Tetapi, kekurangannya adalah kalau dimarahi, kita sahaja yang kena marah. Berlainan kalau ramai. Bolehlah untuk tegur yang hadir secara umum tanpa sebut nama-nama sesiapa. Cuma, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.
Kalau seorang atau beberapa orang sebegini di kelas yang sedikit hadirinnya, masing-masing tahu siapa yang guru itu marah walaupun ditegur secara umum. Tambah lagi kalau kelas seorang sahaja pelajar yang hadir. Memang mahu lari ke mana lagi?
Apapun, saya tetap suka beri perhatian kepada mereka yang kurang popular dengan salah satu faktor yang telah disebutkan tadi.
Faktor yang kedua adalah adakalanya, kita selalu beri tumpuan kepada asatizah yang popular yang sudah ramai murid, pengikut dan teman sekelilingnya sehingga mereka itu mendapat lebih dari apa yang secukupnya.
Sedangkan, asatizah yang kurang popular ini seringkali disisihkan, tidak diambil peduli dan dipandang enteng. Selalunya asatizah yang kurang popular ini ada tanggapan: "Siapalah dia ini yang perlu kita menyibukkan diri dengannya?"
Padahal, adakalanya asatizah yang kurang popular ini jauh lebih berketerampilan berbanding yang popular. Kalau bukan dari segenap sudut, salah satu aspeknya sudah lebih menyerlah berbanding yang popular. Cuma, orang kita tidak mahu ambil tahu dan ambil peduli sebab sudah dibayangi dengan asatizah yang popular.
Saya adakalanya kasihan yang sebahagian asatizah yang kurang popular ini yang terpaksa membatalkan pengajian kerana kurang pendaftaran atau menamatkan kelas walaupun tidak habis silibus pembelajaran kerana kurang kehadiran yang sepatutnya.
Padahal, ilmunya, penguasaannya dan pengajaranya sebahagian aspeknya lebih banyak membantu untuk perjalanan pembelajaran kita dan mencambahkan lagi benih-benih kefahaman yang berbuah.
Lebih menyedihkan lagi, mereka ini adakalanya hidup dengan cukup-cukup makan dan kesempitan kerana tiada orang menghiraukannya dan memberi khidmat kepadanya.
Berbeza dengan asatizah popular kalau rumahnya ditimpa banjir dan memusnahkan rumahnya, ramai yang akan membantu dan kerugian asatizah yang popular dapat ditampung, bahkan mendapat keuntungan sehingga boleh membeli rumah yang baru di tempat yang baru dan dapat membeli kitab-kitab serta keperluan rumah yang baru!
Bagaimana kalau rumah asatizah kurang popular ditimpa yang sama? Rasanya, ingin beli semula kitab yang hilang pun tidak dapat ditampung. Apa lagi untuk membeli rumah baru untuk kehidupan yang lebih selesa.
Ini bukanlah bermakna untuk mengajak orang lain menjauhkan diri daripada asatizah popular atau menujukan celaan kepada asatizah yang popular.
Saya hanya ingin menyeru jika antara kita ambil perhatian juga di sekeliling kita dari kalangan asatizah yang kurang popular dan dia didapati pada kelebihannya, kebolehannya, kewibawaannya dan keahliannya.
Mereka ini sepatutnya diberikan perhatian juga, lebih-lebih lagi jika ia adalah kejiranan atau orang yang berdekatan di kawasan kita atau orang yang mudah untuk kita hubungi di media sosial atau seumpamanya.
Faktor yang lain pula adalah apabila kita berulang-alik dalam pengajian asatizah yang popular, asatizah ini akan menghargai kehadiran kita dan menanti-nanti komitmen kita walaupun sekadar hadir.
Apabila seorang guru memandang kita dengan pandangan yang baik dan fokus pada kita dengan penuh penghargaan, mudah-mudahan ia bermakna dalam jalinan hubungan bersama guru dan ia menjadi doa untuk kita agar dilimpahkan lagi kebaikan dalam ilmu dan amal.
Ini adalah keberkatan yang kita harapkan dalam kelas pengajian yang tidak ramai murid. Cukuplah suatu majlis ilmu diharapkan keberkatannya apabila seorang guru ada rasa kasih kepada murid yang selalu bertandang kepadanya, sentiasa rindu untuk bertentang mata, bersemangat untuk mengajar kerana hadirnya kita dan menanti-nanti imarah majlis dari kita tatkala orang lain lebih memilih untuk membelakannginya dan menyisihkannya.
Kita berharap agar kita semua termasuk yang mendapat bahagian keberkatan yanag agung ini.
Berbanding asatizah popular yang ramai hadirin yang mana-mana kadangkala adanya kita atau tiadanya kita, tetap sama sahaja di sisi mereka. Kalau ingat pun, selalunya terlupa.
Untuk membina hubungan rapat dan mesra pun agak sukar memandangkan terlalu ramai yang berebut-rebut untuk bersemuka dengannya, bertandang dengannya dan bergaul dengannya.
Apabila masing-masing dari kalangan murid bersaing dan mungkin bergelut untuk mendapatkan perhatian dari guru, saya fikir kalau jadi sebegini, seeloknya cari asatizah lain untuk dia dampingi yang setara dengan asatizah popular itu.
Itu lebih baik dari dia memudaratkan orang lain untuk tolak-menolak terhadap pelajar lain atau memudaratkan diri sendiri kerana tidak dapat menunaikan hasrat yang ingin dicapai untuk dia memperoleh perhatian dari guru.
Mudah-mudahan dia menemukan asatizah sedemikian yang mudah untuk dia capai.
No comments:
Post a Comment