Tuesday, 6 April 2021

Az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh : Karya Tokoh Berketurunan Rasulullah SAW Dalam Membasmi Sufi Yang Batil

Kadangkala, Aswaja menyangka bahawa yang membentangkan kritikan terhadap sufi ini adalah mereka daripada tokoh-tokoh salafi. Sehinggakan jika ada pergolakan pendapat mengenai sufi, ia adalah seputar perseteruan antara aliran salafi dan sufi. "Setia dengan sufi atau berpihak kepada salafi". Itu sahaja sudut yang dalam perselisihan dalam hal ehwal kesufian.

Ini bukan perkara baharu. Hamza Yusof pun sudah mengingatkan hal ini di sini : https://www.youtube.com/watch?v=wxdaM4OpgDo

Apapun, di sini saya ingin memperkenalkan tokoh dari keturunan Rasulullah SAW yang sufi dari keluarga al-Ġhumāriyy yang memperhebat kritikannya terhadap sufi yang jahil lagi bejat, iaitu Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq. Karyanya yang paling menonjol dalam perjuangan beliau ini adalah yang berjudul az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh.

Sebenarnya keluarga al-Ġhumāriyy sememangnya telah membudayakan sikap kritis terhadap praktis kesufian, tetapi Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy dilihat yang paling lantang dan paling keras.

Untuk mengenali manhaj keluarga al-Ġhumāriyy, boleh rujuk penulisan saya yang lalu di sini :

(a) Keluarga al-Ġhumāriyy : Keturunan Rasulullah SAW Yang Menentang Ketaksuban, Taklid Buta Dan Sufi Yang Batil

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/keluarga-al-ghumariyy-keturunan.html

(b) Mengapa Saya Minat Mengkaji Manhaj Dan Pemikiran Keluarga Al-Ġhumāriyy?

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/mengapa-saya-minat-mengkaji-manhaj-dan.html 

(c) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah Al-Ġhumāriyy Menarik Balik Karyanya Al-Kanz Aṯs-Ṯsamīn Kerana Terdapat Hadis Dhaif Di Dalamnya

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-al-ghumariyy-menarik.html

(d) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy Pernah Menarik Balik Pandangannya

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html

(e) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy Pernah Dituduh Cenderung Pada Wahabi! 

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html

Penghasilan kitab ini ada latar belakang ceritanya, iaitu konflik beliau dengan abangnya, al-Ḥāfiẓ Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy dan zawiyah kelolaan abangnya. 

Beliau dahulu melazimi Zāwiyah atau pondok dalam bahasa kita yang dikelola oleh abangnya. Kerana kuatnya pengaruh terhadap sufi dalam dirinya, sampaikan beliau menghasilkan karya yang berjudul al-Intiṣōr Li Ṭorīq aṣ-Ṣūfiyyah al-Akẖyār yang membentangkan dalil-dalil dalam membela praktik sufi. Kalau sufi membaca karya ini, sememangnya boleh dikatakan karya kebanggaan untuk kaum sufi. 

Namun, dalam beberapa masa yang kemudian, beliau mula bertaubat dan menarik balik karya tersebut sehingga beliau berkata beliau bukan lagi ad-Darqōwiyyah, malah bukan lagi bermazhab Mālikiyy atau ašh-Šhāfiʿiyy! 

Malah, disebabkan kelantangannya dan kekerasan beliau dalam menyuarakan tentang hakikat sufi yang bejat ini, sebahagian sufi di kawasannya mengherdik, mencemuh dan memboikot beliau sepertimana yang beliau ceritakan sendiri dalam kitab ini. Disebabkan perubahan pandangan beliau ini, sampaikan ada dakwaan yang beliau ini wahabi!

Penghasilan karya ini sebagai membetulkan semula pandangannya yang lama pada kitab al-Intiṣōr dan mula mengkritik praktik sufi yang jahil yang melakukan bidaah dan kemungkaran. Kalau kita membaca karya beliau yang merupakan pandangan baru beliau ini, ternyata sememangnya ada perubahan pandangan beliau.

