman".

Kenapa perlu aku habiskan banyak duit untuk semua ini? Lebih baik membeli buku dan tambah ruang untuk simpan lebih banyak buku. Deh. Boleh dikatakan ini yang sebati dalam sebahagian besar minda aku.

Walaupun aku tidak ada masalah untuk kesemua itu kalau ada orang ajak dan belanja. Cuma, selalunya aku tidak menikmatinya sepertimana orang ramai yang berada di sana atau orang yang bergelumang dengannya. Jarang sekali aku ingin buka kamera telefon untuk swafoto atau kumpul gambar semata-mata untuk mengisi konten di media sosial. Adakalanya, aku tidak ada masalah jadi penonton di belakang atau orang yang tidak termasuk dalam sesi fotografi "kenangan". Sekali lagi, sebab bagi aku semuanya "tak-bermakna" atau ada sedikit makna.

Pun begitu, kalau kita tengok secara meluas dan memahami minda manusia yang pelbagai, "tak-bermakna" inilah yang bermakna untuk mereka. Kerana "tak-bermakna" inilah yang melestarikan kehidupan masyarakat kita dan orang di sekeliling kita.

Sejujurnya, aku pun tidak faham kenapa wibu ini bersorak dan kemaruk untuk hadiri acara bersama V-Tuber entah siapa orangnya dan apa istimewanya sangat. Begitu juga dengan konsert untuk orang berteriak kepada artis pujaannya, sedangkan artis itu sendiri bukan peduli pun para penyoraknya. Dia fikir duit dia masuk dari tangan peminat dan layankan sahaja rasa yang terbuai daripada dia.

Aku hadiri dan saksikan sendiri pun masih tidak faham kenapa manusia di sekeliling acara ini begitu entusias dengan sesuatu yang "tak-bermakna".

Tetapi, apabila aku lihat senyuman mereka sekeliling, kegembiraan yang mereka tampilkan dan entusias yang tercoret pada wajah mereka, aku juga menumpang gembira. Kerana "tak-bermakna" inilah industri pelancongan kita hidup, orang ramai merasai pelbagai pengalaman yang menarik, ada banyak tempat untuk menikmati tanah air tercinta dan kemakmuran sejagat terpelihara. Ia adalah rantaian yang saling menghubungkan, menyebarkan dan mengukuhkan.

Bahkan, jika "tak-bermakna" ini didogmakan, barangkali aku sendiri pun tidak akan dapat tonton anime ini dan mungkin sahaja anime ini sendiri pun tidak akan dihasilkan jika semua orang berpendapat ia "tak-bermakna". Bayangkan jika semua orang seperti 2B tidak mahu memenuhi undangan 9S untuk berjalan-jalan mencari baju. Agakanya bagaimana industri kita? Walaupun kecil, tetapi impaknya besar.

Mungkin sahaja kita perlu rasai "tak-bermakna" ini untuk memperoleh kegembiraan yang tulen, pengalaman yang bermakna dan seterusnya, minda yang mengerti tentang hakikat sesuatu perkara. Bahkan, mungkin yang "tak-bermakna" ini akan memberi makna kepada sesuatu. Menjadi manusia adalah menikmati sesuatu yang "tak-bermakna".

Aku sendiri pun jika tengok bunga, aku akan terdetik, "Ok. Bunga ini cantik. Lalu, kenapa?" kerana aku tanggap hanya semata-mata untuk terpesona dengan keindahan bunga adalah "tak-bermakna". Cuma, "tak-bermakna" inilah manusia ini menikmatinya dan ia menjadi tema dalam seni. "Tak-bermakna" inilah yang luas dan kaya dengan kreativiti.

Ada benarnya kata-kata Einstein: "Imaginasi lebih penting daripada pengetahuan". Atau dia menambah: "Imaginasi adalah bahawa jiwa.

Berikan perhatian untuk imaginasi dan engkau akan akan menemukan keperluanmu perlu dipenuhi". Atau katanya: "Imaginasi adalah segalanya. Ia adalah praview tarikan hidup yang datang". Atau katanya: "Logik akan membawa kamu A kepada B. Tetapi, imaginasi membawa kamu ke mana sahaja".

Sekalipun di sisi kita "'tak-bermakna", tetapi hargailah ia. Ada orang menikmatinya sebagai sesuatu yang bermakna. Hidup ini bukan untuk serius sepanjang masa. Pergaulan kita sesama keluarga atau sahabat mungkin "tak-bermakna", tetapi lihat bagaimana impak kepada kedekatan, kasih sayang dan jalinan keeratan.

Bagi kita, membeli mainan untuk anak dilihat "tak-bermakna" dan membazir, tetapi untuk sebuah keluarga, bagaimana? Sekadar untuk celup kaki di sungai yang mengair airnya bersama rakan seperti "tak-bermakna", tetapi dari sudut persahabatan, bagaimana?

9S bertanya: "Adakah dunia yang aman seperti ini?", 2B menjawab: "Aku pun tidak tahu kerana aku tidak pernah melihatnya". Cuba tanya soalan yang sama tentang kekeluargaan dan persahabatan, bahkan untuk keseronokan hidup sendiri. Adakah kita hanya akan menjawab: "Aku pun tidak tahu kerana aku tidak pernah melihatnya atau merasainya?".

Kelas Yang Sedikit Sahaja Pelajar Hadiri


Kelas dengan Baba Suyuti dengan dua orang sahaja. Kalau saya tidak datang, tinggal admin atau pengerusi majlis seorang sahaja.

Cuma, saya lebih suka kelas yang sedikit orang. Kalau ramai, selalunya berebut dengan pelajar untuk bertanya atau berbincang. Malah, dengan sedikit pelajar, boleh kita bincang dengan panjang dan tidak perlu rasa lama dalam menunggu giliran. Malah, boleh untuk bertanya soalan yang agak sensitif dan peribadi kerana tidak perlu segan dengan khayalak ramai.

