Tuesday, 13 February 2024

Teguran Untuk Orang Yang Merasa Dirinya Pandai Dalam Agama Tanpa Penguasaan Bahasa Arab


"Aku tidak pandai bahasa Arab pun tidak apa. Asalkan aku baca terjemahan al-Umm, ar-Risālah dan Musnad ašh-Šhāfiʿiyy yang mana pendakwa-pendakwa mengikut mazhab ašh-Šhāfiʿiyy tidak baca pun kitab ini".
Ini sama macam perangai orang yang berkata: "Aku tidak sekolah pun tidak apa. Asalkan aku boleh buat duit, bla bla bla...".

Sejujurnya, kita tidak minta pun kelayakan akademik untuk membuktikan hujah seseorang itu valid atau tidak kerana kadangkala itu tidak mencerminkan sebenar pun kefahaman seseorang. Ini semua orang maklum tentangnya walaupun sijil akademik serba sedikit dapat membantu beberapa aspek.

Betul bahawa kita perlu lapang telinga untuk mendengarkan hujah setiap pihak kerana meneladani firman Allah Subḥanahu Wa Taʿālā :

فَبَشِّرْ عِبَادِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

"Sampaikanlah khabar gembira kepada hamba-Ku yang mendengarkan hujah, lalu mengikut yang sebaik-baiknya. Mereka itulah orang yang Allah memberi hidayah kepada mereka dan mereka itu adalah orang yang punya perseptif". [Surah az-Zumar ayat 17-18].

Cuma, pastikanlah seseorang itu ada menampilkan merit untuk mengukuhkan lagi validitas poinnya.

Antara merit pertama yang diukur adalah kemampuan pembacaan bahasa Arab. Ini semua orang akan ambil berat dan beri perhatian dalam membezakan seseorang itu sekurang-kurangnya ada asas ilmu alat yang paling vital untuk melayakkan seseorang itu menjadi faqih atau tidak.

Kalau ini tidak lepas, maka orang itu sendiri buang masa dirinya dan buang masa orang lain.

Buang masa dirinya kerana sibuk dengan perkara yang belum patut untuk dia sentuh, tetapi bahasa Arab yang paling penting untuk pembinaan kemantapan dalam kemahiran ilmu agama yang lain tidak diusahakan untuk mempelajarinya.

Buang masa orang lain kerana perlu melayan orang yang dirinya sendiri membuang masa dirinya. Kalau kita perlu pilih rakan yang betul, kita pun pilih rival yang sesuai. Buat apa kita perlu bazir masa dengan orang yang tidak ada usaha untuk bina merit pada dirinya? Ada banyak lagi yang boleh dibuat.

Orang pun tidak akan ambil ilmu agama sembarangan. Kenapa kita pula sembarangan ingin peduli melayan orang yang tidak ada tahap yang sesuai dalam menjadi protagonis kita? Itu tanda orang yang tidak matang dalam memilih kawan dan lawan.

Proses penapisan pun kita akan pilih yang ada kualiti dan ada merit untuk mana-mana urusan pun. Kalau tidak ada, barulah kita ambil alternatif yang kurang popular atau yang kurang penarafannya. Kita sendiri tidak membazir masa untuk mencari produk yang kurang kuang kualiti dan entah apa-apa meritnya. Mengapa disibukkan pula dengan orang itu hanya kerana dia ada hujah?

Ini tiba-tiba orang yang tidak tahu bahasa Arab cuba melagak dan menyangak seolah-olah dengan adanya dia menerbitkan hujah, maka dia setara dengan orang lain dan dia beranggapan semua orang perlu meletakkan hujahnya dengan hujah para ulama dalam satu dacing untuk dinilai mana satu yang lebih merit.

Hei sang lembap yang tohor akalnya! Allah membezakan kedudukan setiap orang dengan ilmu. Dia ʿAzza Wa Jalla telah berfirman :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

"Nescaya Allah mengangkat orang beriman dari kalangan kalian dan orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat". [Surah al-Mujādilah ayat 11].

