Tuesday, 2 January 2024

Tidak Perlu Agama Untuk Menjadi Baik?


Beberapa malam lepas di server Discord "Sembang Akidah Dan Politik", ada perbincangan tentang mengapa manusia memerlukan akidah.
Boleh sertai sesi perbincangan akidah tergempar pada setiap Sabtu jam 10 pm di sini : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Antara isu yang berbangkit adalah kata-kata orang: "Tidak perlu agama jika ingin insan yang menjadi baik".

Kata-kata ini jika ditinjau sepintas lalu, memang mengujakan dan memukau. Akan tetapi, apabila kita melontarkan dua persoalan yang berupa kemusykilan, kita akan nampak betapa rapuhnya kata-kata sebegini.

Kita melihat kepada empat poin yang teras untuk membuktikan kerapuhan kata-kata ini yang bersalut dengan manis.

Poin pertama adalah kita melontarkan soalan: "Kenapa engkau buat baik dan atas dasar apa engkau berbuat baik sesama manusia, haiwan dan alam?".

Jawapan orang yang beragama sangat mudah. Mereka akan berkata: "Ini kerana tuhan yang menyuruhnya".

Cuba pula persoalan ini diajukan kepada yang berkata tidak perlu agama untuk menjadi seorang yang baik. Apa jawapan bagi kenapa ini?

Pasti akan menemukan kerumitan untuk menjawab soalan. Ini kerana dia akan tiga jawapan yang dia boleh beri dan kedua-duanya tetap tiada.

Mereka akan membawa penafsiran falsafah atau ahli falsafah. Tidak kiralah falsafah utilitarianisme atau apa sahaja yang ingin dibawakan, soalan kita adalah kenapa kita perlu ikut penafsiran falsafah ini dan ahli falsafah ini? Adakah ahli falsafah ini tuhan dan falsafah ini agama yang perlu kita tunduk dan ikut?

Poin kedua adalah mereka akan menjawab dengan berkata: "Kita perlu menjadi baik kerana itulah sepatutnya yang dilakukan oleh seorang manusia".

Jawapan ini pun enak untuk didengari kalau ia jadi kata-kata yang diungkapkan dalam filem yang bertemakan penegakan dan perjuangan keadilan.

Sekali lagi, jawapannya mudah untuk dirobohkan dengan jawapan balas yang sangat ringkas.

Penafsiran siapa tentang seorang manusia itu perlu menjadi atau tanggungjawab manusia perlu melakukannya? Mereka? Akhirnya, ia berbalik sama dengan kemusykilan yang ditimbulkan pada poin yang pertama.

Poin ketiga adalah mereka akan menjawab dengan berkata: "Saya berbuat baik kerana saya ingin menjadi baik".

Ini juga adalah jawapan yang berbasis sentimental yang memang menyentuh jiwa pendengar bagi sekilas lalu. Kalau masukkan kata-kata ini dalam babak anime, boleh jadi penyedap cerita.

Cuma, jika ditinjau secara objektif, ia juga terbina atas kerapuhan untuk dua sebab.

Pertama, jika seseorang tidak menjadi baik dan menjadi seorang yang jahat, siapa yang akan menghukuminya?

Jawapan orang yang beragama sangat mudah dengan berkata: "Tuhan akan menghukuminya pada hari akhirat".

Bagaimana pula bagi yang tidak beragama? Sekali lagi, ia sangat sukar untuk dijawab.

Lebih-lebih lagi jika ada pemimpin diktator yang hidup dengan menindas orang ramai, merampas banyak hak dan menikmati pelbagai kesenangan sehingga akhir hayat tanpa sempat dihukum di dunia. Siapa yang akan membalas kejahatan orang sebegini menurut orang yang berkata tidak perlu agama untuk menjadi baik?

Antara kemusykilan lagi adalah apa itu tulus dalam berbuat baik? Mungkin yang dapat diutarakan adalah tidak terlalu tamak mengharapkan balasan baik dan sentiasa berprinsip sekalipun tiada orang bersama di sekelilingnya.

Soalannya adalah sekali lagi ditanyakan dengan: "Siapa yang akan membalas jika seseorang tidak tulus melalui konsep ini?".

Kita ambil contoh kes senario untuk memahakan masalah ini. Boleh atau tidak kita melanggar lampu trafik merah di jalan kampung di tengah malam yang tiada orang sekelilingnya, termasuklah polis?

Atas dasar apa untuk mematuhi lampu trafik? Takut dengan polis? Atau seseorang ikut undang-undang kerana undang-undang sudah tetapkan sebegitu atau kerana seseorang itu ingin ikut undang-undang?

Babak dialog antara Munakata Reisi dan Mikoto Suoh dalam anime K-Project ini memang menarik untuk ditinjau tentang persoalan ini.

Kita lihat babak ketikamana Mikoto ditegur oleh Munakata kerana merokok di taman permainan kanak-kanak.

Munakata : "Ini adalah kawasan larangan merokok".

Mikoto : "Cuma kita sahaja yang berada di sini" (maksudnya tidak ada orang lain selain kita pun di sini).

Munakata : "Itu tidak penting. Ia adalah peraturan".

Mikoto : "Peraturan untuk siapa?".

Munakata : *Sedikit tersentak, tergamam dan terdiam sebentar*

Munakata : "Peraturan adalah peraturan. Kamu mesti patuh peraturan walaupun tiada siapa di sekeliling".

Mikoto : "Tidak ada sesiapa pun yang sempurna di dunia ini".

Munakata : "Apa yang kau cakap ni?".

Mikoto : "Peraturan yang dibuat oleh manusia akan terdedah kepada salah guna. Jadi, aku akan buat apa yang aku mahu".

Munakata : "Ya. Tiada siapa yang sempurna. Disebabkan manusia tidak sempurna itulah kita sebagai manusia menetapkan peraturan. Itulah bagaimana masyarakat terbentuk".

Dengan kata lain, Munakata pada babak ini ingin menjustifikasikan bahawa kita perlu ada moral dan bersikap baik kerana peraturan yang telah ditetapkan berkata sebegitu.

Apabila dipersoalkan, mengapa perlu ikut peraturan? Munakata tidak dapat menjawab. Apa yang dia dapat mengatakan bahawa adalah peraturan adalah peraturan! Seolah-olah jawapan kepada pertanyaan: "Mengapa wang kertas kita perlu ditambat dengan gandum?" adalah: "Kerana gandum adalah gandum!".

Oleh itu, dapatlah kita melihat kelompongan bahawa bersikap baik hanya kerana undang-undang atau peraturan yang berkata sebegitu. Cuba fikirkan sebentar, mengapa Munakata terdiam sebentar apabila ditanya: "Peraturan untuk siapa?".

Kedua, jika mereka menjadi baik kerana mereka ingin menjadi baik, lantas, kenapa keinginan mereka perlu diobligasi oleh orang lain? Kenapa mesti kami ikut keinginan mereka? Siapa mereka? Tuhan kami?

Atau mereka berkata bahawa itu adalah pilihan mereka dan jawapan menurut sudut pandang mereka yang terserah orang lain untuk menerimanya atau menolaknya.

Kalau begitu, kata-kata mereka sebenarnya tidak ada kebenaran yang universal. Maksudnya, semua orang bebas untuk berpendapat dan berbuat apa sahaja yang bukan tujuan baik tanpa terikat dengan sesiapa pun.

Poin keempat adalah mereka akan berkata: "Kita berbuat baik kerana jika kita benci orang lain buat jahat kepada kita, maka kita pun jangan buat jahat kepada orang lain.

Kemusykilannya adalah jika moral tidak diikat dengan kehendak manusia yang lain, siapa yang peduli apa perasaan orang lain? Inilah yang akan diktator yang paling berkuasa di muka bumi akan menjawabnya.

Mereka tidak peduli pun kalau ada orang cuba menyakitinya atau menghalanginya atau cuba berbuat jahat kepadanya kerana mereka akan dibinaskan, dihapuskan dan dipenggal. Mereka tidak peduli pun jika dapat meragut seramai mana pun manusia asalkan dia dapat apa yang dia buat.

Akhirnya, mereka ini mati dengan peninggalan dan kisah hidup yang menyenangkan perbut mereka tanpa hak bela orang yang terkorban dan dirampas dapat dituntut. Siapa yang akan membalas mereka ini jika agama tidak diperlukan untuk seseorang berbuat baik?

---------------------------------------------------

Atas sebab itulah besarnya firman Allah ʿAzza Wa Jalla :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

"Tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku". [Surah aḏz-Ḏzāriyāt ayat 56].

Beribadah tidak hanya terjadi melainkan ketundukan yang mengakui kehinaan pada diri.

Umat Islam mengakui bahawa kita tidak mampu membina nilai dan prinsip moral, di samping mengobligasikan kepada orang lain dan menghukumi orang yang menyalahi moral melainkan semuanya diserahkan kepada Allah.

Jika ditanya: "Kenapa kamu buat baik?". Jawapan umat Islam adalah kerana Allah yang suruh.

Jika ditanya: "Siapa yang akan membalas orang yang tidak membuat baik?". Jawapan umat Islam adalah Allah yang membalasnya.

Akhirnya, kita semua tidak dapat berbuat apa-apa dalam isu moral ini melainkan menyerahkan segala-galanya kepada Allah, tunduk dengan segala junjungan dan hina kerana tidak dapat menampilkan sesuatu yang lebih baik dari apa yang ada pada-Nya.

Cuba lihat sepertimana kupasan tentang moral di atas dan amatilah betapa berkecamuknya apabila hidup tidak ingin beribadah kepada-Nya.

Maka, menjadi hamba-Nya bukanlah suatu kehinaan, tetapi suatu kemuliaan dan kesejahteraan untuk minda kita dan kehidupan kita.

---------------------------------------------------

Akan timbul pula kemusykilan pula kepada orang yang beragama bahawa jika falsafah dan manusia pun banyak penafsiran tentang moral, agama pun banyak ajarannya dan prinsipnya. Tidakkah sama sahaja kesnya seperti falsafah?

Jawapan mudahnya adalah seseorang hidup yang lebih teratur, sistematik dan kemas apabila ia berteraskan sesuatu yang masuk akal untuknya.

Kita ambil contoh yang mudah. Masuk akalkah kita akan melaburkan duit ke organisasi yang disenarai hitam, ada rekod buruk, prestasi yang tidak baik, banyak skandal dan berlompong sana sini, lalu diharapkan pulangan yang baik daripadanya?

Sudah tentu tidak. Dalam ventur pencarian agama pun sedemikian. Mana-mana agama yang hanya mematikan fungsi akal dan hanya menambahkan kegoncangan pada prinsip mendasar pada setiapkali ia didalami, itu bukan agama sejati yang wajar diikut.

Dalam kehidupan dunia pun kita tidak akan buat sebegini walaupun sekecil-kecil perkara. Apalagi perkara yang mengimplikasikan kebahagiaan dunia dan akhirat.

Ia sememangnya tidak mudah. Pelaburan wang untuk keuntungan jangka masa panjang pun bukan ambil masa sehari untuk dibuat keputusan. Tentu sahaja keputusan yang mengubah seluruh hidup kita akan mengambil masa yang lebih panjang untuk dicari dan dipertimbangkan.

No comments:

Post a Comment