Bagi yang tidak tahu, Aslein pada asalnya adalah forum yang merupakan platform untuk semua aliran al-Ašhʿariyy dan al-Māturīdiyy di seluruh dunia yang dikelola oleh salah seorang ilmuwan kalam masa kini; Syeikh Saʿīd Fawdah.
Sekarang, mereka sudah ada platform di Facebook dan mereka dalam masa yang sama menerbitkan beberapa buku yang berkaitan dengan ilmu kalam, ilmu tauhid dan wacana mengenainya.
Antara sebab yang mendorong minat saya untuk mendapatkan keluaran baru untuk Aslein adalah disebabkan temanya banyak menyentuh isu Waḥdah al-Wujūd yang berpaksikan Ibn ʿArobiyy al-Ḥātimiyy, khususnya untuk penolakan dan sanggahan. Empat daripada buku yang saya dapat ini adalah bertemakan itu.
Saya pada mulanya berharap akan ada pendedahan khas Syeikh Ibrōhīm al-Kurōniyy sepertimana yang Syeikh Saʿīd Fawdah pernah menjanjikannya beberapa tahun lepas. Syeikh Ibrōhīm al-Kurōniyy ini boleh dikatakan mahaguru kepada tok guru pondok di nusantara dan sanad pengajian pondok banyak akan berbalik kepada nama ulama ini.
Namanya dibangkitkan sebagai sebuah figura kontroversi oleh ustaz Noor Deros dalam isu Waḥdah al-Wujūd. Saya sebenarnya berharap buku ini menyajikan apa yang Syeikh Saʿīd Fawdah menjanjikannya.
Cuma, sepanjang saya membelek (bukan membaca secara serius), saya belum menemukan satu pun nama Syeikh Ibrōhīm al-Kurōniyy dipetik. Yang saya nampak adalah beliau banyak menjadikan ʿAbdul Karīm al-Jīliyy dan ʿAbdul Ġhoniyy an-Nābulsiyy sebagai subjek perbincangan dalam buku keluaran baru.
Saya hampa sedikit, tetapi buku ini masih bermanfaat kerana ini menampakkan bahawa Syeikh Saʿīd Fawdah dan pasukan daripada Aslein mula serius, fokus dan merancakkan lagi perbincangan isu Waḥdah al-Wujūd dalam bentuk penulisan. Selama ini perbincangan ini banyak terakam dalam kuliah sahaja.
Apapun, buku-buku beliau ini sangat patut diketengahkan dalam wacana semasa kita kerana ia akan memperkayakan lagi skop perbincangan dalam isu akidah dan lain-lain. Terutamanya isu Waḥdah al-Wujūd.
Walaupun sebahagian orang mungkin anggap ia isu piscisan atau ditimbulkan sebahagian orang untuk cari polemik dengan Ibn ʿArobiyy dan pengikutnya serta warga tempatan, tetapi ia adalah wacana yang besar. Jika tidak, tiada keperluan Syeikh Saʿīd Fawdah menerbitkan beberapa buku yang bertemakan topik ini.
Syeikh Saʿīd Fawdah adalah syeikh yang berpengaruh dalam ilmu ini. Manfaatnya sangat besar untuk kita gali dan ambil peduli.
No comments:
Post a Comment