Ilmu pertama yang paling membezakan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak adalah pada kemampuan bahasa Arab. Kalau tahap pertama ini tidak lepas, seseorang itu sangka dengan mengutarakan hujah dan penulisan yang dilihat tuntas melayakkan seseorang utnuk sama meritnya dengan orang yang sudah melepasi pelbagai tangga?

Sedarlah diri wahai sang dangkal. Tidak malukah dengan tangga pertama yang tidak pernah dia capai cuba membongak bahawa dia sudah terbang ke kayangan hanya kerana dia dapat bersembang secara ilmiah?

Betul. Hujah anda mungkin akan diambil kira. Namun, dalam proses penapisan, anda orang yang terakhir untuk dipertimbangkan. Memang anda diletakkan di bawah kasta yang rendah sebab anda sendiri yang membiarkan diri anda di situ.

Orang suruh belajar bahasa Arab, hafal tasrif dan wazan, bersungguh-sungguh untuk praktis dan ambil masa untuk rajin mengulangkaji, membaca lebih luas dan tekun anda buat apa? Buat-buat tidak tahu dan tidak peduli.

Sibuk dengan kegiatan lain yang bukan tidak terfokus pun. Bahkan, beri banyak alasan macam-macam seperti sibuk dengan kerja. Namun, ada masa untuk gaduh dengan orang lain dan ke sana ke sini untuk menampilkan pada orang ramai bahawa dialah yang paling betul, paling berpengetahuan dan paling berpendidikan!

Tidak pernah rasa terdesak pun untuk melangkah dengan tekad sekalipun sudah sembang tentang manhaj, kelompok dan polemik bertahun-tahun lamanya. Dialah sendiri yang menghinakan dirinya dan merendahkan kedudukannya, malah membiarkannya sebegitu.

Kita bukan ingin mendakwa bahawa orang yang sudah pandai bahasa Arab ini adalah serba berpengetahuan dan lebih mulia.

Cuma, kita merasa hairan kerana kita yang bersusah payah untuk habiskan wang dan masa demi belajar dalam mendapatkan kemahiran bahasa Arab dengan menghadapi segala pening, hafal, baca sebanyak-banyaknya dan lain-lain, tetapi orang yang tidak tahu apa-apa tentang bahasa Arab dan tidak pernah melalui susah payah seperti orang yang belajar begitu lancang sekali untuk membongak seolah-olah di tahap yang tinggi dan setara dengan orang yang mahir bahasa Arab hanya kerana dia menampakkan dirinya berbicara dengan hujah atau membaca kitab tahap tinggi versi terjemahan yang jarang dibaca oleh kebanyakan orang.

Orang ini sebenarnya menghina para penuntut ilmu dan ahli ilmu yang telah menempuh ranjau onak dan duri seolah-olah sama sahaja kedudukannya hanya kerana dia ada hujah.

Susah payah selama ini untuk dipelajari hanyalah sampah buangan dan kemuliaan ilmu itu diperoleh tanpa usaha. Sepertinya cukup seseorang itu mendakwa bahawa dia ada hujah telah melayakkannya ia untuk berdiri di mana sahaja yang dia mahu.

Penuntut ilmu tidak perlu layan orang yang rendahan sebegini dan menghinakan diri untuk menempatkan mereka di ruang yang sama, apatah lagi mengangkatnya dengan tinggi.

Kita ketika memilih produk atau pakej pun tidak akan mengambil dari agensi atau syarikat atau pengeluar yang mencurigakan, entah apa meritnya, rendah mutunya dan sedikit penarafannya secara sembarangan. Mengapa dalam keilmuan, kita boleh ceduk dari mana-mana air sahaja?

-------------------------

Selagimana saya ada masa yang fleksibel, saya akan bantu orang yang ingin belajar bahasa Arab sampai boleh membaca dengan bekalan yang tersedia lengkap pada aspek yang kritikal.

Hanya tinggal bawa diri, bayar yuran bulanan dan beli kamus secara berkala sahaja.

Pelajar yang berjaya menghabiskan dengan jayanya, dengan izin Allah, akan mendapat ijazah sanad untuk pelbagai kitab. Antaranya adalah Musnad ašh-Šhāfiʿiyy.

Boleh hubungi saya di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

No comments:

Post a Comment