Sedikit orang pun senang untuk guru kenal kita dan berinteraksi dengan kita. Hubungan yang rapat ini lebih penting dari sanad.

Hubungan dalam talian ini memang merosotkan perhubungan. Guru tidak kenal murid kerana murid masing-masing tutup kamera dan tutup mikrofon. Tanya soalan pun tulis di ruangan chat. Kalau perempuan, boleh difahami mengapa.

Walaupun guru tidak nampak kecil hati, cuba tepuk dada dan tanya diri sendiri. Baguskah interaksi guru dan murid sebegini?

Saya teringat juga yang Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ dalam Tašhnīf al-Asmāʿ Bi Šhuyūkẖ al-Ijāzah al-Asmāʿ pernah menceritakan bahawa kelas-kelas as-Sayyid al-Muntaṣor Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin Jaʿfar al-Kittāniyy tidak pernah dihadiri oleh seorang pun.

Memang agak terkilan kita mendapat tahu tentang ini. Mungkin sahaja ketika kita itu as-Sayyid al-Muntaṣor belum popular sepertimana ahli keluarga al-Kittāniyy yang lain. Tambah pula, ketika itu beliau berada di Makkah dan pada masa waktu itu pula, ada ratusan ulama yang berada di situ dan memang tidak sempat untuk hadiri semua kelas yang ada.

Yang penting adalah hargai guru yang kita boleh bertemu dan belajar walaupun dalam talian. Biarlah kelas itu tinggal kita seorang sahaja, tetapi yang penting adalah ilmu yang bermanfaat untuk kita.

Tidak guna membongak ke sana sini tentang kehadiran al-Ḥabīb ʿUmar bin Ḥafīẓ ke Malaysia sehingga mencecah 20,000 orang lebih, tetapi guru di tempat sendiri pun tidak pernah nampak batang hidung dan tidak pernah ada kitab yang khatam dengan guru walaupun sepanjang masa berbalah dengan wahabi tentang belajar dengan berguru yang bersanad.

Bahasa Arab pun liat dan cari dalih bermacam-macam untuk belajar. Tidak perlulah guna nama al-Ḥabīb ʿUmar bin Ḥafīẓ untuk eksploit puak sendiri dan hentam orang lain kalau majlis ilmu di tempat sendiri atau yang aksesibel secara talian tidak pernah bersemangat. Hentam wahabi dan orang lain sahaja yang berkobar-kobar semangatnya.

----------------

Kelas Baba Suyuti walaupun ajar kitab nipis, tetapi pengajaran beliau adalah bukan untuk orang yang baru belajar, tetapi untuk orang yang sudah belajar dan mahu belajar lagi.

Kalau belum belajar lagi, memang wajib tahu bahasa Arab, faham beberapa masail, perbincangan, kandungan dalam ilmu yang lain seperti akidah, usul fiqh, ilmu al-Waḍʿ dan balaghah.

Baba Suyuti memang memuntahkan apa sahaja. Tidak bertapis. Kadang memang tidak terbayang tiba-tiba dikupas suatu ungkapan dari aspek balaghah walaupun ia sekadar teks yang dilihat biasa sahaja.

Moga Allah cucuri rahmat kepada Baba Suyuti. Sekarang, Baba menyambut kelahiran anak baru. Moga Allah menjadikan anaknya sebagai anak yang soleh, pewaris para nabi dan berkelurga dengan bahagia di dunia dan akhirat.

Friday, 14 April 2023

Wanita Tidak Wajib Melakukan Kerja Rumah. Siapa Hamba Kepada Siapa?

Sembang kerja rumah dari memasak sehingga mengemas adalah tanggungjawab suami atas alasan tiada ketetapan dalam syariat yang jelas.

Tapi, apabila diminta untuk ketaatan yang jelas ada dalam agama, tidak mahu terima dan direspons macam-macam karenah sambil berkata: "Wanita bukan hamba kepada suami!".

Sudahnya, dia memperhambakan suaminya pula untuk buat macam-macam untuk dia dari mencari nafkah makan, tempat tinggal, pakaian dan segala utilitinya dan kemudahannya untuknya sehinggalah mengurus rumah dan penyediaan makanan. Siapa hamba kepada siapa sekarang ini?

Lagi ironi adalah dia berkata bukan hamba kepada suami, tetapi apabila bos pejabat minta kerja lebih masa, buat kerja luar skop bahagian dan buat tugas tanpa elaun dan gaji, dia taat, tidak melawan dan tidak membangkang.

Lebih baik kahwin dengan bos kau lah.

Hantaran yang berkaitan : https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/kenapa-penting-dasar-pembahagian-nafkah.html



Tuesday, 4 April 2023

Pertama Kali Saya Dengan Pembelajaran Bersama Al-Ḥabīb Ali Al-Baqīr As-Saqqāf

Pertama kali belajar bersama al-Ḥabīb Ali al-Baqīr secara langsung adalah kitab al-Ibānah Wa al-Ifāḍoh Fī Aḥkām al-Ḥayd Wa an-Nifās Wa al-Istiḥāḍoh ʿAlā Maḏzhab ašh-Šhāfiʿiyy karya as-Sayyid ʿAbdul Roḥmān bin ʿAbdullah bin ʿAbdul Qōdir as-Saqqōf secara dalam talian.

Kitab ini adalah kitab yang dimudahkan untuk memahami perbahasan haid, nifas dan istihadah untuk mazhab ašh-Šhāfiʿiyy. Ia menjadi popular sebagai bahan pengajaran dalam mengajar bab haid, nifas dan istihadah secara asas, tetapi merangkumi apa secara tuntas apa yang diperlukan.

