Sepatutnya slot setiap Sabtu jam 10 pm adalah milik Shirohige Sama untuk dia mengepalai sesi perbincangan akidah tergempar mingguan yang diadakan di sini : https://discord.gg/eVE8pVBP8e
Cuma, kenapa saya bertekad untuk ambil masanya walaupun 10 minit awal untuk menjayakan majlis riwayat dan ijazah?
Yang pertama adalah inilah acara kemuncak bagi server Sembang Politik dan Akidah yang mana atas tujuan inilah server ini dibangunkan.
Pada masa keramaian ini untuk mengimarahkan sesi dan bertandang untuk belajar, berdiskusi dan mengutarakan pandangan, inilah satu-satunya masa yang dapat saya ambil kesempatan untuk merealisasikan majlis ini.
Yang kedua -dan ini poin yang paling penting sekali- adalah melestarikan majlis riwayat dan mempertahankannya dari punah inilah pesan Kiyai Ahmad Marwazie dalam cuplikan video ini, artikel yang merakamkan temu bualnya dan ucap tamanya ketika hadir ke Malaysia.
Jika ini menjadi perkara ulangan dari semasa ke semasa, semestinya inilah visi yang dibawa oleh Kiyai Ahmad Marwazie dan antara teras utama dalam penceburan lapangan pendidikan.
Majlis riwayat dan ijazah atau program atau tradisi yang berkenaan dengannya dilihat sangat jarang di Malaysia. Tanyalah mana-mana asatizah pun, mereka akan akui perkara ini dan mereka sendiri akan menegaskan bahawa majlis seperti ini penting lagi wajar dihidupkan.
Kebiasaan sekali kita mendengar keluhan bahawa kegiatan ini jarang dijayakan di Malaysia, para penuntut sangat sukar untuk memperolehnya dan mereka yang ada kepedulian dengannya seringkali terlepas peluang berharga ini. Namun, setelah bertahun-tahun keluhan, apa tindakan kita dalam memperkasakannya?
Kita boleh lihat masalah pudarnya tradisi ini pada pelajar bahasa Arab yang begitu sukar sekali untuk mendapatkan sanad kitab Matn al-Ājurrūmiyyah, padahal kitab ini adalah kitab pilihan untuk mempelajari atau mengajar bahasa Arab dan kelas pengajiannya tersebar di serata dunia.
Sepatutnya adalah semakin popular kitab, semakin mudah untuk memperoleh sanad. Namun, kenapa yang terjadi adalah sebaliknya?
Seolah-olah kita sedang menyaksikan apa yang ašh-Šhaykẖ al-ʿAllāmah Musnid ad-Dunyā Muḥammad Yāsīn al-Fādāniyy menyaksikannya di Indonesia pada masanya pada kegiatan periwayatan.
Guru-guru berkaliber kita sangat ramai, tetapi periwayatan dari guru-guru kita sangat lesu dalam menitikberatkannya dalam mewariskan legasinya melalui ketersambungan silsilah ilmu, kerohanian dan keberkatan.
Mengenang apa yang diusahakan oleh ašh-Šhaykẖ Muḥammad Yāsīn al-Fādāniyy, saya pun fikir bahawa saya juga perlu mengambil langkah dalam merealisasikan apa yang menjadi visi ašh-Šhaykẖ Musnid ad-Dunyā meskipun saya bukanlah ahlinya dan kerdil usaha saya untuk memperkasakannya.
Antara usaha saya dalam memperkasakannya adalah melalui kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab yang saya jayakan dan saya berharap peserta yang mengikut kelas saya. Ini saya sudah cerita panjang lebar di halaman Facebook saya di Kelas Kemahiran Pembacaan Bahasa Arab - Ridzwan.
Cuma, saya terfikir bahawa jika ia sekadar terhad untuk kelas saya sahaja, orang lain di luar tidak berpeluang untuk mendapatkannya. Sememangnya tidak patut jika seseorang itu ingin majlis ini menyegar di pelusuk ceruk tanah air kita ini, tetapi hanya tertutup untuk orang tertentu sahaja yang mampu mendapatkannya.
Oleh itu, saya menceburkan diri untuk menghidupkan majlis ini bermula dengan rakan-rakan saya yang berada di Discord. Saya berharap rakan-rakan saya dari kalangan wibu, gamer atau bukan dari kalangan agamawan juga berpeluang mendapat sama apa yang asatizah di Malaysia sendiri yang jarang mendapatkannya.
Sekurang-kurangnya rakan-rakan yang hadir bukan sahaja dapat mempelajari, memahami dan mendalami perkara yang berkaitan dengan akidah dan agama, mereka juga memperoleh ijazah sanad kepada pengarang sebagai penghargaan daripada saya atas komitmen mereka untuk hadir bertandang dalam menuntut ilmu, mengongsikan idea yang bernas, menyertai dalam perbincangan dan memeriahkan sesi.
Saya bukanlah sesiapa pun dari kalangan yang terbaik. Kerja ini sepatutnya digalas oleh musnid atau asatizah yang berketerampilan.
Namun, rakan-rakan saya ini kebiasaannya disisihkan dan sukar mendapat tempat dalam kalangan agamawan. Saya tidak gemar membiarkan mereka terlepas kebaikan yang mahal ini hanya kerana mereka ini wibu, gamer atau bukan orang agama.
Mereka juga berhak untuk mendapatkan bahagian kebaikan dalam agama dan mereka sepatutnya dihargai kerana sudi dan berusaha untuk mengisi masa mereka untuk berkumpul demi sesi keagamaan dan kerohanian.
Kalau saya tidak mendekati dan menyediakan ruang untuk mereka mendapat riwayat dan ijazah yang merupakan suatu yang langka dalam kalangan asatizah sendiri, siapa lagi?
Saya mengucapkan terima kasih kepada Zeddy Tate yang menyediakan ruang untuk saya menjayakan kegiatan ini dan saya juga berterima kasih kepada Shirohige Sama yang sudi memberikan laluan beberapa minit dari sesinya untuk saya memimpin majlis yang jarang dapat ditemukan di Malaysia.
Walau apapun, majlis riwayat dan ijazah tidak terhad pada 5-10 minit sebelum sesi perbincangan akidah tergempar. Jika ada waktu lain yang bersesuaian, saya boleh melakukannya pada hari yang lain. Sekali lagi, 5-10 minit sebelum sesi adalah sekadar untuk memanfaatkan kesempatan ketika ramai dan buat masa sekarang, itu sahaja masa yang saya dapat peruntukkan untuk meneruskan majlis ini.
------------------------------
Pun begitu, sebahagian ijazah sanad dan kitab adalah eksklusif untuk peserta kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab saya demi menjaga keadilan peserta yang tidak merasa rugi bahawa orang lain di luar pun mendapat sama seperti peluang lain.
Sesiapa yang ingin mendapatkan ijazah sanad eksklusif yang tidak diberikan ke luar melainkan dengan cara yang sangat teknikal, boleh hubungi saya di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan
No comments:
Post a Comment