Wednesday, 6 March 2024

Konsep Majlis Riwayat Dan Ijazah


Ketikamana saya ingin menjalankan majlis riwayat dan ijazah, saya seringkali perlu menjelaskan tentang orientasi majlis ini, lebih-lebih lagi jika ada peserta baru atau peserta yang kurang biasa dengannya memandangkan ini adalah majlis yang agak langka dalam kalangan asatizah, agamawan dan penuntut ilmu agama sendiri. Tidak menghairankan kalau ramai yang tidak tahu tentangnya.

Saya perlu menjelaskannya supaya mereka tahu perjalanannya, formatnya, sasarannya dan nilai yang boleh dicapai dalam majlis ini. Adakalanya, ketidakfahaman ini menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan majlis ini, bahkan ada yang memberikan respons yang negatif terhadap majlis ini.

Adakalanya, saya merasa letih dan jemu untuk mengulangi penjelasan tentang majlis ini. Oleh itu, saya cuba menghasilkan penulisan yang mudah-mudahan senang untuk difahami bagi memahami intipati bagi majlis riwayat dan ijazah.

Saya berharap saya tidak perlu mengulangi lagi penjelasan saya. Cukup dengan mempamerkan penulisan ini untuk dibaca dan difahami.

Pengenalan

Majlis riwayat dan ijazah adalah majlis perlaksanaan tradisi bagi penyerahan silsilah pewarisan riwayat dari syeikh ijazah yang memperakukan dan memperkenankan penyerahannya untuk dihubungkan kepada seseorang yang lain untuk mendapatkannya dalam rantaian silsilah sanad.

Oleh itu, ada beberapa istilah yang penting untuk diambil tahu supaya dapat memahami intipati majlis ini, objektifnya dan tatacaranya. Bagi yang pertama kali atau tidak biasa dengan majlis ini, istilah ini amat wajar untuk mengetahuinya.

Yang pertama adalah sanad. Ia adalah jalur penghubung antara seseorang dengan seseorang yang lain yang menghubungkan pertalian kepada suatu riwayat. Selalunya ia berupa warisan dari generasi ke generasi yang seterusnya.

Contohnya adalah saya memperoleh jalur penghubung pertalian kepada kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah melalui ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr dan beliau pula melalui gurunya. Gurunya pula kepada gurunya sehingga kepada empunya kitab ini, al-Imām an-Nawawiyy.

Yang kedua adalah ijazah. Ia adalah perakuan dan perkenan seorang syeikh ijazah untuk menghubungkan nama orang yang meminta atau orang yang berminat atau orang yang dia berkenan dalam hubungan rantaian silsilah sanad.

Contohnya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr memperkenakan saya dan peserta yang lain untuk dihubungkan nama saya dengan ašh-Šhaykẖ dalam hubungan rantaian silsilah sanad kepada riwayat kitab al-Imām an-Nawawiyy. Dengan itu, saya mendapat ijazah sanad daripada beliau.

Yang ketiga adalah syeikh ijazah. Syeikh ijazah adalah orang yang memiliki penyambungan sanad dari syeikh ijazahnya yang lain. Syeikh ijazah berhak untuk memberi perkenan kepada orang lain dengan syarat yang dia kehendaki.

Contohnya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr adalah syeikh ijazah saya dan saya pula akan menjadi syeikh ijazah kepada mereka yang hadir dalam majlis yang saya adakan bagi memperoleh ijazah sanad.

Yang kempat adalah silsilah. Sepertimana seseorang ada silsilah keluarga yang menghubungkannya kepada seseorang seperti silsilah raja yang sekarang menghubungkan pertaliannya kepada raja pertama bagi negara itu, seperti itu juga silsilah yang ada bagi periwayatan ini.