Permasalahan haid, nifas dan istihadah ini agak rumit, lebih-lebih lagi apabila adanya istihadah pada haid dan nifas sehingga hampir setiap kelas dalam topik ini saya "mengebom" al-Ḥabīb dengan bertalu-talu soalan dan mengutarakan kemusykilan untuk menyelesaikan apa yang terbelit dalam minda. Saya juga tidak keseorangan dalam melakukan perkara ini.

Segala puji bagi Allah. Al-Ḥabīb benar-benar membantu saya dan teman sepengajian yang lain dalam memberikan jawapan yang memuaskan dengan tenang, santai dan tidak kaget. Terima kasih al-Ḥabīb kerana bersabar melayani karenah saya dan kami semua sehingga pengkhataman kitab. Permohonan maaf dibuat atas keterkasaran dari pihak kami semua.

Cuma, apabila saya mengulang kaji semula setelah beberapa tempoh dari pengkhataman, saya menemukan sedikit kemusykilan yang timbul semula yang saya perlu saya minta al-Ḥabīb untuk mengklarifikasikan semula kerana dikhuatiri apabila tidak faham salah satu perenggan dalam kitab bermakna masih belum faham secara menyeluruh untuk asas permasalahan haid, nifas dan istihadah.

Lalu, kebetulan al-Ḥabīb mengadakan daurah kitab at-Taqrīrōt as-Sadīdah Fi al-Masāʾil al-Mufīdah karya Zayn bin Ibrōhim bin Zayd bin Sumayṭ dalam bab puasa. Saya cuba mengambil kesempatan yang jarang ini untuk bertemu al-Ḥabīb secara bertentang mata, di samping objektif yang lain adalah untuk membawakan apa yang saya berhajat untuk klarifikasi.

Saya berkata kepada al-Ḥabīb: "Selagi saya tidak faham bab haid dan istihadah, saya akan cari dan 'buru' al-Ḥabīb". Al-Ḥabīb dengan berseloroh berkata: "Janganlah buru saya". Hehehe.

Apapun, dalam pertemuan hari ini, terjawab sudah apa yang menjadi kemusykilan yang mendatang sehingga al-Ḥabīb berkata kepada saya: "Selesai?". Saya pun berkata: "Selesai. Selepas ini, saya tidak akan mencari al-Ḥabīb lagi!". Hehehe.

Selepas ini, al-Ḥabīb akan mengadakan kelas penuh bagi kitab at-Taqrīrōt as-Sadīdah Fi al-Masāʾil al-Mufīdah dalam talian dengan izin Allah. Ramai-ramai boleh sertai kerana kitab ini adalah kitab mazhab ašh-Šhāfiʿiyy yang paling kontemporari, lebih mudah laras bahasa, lebih merangkumi isu semasa yang berhampiran dan kurang kompleksiti dalam membahaskan hukum-hakam dan permasalahan-permasalahan.

Cuma, lebih digalakkan ada kemampuan bahasa Arab kerana kita ingin belajar dengan beliau dengan kitab yang teks berbahasa Arab. Berpada dengan terjemahan barangkali akan mengurangkan penyampaian roh pembelajaran kita. Apapun, insyaAllah, moga akan dipertemukan lagi dalam talian jika ada kemusykilan yang ingin ditanyakan.

Dalam ramai kalangan al-Ḥabīb, ini al-Ḥabīb yang pada saya sangat santai dan mesra kawan seakan-akan seperti seorang rakan yang tidak ada ada darjat kasta dalam interaksi melainkan yang memisahkan kita adalah keilmuan dan kesolehan.

Monday, 17 October 2022

Tanggapan Awal Untuk Buku Baru Keluaran Aslein


Sudah sampai buku baru keluaran Aslein dari Mesir.

Bagi yang tidak tahu, Aslein pada asalnya adalah forum yang merupakan platform untuk semua aliran al-Ašhʿariyy dan al-Māturīdiyy di seluruh dunia yang dikelola oleh salah seorang ilmuwan kalam masa kini; Syeikh Saʿīd Fawdah.

Sekarang, mereka sudah ada platform di Facebook dan mereka dalam masa yang sama menerbitkan beberapa buku yang berkaitan dengan ilmu kalam, ilmu tauhid dan wacana mengenainya.

Antara sebab yang mendorong minat saya untuk mendapatkan keluaran baru untuk Aslein adalah disebabkan temanya banyak menyentuh isu Waḥdah al-Wujūd yang berpaksikan Ibn ʿArobiyy al-Ḥātimiyy, khususnya untuk penolakan dan sanggahan. Empat daripada buku yang saya dapat ini adalah bertemakan itu.

Saya pada mulanya berharap akan ada pendedahan khas Syeikh Ibrōhīm al-Kurōniyy sepertimana yang Syeikh Saʿīd Fawdah pernah menjanjikannya beberapa tahun lepas. Syeikh Ibrōhīm al-Kurōniyy ini boleh dikatakan mahaguru kepada tok guru pondok di nusantara dan sanad pengajian pondok banyak akan berbalik kepada nama ulama ini.

Namanya dibangkitkan sebagai sebuah figura kontroversi oleh ustaz Noor Deros dalam isu Waḥdah al-Wujūd. Saya sebenarnya berharap buku ini menyajikan apa yang Syeikh Saʿīd Fawdah menjanjikannya.

Cuma, sepanjang saya membelek (bukan membaca secara serius), saya belum menemukan satu pun nama Syeikh Ibrōhīm al-Kurōniyy dipetik. Yang saya nampak adalah beliau banyak menjadikan ʿAbdul Karīm al-Jīliyy dan ʿAbdul Ġhoniyy an-Nābulsiyy sebagai subjek perbincangan dalam buku keluaran baru.

Saya hampa sedikit, tetapi buku ini masih bermanfaat kerana ini menampakkan bahawa Syeikh Saʿīd Fawdah dan pasukan daripada Aslein mula serius, fokus dan merancakkan lagi perbincangan isu Waḥdah al-Wujūd dalam bentuk penulisan. Selama ini perbincangan ini banyak terakam dalam kuliah sahaja.

