Tuesday, 5 September 2023

Rasai "Tak-Bermakna" Untuk Mendapat Makna


Kalau tanya aku secara peribadi, aku memang tidak minat acara keramaian seperti acara orang wibu, Jom Heboh atau apa sahaja acara yang mahu dinamakan. Begitu juga dengan aktviti dalam pakej pelancongan seperti tengok pemandangan, meneroka hutan, membeli belah dan lain-lain. Atau pun hobi biasa seperti memancing, berkayak atau apa sahaja.

Bagi aku, cukup aku ada buku untuk dibaca, akses kepada internet yang mantap dan ruang yang selesa untuk jalani kehidupan harian, itu sudah cukup untuk keseluruhan hidup aku.

Sejujurnya dan aku cakap awal-awal. Kalau sesiapa yang ingin memilih aku sebagai suami, dia mungkin perlu sedia untuk duduk di rumah sahaja. Aku memang cerewet dan memang tidak ada minat untuk aktiviti atau acara yang telah disebutkan walaupun untuk sekadar cuba-cuba, lalui pengalaman pertama atau merasai dengan pancaindera secara langsung.

Sebab aku mungkin macam 2B. Kebanyakan yang dibuat oleh manusia adalah "tak-bermakna" pada set minda aku. Sampai sekarang aku tidak dapat mengerti kenapa perlu aku hadiri acara keramaian untuk tengok gelagat masyarakat di sana, berjalan jauh berbatu-batu jaraknya semata-mata untuk tengok pemandangan dan kumpul gambar banyak-banyak atas alasan "kenangan" dan "pengalaman".

Kenapa perlu aku habiskan banyak duit untuk semua ini? Lebih baik membeli buku dan tambah ruang untuk simpan lebih banyak buku. Deh. Boleh dikatakan ini yang sebati dalam sebahagian besar minda aku.

Walaupun aku tidak ada masalah untuk kesemua itu kalau ada orang ajak dan belanja. Cuma, selalunya aku tidak menikmatinya sepertimana orang ramai yang berada di sana atau orang yang bergelumang dengannya. Jarang sekali aku ingin buka kamera telefon untuk swafoto atau kumpul gambar semata-mata untuk mengisi konten di media sosial. Adakalanya, aku tidak ada masalah jadi penonton di belakang atau orang yang tidak termasuk dalam sesi fotografi "kenangan". Sekali lagi, sebab bagi aku semuanya "tak-bermakna" atau ada sedikit makna.

Pun begitu, kalau kita tengok secara meluas dan memahami minda manusia yang pelbagai, "tak-bermakna" inilah yang bermakna untuk mereka. Kerana "tak-bermakna" inilah yang melestarikan kehidupan masyarakat kita dan orang di sekeliling kita.

Sejujurnya, aku pun tidak faham kenapa wibu ini bersorak dan kemaruk untuk hadiri acara bersama V-Tuber entah siapa orangnya dan apa istimewanya sangat. Begitu juga dengan konsert untuk orang berteriak kepada artis pujaannya, sedangkan artis itu sendiri bukan peduli pun para penyoraknya. Dia fikir duit dia masuk dari tangan peminat dan layankan sahaja rasa yang terbuai daripada dia.

Aku hadiri dan saksikan sendiri pun masih tidak faham kenapa manusia di sekeliling acara ini begitu entusias dengan sesuatu yang "tak-bermakna".

Tetapi, apabila aku lihat senyuman mereka sekeliling, kegembiraan yang mereka tampilkan dan entusias yang tercoret pada wajah mereka, aku juga menumpang gembira. Kerana "tak-bermakna" inilah industri pelancongan kita hidup, orang ramai merasai pelbagai pengalaman yang menarik, ada banyak tempat untuk menikmati tanah air tercinta dan kemakmuran sejagat terpelihara. Ia adalah rantaian yang saling menghubungkan, menyebarkan dan mengukuhkan.

Bahkan, jika "tak-bermakna" ini didogmakan, barangkali aku sendiri pun tidak akan dapat tonton anime ini dan mungkin sahaja anime ini sendiri pun tidak akan dihasilkan jika semua orang berpendapat ia "tak-bermakna". Bayangkan jika semua orang seperti 2B tidak mahu memenuhi undangan 9S untuk berjalan-jalan mencari baju. Agakanya bagaimana industri kita? Walaupun kecil, tetapi impaknya besar.

Mungkin sahaja kita perlu rasai "tak-bermakna" ini untuk memperoleh kegembiraan yang tulen, pengalaman yang bermakna dan seterusnya, minda yang mengerti tentang hakikat sesuatu perkara. Bahkan, mungkin yang "tak-bermakna" ini akan memberi makna kepada sesuatu. Menjadi manusia adalah menikmati sesuatu yang "tak-bermakna".

Aku sendiri pun jika tengok bunga, aku akan terdetik, "Ok. Bunga ini cantik. Lalu, kenapa?" kerana aku tanggap hanya semata-mata untuk terpesona dengan keindahan bunga adalah "tak-bermakna". Cuma, "tak-bermakna" inilah manusia ini menikmatinya dan ia menjadi tema dalam seni. "Tak-bermakna" inilah yang luas dan kaya dengan kreativiti.

Ada benarnya kata-kata Einstein: "Imaginasi lebih penting daripada pengetahuan". Atau dia menambah: "Imaginasi adalah bahawa jiwa.

Berikan perhatian untuk imaginasi dan engkau akan akan menemukan keperluanmu perlu dipenuhi". Atau katanya: "Imaginasi adalah segalanya. Ia adalah praview tarikan hidup yang datang". Atau katanya: "Logik akan membawa kamu A kepada B. Tetapi, imaginasi membawa kamu ke mana sahaja".

Sekalipun di sisi kita "'tak-bermakna", tetapi hargailah ia. Ada orang menikmatinya sebagai sesuatu yang bermakna. Hidup ini bukan untuk serius sepanjang masa. Pergaulan kita sesama keluarga atau sahabat mungkin "tak-bermakna", tetapi lihat bagaimana impak kepada kedekatan, kasih sayang dan jalinan keeratan.

Bagi kita, membeli mainan untuk anak dilihat "tak-bermakna" dan membazir, tetapi untuk sebuah keluarga, bagaimana? Sekadar untuk celup kaki di sungai yang mengair airnya bersama rakan seperti "tak-bermakna", tetapi dari sudut persahabatan, bagaimana?

9S bertanya: "Adakah dunia yang aman seperti ini?", 2B menjawab: "Aku pun tidak tahu kerana aku tidak pernah melihatnya". Cuba tanya soalan yang sama tentang kekeluargaan dan persahabatan, bahkan untuk keseronokan hidup sendiri. Adakah kita hanya akan menjawab: "Aku pun tidak tahu kerana aku tidak pernah melihatnya atau merasainya?".

No comments:

Post a Comment