Friday, 15 September 2023

Buat Pelajar Yang Rasa Terlambat Belajar Dan Menghadapi Masalah Pembelajaran

Mungkin ada orang merasakan bahawa dirinya sudah terlalu lewat untuk mempelajari bahasa Arab atau apa jua ilmu agama jika dibandingkan dengan beberapa kawannya yang lain yang sebaya yang sudah pun dilihat cemerlang dan menyerlah dalam bahasa Arabnya dan kepandaiannya dalam ilmu agama.

Mungkin juga ada yang merasakan diri ini terlalu bermasalah dalam pembelajaran di sekolah, universiti atau bidang pekerjaannya sehingga dia juga mengandaikan bahawa dia juga akan hadapi masalah yang sama dalam agama. Dia mungkin berhadapan dengan kapasiti memori yang tidak kuat atau pemprosesan akal yang tidak ligat.

Akan tetapi, sebagai motivasi kepada para pelajar, termasuk diri saya sendiri, kita melihat dua memoir tentang ulama yang menjadi tonggak fuqaha utama bagi mazhab ašh-Šhāfiʿiyy.

Dua orang ini pun bukan bermula dengan cemerlang sepertimana para ulama yang lain dan mereka juga berhadapan dengan masalah apa yang sebahagian pelajar berkeluh kesah padanya. Akan tetapi, apa yang membezakan mereka berdua dan pelajar lain sehingga kedua-dua ini naik ke martabat yang agung?

Mari kita amati kisah mereka berdua.

Tokoh Pertama : Al-Qoffāl[1] aṣ-Ṣoġhīr : Lambat mula belajar agama dan menghadapi masalah hafalan, tetapi akhirnya menjadi tonggak utama bagi fuqaha ašh-Šhāfiʿiyyah kerana konsisten dan komitmen.

Abū Bakr ʿAbdul Roḥmān bin Aḥmad ʿAbdullah al-Marwaziyy atau dikenali dengan al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr adalah nama yang tidak asing bagi pelajar, apalagi ilmuwan daripada mazhab ašh-Šhāfiʿiyy.

Beliau disifatkan oleh Yāqūt al-Ḥamawiyy dalam Muʿjam al-Buldān sebagai salah seorang tonggak fuqaha ašh-Šhāfiʿiyyah. Seakan-akan zaman mazhab ašh-Šhāfiʿiyy tidak boleh lepas ke zaman lain melainkan perlu melalui transit daripada beliau.

Akan tetapi, pada masa dahulunya, beliau bukan seorang yang berminat dengan ilmu agama semenjak kecil sepertimana ilmuwan yang lain dan beliau juga bukanlah sama kapasiti memorinya seperti para ulama yang lain yang bermula pembelajarannya dengan gilang-gemilang pada hafalannya.

Yāqūt al-Ḥamawiyy menyebutkan memoirnya :

أن القفّال الشاشي صنع قفلا ومفتاحا وزنه دانق واحد فأعجب الناس به جدّا وسار ذكره وبلغ خبره إلى القفّال هذا فصنع قفلا مع مفتاحه وزنه طسّوج وأراه الناس فاستحسنوه ولم يشع له ذكر فقال يوما لبعض من يأنس إليه: ألا ترى كلّ شيء يفتقر إلى الحظ؟ عمل الشاشي قفلا وزنه دانق وطنّت به البلاد، وعملت أنا قفلا بمقدار ربعه ما ذكرني أحد! فقال له: إنما الذكر بالعلم لا بالأقفال، فرغب في العلم واشتغل به وقد بلغ من عمره أربعين سنة وجاء إلى شيخ من أهل مرو وعرّفه رغبته فيما رغب فيه فلقّنه أول كتاب المزني، وهو: هذا كتاب اختصرته، فرقي إلى سطحه وكرّر عليه هذه الثلاثة ألفاظ من العشاء إلى أن طلع الفجر فحملته عينه فنام ثم انتبه وقد نسيها فضاق صدره وقال: أيش أقول للشيخ؟ وخرج من بيته فقالت له امرأة من جيرانه: يا أبا بكر لقد أسهرتنا البارحة في قولك هذا كتاب اختصرته، فتلقنها منها وعاد إلى شيخه وأخبره بما كان منه، فقال له: لا يصدّنّك هذا عن الاشتغال فإنك إذا لازمت الحفظ والاشتغال صار لك عادة، فجدّ ولازم الاشتغال حتى كان منه ما كان فعاش ثمانين سنة أربعين جاهلا وأربعين عالما

Bahawasanya al-Qoffāl ašh-Šhāšhiyy[2] membikin kunci dan mangga yang timbangannya adalah seketul dānaq[3]. Orang ramai begitu kagum dengannya dan menyebar penyebutannya.