Beliau tidak menafikan kepentingan tasawwuf sama seperti ilmu fiqh, tetapi beliau memfokuskan penentangan terhadap sufi yang jahil. 

Walaupun karya ini berlatarbelakangkan konflik dengan abangnya dan sememangnya ada cerita teguran beliau terhadap abangnya dan terhadap az-Zāwiyyah aṣ-Ṣiddīqiyyah yang dikelola abangnya serta ada juga menyinggung ayahnya sendiri, tetapi karya beliau ini juga menyinggung sufi yang jahil secara umum tanpa mengira zawiyah, madrasah dan tarekat, khususnya yang sezaman dan setempat dengan beliau.

Saya sememangnya menegaskan agar para sufi membaca karya ini untuk tiga sebab. 

Pertama, jika sufi merasa keberatan untuk mendengar kritikan daripada salafi, apa salahnya jika mereka melihat sendiri kritikan daripada sufi yang berketurunan Rasululah SAW? Dengan dunia kesufian pada zaman kontemporari ini yang mana golongan al-Ḥabīb memiliki pengaruh yang besar dan dalam masa yang sama, timbul isu-isu kontroversi yang berkaitan dengan golongan al-Ḥabīb ini, bagi mendapatkan pendirian yang jelas untuk berinteraksi dengan hal ini, mengapa tidak kita meneliti dan melihat sudut pandang dari keturunan Rasulullah SAW yang sufi dari keluarga al-Ġhumāriyy?

Lihat bagaimana Syeikh Muḥammada az-Zamzamiyy menyinggung abangnya, malah ayahnya juga sebelum fasa peralihannya kepada sufi yang lurus menurutnya. Padahal, kesemua mereka adalah zuriat yang mengalirnya darah baginda. Itu tidak menghalang lontaran kritikan terhadap sesama keluarga. Masing-masing tidak bermain falasi Argumentum Ad Verecundiam (Appeal To Authority) dengan berkata: "Aku atau dia atau kami berketurunan Rasulullah" semata-mata untuk mengelak daripada dikritik dan keras kepala dengan ego. 

Jadi, janganlah semudah mengangap kritikan terhadap al-Ḥabīb secara khususnya dianggap membenci ahli bait. Apakah perjuangan Syeikh Muḥammada az-Zamzamiyy bukan ahli bait yang tidak boleh diteladani dan diambil inspirasi daripadanya? Dari sisinya, ahli bait pun perlu ditegur dan dikritik jika benar-benar salah. Tidak ada sesiapa pun yang maksum melainkan Rasulullah SAW. Mereka yang menanggung darah baginda pun wajib mengikuti hak-hak ilmu.

Kedua, supaya para sufi celik, menilai semula dan menginsafi diri untuk memerhati praktis sepanjang pengamalan dalam kesufian. Telusuri kembali sama ada praktis kesufian itu adalah benar-benar di atas sunnah dan hujah ilmiah atau memiliki pengaruh bidaah dan perkara-perkara yang mungkar. Saya tidaklah kata yang seharusnya kita menyetujui semua yang terkandung dalam karya ini. Namun, membaca kritikan terhadap sufi dari kaca mata ahli hadis yang sufi sekurang-kurangnya diharapkan mampu memberi input yang positif untuk menimbang semula kelurusan kita dalam manhaj kesufian atau membangkitkan dorongan untuk mula memerhatikan hujah berbanding ketaksuban terhadap tarekat, tok syeikh dan aliran tertentu.

Janganlah anggap penentangan bidaah dalam praktis kesufian ini hanya didominasi oleh wahabi. Sufi pun boleh mengambil peranan dalam menghidupkan pengamalan sunnah, berhujah dengan argumentasi ilmiah dan tegas dalam melawan bidaah yang sesat. Syeikh Muḥammada az-Zamzamiyy yang sufi pun menggalas peranan dalam menentang bidaah. Tentu lagi sufi lain yang memiliki kemantapan dalam ilmu hadis dan kelurusan manhaj ilmu agama boleh memainkan peranan mengikut bidang keahliannya dalam mengembangkan kemurniaan pemahaman agama dan memartabatkan kesucian pengamalannya.

