Semalam dapat panggilan dari suatu organisasi alam sekitar untuk minta sumbangan yang dahulu saya pernah beri sumbangan dan pihaknya menghubungi saya untuk buat sumbangan sekali lagi.
Saya memang sudah bertekad yang saya tidak akan lagi menyumbang mana-mana organisasi kecuali kepada guru saya atau institusi yang saya belajar sekarang ini biarpun saya tidak pernah hadir ke kelasnya kerana mereka ini lebih berbaloi untuk dibantu.
Sebab sebagai pengajar yang bergerak sendiri, sememangnya saya faham bahawa susah untuk menampung kehidupan sendiri yang entah bagaimana pasang surutnya. Itu sebab saya lebih rela menyalurkan wang kepada insan yang sama-sama saya rasai bersama kesusahan mereka seperti guru-guru saya.
Cuma, setelah panggilan dari organisasi itu dibuat, habis keluar bermacam iklan tentang tahfiz yang memohon sumbangan di Facebook.
Memang sudah banyak kali yang kalau sembang tentang sesuatu yang berdekatan dengan laptop atau telefon, Facebook ini suka mencuri dengar maklumat penggunanya dan beberapa jam kemudian, akan keluar iklan yang dia berhasil curi dengar tadi.
Walau apapun, isu mengemis untuk pembangunan tahfiz dan penyeliaannya pun satu lagi yang agak menggeramkan saya.
Yang pertama, dari mana agaknya dapat duit itu untuk menyiarkan iklan di Facebook? Kalau dari sumbangan, ada akad atau tidak untuk menyatakan secara telus bahawa sebahagian sumbangan akan diambil untuk urusan pengurusan? Kalau tiada, ini sememangnya memakan harta yang batil. Tidak berkat tahfiz yang dibangunkan dan iklan yang disiarkan.
Yang kedua, mudah sungguh ingin bina institusi keagamaan. Cukup menagih derma dari orang ramai terus berbondong-bondong orang pindahkan duit ke akaun bank.
Tidak perlu keluar modal pun untuk pembangunan. Entah-entah kos-kos utiliti bulanan atau tahunan, kos pengurusan dan kos penyeliaan semuanya ditanggung oleh derma.
Anda marah pengemis di tepi jalan dan gelandangan yang tidak usaha untuk mencari kerja dalam menampung kehidupan. Sekarang, anda menjustifikasikan mengemis atas tujuan untuk gerak kerja agama dan institusi agama?
Tukarlah nama kepada infak, sumbangan, derma, sedekah dan pelbagai lagi yang cantik belaka. Ia tidak menukar hakikat yang anda mengemis.
Saya yang bergerak sendiri adakalanya rasa iri hati tengok mereka ini sangat mudah membangunkan prasarana dan meneruskan organisasi mereka dengan menagih derma dari orang ramai.
Rasa kehimpitan sahaja terus siar iklan untuk menghebahkan bantuan sedekah dan dijamin mereka akan dapat dengan berbondong-bondong. 10 tahun buat yang sama pun kalau masyarakat masih tolol, 10 tahun jualah mereka akan korek duit orang ramai dengan mengemis atas nama agama!
Sedangkan, saya ingin menyediakan keperluan pengajaran, buku untuk saya ulangkaji dan belajar dalam meningkatkan kemahiran diri dan pelbagai lagi semuanya perlu keluar belanja sendiri. Adakalanya, perlu buat pilihan sukar sama untuk dapat makan sehari atau beli buku yang sangat penting lagi terhad di pasaran dan bila-bila masa akan habis!
Saya sendiri kalau meminta pun untuk tampung kehidupan saya walau 10 tahun minta tanpa henti pun belum tentu dapat walau sesen kerana saya bukan sesiapa di mata orang dan tidak ada membangunkan infrastruktur yang dapat mengagumkan penderma.
Cuma, apabila memikirkan tentang maruah, rasanya semua maklum bahawa usaha sendiri dan bersusah payah dengannya adalah suatu yang mulia. Sama-sama kita berharap kepada Allah agar sentiasa istiqamah di jalan ini, cekal dalam menghadapi dugaannya, dilimpahi kurnia-Nya atas sebab bertekad di jalan ini dan membawa kita ke penghujung yang terhormat di dunia dan di akhirat.
Namun, sekarang meminta-minta dimuliakan kerana ingin membangunkan institusi keagamaan atas dasar pahala sedekah jariah!
Hakikatnya itu adalah jalan mudah untuk capai sesuatu tanpa keluar modal dan belanja sendiri pun. Cukup pandai buat iklan untuk merayu dan meraih simpati, tunggu masa sahaja duit masuk berkepuk dalam bank. Hidup tidak perlu fikir susah kerana duit orang lain terus masuk.
Aktres porno OnlyFans rasanya lagi bermaruah dari pihak ini kerana mereka usaha sendiri juga untuk jual badan dan mengorbanan kesopanan diri demi konten. Jika tidak dapat sambutan, mereka juga akan rasai kesusahannya. Tidak ada jalan mudah dalam tidak mahu tanggung risiko untuk walaupun cara mereka adalah keji dalam memperoleh pendapatan.
Namun, pengemis di tepi jalan dan pengemis pembangunan tahfiz ini apa bezanya? Rasanya sampai bila ingin terus mengemis dan harapkan bantuan derma orang ramai? 10 tahun? 20 tahun?
Saya tahu celoteh ini akan ada yang benci, lebih-lebih lagi dari peminta derma, pihak yang terbabit dengannya dan sudah lama menyumbang. Tetapi, cubalah fikir. Adakah bermaruah untuk sesuatu itu hidup hanya dengan mengharapkan sumbangan luar tanpa usaha sendiri?
No comments:
Post a Comment