Silsilah ini bukan atas dasar kekeluargaan, tetapi atas dasar perkenan antara syeikh ijazah dengan seseorang yang lain untuk dihubungkan dalam rantaian silsilah sanad untuk pertalian suatu riwayat secara zaman berzaman. Boleh juga untuk dipanggil dengan silsilah keluargaan, tetapi kekeluargaan secara artifisial atau kekeluargaan periwayatan.

Contohnya adalah hubungan saya dengan ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr bukanlah atas dasar kekeluargaan, tetapi nama saya dihubungkan dengan beliau kerana perkenan beliau untuk dihubungkan dalam rantaian silsilah sanad bagi kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah.

Jika ingin disebut sebagai keluarga pun, maka ia keluarga periwayatan bagi kitab itu. Maka, saya dan beliau serta sebegitu juga gurunya dan seterusnya adalah ahli keluarga saya dalam periwayatan untuk kitab itu.

Yang kelima adalah riwayat. Ia adalah subjek yang menjadi pertalian bagi sanad sama ada ia berupa kitab secara spesifik atau hadis musalsal atau mana-mana riwayat yang lain.

Contohnya adalah riwayat kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah. Ini adalah subjek pertalian bagi membentuk rantaian silsilah kekeluargaan secara artifisial secara zaman berzaman dari syeikh ijazah sehingga kepada al-Imām an-Nawawiyy.

Setelah faham istilah ini, baca semula definisi bagi majlis ini agar faham apa yang ingin menjadi intipati bagi majlis ini.

Tujuan

Tujuan majlis ini adalah supaya seseorang meneruskan legasi bagi yang mengijazahkannya dan mendapat warisan riwayat sama ada kitab atau mana-mana riwayat secara umum bagi mereka yang berkenan yang mana ia dilakukan oleh para masyayikh kita dan para pendahulu kita sejak zaman berzaman bagi tujuan keberkatan melalui perhubungan nama dalam rantaian silsilah sanad dan mengekalkan keistimewaan umat Islam pada aspek pewarisan yang nyata lagi berterusan.

Dengan kata lain, ia seolah-olah pembentukan rantaian silsilah kekeluargaan zaman berzaman melalui hubungan yang tersambung kepada suatu riwayat.

Contohnya adalah warisan kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah. Saya memperoleh penyambungan rantaian silsilah sanad ini melalui beberapa masyayikh saya yang mengijazahkan kepada saya.

Antaranya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr melalui suatu majlis bersamanya dalam talian, lalu saya diperkenankan oleh beliau untuk dihubungkan nama saya dengan nama ašh-Šhaykẖ dalam rantaian silsilah sanad.

Beliau pula mendapat ijazah sanad daripada gurunya melalui proses yang sama. Gurunya pula mendapat daripada gurunya yang sebelumnya melalui proses yang sama. Semua ini berlangsung sehinggalah kepada murid kepada al-Imām an-Nawawiyy mendapat ijazah daripada beliau sendiri, empunya kepada judul kitab ini.

Hubungan saya dengan beliau dan sebegitu juga beliau dengan guru-gurunya akan menghasilkan rantaian silsilah sanad seperti rantaian silsilah keluarga.

Saya juga ada menjelaskan sebab saya ingin menjayakan majlis ini di : https://marzukamartillo.blogspot.com/2024/03/sebab-saya-ingin-menjayakan-majlis.html

Tatacara

Terdapat beberapa tatacara dalam perlaksanaan tradisi ini sebelum penyerahan silsilah serta perakuan dari syeikh ijazah kepada mereka yang dia berkenan untuk dihubungkan namanya dalam rantaian sanad.

Antaranya adalah pembacaan kandungan kitab secara menyeluruh seperti jika seseorang ingin mendapatkan ijazah sanad bagi kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah, dia perlu melalui majlis dengar dari bacaan orang lain kepada syeikh ijazah atau dipanggil dengan majlis samāʿ atau dia sendiri membaca di hadapan syeikh ijazah bagi mendapatkan ijazah sanad itu atau ia dipanggil dengan majlis qirōʾah.