Apapun, buku-buku beliau ini sangat patut diketengahkan dalam wacana semasa kita kerana ia akan memperkayakan lagi skop perbincangan dalam isu akidah dan lain-lain. Terutamanya isu Waḥdah al-Wujūd.

Walaupun sebahagian orang mungkin anggap ia isu piscisan atau ditimbulkan sebahagian orang untuk cari polemik dengan Ibn ʿArobiyy dan pengikutnya serta warga tempatan, tetapi ia adalah wacana yang besar. Jika tidak, tiada keperluan Syeikh Saʿīd Fawdah menerbitkan beberapa buku yang bertemakan topik ini.

Syeikh Saʿīd Fawdah adalah syeikh yang berpengaruh dalam ilmu ini. Manfaatnya sangat besar untuk kita gali dan ambil peduli.


Saturday, 15 October 2022

Pengajaran Yang Diambil Pada Pendedahan Ustaz Aswaja Terhadap Insan Yang Didakwa Cicit Rasulullah Yang Ke-38

1. Tahniah kepada ustaz Aswaja sendiri yang aktif menentang wahabi dan membela golongan al-Habib pun disangka buruk sebagai memusuhi ahli bait dan cuba menimbulkan bibit fitnah apabila mendedahkan seseorang yang didakwa cicit ke-38 yang berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Saya tidak tahu kalau ustaz Aswaja ini juga akan dituduh sebagai wahabi disebabkan menyinggung insan tersebut.

2. Akhirnya, ustaz Aswaja itu sendiri mengakui bahawa nasab itu walaupun ada kemuliaan, tetapi itu tidak ada apa-apa makna untuk akidah dan manhaj. Malah, dua juga menegaskan bahawa apabila mereka salah, tetap tidak boleh berdiam diri.

3. Saya sudah lama memperingatkan sebegini ketikamana mula-mula saya menulis tentang ulama ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy dan mula berkongsi penulisan Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ yang berkaitan dengan ahli bait.

4. Antara mesej penting saya adalah supaya jangan sempitkan naratif ahli bait pada golongan al-Ḥabīb sahaja. Luaskan penerokaan. Mulakan membuat rujukan silang untuk penulisan Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ, Nāṣir al-ʿItroh (pembela leluhur ahli bait) tentangnya dan jenguk karya peninggalan daripada zaydiah kerana aliran ini juga ramai ulama dari ahli bait.

5. Salah satu sebab saya menggesa seperti ini adalah supaya tidak lagi terjadi sebegini. Mudah cair, cepat terpesona dan sesuka hati memberikan kemuliaan yang berlebihan hanya kerana seseorang itu adalah ahli bait berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Apa sahaja daripadanya mahu dikuduskan dan dikultuskan.

6. Perkara ini terjadi disebabkan naratif ahli bait hanya tersepit pada golongan al-Habib sahaja. Padahal, Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ sendiri mengakui bahawa dalam kalangan ahli bait, ada sahaja dari mereka yang Isma'ilyyah, Imamiyyah, Rofidhoh dan Muktazilah. Tidak hanya pada al-Ash'ariyy atau al-Maturidiyy semata-mata.

6. Apabila naratif kita luas, kita akan sedar bahawa ahli bait ini juga memiliki keunikan dan kepelbagaian sama ada dari sudut akidah, pemikiran, manhaj dan perilaku. Mereka ini juga ada sudut-sudut manusiawi sepertimana mana-mana insan yang lain melainkan mereka menanggung darah daripada baginda.

7. Dari situ, walaupun kita memberikan penghormatan kepada ahli bait, kita tetap memberikan hak ilmu dan ikutan yang seyogianya, bukan hanya semata-mata nasab. Maksudnya adalah akidah yang suci dan manhaj yang jernih adalah tonggak ikutan adalah paling penting untuk dinilai dan dijadikan sandaran dalam beragama, bukan sekadar sentimen zuriat.

8. Kritikan terhadap mana-mana ahli bait sama ada kepada al-Ghumariyy, al-Kattaniyy, imam-imam zaydiah atau sesiapa pun sama sekali bukan bertujuan untuk menghina atau memusuhi ahli bait secara umum. Kebenaran tetap kebenaran dan dalil tetap dalil. Nasab tetap ada kemuliaan, tetapi akidah yang betul dan manhaj yang tulen adalah penyelamat ikutan yang lebih bermakna.

9. Saya harap dari peristiwa ini, kita lebih berhati-hati dengan mana-mana insan yang didakwa berketurunan baginda صلى الله عليه وسلم, meletakkan hak mereka dengan sebetulnya dan sama sekali tidak memberikan sanjugan yang berlebihan tanpa sepatutnya. Seterusnya, diharapkan agar pengamatan kita kepada ahli bait lebih luass yang tidak terhad kepada al-Ḥabīb sahaja.

Wednesday, 28 September 2022

Ašh-Šhaykẖ al-Mujaddid Yūsuf al-Qoroḍōwiyy Dan Kesannya Pada Saya

Semoga Allah merahmati ašh-Šhaykẖ al-Mujaddid Yūsuf al-Qoroḍōwiyy dan menempatkan beliau di dalam orang yang dicucuri rohnya serta diangkat darjatnya di akhirat atas sumbangannya yang besar dalam keilmuan di abad ini. Beliau baru sahaja diumumkan kewafatannya tidak lama tadi.

Buku beliau yang pertama yang saya baca Fī Fiqh al-Awalawiyyāt : Dirōsah Jadīdah Fī Ḍowʾ al-Qurʾān Wa as-Sunnah atau yang selalu sahaja diberikan nama terjemahan dengan Fiqh Keutamaan. Inilah antara buku yang memberikan inspirasi dalam pemikiran saya dan menampakkan kehebatan beliau dalam memaparkan usaha pembaharuan.

Kemudian, saya mula membaca beberapa buku beliau yang lain dan buku-buku beliau antara pilihan pembacaan saya disebabkan beliau menyentuh cara perbahasan yang menampakkan pemodenan pendekatan dan kesesuaian dengan zaman ini.

Antara yang menarik pada buku beliau yang mungkin dilihat baru untuk zaman beliau adalah perbahasan sesuatu perkara menjangkau yang sekadar menyentuh isu hukum dan dalil-dalilnya. Beliau akan memaparkan latar belakang kes jika ada, falsafah di sebalik hukum atau hikmah pensyariatan itu, hala tuju atau kemuncak yang ingin dicapai bagi pensyariatan atau hukum itu, kelebihan yang digapai oleh hamba Allah dengan pensyariatan itu dan pelbagai lagi.

Ini sememangnya keunikan dalam fatwa. Adunan falsafah dalam perbahasan hukum sememangnya menjadikan karya beliau sangat istimewa kerana beliau bukan sahaja membawa pendekatan yang baharu dalam berfatwa dan pandangan tentang pensyariatan, tetapi ini juga apa yang diperlukan dalam masyarakat untuk memahami keindahan dan keagungan syariat yang diturunkan ke muka bumi.

Adakalanya, sebahagian penanya bukan ingin tahu apa hukum dan dalil bagi suatu permasalahan. Ubat atau jamuan yang sebenarnya berhajat adalah mengapa pensyariatan atau hukum itu rasional dan bermakna untuk mereka serta mengukuhkan lagi bahawa inilah yang istimewa dalam Islam.

Beliau tidak dinafikan banyak kontroversi selaras dengan pembaharuan yang beliau bawa. Walaupun beliau ini dikenali dengan rapat dengan salafi disebabkan kedekatannya dengan karya Ibn Taymiyyah dan Ibn Qoyyim al-Jawziyyah serta memuji Muḥammad bin ʿAbdul Wahhāb sebagai mujaddid zamannya, beliau sebenarnya lebih dekat dengan akidah al-Ašhʿariyy dalam isu tafwid dan secara tersirat menyalahi Ibn Taymiyyah dalam aspek akidah.

Bukunya Fuṣūl Fī al-ʿAqīdah Bayna as-Salaf Wa al-Kẖolaf adalah saksi untuk perkara ini beserta muqaddimah yang beliau berikan untuk kitab Sayf ʿAliyy al-ʿAṣriyy berjudul al-Qowl at-Tamām Bi Iṯsbāt at-Tafwīḍ Maḏzhaban Li as-Salaf al-Kirōm.

Ini antara sebab sebahagian salafi agak tidak menyenanginya seperti Sulaymān bin Ṣōliḥ al-Kẖurōšhiyy menghasilkan al-Qoroḍōwiyy Fī al-Mīzān yang membangkitkan isu ini untuk membentaknya.

Antara isu yang kontroversi pada beliau adalah isu keharusan berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram sekalipun tanpa lapik dan selagimana tanpa syahwat. Jika kita ingat dahulu kontroversi Nazim al-Ḥaqqōniyy yang bersalaman dengan wanita bukan mahram, ada yang mengetengahkan fatwa ašh-Šhaykẖ Yūsuf al-Qoroḍōwiyy untuk menjustifikasikan bahawa Nazim al-Ḥaqqōniyy tidak wajar dipersalahkan. Sememangnya sesiapa sahaja yang ingin berkata keharusan ini akan memetikan pandangan beliau dalam hal ini.

Malah, disebabkan keterbukaan beliau yang tidak banyak terikat dengan pertarungan perebutan kelompok, ada juga yang menganggap beliau ini tidak konsisten yang bercampur aduk dan mendekati liberal disebabkan banyak hukum fiqh menjadi longgar dengan gagasan yang beliau bawa.

Cuma, beliau juga sangat aktif dalam menentang bidaah. Bukunya as-Sunnah Wa al-Bidʿah dan pelbagai lagi dalam mengkritik ideologi tidak sama sekali menampakkan keterbukaan yang terlalu meluas.

Sebegitu juga fatwa beliau untuk rakyat di negara Arab yang sedang bergolak dengan pemerintahnya yang mengajak kepada penggulingan. Sangat ironi dan menghairankan seorang tokoh yang cuba membawa mesej perdamaian dan kesatuan memberikan fatwa sebegini. Ini antara sebab sebahagian ulama dari persatuan beliau tubuhkan, iaitu Kesatuan Ulama Antarabangsa keluar dan membawa jalan masing-masing yang berbeza dengan pengasasnya.

Apapun, sumbangan keilmuan beliau tidak dilupakan dan disia-siakan biarpun rintangan membadai dalam hidupnya. Karyanya yang profilik dan segar pewacanaannya banyak menginspirasikan penulisan hari ini untuk membawa pendekatan baharu dalam perbincangan tentang adunan falsafah dan penerokaan maqasid dengan aspek hukum-hakam.

Semoga peninggalan beliau memberikan makna yang berguna untuk orang yang memanfaatkannya dan menjadi saksi untuk kemuliaan kedudukannya di akhirat kelak.

Sunday, 25 September 2022

HR Dan Pihak Atasan Lebih Berhati Tisu Berbanding Fresh Graduate, Interviewee Dan Pemohon


"5 Ayat Dalam Resume Yang HR Akan Auto Buang Resume Kamu Dalam Tong Sampah!". "Interviewer Tak Suka Awak Buat Perangai Macam Ini Ketika Sesi Temu Duga" etc etc etc..

Macam-macam tajuk dan artikel pasal nak bantai dan tempelak applicant fresh grad dan interviewee atas alasan nak mendidik dan mengajar. Tak habis-habis dengan bahaya poyo dan kerek nak tunjuk diorang ni professional sangat.

Seronok sangat perbodohkan dan sergah yang baru-baru segar dan mula bertatih di alam pekerjaan. Seminggu kalau tak tengok orang triggered sebab herdikannya seolah-olah macam tak mandi seminggu. Ayat dalam satu artikel kalau rasa tak bagi pedas, macam ayam tercekik tak dapat nak berkokok.

Tapi, HR atau pihak atasan bila ditanya tentang language programming pun terus buat hantaran FB nak muntahkan semua amukan dan menistakan yang bertanya tu tak ada kelayakan.

Lol. HR dan pihak atasan ni sebenarnya hatinya jauh lebih tisu dan mudah koyak kalau nak dibandingkan newbie, junior dan freshie ni, tapi berlagak macam profesional yang tegas ala-ala jeneral askar berpengalaman di medan tempur 20 tahun.

Nampak je garang dan buas, tapi ibarat singa yang tak berkuku dan tak bertaring. Cakap pasal professionaliti konon. Tapi, bila kita balas yang sama yang dia selalu buat, dia meroyan sakan pula? Eh? Tau pun teruk sebenarnya perangai kau tu.

Cuma, pasal dia ada kedudukan dan pengaruh sekeliling tu je yang buat kau kebal sikit. Kalau tak, dah lama dia pun sama-sama ditauk ke lubang sampah yang sama dengan newbie, freshie dan junior yang selalu dia campak dulu.

Senang kata. Hidup ni jangan poyo sangat. Esok giliran kita pulak kena hinjak yang sama dentumannya sepertimana kita hinjak orang lain dulu.

Filem Mat Kilau Ada Propaganda? Mana-Mana Filem Pun Ada Propaganda!

 


Aku tak ada apa ulasan untuk filem Mat Kilau. Cuma, yang kutuk filem Mat Kilau atas sebab propaganda atau agenda, tapi dalam masa yang sama dok sokong, promote dan angkat filem dari barat yang berwarna pelangi alfabet tu memang hipokrit.

Rilek laa. Chill. Mana2 filem pun ada je ideologi atau propaganda yang nak disuntik di sebalik itu. Filem dari negara Switzerland mestilah nak promote kenegaraannya, filem dari konservatif mestilah nak promote konservatifnya dan seterusnya.

Pandai2 lah nak enjoy dan nikmati apa yang ada serta manfaatkan apa yang bagus daripadanya. Kalau hiburan nak naratif dan berpihak pada kemahuan sorang saja, tak ubah seperti orang yang dikutuk sebagai bigot, zealot, jumud dan kolot.

After all, hiburan tetap hiburan. Bukan tempat kau nak menimba naratif dunia sebenar. Lainlah kalau akal lemah sangat dan mudah terpengaruh dengan filem.

Kalau selalu kutuk teori konspirasi dengan kaki DVD dan ulasan geopolitik serupa macam mitos filem fiksyen, tapi dalam masa yang sama perspektif alam dia pun dilatari dengan filem yang ditonton, apa bezanya orang yang mengutuk dan orang yang dikutuk?

Saturday, 2 July 2022

Sesi Interogasi Yang Saya Tidak Suka

Panel 1 : Bla bla bla? Setuju atau tidak?

Panel 2 : Setuju / Tidak setuju

Panel 1 : Explain bla bla bla. Then, you're wrong and i'm true. Let's proceed next question and i don't give a fuck for your further disagreement.

----------------------

Jujurlah. Aku benci sesi interrogasi yang berupa macam ni.

Bagi aku, lebih baik menggantikan sesi interrogasi dengan sesi yang lain yang lebih baik atau tukar format sebab kelihatan memenangkan orang yang bertanya dengan hanya jawapan yang setuju atau tidak dan ya atau tidak, sedangkan bukan semua soalan dijawab dengan semudah ini, lalu orang bertanya itu tidak boleh dipersoalkan validitas soalannya atau dicabar pendirian yang dia berselindung di sebalik soalannya.

Bagi aku, lebih tukar sesi cabaran kedua-dua pihak supaya berlaku adil kepada pihak yang menjawab agar tidak terbelenggu dengan pilihan ya atau tidak dan setuju atau tidak, tetapi keutamaan autoriti diberikan kepada panel yang diberikan giliran dan masa yang diberikan patut lebih panjang.

Tujuan interrogasi pada asalnya untuk mendapatkan pendirian yang sebenar bagi pihak yang ditanya. Cuma, aku tengok ia disalah guna untuk eksploit kepentingan dan motif tertentu.

Dan pendirian seseorang bukan semudah untuk ya atau tidak dan setuju atau tidak setuju. Orang yang ditanya ada hak untuk mempertahankan dengan memperhalusinya.

Orang yang bertanya perlu diberi ruang untuk dicabar kerana bukan semua soalan adalah betul sepertimana jawapan ya atau tidak dan setuju atau tidak bukan semua adalah jawapan yang betul untuk soalan itu.

Lebih-lebih lagi jika pertanyaan itu adalah ada motif yang tidak baik seperti menggambarkan pihak yang ditanya dengan gambaran yang salah, memberikan false dichotomy dan mengheret kepada yang ditanya kepada yang bukan dia mahu atau berbeza dengan realitinya

Selepas ini, diharapkan sesi interrogasi perlu ditukar format supaya lebih adil bagi pihak yang ditanya.

Monday, 13 June 2022

Pengalaman Ketika Di Pesta Buku Tahun 2022

1. Tidak Banyak Buku Yang Dibeli Pada Tahun ini.

Buku-buku di pesta buku sememangnya setiap tahun menarik dan menggoda. Lebih-lebih lagi buku yang menjadi subjek minat saya dan yang sudah lama saya mengimpikannya. Memang menggelojak nafsu saya untuk memborongnya.

Namun, tahun ini, saya menahan godaan ini dengan hanya fokus dengan kitab-kitab yang ada dalam senarai "Add To Cart" sama ada di Shopee atau laman web yang lain atau yang sehampir dengan tema dalam buku senarai tersebut.

Tahun sebelum ini kalau beli memang baki duit akan dihitung dengan teliti, balik jadi orang pokai dan angkut banyak buku. Tahun ini pula, masih banyak duit berbaki saya bawa pulang, sedikit buku yang saya borong dan ringan beg yang dibawa.

Tahun ini, saya bersyukur saya dapat kawal ketamakan saya untuk membeli berlebihan. Kalau dulu, apa sahaja yang menarik sama ada tajuknya atau kontennya memang saya angkut bawa balik dan tidak akan sama sekali melepaskannya.

Antara sebabnya adalah saya semakin cerewet dengan standard buku yang dimahukan. Cerewet ini kadang menjengkelkan, tetapi pada saya untuk situasi ini adalah rahmat. Kalau tidak, rabak poket saya dan mungkin terbeli buku yang tidak ada mutu dan standard yang saya mahu.

Pandang pertama ini memang perlu berjaga-jaga kerana itulah pukauan nafsu. Jika kita tidak ada standard yang tinggi, kita akan mudah kecundang dan sangat cepat terpikat dengan tajuk atau kandungan yang memberahikan mata.

Pengalaman pembelian buku ini dan pembaziran yang saya buat sebelum ini sememangnya mengajarkan saya tentang standard dan buku yang patut saya beli.

Saya belajar bahawa jangan beli hanya kerana ia nampak menarik. Ambil kira pelbagai perkara dan dengar cerewet kita supaya tidak membazir.

Saya ada juga perasaan hiba kerana tidak membeli buku yang saya sudah lama simpan idamannya dan saya tidak meneroka lebih banyak buku yang ada pada setiap reruai sepertimana tahun lepas.

Cuma, saya tidak menyesal jika saya terlepas atau sengaja melepaskannya. Bagi saya, kalau yang sedia ada atau yang sudah dalam "Add To Cart" sudah memberikan banyak kecukupan untuk visi pembelajaran saya, maka saya cuma berharap agar suatu hari nanti, saya dapat memperuntukkan duit yang lebih bermakna.

Kalau dahulu saya memang jengah satu persatu buku yang ada setiap reruai yang saya lihat ianya menarik. Sekarang, mata saya hanya fokus apa yang menjadi standard saya dan apa yang sudah ada dalam "Add To Cart".

2. Lemah Komunikasi Dalam Bahasa Arab

Walaupun saya boleh membaca kitab-kitab Arab dan boleh serba sedikit untuk mendengar kuliah bahasa Arab yang baku, tetapi saya amat tempang dalam komunikasi. Apabila ingin berkomunikasi, banyak perkataan yang saya tidak tahu bagaimana untuk diungkapkan.

Contohnya adalah "Contact Card". Saya tidak pernah tahu apa perkataan ini dalam bahasa Arab. Cuma, nasib baik apabila saya berkata: "هل عندك بطاقة الاتصال؟", mereka faham apa yang saya maksudkan. Saya pun tidak tahu betul atau tidak apa yang saya sebut.

Malah, ada satu reruai ini, saya terpaksa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kepada orang Arab kerana banyak kosa kata bahasa Arab yang saya tidak tahu.

Sampai tauke Arab itu tanya: "Kamu tidak boleh berbahasa Arab?" sebab sudah tidak tahan saya berkomunikasi bahasa Inggeris untuk berbincang tentang kitab Arab.

Bila saya cakap, dia seperti tidak faham apa yang saya cakap. Mujur ada orang sebelah entah siapa yang pandai komunikasi Arab tolong 'rephrase' semula apa yang saya ingin maksudkan. Terima kasih untuk orang itu.

Mahir dalam bahasa bidang ilmiah kita, belum tentu mahir dalam komunikasi harian. Ini yang saya sedar selama ini dan pesta buku ini menambahkan lagi bukti pada diri saya.

Cuma, saya tidaklah malu kalau ini menjadi kekurangan saya. Saya sememangnya tidak minat belajar untuk sampai boleh komunikasi. Keperluan saya sekarang dan buat masa ini adalah cukup mahir membaca, dapat ikuti selok belok perbahasan dan dapat menggali faedah dengan tuaian yang tepat.

P/S : Gambar milik Ku Zack.

Saturday, 30 April 2022

Sedikit Ulasan Pada Buku Penziarah Kubur Bukan Penyembah Kubur Karya Ma'ruf Khozin


Saya sebenarnya bukanlah peminat ARG. Cuma, ini antara buku keluaran ARG yang paling saya suka dan yang paling rekomen pembacaannya. Sekalipun berbeza fikrah, ini kebaikan yang saya raikan dan saya memanfaatkan daripadanya.

Bahkan, bagi peminat keluarga al-Ġhumāriyy (kecuali Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy) jika membaca buku ini, mungkin mereka akan berkongsi perasaan yang sama dengan saya atau mungkin lebih lagi dan menyambut baik buku ini.

Saya teringat kata-kata pentahqiq kitab Iṯsbāt al-Ḥadd Lillah Wa Binahhu Qōʿid Wa Jālis ʿAlā al-ʿAršh (terjemahan: Mengisbatkan Had Untuk Allah Dan Bahawanya Dia Duduk Di Atas Arasy) karya Abū Maḥmūd ad-Dašhtiyy dalam mencela al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang mengingkari pengisbatan had untuk Allah :

وللأسف فإن كثيرا من المشتغلين بتدريس عقائد أهل السنة والتأليف فيها قد تابعوا الذهبي في هذه المسألة وغيرها من المسائل التي خالف فيها أهل السنة كمسألة الطعن في الأقران والمقام المحمود والصورة والترك بقبر النبي صلى الله عليه وسلم والتمسح به وشد الرحل إليه وغيرها من المسائل!

