Saturday, 16 October 2021

Ulasan Buku Hukum Sambutan Maulid Nabi SAW : Antara Sunnah Dan Bidaah


Ketika mengemas rak buku, saya menemukan buku yang telah lama saya beli. Kira-kira mungkin 8 atau 9 tahun yang lalu. Dan saya sudah lama tidak membacanya semenjak membelinya dan pertama kali membacanya.

Hukum Sambutan Maulid Nabi SAW : Antara Sunnah Dan Bidaah karya Ustaz Mohammad Subki Abdul Rahman al-Hafiz dan ustaz Mohd Rifqi Myiddin. Buku ini diberi kata-kata aluan oleh Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki.

Cuma, agak kagum juga Syeikh Nuruddin boleh memberi kata-kata aluan dengan bahasa yang formal, baku dan sejadi dengan pertuturan orang Melayu. Berbeza sungguh ketika menyampaikan kuliah dan ceramah. Mungkin para penulisnya atau editor sudah modifikasi supaya lebih formal, baku dan sejadi.

Kebetulan hari maulidurrasul hampir mendekati. Jadi, saya cuba memperuntukkan masa untuk membacanya semula dan mengulangkaji.

Buku ini kecil dan tidaklah tebal, tetapi kupasan, perbahasan dan analisis dalam menjustifikasikan keharusan dan ketidakbidaahan dalam sambutan maulid ini cukup komprehensif.

Setiap hujah dibawakan teks Arab bersama baris lengkap ketika menukilkan pandangan daripada para ulama.

Saya sebenarnya dari dahulu lagi sebelum membeli buku ini dahulu bersama-sama mereka yang mengharuskan dan mempertahankan sambutan maulidurrasul dan menepisnya dari tuduhan bidaah terhadap sambutan ini. Dalam minda saya, mungkin tidak sampai sepuluh poin untuk mempertahankan pandangan ini.

Akan tetapi, penulis buku ini berjaya melampirkan sampai 28 poin hujah bersama analisis kalam Ibn Taymiyyah tentang sambutan maulid untuk menjustifikasikan keharusan maulidurrasul dan menolak pandangan yang menyatakan sambutan ini bidaah!

Sememangnya pembacaan buku ini amat memuaskan para pembaca bagi yang mendambakan kedalaman perincian kupasan dan perbahasan dalil.

Cuma, mungkin yang agak rasa kurang adalah penulis tidak menyentuh banyak tentang pihak yang menentangnya. Namun, saya merasakan penulis tidak membawakannya kerana mungkin bertujuan untuk meringkaskannya supaya jadi berbentuk risalah, bukan buku kajian atau memuatkan jawapan kepada pihak yang menentangnya secara tidak langsung dalam poin penghujahan keharusannya.

Kemudian, para pembaca disarankan berhati-hati ketika membaca di bahagian pengenalan yang menceritakan beberapa peristiwa tentang kelahiran Rasulullah SAW yang ada sebahagiannya tidak sabit.

Saya berharap sambutan maulidurrasul kali ini bukan sahaja diyakini adanya penghujahan kukuh dalam keharusan sambutan ini dan bebas dari polemik yang tidak bermanfaat, tetapi menghidupkannya dengan penyampaian dan perkongsian riwayat yang murni serta terbebas daripada unsur-unsur yang tidak sabit.

Tentang penapisan riwayat yang palsu yang berkaitan dengan maulid Nabi صلى الله عليه وسلم, saya mencadangkan pula pembacaan kitab Iršhād aṭ-Ṭōlib an-Najīb Ilā Mā Min al-Mawlid an-Nabawiyy Min al-Akāḏzīb karya al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy, tokoh ilmuwan sufi berketurunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم.

Antara hadis yang dihukum palsu oleh al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy adalah hadis riwayat Jābir tentang awal ciptaan alam adalah Nūr Muḥammad dan hadis: "Kalau bukan kerana engkau, tidaklah Aku menciptakan alam buana".

No comments:

Post a Comment