Thursday, 7 July 2022

Sebab Yang Mendorong Saya Membeli ʿAlāqoh ʿIlm Uṣūl al-Fiqh Bi ʿUlūm al-Luġhoh al-ʿArobiyyah Bayna at-Taʾtṣīr Wa at-Taʾaṯsṯsur Karya Dr. Jamīl ