Saturday, 9 April 2022

Al-Ḥāfiẓ Aḥmad Al-Ġhumāriyy Dan Ikutan Mazhab

 


Al-Ḥāfiẓ Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy, ahli hadis sufi dari ahli bait sememangnya sangat keras menentang taklid. Sehinggakan Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ berkata bahawa beliau ini juga sangat dibenci oleh para pentaklid[1].

Sememangnya beliau sampai mengatakan bahawa taklid ini termasuk dalam bidaah yang syirik kerana menjadikan kalam para imam didahulukan berbanding Allah dan rasul-Nya serta lebih mulia daripadanya, bahkan wajib diterima dan dituruti[2].

Kata-kata beliau ini sememangnya agak ekstrim dan keterlaluan. Bahkan, sampai menanggapi bahawa semua mazhab yang dinamakan ini adalah sebagai pemecah belah agama[3].

Benar. Kalau dilihat daripada kata-kata sebegini, sememangnya sukar untuk diterima kerana menyamakan pentaklid sebagai pelaku syirik sepertimana yang dinyatakan dan menganggap pecahan mazhab adalah kelompok pemecah belah agama adalah suatu kata-kata yang lancang.

Berbeza dengan adiknya, al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy yang lebih lunak sedikit. Sekalipun al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy juga bersikap keras terhadap ketaksuban, beliau masih mengatakan bahawa beliau tidak terfikir untuk sampai membenamkan mazhab-mazhab fiqh dan meninggalkan pengamalan dengan pendapat imam secara keseluruhan. Akan tetapi, yang sepatutnya adalah meninggalkan amalan yang jelas kesalahnnya dan teks agama menyelisihinya. Inilah yang dimaksudkan ketika menyinggung sebahagian pentaklid[4].

Sekalipun begitu, al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy masih memberikan khidmat untuk mazhab Mālikiyy dan menghasilkan beberapa karya untuk melestarikan dan memperbaharui tradisi mazhab tersebut. Antara karya tersebut adalah Masālik ad-Dilālah ʿAlā Masāʾil Matn ar-Risālah, al-Hidāyah Fī Takẖrīj al-Bidāyah dan lain-lain[5]. Ini bermakna beliau masih menerima mazhab Mālikiyy dan memberikan kontribusi yang seberhaknya kepada mazhab ini.

Bahkan, beliau juga sangat dikenali dengan kepekatannya terhadap kesufian dan membela beberapa amalan kesufian. Antaranya adalah zikir "Āh" (آه) yang menjadi polemik baru-baru ini.

Oleh itu, beliau bukanlah bermaksud untuk mengatakan bahawa ikutan kepada mana-mana mazhab atau mana-mana aliran termasuk dalam kesesatan. Beliau sememangnya boleh membina mazhab sendiri atas kemampuan beliau yang sudah mencapai darjat ijtihad, tetapi beliau masih memberikan khidmat untuk mazhab Mālikiyy dan tradisi kesufian, tetapi dengan semangat pembaharuan dan bebas daripada taklid.

Untuk berlaku adil kepada beliau, kita perlu tahu sebab besar beliau menentang keras pentaklid ini. Hal ini kerana beliau telah menyaksikan ketaksuban yang melampau dari sebahagian pengikut mazhab. Ketaksuban ini bukan tahap biasa, tetapi sememangnya boleh dikatakan tampak seperti sudah terkeluar daripada agama dan beragama dengan suatu mazhab.

Beliau berkata dalam menceritakan tentang ayahnya :

ووقعت له مناظرة بالمدينة المنورة مع حمدان الونيسي الجزائري في محفل عظيم من العلماء. فيهم شيخنا الإمام سيدي محمد ابن جعفر الكتاني والشيخ توفيق الأيوبي الشامي والشيخ أمين سويد الدمشقي أيضا والسيخ عمر حمدان المحرمي والسيد أبو القاسم الدباغ وما يقرب من عشرين عالما كانوا مجتمعين بضريح سيدنا حمزة رضي الله عنه. وبعضهم يسرد تفسير ابن عجيبة، فمرت مسألة البحر البحث فيها بينهم إلى مخالفة المذهب. فتكلم الونيسي بكلام أراد به التنكيت على سيدي أبي القاسم الدباغ لأنه كان من المعلنين بنبذ التقليد والعمل بالسنة وظن الونيسي أنه منفرد بذلك من بين الحاضرين. فانبرى له الشيخ رضي الله عنه وناظر مناظرة بهرت عقول الحاضرين ومكثوا يتحدثون بها طول عمرهم. كلما جرى ذكر الشيخ رضي الله عنه حتى ذكر كل من السيد أبي القاسم الدباغ والشيخ عمر حمدان على الانفراد في أوقات مختلفة قالوا: "ما كنا بمثل الونيسي أمام الشيح إلا كهر صغير بين يدي أسد عظيم". فلما ألزمه الحجة، ولم يجد من يد الشيخ مفرا قال في حمية وغضب للتقليد والشيطان: "ما قاله الله ورسوله أضعه تحت قدمي. وما قاله خليل أجعله فوق رأسي". فقال له الشيخ: "الآن سقط الكلام معك ولو أخبرتنا بهذا من أول وهلة، ما ناظرناك لأننا كنا نظن أنك تناظر عن جهل بالمسألة وخطأ في النظر والاعتقاد وحيث وصلت إلى حد الكفر والردة والعناد، فلا كلام لنا مع من هذا حاله".

Terjadi kepadanya suatu perdebatan di al-Madīnah al-Munawwaroh bersama Ḥamdān al-Wunīsiyy al-Jazāʾiriyy pada majlis pertemuan yang besar dari kalangan ulama. Dalam kalangan mereka adalah syeikh kami, al-Imām Sayyidī Muḥammad Ibn Jaʿfar al-Kittāniyy, ašh-Šhaykẖ Tawfīq al-Ayyūbiyy aš-Šāmiyy, ašh-Šhayẖ Amīn Suwayd ad-Dimašhqiyy juga, ašh-Šhayẖ *Umar Ḥamdan al-Muḥarromiyy, as-Sayyid Abū al-Qōsim ad-Dabbāġh dan jumlah yang mendekati dengan dua puluh ulama. Mereka berkumpul di birai pusara Sayyidinā Ḥamzah -semoga Allah meredhainya-.

Sebahagian mereka menyebutkan tafsir Ibn ʿAjībah. Lantas, permasalahan al-Baḥr memenuhi perbahasan sesama mereka padanya sehingga ke penyelisihan mazhab itu. Al-Wunīsiyy berbicara dengan bicara yang bermaksudkan penistaan terhadap Sayyidī Abū al-Qōsim ad-Dabbāġh kerana dia termasuk golongan yang menyatakan diri terhadap penyisihan terhadap taklid dan pengamalan dengan sunnah. Al-Wunīsiyy menyangka bahawa dia bersendirian dengan hal itu dari kalangan mereka yang hadir.

Ašh-Šhaykẖ -semoga Allah meredhainya- membingkas kepadanya dan berdebat dengan pendebatan yang mengujakan akal mereka yang hadir serta mereka kekal berbicara tentangnya sepanjang umur mereka. Setiap kali berlalunya penyebutannya ašh-Šhaykẖ -semoga Allah meredhainya- sehingga penyebutan semua daripada as-Sayyid Abū al-Qōsim ad-Dabbāġh dan aš-Šhaykẖ *Umar Ḥamdān atas kesendirian pada beberapa waktu yang beragam, mereka berkata: "Tidaklah kami semisal al-Wunīsiyy melainkan permainan sang kecil di hadapan singa yang besar". Ketikamana hujah itu menundukkannya dan tidaklah dia mendapati jalan lari dari tangan ašh-Šhaykẖ, dia berkata dalam keadaan kebongkakan dan marah kerana taklid dan syaitan: "Apa yang Allah dan rasul-Nya katakan telah aku letakkannya di bawah kakiku. Apa yang Kẖolīl katakan telah aku jadikannya di atas kepalaku!".

Ašh-Šhaykẖ berkata: "Sekarang, terputus bicara ini bersamamu. Kalaulah engkau mengkhabarkan kepada kami dengan ini dari awal-awal lagi, kami tidak akan berdebat denganmu kerana kami pada asalnya menyangka engkau berdebat tentang kejahilan dalam permasalahan ini serta tersalah dalam pemerhatian dan iktikad. Ketikamana engkau sampai ke had kekufuran, kemurtadan dan perseteruan, maka tidak ada bicara pada kami bersama orang yang ini adalah keadaannya". [At-Taṣowwur Wa at-Taṣdīq Bi Akẖbār ašh-Šhaykẖ Sayyidī Muḥammad Ibn aṣ-Ṣiddīq, m/s 60-61].

Beliau juga berkata :

وكتاب التونسي الذي تسأل عنه طبع منذ ثلاثين سنة تقريبا. ومؤلفه هو المجرم الأحمق عدو الله روسوله صلى الله عليه وسلم حقا؛ يوسف الكافي الذي يعتقد يقينا لا شك فيه عنده كفر من يعمل بالسنة واستحلال دمه وريرى وجوب عبادة مالك وعدم الخروج. فهو من المغاربة الحمقى الخبثاء جدا جدا جدا.

"Kitab at-Tūnisiyy yang engkau bertanya tentangnya telah pun dicetak semenjak kira-kira tiga tahun puluh tahun lalu. Penulisnya adalah penjenayah bebal lagi musuh Allah dan rasul-Nya صلى الله عليه وسلم yang sebenar-benarnya, iaitu Yūsuf al-Kāfiyy yang beriktikad dengan yakin tanpa syak padanya di sisinya mengkafirkan orang yang beramal dengan sunnah, menghalalkan darahnya serta berpandangan wajib pengabdian kepada Mālik dan tidak boleh keluar daripadanya. Dia termasuk golongan Morocco yang bebal lagi jijik bersangatan sangatan sangat". [Darr al-Ġomām ar-Roqīq Bi Rosāʾil ašh-Šhaykẖ as-Sayyid Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq, karya *Abdullah bin *Abdul Qōdir at-Talīdiyy, m/s 186].

Beliau juga berkata :

وقد أفتينا مرة في مسألة واستدللنا لها بالحديث. فأخذ السائل تلك الفتوى إلى الفرطاخ، وكان من علماء تطوان. فلما قرأها غضب واحتد وقطعها. ثم رمى بها وقال للرجل: "إذا جئتني مرة أخرى بفتوى فيها حديث، بعثتك إلى السجن". وناظرت مرة رجلا من تطوان، فصار يصيح ويقول: "يا عباد الله! أيأمرنا هذا الرجل بالكفر؟ أيأمرنا أن نترك خليلا ونعمل بالحديث؟".

Aku pernah memberi fatwa sekali pada suatu permasalahan dan kami beristidlal dengan hadis untuknya. Lalu, penanya fatwa itu membawa kepada al-Farṭōẖ. Dia salah seorang daripada ulama Tetouan. Tatkala orang itu membacanya, dia marah, berang dan mengoyakkannya. Kemudian, dia mencampaknya dan berkata kepada orang itu: "Apabila engkau bawa fatwa yang ada hadis di dalamnya kepadaku, nescaya aku menghantarmu ke penjara".

Aku pernah berdebat sekali dengan seseorang dari Tetouan. Lalu, dia mula berkata: "Wahai hamba-hamba Allah! Adakah lelaki ini menyuruh kita untuk kufur? Adakah dia menyuruh kita untuk meninggalkan Kẖolīl dan beramal dengan hadis?". [Darr al-Ġhomām ar-Roqīq Bi Rosāʾil ašh-Šhaykẖ as-Sayyid Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq, karya ʿAbdullah bin ʿAbdul Qōdir at-Talīdiyy, m/s 40-41].

Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ menukilkan penulisan al-Ḥāfiẓ Aḥmad al-Ġhumāriyy :

والقسم الثالث من المقلدة وهم -في نظر المرتجم له- العلماء الجامدون على المذاهب تقليدا لا تنقيدا واتباعا ويزيدون على ذلك عداوتهم لمن يعلن طلب الدليل والبحث عنه والدعوة لاتباعه كما جاء عن يوسف النبهاني أنه يتقذر من رؤية الداعين إلى العمل بالدليل كما يقذر من رؤية النجاسة! وكما قال جعفر الكتاني في الرد على عبد الله السنوسي: "وبعد، فقد نبغت نابغة من المجوس رأسهم ابن حزم يقولون: "لا يجوز العمل إلا بكتاب الله وحديث رسوله صلى الله عليه وسلم وآله وسلم"! فسماهم مجوسا وجعل علة تمجسهم قولهم: "لا يجوز العمل إلا بكتاب الله والحديث"! ثم قال في آخر كتابه الخرافي: "الفصل العاشر في تحريم العمل بكتاب الله وحديث رسوله صلى الله تعالى عليه وآله وسلم... إلى آخر"! هكذا يصرح بتحريم بكل جرأة ووقاحة! وسمى الخضر الشنقيطي كتابه في نصرة التقليد: "قمع أهل الزيغ والإلحاد عن الطعن في أئمة الاجتهاد". فسماهم ملاحدة وجعل قولهم: "لا يجوز تقليد الأئمة" طعنا فيهم! وقال القادري في رسالته في العمل بالضعيف من أقوال المذهب: "فإن قلت هل يجوز العمل بالحديث؟ فالجواب: لا"!. ولو أملينا عليك ما سمعناه منهم ووقع لنا معهم، لسمعت العجب العجاب.

Jenis ketiga dari kalangan pentaklid adalah mereka -menurut pemerhatian pembiografi untuknya- adalah ulama yang jumud dengan sekalian mazhab secara taklid, bukan kerana kritis dan bukan kerana ikutan dalil. Mereka menambahkan permusuhan mereka pada itu terhadap orang yang menyatakan diri mencari dalil, berbahas tentangnya dan menyeru kepada ikutan kepadanya sepertimana :

(a) Datang khabar daripada Yūsuf an-Nabhāniyy bahawa dia merasa jijik melihat penyeru kepada beramal dengan dalil sepertimana dia merasa jijik melihat najis!