Ketiga, janganlah kita melihat hanya salafi sahaja yang mengkritik sufi. Keluarga al-Ġhumāriyy adalah sufi yang berketurunan Rasulullah SAW, tetapi mereka tetap membawa pembaharuan kepada dunia kesufian dengan menepis riwayat-riwayat yang batil, membidas penafsiran teks-teks agama yang menyeleweng dan menentang praktik yang menyalahi sunnah serta menyeru kepada menjauhi ketaksuban mazhab dan taklid yang tercela.

Kadangkala hairan mengapa mesti menegur kepalsuan sesuatu hadis adalah daripada wahabi. Malah, seruan kepada pengamalan sunnah yang sahih dan meninggalkan taklid yang tercela juga dipandang sinis sebagai wahabi. Malah, menentang bidaah pun dianggap kerja-kerja wahabi yang memusuhi Aswaja. Kalau ia dilakukan oleh golongan Aswaja, ia mesti digelar sufi berbulu wahabi atau Aswaja berbaju wahabi. 

Sedangkan manhaj keluarga al-Ġhumāriyy merejam hadis-hadis palsu dan menentang ketaksuban serta ikutan yang menyalahi sunnah. Mereka tiada kaitan dengan wahabi pun. Mengapa mesti cari apa label yang boleh dicop kepada seseorang kerana berselisih pandangan, tetapi tidak mahu menggunakan akal dan bekalan ilmu yang ada di dada untuk menilai hujah?

Kita begitu muak sekali melihat sebahagian yang bodoh ini bermain falasi Argumentum Ad Verecundiam  dengan berkata: "Fulan berketurunan Rasulullah" semata-mata untuk tidak mahu mendengar hujah lawan, membenamkan nilai argumentasinya, menebalkan lagi keegoan, kesombongan, keingkaran dan kedegilan serta mengkultuskan segala-galanya yang ada pada mereka yang mengalirnya darah baginda.

Apakah itu yang mereka akan lakukan di hadapan Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy jika beliau masih hidup? Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy ini keturunan apa pula? Firaun? Abū Lahab? Atau penipu yang mendakwa mereka dari zuriat baginda?

Sudah-sudahlah dengan taksub dan sikap bodoh yang membekukan akal. Menujulah kepada hujah dan kecelikan akal.

Saya kongsi beberapa kritikan Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy yang terkandung dalam kitab ini.

Antaranya adalah bergantung kepada mimpi dan mendahulukan amalan dengannya melebihi al-Quran dan as-Sunnah. Ada sufi dari pemerhatian Syeikh yang menurutnya ia adalah syariat meskipun menyalahi al-Quran dan as-Sunnah. 

Syeikh menceritakan sebahagian mereka pernah bermimpi berjumpa Rasulullah SAW dalam mimpinya, lalu bertanya tentang hukum mencukur janggut. Lalu, sosok yang didakwa Rasulullah itu mengatakan ia tidak ada masalah. Lalu, dia pun memberitahu kepada orang ramai bahawa mencukur janggut itu adalah harus!

Menurut Syeikh, yang diiktiraf oleh ulama adalah sesiapa sahaja yang melihat sosok didakwa Rasulullah SAW dalam mimpi, lalu menyuruhnya kepada yang menyalahi syariat, maka perintah tersebut adalah batil.

Antaranya adalah mendiamkan kemungkaran syeikh kerana terlalu mengangkat tinggi dan mengkuduskan tok syeikh sehingga melebihi al-Quran dan as-Sunnah. Seakan-akan apabila seseorang yang ingin menyertai zawiyah, maka dia perlu menjadi pekak, buta dan bisu. Seolah-olah jika melihat syeikh melakukan kemungkaran, sang murid perlu intropeksi diri kerana situasi zawiyah perlu melihat kepada hakikat, bukan syariat. Jika menentang syeikh tersebut atau bertanya: "Mengapa?", kononnya sang murid itu akan berdepan dengan kegagalan.

