Tuesday, 13 February 2024

Mengapa Saya Setuju Untuk Tidak Mengaitkan Kisah Israk Dan Mikraj Dengan Penjelasan Sains

Saya agak setuju untuk tidak mengaitkan kisah Israk dan Mikraj dengan penjelasan sains untuk dua sebab.

Pertama, ini kerana pada zaman rasul kita صلى الله عليه وآله وسلم tiada teknologi atau kemampuan yang canggih untuk memenuhi kriteria dan hukum sains yang telah pun dirasionalkan penjelasannya pada masa kini. Ia tetap sesuatu yang berupa keajaiban yang melangkaui sains pada zaman tersebut.

Mungkin seseorang boleh menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai contoh sahaja untuk suatu penjelasan sains pada masa kini, tetapi untuk mengatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa saintifik dan rasional dari sudut sains adalah tidak tepat kerana itu adalah penilaian orang sekarang untuk konteks zaman sekarang, bukan tanggapan orang pada zaman itu seiring dengan perkembangan pengetahuan pada zaman itu.

Kedua, falsafah di sebalik peristiwa ini adalah keimanan yang utuh untuk sesuatu yang tidak terjangkau oleh manusia ketika itu dan manusia sekarang pun menilai mustahil secara adat untuk ada orang ketika itu dapat menjalankan seperti apa yang mereka telah dapat sekarang ini.

Kalau semuanya boleh dijelaskan dengan saintifik, hilang falsafah sebenar untuk peristiwa Israk dan Mikraj dalam menampilkan keajaiban yang wajib diimani secara utuh, di samping pengajaran dari beberapa siri penemuan baginda terhadap kelakuan penghuni neraka yang diazab atas dosa masing-masing.

----------------------------

Dalam masa yang sama, wajar setiap penceramah untuk menyaring hadis-hadis yang tidak sabit untuk disampaikan di meja kuliah. Sepertimana peristiwa ini tidak patut dicemari dengan perkaitan sains, lebih-lebih lagi yang pseudo, tentu lagi pseudohadis sama sekali tidak patut dimasukkan dalam menu penyampaian kuliah.

Salam Israk dan Mikraj

No comments:

Post a Comment