Saturday, 15 October 2022

Pengajaran Yang Diambil Pada Pendedahan Ustaz Aswaja Terhadap Insan Yang Didakwa Cicit Rasulullah Yang Ke-38

1. Tahniah kepada ustaz Aswaja sendiri yang aktif menentang wahabi dan membela golongan al-Habib pun disangka buruk sebagai memusuhi ahli bait dan cuba menimbulkan bibit fitnah apabila mendedahkan seseorang yang didakwa cicit ke-38 yang berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Saya tidak tahu kalau ustaz Aswaja ini juga akan dituduh sebagai wahabi disebabkan menyinggung insan tersebut.

2. Akhirnya, ustaz Aswaja itu sendiri mengakui bahawa nasab itu walaupun ada kemuliaan, tetapi itu tidak ada apa-apa makna untuk akidah dan manhaj. Malah, dua juga menegaskan bahawa apabila mereka salah, tetap tidak boleh berdiam diri.

3. Saya sudah lama memperingatkan sebegini ketikamana mula-mula saya menulis tentang ulama ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy dan mula berkongsi penulisan Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ yang berkaitan dengan ahli bait.

4. Antara mesej penting saya adalah supaya jangan sempitkan naratif ahli bait pada golongan al-Ḥabīb sahaja. Luaskan penerokaan. Mulakan membuat rujukan silang untuk penulisan Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ, Nāṣir al-ʿItroh (pembela leluhur ahli bait) tentangnya dan jenguk karya peninggalan daripada zaydiah kerana aliran ini juga ramai ulama dari ahli bait.

5. Salah satu sebab saya menggesa seperti ini adalah supaya tidak lagi terjadi sebegini. Mudah cair, cepat terpesona dan sesuka hati memberikan kemuliaan yang berlebihan hanya kerana seseorang itu adalah ahli bait berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Apa sahaja daripadanya mahu dikuduskan dan dikultuskan.

6. Perkara ini terjadi disebabkan naratif ahli bait hanya tersepit pada golongan al-Habib sahaja. Padahal, Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ sendiri mengakui bahawa dalam kalangan ahli bait, ada sahaja dari mereka yang Isma'ilyyah, Imamiyyah, Rofidhoh dan Muktazilah. Tidak hanya pada al-Ash'ariyy atau al-Maturidiyy semata-mata.

6. Apabila naratif kita luas, kita akan sedar bahawa ahli bait ini juga memiliki keunikan dan kepelbagaian sama ada dari sudut akidah, pemikiran, manhaj dan perilaku. Mereka ini juga ada sudut-sudut manusiawi sepertimana mana-mana insan yang lain melainkan mereka menanggung darah daripada baginda.

7. Dari situ, walaupun kita memberikan penghormatan kepada ahli bait, kita tetap memberikan hak ilmu dan ikutan yang seyogianya, bukan hanya semata-mata nasab. Maksudnya adalah akidah yang suci dan manhaj yang jernih adalah tonggak ikutan adalah paling penting untuk dinilai dan dijadikan sandaran dalam beragama, bukan sekadar sentimen zuriat.

8. Kritikan terhadap mana-mana ahli bait sama ada kepada al-Ghumariyy, al-Kattaniyy, imam-imam zaydiah atau sesiapa pun sama sekali bukan bertujuan untuk menghina atau memusuhi ahli bait secara umum. Kebenaran tetap kebenaran dan dalil tetap dalil. Nasab tetap ada kemuliaan, tetapi akidah yang betul dan manhaj yang tulen adalah penyelamat ikutan yang lebih bermakna.

9. Saya harap dari peristiwa ini, kita lebih berhati-hati dengan mana-mana insan yang didakwa berketurunan baginda صلى الله عليه وسلم, meletakkan hak mereka dengan sebetulnya dan sama sekali tidak memberikan sanjugan yang berlebihan tanpa sepatutnya. Seterusnya, diharapkan agar pengamatan kita kepada ahli bait lebih luass yang tidak terhad kepada al-Ḥabīb sahaja.

No comments:

Post a Comment