Khabarnya itu sampai kepada al-Qoffāl yang ini[3], lalu dia pun membikin mangga bersama kuncinya yang timbangannya adalah satu ṭossūj[4]. Dia memperlihatkannya kepada orang ramai. Orang ramai memandang bagus padanya, tetapi tidak tersiar penyebutan tentangnya.

Dia berkata kepada orang yang menyenanginya pada suatu hari: "Adakah kalian tidak melihat bahawa setiap sesuatu memerlukan habuan? Ašh-Šhāšhiyy membuat mangga yang timbangannya adalah sedānaq, tetapi bergema seluruh negara dengannya. Aku pula membuat mangga dengan kadar seperempat daripadanya, tetapi tiada siapa pun mengingatinya!". Orang itu berkata kepadanya: "Sebenarnya ingatan itu adalah dengan sebab ilmu, bukan sebab mangganya".

Lantas, dia pun berminat dengan ilmu dan komitmen dengannya. Dia telah pun sampai ke usia 40 tahun. Dia datang kepada seorang syeikh daripada penduduk Merv dan dia memperkenalkannya kepadanya minatnya pada apa yang dia berminat padanya. Lalu, syeikh itu mengajarinya kitab al-Muzaniyy dan ia adalah :

هَذَا كِتَابٌ اخْتَصَرْتُهُ

"Ini adalah kitab yang aku meringkaskannya"

Dia pun naik ke bumbung rumahnya dan mengulangi tiga lafaz ini dari waktu Isyak hingga ke Subuh. Lalu, matanya mula mengantuk dan dia pun tertidur.

Kemudian, dia tersedar dan dia telah terlupa akannya. Dadanya menjadi sesak dan dia berkata: "Apa yang aku ingin berkata kepada syeikh?".

Dia pun keluar dari rumahnya, lalu seorang wanita dari jirannya berkata kepadanya: "Wahai Abū Bakr! Engkau mengganggu tidur kami pada kata-kata kamu: "Ini adalah kitab yang aku meringkaskannya"". Dia pun teringat padanya.

Dia kembali kepada syeikhnya dan dia pun memberitahunya tentang apa yang jadi daripadanya. Syeikh itu berkata: "Janganlah sama sekali sampai ini menghalangimu daripada komitmen. Sesungguhnya engkau apabila engkau lazimi hafalan dan komitmen, ia menjadi biasa untukmu".

Lalu, dia pun bersungguh-sungguh dan melazimi komitmen sehingga menjadi apa yang dia menjadi daripadanya. Dia hidup 80 tahun yang 40 tahun dalam keadaan jahil dan 40 tahun dalam keadaan berilmu. [Muʿjam al-Buldān].

Tokoh Kedua : Ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy : Pelajar Yang Lambat Faham, Tetapi Menjadi Murid Yang Paling Kanan Kepada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy Dan Orang Yang Penting Dalam Periwayatannya Daripada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy

Tanpa ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy, hampir kesemua kitab yang penting daripada al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy seperti al-Umm dan ar-Risālah pasti tidak akan sampai ke tangan kita pada hari ini. Jika kita membaca karya al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy, pasti naskhah akan tertulis: "Ar-Robīʿ Bin Sulaymān berkata". Beliaulah orang yang paling banyak meriwayatkan karya daripadanya.

Namun, sebagai pengetahuan, ar-Robīʿ Bin Sulaymān al-Murōdiyy adalah antara orang yang lambat faham.

Al-Imām Tājuddīn as-Subkiyy menukilkan daripada al-Qoffāl dalam Fatāwā miliknya :

كَانَ الرّبيع بطئ الْفَهم فكرر الشافعى عَلَيْهِ مَسْأَلَة وَاحِدَة أَرْبَعِينَ مرّة فَلم يفهم وَقَامَ من الْمجْلس حَيَاء فَدَعَاهُ الشافعى فى خلْوَة وَكرر عَلَيْهِ حَتَّى فهم

Ar-Robīʿ dahulu lambat faham. Lalu, al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy mengulangi permasalahan yang sama sehingga 40 kali. Namun, dia masih tidak faham. Dia pun bangun dalam keadaan malu. Lantas, al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy memanggilnya untuk sesi persendirian dan dia mengulanginya sampai faham. [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō].

Cuba bayangkan kalau seseorang mengulangi perkara yang sama sehingga 40 kali, tetapi masih tidak faham. Secara normalnya, kita sebagai guru pun akan sakit kepala dengan pelajar ini dan murid yang lain pun akan memandang betapa bengongnya pelajar ini.

Akan tetapi, berkat kesabaran al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy melayaninya dan berbakti dengan muridnya yang bersungguh-sungguh untuk belajar dengannya, ar-Robīʿ menjadi murid kesayangannya, paling setia kepadanya dan murid paling penting baginya.

