Friday, 5 January 2024

Kenapa Non-Muslim Lebih Cepat Dan Lebih Banyak Mendapat Kesenangan Dunia Berbanding Muslim


Dalam perbincangan di server Discord, sembang akidah dan politik, Gardenia Jasmine ada membangkitkan satu persoalan yang menarik tentang jika non-Muslim dan Muslim diberikan kesenangan yang sama di dunia, kenapa non-Muslim akan lebih cepat maju dalam hal ehwal kesenangan berbanding Muslim?
Boleh sertai sesi perbincangan di Disord di sini pada setiap Sabtu jam 10 pm : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Antara jawapan yang diutarakan adalah dengan firman Allah berikut :

مَّن كَانَ يُرِيدُ الْعَاجِلَةَ عَجَّلْنَا لَهُ فِيهَا مَا نَشَاءُ لِمَن نُّرِيدُ ثُمَّ جَعَلْنَا لَهُ جَهَنَّمَ يَصْلَاهَا مَذْمُومًا مَّدْحُورًا

"Sesiapa yang menginginkan kesegeraan, nescaya Kami akan menyegarakan apa yang Kami kehendaki untuknya di dalamnya (dunia) bagi orang yang berkeinginan. Kemudian, Kami menjadikan Jahannam yang dia masuk ke dalamnya kepadanya dalam keadaan hina lagi tersingkir". [Surah al-Isrōʾ ayat 18].

Perkataan "al-ʿĀjilah" (الْعَاجِلَة) di sini adalah dunia sepertimana tafsiran al-Baġhowiyy dalam tafsirnya. Dunia dinamai dengan segera. Maka, sesiapa yang mengharapkan apa yang boleh didapatkan segera di dunia ini, maka dia akan dapat dengan segera sesuai dengan nama dunia.

Inilah salah satu jawapan kenapa non-Muslim jika diberikan bahagian kesenangan kepada mereka, mereka akan mendapat lebih cepat dan lebih banyak daripada Muslim kerana Muslim tidak menjadikan dunia ini sebagai matlamat akhir dan segala-galanya.

Muslim akan diuji dengan kelambatan atau kekurangan dari sudut kenikmatan dunia kerana mereka bukan mengharapkan nikmat yang berderas turun dalam kadar segera.

Betul. Non-Muslim antara yang mendapat hak bahagian rahmat di dunia kerana sifat "ar-Roḥmān" (الرَّحْمَن) adalah memberi rahmat yang merangkumi dunia dan akhirat sama ada ada yang Muslim atau selainnya.

Adapun untuk keselamatan dan rahmat di hari akhirat, non-Muslim tidak berhak untuk mendapatkannya.

-------------------------

Walaupun dunia bukan matlamat orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tetapi jangan lupa bahagian di dunia. Kita sendiri pun tidak akan dapat memetik buah di hari akhirat jika kita tidak membuat perusahaan pertanian ketika di dunia. Hasil yang kita tuai di hari akhirat adalah apa yang kita tanam dan jaga di dunia.

Hasil yang kita akan dapat di dunia mungkin akan diuji dengan ketinggalan atau tidak semegah orang non-Muslim. Akan tetapi, bukan bermakna kita biarkan diri sahaja menjadi umat yang merempat, kalah dalam persaingan, mengalah dalam perjuangan dan hanya berharap dengan pengeluaran dan dapatan non-Muslim.

Kita diutuskan supaya menjadi khalifah. Apakah selayaknya khalifah adalah seorang yang diatasi oleh seseorang yang lain, digagahi oleh lawannya dan diperhambakan dengan kehinaan? Sudah tentu ini tidak selayaknya bagi seseorang yang ditugaskan sebagai khalifah di muka bumi.

No comments:

Post a Comment