Buku beliau yang pertama yang saya baca Fī Fiqh al-Awalawiyyāt : Dirōsah Jadīdah Fī Ḍowʾ al-Qurʾān Wa as-Sunnah atau yang selalu sahaja diberikan nama terjemahan dengan Fiqh Keutamaan. Inilah antara buku yang memberikan inspirasi dalam pemikiran saya dan menampakkan kehebatan beliau dalam memaparkan usaha pembaharuan.
Kemudian, saya mula membaca beberapa buku beliau yang lain dan buku-buku beliau antara pilihan pembacaan saya disebabkan beliau menyentuh cara perbahasan yang menampakkan pemodenan pendekatan dan kesesuaian dengan zaman ini.
Antara yang menarik pada buku beliau yang mungkin dilihat baru untuk zaman beliau adalah perbahasan sesuatu perkara menjangkau yang sekadar menyentuh isu hukum dan dalil-dalilnya. Beliau akan memaparkan latar belakang kes jika ada, falsafah di sebalik hukum atau hikmah pensyariatan itu, hala tuju atau kemuncak yang ingin dicapai bagi pensyariatan atau hukum itu, kelebihan yang digapai oleh hamba Allah dengan pensyariatan itu dan pelbagai lagi.
Ini sememangnya keunikan dalam fatwa. Adunan falsafah dalam perbahasan hukum sememangnya menjadikan karya beliau sangat istimewa kerana beliau bukan sahaja membawa pendekatan yang baharu dalam berfatwa dan pandangan tentang pensyariatan, tetapi ini juga apa yang diperlukan dalam masyarakat untuk memahami keindahan dan keagungan syariat yang diturunkan ke muka bumi.
Adakalanya, sebahagian penanya bukan ingin tahu apa hukum dan dalil bagi suatu permasalahan. Ubat atau jamuan yang sebenarnya berhajat adalah mengapa pensyariatan atau hukum itu rasional dan bermakna untuk mereka serta mengukuhkan lagi bahawa inilah yang istimewa dalam Islam.
Beliau tidak dinafikan banyak kontroversi selaras dengan pembaharuan yang beliau bawa. Walaupun beliau ini dikenali dengan rapat dengan salafi disebabkan kedekatannya dengan karya Ibn Taymiyyah dan Ibn Qoyyim al-Jawziyyah serta memuji Muḥammad bin ʿAbdul Wahhāb sebagai mujaddid zamannya, beliau sebenarnya lebih dekat dengan akidah al-Ašhʿariyy dalam isu tafwid dan secara tersirat menyalahi Ibn Taymiyyah dalam aspek akidah.
Bukunya Fuṣūl Fī al-ʿAqīdah Bayna as-Salaf Wa al-Kẖolaf adalah saksi untuk perkara ini beserta muqaddimah yang beliau berikan untuk kitab Sayf ʿAliyy al-ʿAṣriyy berjudul al-Qowl at-Tamām Bi Iṯsbāt at-Tafwīḍ Maḏzhaban Li as-Salaf al-Kirōm.
Ini antara sebab sebahagian salafi agak tidak menyenanginya seperti Sulaymān bin Ṣōliḥ al-Kẖurōšhiyy menghasilkan al-Qoroḍōwiyy Fī al-Mīzān yang membangkitkan isu ini untuk membentaknya.
Antara isu yang kontroversi pada beliau adalah isu keharusan berjabat tangan dengan wanita yang bukan mahram sekalipun tanpa lapik dan selagimana tanpa syahwat. Jika kita ingat dahulu kontroversi Nazim al-Ḥaqqōniyy yang bersalaman dengan wanita bukan mahram, ada yang mengetengahkan fatwa ašh-Šhaykẖ Yūsuf al-Qoroḍōwiyy untuk menjustifikasikan bahawa Nazim al-Ḥaqqōniyy tidak wajar dipersalahkan. Sememangnya sesiapa sahaja yang ingin berkata keharusan ini akan memetikan pandangan beliau dalam hal ini.
Malah, disebabkan keterbukaan beliau yang tidak banyak terikat dengan pertarungan perebutan kelompok, ada juga yang menganggap beliau ini tidak konsisten yang bercampur aduk dan mendekati liberal disebabkan banyak hukum fiqh menjadi longgar dengan gagasan yang beliau bawa.
Cuma, beliau juga sangat aktif dalam menentang bidaah. Bukunya as-Sunnah Wa al-Bidʿah dan pelbagai lagi dalam mengkritik ideologi tidak sama sekali menampakkan keterbukaan yang terlalu meluas.
Sebegitu juga fatwa beliau untuk rakyat di negara Arab yang sedang bergolak dengan pemerintahnya yang mengajak kepada penggulingan. Sangat ironi dan menghairankan seorang tokoh yang cuba membawa mesej perdamaian dan kesatuan memberikan fatwa sebegini. Ini antara sebab sebahagian ulama dari persatuan beliau tubuhkan, iaitu Kesatuan Ulama Antarabangsa keluar dan membawa jalan masing-masing yang berbeza dengan pengasasnya.
Apapun, sumbangan keilmuan beliau tidak dilupakan dan disia-siakan biarpun rintangan membadai dalam hidupnya. Karyanya yang profilik dan segar pewacanaannya banyak menginspirasikan penulisan hari ini untuk membawa pendekatan baharu dalam perbincangan tentang adunan falsafah dan penerokaan maqasid dengan aspek hukum-hakam.
Semoga peninggalan beliau memberikan makna yang berguna untuk orang yang memanfaatkannya dan menjadi saksi untuk kemuliaan kedudukannya di akhirat kelak.
No comments:
Post a Comment