Tuesday, 4 January 2022

Aku Mungkin Akan Melupakanmu

Terlalu banyak memori aku telah terlupakanmu.
 
Semakin jasadku dimamah usia, semakin lemah ingatanku untuk menampung lebih banyak cerita kehidupan dan menyimpan segala yang menjadi tersemat dalam kenanganku.

Sejujurnya. Kalau aku mati sekarang, tidak akan ada siapa lagi yang akan mengingatimu lagi. Tidak akan ada siapa lagi. Hanya aku sahaja yang masih menyimpan cerita dirimu.

Hanya aku sahaja yang masih mengingatimu. Hanya aku sahaja yang boleh menjadikan engkau hidup dalam memori aku.

Kalau pun aku coretkan semuanya dalam gambar atau lembaran agar generasi terkemudian akan terus mengingatimu, tetapi mereka tidak akan mampu menjadikan engkau hidup dalam memori mereka sepertimana aku lakukan.

Mereka boleh mengingatimu, tetapi tidak akan ada siapa lagi yang dapat menjadikan engkau hidup dalam memori melainkan aku.

Namun, perlahan-lahan ia semakin menghilang, terhakis, pudar dan terpadam.

Aku tidak tahu lagi sama ada aku akan bawa memori aku denganmu sehingga hujung nafasku tanpa terlupakanmu.

Akan tetapi, ingatlah bahawa cukuplah sebagai kebanggaan bahawa namamu terabadi dalam Luh Mahfuz.
 
Bertambahlah lagi kebanggaan jika engkau menjadi perhatian bagi Allah, tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
 
Kalau aku terlupakanmu dalam hayat aku ini, sentiasalah tersemat bahawa engkau dalam perhatian raja segala raja yang Maha Mulia.
 
Kalau aku terlupakanmu, maka Dia sentiasa akan mengingatimu.
 
Dia akan sentiasa mengingatimu. Dia akan sentiasa mengingatimu.

Jadilah engkau orang yang sentiasa menjadi perhatian daripada-Nya.

Mudah-mudahan, di pintu syurga, kita dipertemukan lagi.

No comments:

Post a Comment