Hari
 ini yang penglipur lara diangkat dengan gelaran tokoh kenamaan agama 
yang besar seperti tuan guru dan lain-lain. Padahal, penglipur lara ini 
adalah golongan yang paling keras ditentang oleh tokoh-tokoh hadis.
Rasanya memang patut umat Islam baca kitab Taḥḏzīr al-Kẖowwāṣ Min Akāḏzīb al-Quṣṣōṣ karya al-Imām Jalāluddīn as-Suyūṭiyy. 
Bagi
 saya, sememangnya patut didedahkan golongan penglipur lara yang 
membawakan hadis batil dan pendapat yang merepek dalam agam. Apabila 
karya ini diperkenalkan, diharapkan masyarakat lebih peka dan teliti 
untuk membezakan penglipur lara atau tokoh agama yang tulen.
Saya
 tidak tahu kalau buku ini sudah ada terjemahannya dalam Indonesia. 
Kalau tidak ada, kalau berkesempatan, saya akan terjemahkan kitab ini 
dalam bahasa Melayu.
Al-Imām as-Suyūṭiyy menjelaskan mengapa 
beliau menulis karya ini.  Diringkaskan cerita, beliau pernah menegur 
seseorang menyampaikan hadis palsu di suatu majlis ilmunya. Al-Imām 
menyatakan hadis itu batil dan tidak ada asal padanya. Beliau juga 
menyuruh dia untuk memperbetulkan hadisnya melalui para syeikh hadis. 
Sudah
 tentu, penglipur lara itu bukan mahu menelan teguran al-Imām 
as-Suyūṭiyy. Malah, mengherdik dan membalasnya dengan nada yang sombong:
 "Orang macam aku ingin membetulkan hadis melalui para syeikh hadis? 
Orang macam aku dikatakan membawa hadis yang batil? Aku orang yang 
paling mengetahui dari kalangan penduduk bumi tentang hadis!". Penglipur
 lara ini terus memperdaya orang awam sehingga al-Imām dicela, diugut 
bunuh dan rejam.
Atas sebab inilah, beliau menulis kitab ini bagi mengingatkan orang seperti ini.
Serupa
 kan perangai bagaimana orang sekarang mempertahankan penglipur lara ini
 yang telah dibubuh dengan gelaran tokoh yang tertinggi? 
Bila 
tegur bahawa penglipur lara itu menyampaikan hadis yang salah dan palsu,
 pengikutnya membentak: "Takkan orang ini tidak tahu hadis? Takkan orang
 ini bodoh sangat sampai tak boleh beza hadis sahih dan hadis palsu?". 
Oleh
 sebab penglipur lara yang dibalut dengan aura ketokohan keagamaan yang 
disalut dengan gelaran ketinggian, orang ramai mudah terpedaya dan 
menempelak sesiapa sahaja yang menegurnya.
Kitab ini ada sepuluh 
fasal. Fasal pertama, beliau membawakan hadis-hadis yang mengancam orang
 yang berdusta terhadap Rasulullah SAW.
Fasal kedua membicarakan tentang pengharaman meriwayatkan hadis-hadis dusta yang dinisbahkan kepada baginda.
Fasal
 ketiga membicarakan bagaimana para sahabat dan tabiin begitu 
berhati-hati dalam memperbanyakkan periwayatan hadis kerana takut 
terlupa dan tergolongan dalam mereka yang diancam.
Fasal keempat 
membicarakan keperluan untuk seseorang merujuk hadis kepada pakar hadis 
supaya dia tidak meriwayatkan hadis yang tidak ada asal baginya.
Fasal
 kelima membicarakan bahawa orang yang meriwayatkan hadis batil berhak 
dipukul dengan cemeti, diingatkan bahaya mereka, dihalang, diboikot, 
boleh diumpat kerana Allah dan membawakannya kepada pemerintah untuk 
dihukum. Beliau membawakan riwayat keharusan untuk dihukum bunuh 
terhadap mereka yang menyampaikan hadis palsu!
Fasal keenam ini 
mungkin agak unik. Iaitu perkhabaran tentang tokoh ulama yang pernah 
bermimpi berjumpa Rasulullah SAW yang baginda mengingatkan orang ynag 
meriwayatkan hadis yang batil.
Dalam banyak cerita mimpi yang 
didakwa oleh penglipur lara, rasanya mimpi ini mungkin yang tidak diberi
 perhatian oleh mereka, bahkan mungkin yang ditakuti mereka.
Fasal
 ketujuh membicarakan tentang pengingkaran para ulama terhadap penglipur
 lara yang meriwayatkan hadis-hadis yang batil dan kebodohan orang awam 
yang mengikutinya. Fasal ini membawakan cerita-cerita tokoh hadis yang 
berdepan dengan penglipur lara dan orang ramai yang mengikutinya. 
Fasal
 ini bagus dibaca kerana kita boleh melihat bagaimana kepelbagaian 
perangai penglipur lara dan pengikutnya, kemudian buat refleksi pada 
zaman yang kita berada sekarang ini.
Fasal kelapan membicarakan 
tentang bagaimana ada orang jahat dalam kalangan umat Islam ini 
memalsukan hadis sampai mencecah berpuluh ribu hadis.
Fasal 
kesembilan dan kesepuluh adalah ringkasan beliau daripada kitab al-Ḥāfiẓ
 Zaynuddīn al-ʿIrōqiyy yang berjudul al-Bāʿiṯs ʿAlā al-Kẖolāṣ Min 
Ḥawādiṯs al-Quṣṣōṣ serta beberapa penambahan untuk kitab tersebut. 
Bahagian ini khas mengumpulkan celaan terhadap para penglipur lara.
Dengan
 ini, saya berharap semua penceramah seeloknya menelaah karya ini 
sebelum memulakan dakwah kepada orang ramai supaya mereka berhati-hati 
dalam penyampaian. Masyarakat juga perlu menelaah karya daripada al-Imām
 yang menjadi rujukan semua supaya mereka mula mencelikkan diri untuk 
membezakan penglipur lara dan tokoh agama yang sejati.

 
No comments:
Post a Comment