Buku-buku di pesta buku sememangnya setiap tahun menarik dan menggoda. Lebih-lebih lagi buku yang menjadi subjek minat saya dan yang sudah lama saya mengimpikannya. Memang menggelojak nafsu saya untuk memborongnya.
Namun, tahun ini, saya menahan godaan ini dengan hanya fokus dengan kitab-kitab yang ada dalam senarai "Add To Cart" sama ada di Shopee atau laman web yang lain atau yang sehampir dengan tema dalam buku senarai tersebut.
Tahun sebelum ini kalau beli memang baki duit akan dihitung dengan teliti, balik jadi orang pokai dan angkut banyak buku. Tahun ini pula, masih banyak duit berbaki saya bawa pulang, sedikit buku yang saya borong dan ringan beg yang dibawa.
Tahun ini, saya bersyukur saya dapat kawal ketamakan saya untuk membeli berlebihan. Kalau dulu, apa sahaja yang menarik sama ada tajuknya atau kontennya memang saya angkut bawa balik dan tidak akan sama sekali melepaskannya.
Antara sebabnya adalah saya semakin cerewet dengan standard buku yang dimahukan. Cerewet ini kadang menjengkelkan, tetapi pada saya untuk situasi ini adalah rahmat. Kalau tidak, rabak poket saya dan mungkin terbeli buku yang tidak ada mutu dan standard yang saya mahu.
Pandang pertama ini memang perlu berjaga-jaga kerana itulah pukauan nafsu. Jika kita tidak ada standard yang tinggi, kita akan mudah kecundang dan sangat cepat terpikat dengan tajuk atau kandungan yang memberahikan mata.
Pengalaman pembelian buku ini dan pembaziran yang saya buat sebelum ini sememangnya mengajarkan saya tentang standard dan buku yang patut saya beli.
Saya belajar bahawa jangan beli hanya kerana ia nampak menarik. Ambil kira pelbagai perkara dan dengar cerewet kita supaya tidak membazir.
Saya ada juga perasaan hiba kerana tidak membeli buku yang saya sudah lama simpan idamannya dan saya tidak meneroka lebih banyak buku yang ada pada setiap reruai sepertimana tahun lepas.
Cuma, saya tidak menyesal jika saya terlepas atau sengaja melepaskannya. Bagi saya, kalau yang sedia ada atau yang sudah dalam "Add To Cart" sudah memberikan banyak kecukupan untuk visi pembelajaran saya, maka saya cuma berharap agar suatu hari nanti, saya dapat memperuntukkan duit yang lebih bermakna.
Kalau dahulu saya memang jengah satu persatu buku yang ada setiap reruai yang saya lihat ianya menarik. Sekarang, mata saya hanya fokus apa yang menjadi standard saya dan apa yang sudah ada dalam "Add To Cart".
2. Lemah Komunikasi Dalam Bahasa Arab
Walaupun saya boleh membaca kitab-kitab Arab dan boleh serba sedikit untuk mendengar kuliah bahasa Arab yang baku, tetapi saya amat tempang dalam komunikasi. Apabila ingin berkomunikasi, banyak perkataan yang saya tidak tahu bagaimana untuk diungkapkan.
Contohnya adalah "Contact Card". Saya tidak pernah tahu apa perkataan ini dalam bahasa Arab. Cuma, nasib baik apabila saya berkata: "هل عندك بطاقة الاتصال؟", mereka faham apa yang saya maksudkan. Saya pun tidak tahu betul atau tidak apa yang saya sebut.
Malah, ada satu reruai ini, saya terpaksa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris kepada orang Arab kerana banyak kosa kata bahasa Arab yang saya tidak tahu.
Sampai tauke Arab itu tanya: "Kamu tidak boleh berbahasa Arab?" sebab sudah tidak tahan saya berkomunikasi bahasa Inggeris untuk berbincang tentang kitab Arab.
Bila saya cakap, dia seperti tidak faham apa yang saya cakap. Mujur ada orang sebelah entah siapa yang pandai komunikasi Arab tolong 'rephrase' semula apa yang saya ingin maksudkan. Terima kasih untuk orang itu.
Mahir dalam bahasa bidang ilmiah kita, belum tentu mahir dalam komunikasi harian. Ini yang saya sedar selama ini dan pesta buku ini menambahkan lagi bukti pada diri saya.
Cuma, saya tidaklah malu kalau ini menjadi kekurangan saya. Saya sememangnya tidak minat belajar untuk sampai boleh komunikasi. Keperluan saya sekarang dan buat masa ini adalah cukup mahir membaca, dapat ikuti selok belok perbahasan dan dapat menggali faedah dengan tuaian yang tepat.
P/S : Gambar milik Ku Zack.
No comments:
Post a Comment