Tentang majlis ini, saya pernah memberikan pendedahannya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2024/03/reaksi-mereka-yang-tidak-pernah-hadis.html

Majlis tidak semestinya besar-besaran. Jika hanya ada dua orang sahaja, iaitu syeikh ijazah dan orang yang meminta sahaja, maka ini pun sudah memadai.

Selalunya, majlis seperti ini adakalanya tidak ada apa-apa ulasan atau syarahan langsung. Hanya dibaca sahaja dari awal hingga habis atau sebanyak mana yang mampu yang cukup untuk masa.

Jika ada pun, ia terserah kepada mereka yang ada autoriti untuk majlis itu. Jika ada ulasan atau syarahan pun, ia tidak akan panjang sepertimana kelas atau kuliah kerana hanya memfokuskan pengkhataman dan meraih keberkatan atas pembacaan sahaja.

Antaranya adalah tidak membaca secara spesifik, tetapi membahaskan kandungan yang ada dalam buku itu, lalu diijazahkan kepada hadirin. Ini seperti yang dilakukan oleh ašh-Šhaykẖ ʿAliyy Jumʿah yang membahaskan kandungan Iḥyāʾ ʿUlūmiddīn karya al-Imām al-Ġhozzāliyy tanpa membacanya secara penuh dan sekadar membahaskan kandungan atau pengisian yang ada dalam kitab tersebut. Lalu, di akhir majlis, beliau mengijazahkan semua yang hadir dengan kesemua kitab al-Imām al-Ġhozzāliyy.

Antaranya adalah dengan cara pengajian berkitab seperti seseorang mempelajari kitab al-Waroqōt karya Imām al-Ḥaromayn sehingga khatam, lalu guru mengijazahkan sanad kitab itu kepada muridnya.

Apapun, perolehan pengijazahan pula bergantung kepada syarat yang ditetapkan syeikh ijazah. Adakalanya, dia mensyaratkan pembacaan kesemua kandungannya. Adakalanya, dia sekadar mensyaratkan pembacaan sebahagian daripadanya.

Adakalanya, tidak perlu dibacakan langsung dan cukup untuk meminta kepadanya, lalu dia akan terus memberinya. Adakalanya, dia mensyaratkan kehadiran penuh atau kehadiran pada kebanyakannya pada majlis yang dia mengadakannya. Pelbagai lagi syarat yang boleh dia tetapkan.

Dengan kata lain, semua syarat perolehan ini tergantung kepada syeikh itu sendiri.

Majlis Bersama Saya

Untuk setakat ini, majlis ini bersama saya, ada dua wahana utama saya menjalankannya.

Yang pertama adalah di server Discord "Sembang Akidah Dan Politik" di : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Selalunya, saya akan membuat majlis ini pada 5-10 minit sebelum sesi perbincangan pada setiap Sabtu jam 10 malam.

Untuk mendapatkan info dan pengumuman tentang majlis ini, boleh lihat saluran telegram di : https://t.me/+IOKXKrbKuVE4MjA1

Yang kedua adalah melalui kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab. Sebarang maklumat dan penerangan tentang kelas boleh didapatkan di : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Mereka yang mengikuti kelas ini bersama saya dan menghabiskannya dengan jayanya, iaitu mampu menjadi pembaca independen akan mendapat ijazah sanad lebih 400 kitab para ulama.

Saya menerima jemputan untuk mengadakannya di wahana yang berbeza. Dipersilakan untuk berbincang bersama saya.

Cuma, saya ingin mengingatkan bahawa apa yang menjadi eksklusif seperti yang eksklusif untuk pelajar kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab saya sama sekali tidak akan diberikan kepada orang luar secara mudah demi memberi keadilan kepada peserta dan jika saya ingin memperkenankannya, ia perlu melalui proses yang agak teknikal.

No comments:

Post a Comment