Al-Imām Tājuddīn as-Subkiyy berkata :

وَكَانَ يقْرَأ بالألحان وَكَانَ الشافعى يُحِبهُ وَقَالَ لَهُ يَوْمًا مَا أحبك إِلَى وَقَالَ مَا خدمنى أحد قطّ مَا خدمنى الرّبيع بن سُلَيْمَان. وَقَالَ لَهُ يَوْمًا يَا ربيع لَو أمكننى أَن أطعمك الْعلم لأطعمتك

Dahulu dia selalu membaca dengan lahn[6]. Dahulu ašh-Šhāfiʿiyy mencintainya. Dia berkata kepadanya pada suatu hari: "Betapa aku mencintai engkau". Dia berkata: "Tidak ada seseorang sama sekali pun yang berkhidmat kepadaku dengan apa yang ar-Robīʿ bin Sulaymān berkhidmat kepadaku". Dia berkata: "Wahai Robīʿ! Kalaulah aku mampu untuk memberi kamu makan ilmu, pasti aku akan memberi kamu makan!". [Ṭobaqōt ašh-Šhāfiʿiyyah al-Kubrō].

Pengajaran

Terdapat beberapa pengajaran yang kita boleh ambil daripada ini sama ada kepada pengajar atau pelajar.

Pertama, bagi pelajar, tidak ada ubat untuk masalah kurang kekuatan hafalan dan tipis kemampuan akal melainkan dengan konsisten dan komitmen. Inilah yang membezakan al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr dan ar-Robīʿ bin Sulaymān al-Murōdiyy.

Bayangkan sebodoh-bodoh diri kita atau serendah-rendah orang dari sudut ilmu jika mengulang-ulangi tiga perkataan dari Isyak ke Subuh, pasti akan tersemat dalam ingatan secara padu dan jika diterangkan satu permasalahan yang sama sebanyak 10 kali pun, ia sudah cukup untuk memahamkan kita.

Cuba bayangkan kalau kita sendiri bertemu dengan orang yang tidak mampu ingat apa-apapun setelah mengulang-ulang hafalan tiga patah perkataan dari Isyak ke Subuh atau sudah dijelaskan sehingga 40 kali untuk satu permasalahan yang sama pun masih tidak dimengerti. Kita pasti akan anggap bahawa ini adalah pelajar yang bermasalah, malah terlalu teruk dan kritikal.

Akan tetapi, kenapa kita yang merasakan kita tidak berhadapan dengan masalah ini atau menghadapinya, tetapi tidak seteruk itu masih lagi di kedudukan yang ketinggalan jauh daripada kedua-dua tokoh ini. Jawapannya adalah komitmen dan konsisten.

Benar bahawa seseorang itu akan mengalah jika sudah mencuba sepuluh kali atau sudah mengulangi-ulangniya beratus-ratus kali. Namun, sesiapa yang terus melangkah dalam menuntut ilmu semata-mata kerana keredhaan Allah, dengan izin Allah, jalan ke syurga bukan sahaja akan dimudahkan untuknya. Jalan untuk kefahaman dan gedung pengetahuan yang melimpah juga akan termudah untuknya.

Bagi pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran, seseorang itu mungkin malu jika kita terzahir kegagalannya dan masalahnya yang teruk pada pelajar lain yang jauh lebih genius dan pandai sehingga dia ingin keluar kelas sepertimana ar-Robīʿ bin Sulaymān atau mungkin berhenti terus serta merta dari meneruskan belajar.

Akan tetapi, kalau dia mengalah, ini bermakna dia telah meninggalkan langkah kita ke hadapan. Sedangkan untuk sampai ke destinasi adalah dengan terus bergerak ke hadapan biarpun perlahan atau banyak rintangannya.

Oleh itu, kesungguhan, komitmen dan konsisten akan menjadi pengubat yang satu-satunya. Jangan menyalahkan diri kerana lembab untuk faham atau kurang daya hafalan. Salahkan diri sendiri hanya kerana tidak terus berusaha.

Kedua, usah rasa terlalu terlambat untuk mula belajar dalam ilmu agama. Sememangnya benar bahawa di usia 40-an, sememangnya para ulama di usia ini sudah menempa nama dengan keagungan dan berprestij.

Kita ambil contoh al-Imām an-Nawawiyy yang wafat pada usia 40-an. Kalaulah al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr hidup sezaman dengan al-Imām an-Nawawiyy, pasti sememangnya ada perbezaan darjat yang tingginya umpama langit dan bumi walaupun sebaya usia.

Kalaulah kita terus dikerumuni bisikan negatif yang kita ini sudah terlambat dan jauh ketinggalan berbanding mereka yang sebaya, sampai bila-bila pun kita tidak akan mula belajar. Kalaulah al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr berfikiran sebegitu, pasti beliau tidak akan menjadi apa yang kita sekarang menyebut-nyebut keagungannya.