Ini kerana para murid yang menyertai zawiyah menganggap syeikh tersebut adalah wali Allah yang melihat dengan nur-Nya. Setiap amalan tersebut kononnya adalah daripada limpah nur daripada-Nya, sedangkan ia adalah bidaah yang merosakkan dan melawan sunnah. Teruknya para murid yang taksub pada pemerhatian Syeikh sampai ada yang mengatakan: "Syeikh aku ini pernah berkumpul bersama Rasulullah, tetapi baginda tidak melarangnya!". Malah, ada yang sampai mengatakan: "Kalau syeikh aku masuk neraka, aku pun akan ikut sekali!".

Ketaksuban terhadap tok syeikh ini antara tema yang besar dalam karya beliau ini.

Antaranya adalah mengkritik cara sufi yang begitu keterlaluan dalam memandang kedudukan wirid yang mereka peroleh dari tarekat mereka. Pada pemerhatian beliau, ada sufi yang jahil ini mengistimewakan wirid tarekat mereka sehingga ia sampai kepada bidaah dalam tanggapan dan pengamalan mereka.

Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy mengkritik tarekat at-Tijāniyyah yang mendakwa bahawa selawat al-Fātiḥ lebih afdal daripada bacaan al-Quran. Malah, Syeikh juga mengkritik tarekat ini yang mendakwa bahawa nabi menghadiri majlis zikir mereka dan berzikir bersama mereka apabila mereka berzikir dengan wirid mereka. Panjang kritikan Syeikh terhadap tarekat ini dalam karya ini. Malah, beliau sendiri menghasilkan karya khas untuk membongkar kesesatan tarekat ini yang berjudul Iʿlām al-Muslimīn Bimā Fī Kalām at-Tijāniyy Min al-Kaḏiz aẓ-Ẓōhir Wa al-Kufr al-Mubīn.

Malah, kadangkala pengamalan wirid begitu melampau sehingga menetapkan bahawa sesiapa yang mengambil wirid daripada tok syeikhnya, maka dia perlu melakukan haji atau sampai menetapkan kewajipan membotakkan rambutnya untuk menyerupakan orang yang baru masuk Islam.

Begitu juga sampai meremehkan orang yang tidak mengambil wirid daripada mana-mana tarekat. Seolah-olah tanpa wirid, zikirnya seumpama pohon yang terpuruk di padang pasir yang tidak berbuah dan tidak memberi manfaat kepada manusia. Bahkan, menganggap seseorang itu tidak layak dipuji meskipun dari tokoh besar jika tiada wirid dari tarekat tertentu.

Syeikh sampai menyimpulkan bahawa wirid sufi ini semuanya bidaah yang tiada dalil. Sebesar-besar bidaah adalah wirid dari tarekat at-Tijāniyyah menurutnya.

Banyak lagi yang Syeikh menzahirkan keras penyanggahannya seperti pembahagiaan wali kepada Qutub, Awtad dan seumpamanya, isu wahdatul wujud, istighasah selain daripada Allah, tanggapan bahawa ilmu batin yang dinamakan ilmu hakikat lebih mulia daripada ilmu zahir, tafsir išhāriyy, zikir dengan lenggok suara tertentu, tarian zikir, binaan di kuburan, perayaan kubur dan pelbagai lagi yang lain.

Saya harap dengan pembacaan karya ini, para sufi mula mendorongkan diri untuk mencelikkan akal dalam menimbang dan muhasabah. Usah hanya melihat perspektif sufi sanggah wahabi dan wahabi lawan sufi. Tinggalkan ketaksuban dan cuba menilai semula sama ada praktis tersebut dengan dasar-dasar hujah yang kukuh atau tidak.

No comments:

Post a Comment