Orang yang tidak pernah hadir atau tidak pernah dengar langsung tentang majlis Samāʿ atau Qirōʾah, mesti akan beri reaksi: "Majlis apa ini yang baca kitab ulama dengan laju-laju macam mesingan? Mana syarahnya? Mana penjelasannya? Mana komentarnya?".
Apabila saya menghadiri majlis Samāʿ untuk kitab Mukẖtaṣor al-Buwayṭiyy yang dipimpin oleh ustaz Syed Shahridzan, beliau berulang kali mengingatkan bahawa majlis beliau adalah bukan majlis talaqqi supaya orang tidak salah faham orientasi majlisnya.
Perkara sama yang diungkapkan oleh Syeikh Nazrul Nasir ketika menceritakan respons negatif dari seseorang yang hadir majlis Qirōʾah untuk Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy yang dibaca dengan pantas.
Sebenarnya, majlis bacaan secara laju untuk pengijazahan sanad adalah perkara tradisi yang zaman berzaman yang telah melata pengamalannya bagi yang telah lama bergelumang dengannya.
Antara rekod yang paling laju adalah al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy yang membaca Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy di hadapan Abū ʿAbdul Roḥmān al-Ḥīriyy sebanyak tiga majlis.
Dua majlis yang pertama adalah dibuat pada waktu Maghrib hingga Subuh. Majlis yang terakhir adalah pada waktu Dhuha sehingga Maghrib, kemudian berakhir dari Maghrib sehingga terbit fajar esoknya**.
Kepantasan ini sehingga dikomentari oleh al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang berkata :
وهذا شيء لا أعلم أحدًا فِي زماننا يستطيعه
"Ini adalah sesuatu yang aku tidak tahu seseorang pada zaman kita yang berkemampuan untuknya". [Tārīkẖ al-Islām].
Benar. Kalau dibuat majlis yang berdurasi sejam untuk Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy setiap hari, ia mungkin mengambil masa 60 jam - 70 jam untuk pembacaan yang paling laju dalam kalangan Qōriʾ yang ada pada hari ini.
Kalau buat tanpa henti, itu adalah tiga hari berturut-turut tanpa rehat, tidur, makan dan solat!
Bayangkan al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy hanya menghabiskan kira-kira 40 jam sahaja jika mengikut kiraan waktu Maghrib dan Isyak sehingga Subuh di Malaysia! Itu pun sudah tentu ada selang waktu solat, rehat dan lain-lain.
Ini memang pecah rekod dunia. Entah bagaimana mulut al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy ketika membaca Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy. Mungkin lebih laju daripada gandaan dua kali ganda yang ada di pilihan Youtube dalam set kelajuan video!
Apapun, tidak perlu mengejutkan jika terserempak majlis sebegini. Ia adalah biasa di negara Arab dan juga sepanjang zaman dalam tradisi pengijazahan sanad. Ini kerana ada sebahagian sanad tidak hanya diperoleh dengan pengajian sahaja. Ia boleh dengan majlis sebegini.
Oleh itu, jangan sebab tidak biasa atau tidak pernah dengar terus diingkari. Seseorang menganggap bodoh perbuatan membaca laju-laju seumpama mesingan yang entah difahami atau tidak hakikatnya ignoran tentang tradisi ini dan kelebihannya.
Majlis ini pun ada kelebihannya tersendiri. Antaranya adalah :
-Memperkenalkan kandungan isi bagi yang belum pernah membacanya. Cuma, selalunya ia tidak dapat dimanfaatkan jika tidak mahir bahasa Arab kerana selalunya majlis ini adalah untuk kitab bahasa Arab.
Bagi yang tidak pernah baca kitab, pasti mereka akan mendapat manfaat pada pengisian kandungannya walaupun tidak sebanyak dengan pembacaan secara tekun. Dapat idea tentangnya sudah memadai.
-Bagi yang pernah mempelajarinya, ia adalah sebagai ulangkaji dan mengingatkan apa yang terlupa. Ini pun sama bagi kemahiran bahasa Arab.
-Bagi yang malas membaca, mereka sudah dibantu untuk dibacakan untuk mereka atau mereka baca sama-sama dengan lihat teks.
-Bagi mereka yang sudah berkemahiran, mereka sebenarnya lebih mengutamakan perolehan sanad kerana mereka sudah tahu kemahiran kitab.
Ambil contoh Matn al-Ājurrūmiyyah. Bagi yang sudah menguasai bahasa Arab, tetapi tidak pernah melalui pembelajaran kitab ini, maka untuk dia memperoleh sanad, tidak perlu bagi mereka mengulang pengajian. Cukup mereka mendapatkan sanad secara dengar atau pembacaan teks sahaja.
Ia berbeza dengan mereka yang baru atau belum ada kemahiran. Mereka dalam kelompok ini tidak ada manfaat perolehan sanad melainkan setelah melalui proses pengajian. Mereka ini lebih baik mendalami dan menghalusi kandungan yang ada di dalamnya barulah perolehan sanad itu bermakna untuk mereka.
-Yang lebih penting adalah menjimatkan masa untuk mendapatkan sanad. Mahu dapat sanad Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy dengan majlis pengajian? Berapa lama?
Kalau buat mingguan sekali sahaja, jangan mimpilah untuk dapat dengan setahun sahaja. Lagi-lagi kalau jenis malas mengaji dan sukar untuk istiqamah.
Justeru, acara sebeginilah yang memudahkan jalan walaupun sememangnya tanpa dinafikan bahawa jalan pengajian adalah jauh lebih baik daripada segala-galanya dari bagai-bagai ijazah.
**Tārikẖ Baġdād :
ولما ورد بغداد كان قد اصطحب معه كتبه عازما على المجاورة بمكة وكانت وقر بعير وفي جملتها " صحيح البخاري "، وكان سمعه من أبي الهيثم الكشميهني عن الفربري فلم يقض لقافلة الحجيج النفوذ في تلك السنة لفساد الطريق ورجع الناس فعاد إسماعيل معهم إلى نيسابور، ولما كان قبل خروجه بأيام خاطبته في قراءة كتاب " الصحيح " فأجابني إلى ذلك فقرأت جميعه عليه في ثلاثة مجالس، اثنان منها في ليلتين كنت أبتدأ بالقراءة وقت صلاة المغرب وأقطعها عند صلاة الفجر، وقبل أن أقرأ المجلس الثالث عبر الشيخ إلى الجانب الشرقي مع القافلة ونزل الجزيرة بسوق يحيى، فمضيت إليه مع طائفة من أصحابنا كانوا حضروا قراءتي عليه في الليلتين الماضيتين، وقرأت عليه في الجزيرة من ضحوة النهار إلى المغرب ثم من المغرب إلى وقت طلوع الفجر ففرغت من الكتاب، ورحل الشيخ في صبيحة تلك الليلة مع القافلة
Contoh Majlis Samāʿ Atau Qirōʾah
Bagi yang tidak pernah tahu tentang majlis samāʿ dan qirōʾah atau belum terbiasa dengannya, beginilah majlisnya.
Ia sekadar hanya membaca sahaja tanpa ada syarahan atau kupasan atau komentar melainkan jika dimahukan oleh pihak yang berkenaan. Jika ada komentar atau kupasan pun, selalunya tidak panjang kerana yang lebih penting adalah cepat untuk menghabiskannya.
Bahkan, ia dibaca dengan laju yang adakalanya peserta sukar untuk mengikutinya dengan mudah.
Sama ada peserta faham atau tidak faham, itu tidak penting. Yang penting adalah mengambil berkat dengan mendengar pembacaan dan peroleh ijazah sanad.
No comments:
Post a Comment