"Yang mendukacitakan adalah sesungguhnya kebanyakan orang yang sibuk dengan pengajaran akidah ahli sunnah dan pengarangan padanya telah seiring dengan aḏz-Ḏzahabiyy dalam permasalahan ini dan selainnya daripada permasalahan yang lain yang dia menyelisihi ahli sunnah padanya seperti masalah celaan terhadap persaingan, al-Maqōm al-Maḥmūd, aṣ-Ṣūroh, bertabarruk pada kubur Nabi صلى الله عليه وسلم, mengusapnya, tekad kembara kepadanya dan selainnya dari permasalahan itu".

Sememangnya ironi al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang tidak diragukan lagi sebagai tokoh besar dalam rujukan salafi dan manhaj al-Ḥāfiẓ sememangnya dijadikan pegangan bagi kebanyakan salafi pada hari ini walaupun mereka berkaptenkan Ibn Taymiyyah serta al-Ḥāfiẓ sememangnya dikenali sebagai memusuhi aliran al-Ašhʿariyy sepertimana yang disebutkan muridnya, Tājuddīn as-Subkiyy tampak memihak kepada apa yang dilakukan oleh golongan al-Qubūriyyūn yang selalu dikutuk oleh salafi.
Bagaimana seorang tokoh yang menjadi paksi salafi ini dalam masa yang sama memandang baik amalan yang dilakukan oleh al-Qubūriyyūn? Buku ini mendedahkan sedikit sebanyak tentang apa yang ada di sisi al-Ḥāfiẓ pada isu ziarah dan amalan di perkuburan.

Bahkan al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy juga ada seiras dengan al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy dalam isu ini. Walaupun al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy sangat mengutuk keras terhadap aliran al-Ašhʿariyy, tetapi dalam isu amalan di perkuburan, sememangnya dikenali kepekatannya dengan kesufian.

Sememangnya pelik kalau tokoh besar yang dijulang tinggi salafi ada perbezaan yang ketara dengan rata-rata salafi sepertimana keluarga al-Ġumāriyy yang ada perbezaan yang nyata dengan rata-rata sufi dan Aswaja yang memandang hebat terhadap keluarga ini. 

Apapun, buku ini memang mampu beri kejutan besar atau tamparan hebat kepada salafi kerana di dalam buku ini banyak menukilkan pengamalan ulama dari catatan sejarah tentang amalan di perkuburan seperti berdoa di sana, membaca al-Qurān dan mengambil berkat daripadanya.

Saya mengharapkan cetakan seterusnya dapat memperincikan lebih banyak lagi fiqh yang berkaitan dengan amalan di perkuburan dan isu-isu sufi yang berkaitan dengan amalan di perkuburan memandangkan saya lihat masih ada banyak yang tidak terisi, tetapi sangat penting untuk dibahaskan.
Kemudian, buku ini memaparkan bagaimana Ibn Taymiyyah dan para pengikutnya dari kalangan wahabi mula mengorak perspektif yang berbeza secara ekstrim dalam isu amalan di perkuburan sehingga ada istilah al-Qubūriyyūn untuk dijadikan sasaran peluru pelaku bidaah dan musyrik kepada pelakunya. 

Untuk bahagian ini, saya ada hidu bias kerana mungkin terlalu menyasarkan kepada wahabi sehingga terabai yang selain daripada wahabi yang bersuara tentang isu yang hampir serupa dan bahagian yang termasuk yang diperselisihkan oleh ulama. Saya berharap cetakan seterusnya lebih adil dalam membahas tentang kelompok selain wahabi yang tidak menggemari beberapa amalan di perkuburan yang menjadi polemik.

Tuesday, 4 January 2022

Aku Mungkin Akan Melupakanmu

Terlalu banyak memori aku telah terlupakanmu.
 
Semakin jasadku dimamah usia, semakin lemah ingatanku untuk menampung lebih banyak cerita kehidupan dan menyimpan segala yang menjadi tersemat dalam kenanganku.

Sejujurnya. Kalau aku mati sekarang, tidak akan ada siapa lagi yang akan mengingatimu lagi. Tidak akan ada siapa lagi. Hanya aku sahaja yang masih menyimpan cerita dirimu.

Hanya aku sahaja yang masih mengingatimu. Hanya aku sahaja yang boleh menjadikan engkau hidup dalam memori aku.

Kalau pun aku coretkan semuanya dalam gambar atau lembaran agar generasi terkemudian akan terus mengingatimu, tetapi mereka tidak akan mampu menjadikan engkau hidup dalam memori mereka sepertimana aku lakukan.

Mereka boleh mengingatimu, tetapi tidak akan ada siapa lagi yang dapat menjadikan engkau hidup dalam memori melainkan aku.

Namun, perlahan-lahan ia semakin menghilang, terhakis, pudar dan terpadam.

Aku tidak tahu lagi sama ada aku akan bawa memori aku denganmu sehingga hujung nafasku tanpa terlupakanmu.

Akan tetapi, ingatlah bahawa cukuplah sebagai kebanggaan bahawa namamu terabadi dalam Luh Mahfuz.
 
Bertambahlah lagi kebanggaan jika engkau menjadi perhatian bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
 
Kalau aku terlupakanmu dalam hayat aku ini, sentiasalah tersemat bahawa engkau dalam perhatian raja segala raja yang Maha Mulia.
 
Kalau aku terlupakanmu, maka Dia sentiasa akan mengingatimu.
 
Dia akan sentiasa mengingatimu. Dia akan sentiasa mengingatimu.

Jadilah engkau orang yang sentiasa menjadi perhatian daripada-Nya.

Mudah-mudahan, di pintu syurga, kita dipertemukan lagi.