Ketiga, pengajaran kepada pengajar, guru atau cikgu adalah bersabar dan raikan pelajar yang lambat faham atau kurang kapisiti hafalannya, lebih-lebih lagi dia tidak mengalah dan setia untuk terus belajar.

Jangan sisihkan dia hanya kerana lambat berbanding pelajar lain. Barangkali dia mungkin sahaja akan menjadi murid yang paling penting untuk kita, paling kita sayangi dan paling kanan dalam sekalian murid yang kita ada.

Cuba bayangkan kalau al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy tidak mahu melayaninya, mengejeknya sebagai lembab dan ketinggalan berbanding pelajar yang lain. Kita sendiri pun tidak akan kenal kadar pengetahuan al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy tanpa periwayatan kitabnya daripada ar-Robīʿ.

Bayangkan kalau syeikh bagi al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr menempelaknya sebagai lembab dan bengap kerana masih tidak mampu menghafal tiga patah perkataan sekalipun telah mengulang-ulanginya dari Isyak hingga Subuh. Pasti kita sendiri tidak akan menemukan tonggak utama bagi mazhab ašh-Šhāfiʿiyy.

Sebagai pengajar, raikan kepelbagaian pelajar. Laju apabila perlu laju dan perlahan apabila perlu perlahan.

Di saat sistem pendidikan sekolah hanya melayan kepada "purata" tahap pencapaian pelajar, bukan melihat secara individu menyebabkan pelajar yang di luar "purata" dari kalangan yang bukan bijak pandai akan diketepikan dan dikucilkan kerana mencantikkan statistik dan orang atasan yang tidak pernah atau sedikit terbabit secara langsung dalam pengajaran.

Pendidikan adalah bukan untuk "purata". Tetapi, untuk semua orang yang ingin belajar dan setia dengannya. Kalaulah al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy hanya melayani "purata" sahaja, sudah tentu ar-Robīʿ bin Sulaymān hanyalah habuk yang tidak ada apa-apa untuk dicartakan dalam senarai statistik atau sekadar menjadi sampel kes kepada pelajar yang keciciran dan gagal.

Keempat, zahir daripada cerita ini adalah motif al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr untuk belajar agama adalah kerana ingin mendapatkan penyebutan orang ramai dan diiktiraf sepertimana pendahulunya, al-Qoffāl ašh-Šhāšhiyy.

Kita sebagai guru, lebih-lebih lagi guru agama akan melihat ini sebagai niat yang tidak baik dan tidak murni. Saya tidaklah berkata ini sememangnya motif sebagai al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr dalam menuntut ilmu agama. -Saya berlindung daripada Allah dari menuduh buruk terhadap para ulama dan dituduh sedemikian-. Namun, kita andaikan jika ini menjadi motif sebenar bagi seseorang yang datang bertandang untuk belajar.

Namun, seyogia bagi seorang guru adalah terus menyambut minat seseorang yang hadir untuk belajar, tetapi dalam masa yang sama tidak lupa untuk mengingatkannya agar membersihkan jiwa dan menuluskan niat dalam menuntut ilmu agama.

Kalau dari awal kita enggan memberikan ruang kepada seseorang penuntut ilmu kerana diketahui motifnya untuk kemahsyuran, barangkali dari sebab sikap kita, orang itu mungkin tidak lagi mahu mempelajari ilmu agama sama sekali.

Sepertimana yang kita maklum bahawa jika tidak dapat buat semua, maka jangan tinggal semua. Bahkan, pengislahan juga bukan mesti dengan sehari dua untuk selesai. Adakalanya, berperingkat dan memakan masa.

Sebagai pendidik, kita perlu bersabar dengan karenah pelajar yang mungkin datang untuk suatu niat yang kita tidak menyukainya. Proses pendidikan sama ada dari segi pengetahuan dan kefahaman pun ambil masa yang panjang. Apakah kita ingin mengharapkan kejernihan jiwa hanya selesai dengan seminggu sahaja?

Atas sebab itulah, guru tetap memberikan ruang kepada mereka dan dalam masa yang sama, aspek akal dan jiwa disinergikan bersama dalam pendidikan.

[1]Panggilan untuk usahawan mangga kunci.

[2]Sebelum al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr, ada juga yang dikenali dengan Qoffāl. Beliau adalah Abū Bakr Muḥammad bin ʿAliyy bin Ismāʿīl ašh-Šhāšhiyy atau dikenali dengan al-Qoffāl al-Kabīr.

[3]Seperenam dirham.

[4]Al-Qoffāl aṣ-Ṣoġhīr yang kita sedang menceritakannya sekarang.

[5]Seperempat daripada dānaq.

[6]Tersalah dalam tatabahasa Arab.

No comments:

Post a Comment