(b) Dan sepertimana kata Jaʿfar al-Kittāniyy dalam bantahan terhadap ʿAbdullah as-Sanūsiyy: "Setelah itu, telah muncul orang ternama dari kalangan Majusi yang pemukanya adalah Ibn Ḥazm berkata bahawa tidak harus beramal melainkan dengan kitab Allah dan hadis rasul-Nya صلى الله عليه وسلم وآله وسلم"!

Dia menamakan mereka dengan Majusi dan mejadikan sebab kemajusiannya adalah kata-kata mereka: "Tidak harus beramal melainkan dengan kitab Allah dan hadis"! Kemudian, dia berkata pada akhir kitabnya yang mengarut: "Fasal kesepuluh pada pengharaman beramal dengan kitab Allah dan hadis rasul-Nya صلى الله تعالى عليه وآله وسلم ...sehingga akhir"! Sedemikian ini dia menyatakan jelas dengan pengharaman itu dengan setiap nekat dan lancang!

(c) Kemudian, al-Kẖoḍir ašh-Šhinqīṭiyy menamakan kitabnya dalam membela taklid: "Menjauhkan Ahli Penyeleweng Dan Apostasi Dari Celaan Terhadap Para Imam Ijtihad". Lalu, dia menamakan mereka sebagai sang apostasi dan menjadikan kata-kata mereka: "Tidak harus taklid kepada para imam" sebagai celaan terhadap mereka!

(d) Berkata al-Qōdiriyy dalam risalahnya tentang pengamalan dengan yang dhaif dari pendapat-pendapat mazhab: "Jika engkau berkata adakah harus beramal dengan hadis, maka jawapannya adalah tidak"!

Kalau kami mendiktekan untukmu apa yang kami telah mendengarnya daripada mereka dan terjadi hal itu kepada kita bersama mereka, pasti engkau mendengar keajaiban yang terlampau ajaib". [Musāmaroh aṣ-Ṣiddīq Bi Baʿḍ Aḥwāl Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq, m/s 103].

Kalau kita semua berada di zaman beliau dan menyaksikan sendiri di hadapan mata berkali-kali, tidakkah ini suatu isu yang serius dan perlu ditentang habis-habisan?

Kita mudah terasa apabila agak keterlaluan dalam menyinggung aliran al-Ašhʿariyy atau mana-mana mazhab yang lain, tetapi kita langsung tidak ambil endah terhadap betapa parahnya dan seriusnya ketaksuban yang pada sebahagian pengikut mazhab, khususnya pada zaman ini.

Kita selalu bersikap penafian dengan berkata: "Eh tidak! Kami tidak taksub kepada para ulama. Kami hanya ikut para ulama yang berjalan di landasan al-Quran dan as-Sunnah. Kamu sahaja yang menuduh kami sedemikian". Akan tetapi, bukan itulah realiti yang disaksikan oleh beliau. Bahkan, yang berlaku adalah sebaliknya.

Jangan sangka ketaksuban sekarang masih tidak ada lagi dan tidak subur. Ia berselindung di sebalik penafian. Tunggulah nanti kalau ada kemunculan orang yang persis dengan beliau. Barulah kita tahu wajah sebenarnya daripada para penafi.

Bagi yang boleh membaca penulisan Arab, ini adalah bacaan tambahan tentang isu ijtihad dan mujtahid : https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/11/blog-post_25.html

Ya. Ada perkaitan dengan isu ini, khususnya yang berkaitan dengan taklid dan kita lihat bagaimana realistiknya beliau dalam mengupas topik ini.

[1]https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=492624834485128&id=100012128473491

[2]Al-Jawāb al-Mufīd Li as-Sāʾil al-Mustafīd, m/s 98-99.

[3][Darr al-Ġomām ar-Roqīq Bi Rosāʾil ašh-Šhaykẖ as-Sayyid Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq, karya ʿAbdullah bin ʿAbdul Qōdir at-Talīdiyy, m/s 29-41.

[4]ʿAbdul Ḥayy Ibn aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriy : Al-Uṣūliyy an-Nāqid Wa al-Mujtahid Wa al-Mujaddid, karya Muḥammad Ilyās al-Marrōkiṣhiyy.

[5]Musāmaroh aṣ-Ṣiddīq Bi Baʿḍ Aḥwāl Aḥmad bin aṣ-Ṣiddīq karya Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ.

No comments:

Post a Comment