"Tidak boleh mentafsirkan al-Quran dengan sains kerana sains sentiasa terdapat perubahan".
Selalu sangat kita kedengaran jerkah ini apabila seseorang mengemukakan penjelasan sains dalam menyingkapi kandungan suatu ayat al-Quran dan mengaitkannya dengan penemuan sains, faktanya dan dapatannya.Penafsiran sebegini seringkali dikecam secara rambang dan seringkali ia dilabel dengan gelaran Bucailleism secara negatif walaupun ia ada perkaitan yang tepat antara ayat al-Quran dengan penemuan sains yang telah sabit tanpa ragu lagi.
Betul. Tiada siapa nafi bahawa sains ada perubahan yang selaras dengan perkembangan semasa dari penemuan terbaru semasa. Ambil contoh Hukum Newton yang tidak boleh dipakai ketika menjengah ke dunia kuantum ynag mana selama ini ia dianggap mutlak kebenarannya.
Akan tetapi, ini perkara yang penting untuk diketahui apa fungsi menjadikan penjelasan sains sebagai salah satu metod dalam penafsiran.
a) Al-Istiʾnās (الاستئناس) - Sokongan Penarik.
Penghujahan dan penjelasan dengan sains adalah sekadar sokongan penarik sahaja. Bukan menjadi sumber yang putus dalam membuat ketetapan dalam syarak yang sama seperti hadis sahih, ijmak dan qiyas.
Sama sahaja prinsipnya dengan para mufassirin yang menjadikan hadis dhaif dan kisah israiliat sebagai penjelasan kepada ayat al-Quran. Tiada siapa yang kata sumber hadis dhaif dan kisah israiliat ini memberikan kekuatan yang putus dalam penjelasan ayat al-Quran.
Akan tetapi, dalam isu sokongan penarik ini, sememangnya ramai ulama memberikan kelonggaran dan bermudah-mudahan kerana ia bukan sahaja berfungsi sebagai penyedap tambahan sahaja seperti hadis dhaif dan kisah israiliat yang memperincikan kisah atau konteks, tetapi juga sebagai penguat keyakinan bagi para pembaca.
Tidakkah Allah berfirman? :
فَإِن كُنتَ فِي شَكٍّ مِّمَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ فَاسْأَلِ الَّذِينَ يَقْرَءُونَ الْكِتَابَ مِن قَبْلِكَ
"Jika engkau dalam syarak terhadap apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyalah orang yang membaca kitab dari kalangan sebelum kamu". [Surah Yūnus ayat 94].
Kalaulah apa yang ada pada ahli kitab dapat menjadi penghilang kepada syak, apakah kita tidak boleh merujuk dapatan sains untuk menghilangkan syak yang ada? Sedangkan, jika ditimbang dari dasar faedah kekuatan ilmu, dapatan sains jauh lebih meyakinkan daripada bicara ahli kitab.
Cuma, jika didapati dapatan sains yang terbaru membatalkan apa yang selama ini menjadi pegangan, maka kita tetap berkeyakinan bahawa al-Quran tidaklah salah dan dapatan baru tidak boleh dijadikan pertentangan antaranya dengan dapatan yang terkini. Inilah beza objektif sokongan penarik dan sumber penghujahan.
Sama juga seperti apabila didapati ada hadis sahih yang menyelisihi hadis dhaif. Sememangnya hadis dhaif diketepikan dan ia tidak dapat menjadi sebab untuk mewujudkan pertentangan al-Quran dan hadis dhaif.
b) Al-Ilzam (الالزام) - Pembenaman
Perkara yang paling penting dalam membuktikan kebenaran adalah mengilzamkan (pembenaman) hujah pihak lawan. Untuk membenamkannya, kita perlu pandai menggunakan perkara yang menjadi musallamat (postulat) kepada pihak lawan.
Tidak penting kalau kita tidak menerima musallamat mereka, premis mereka atau prinsip pegangan mereka asalkan tercapai maksud kita dalam pembenaman.
Apa musallamat yang ada pihak lawan? Sains! Mengapa tidak kita menjadikannya sebagai musallamat dalam menegakkan kebenaran dari pihak kita dan mengalahkan apa yang ada dari pihak musuh?
Samalah juga kita menggunakan Bible dalam menumbangkan pegangan Kristian, padahal kita bukannya percaya dan terima apa yang ada dalam kandungan Injil yang ada pada hari ini. Akan tetapi, kita sekadar menjadikannya sebagai bahan untuk membenamkan pihak lain sahaja.
Akhir bicara adalah semestinya tanggungjawab kita untuk memastikan ayat al-Quran terpelihara dari penafsiran yang bias dan salah walaupun tujuannya adalah untuk menambahkan faedah keaykainan dan kekuatan penghujahan.
Saya pernah terjumpa beberapa penafsiran yang mengaitkan dengan sejarah dan sains yang tidak bertepatan dengan bahasa. Antaranya adalah boleh didapati di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/11/menjawab-tuduhan-bahawa-al-quran-salah.html
No comments:
Post a Comment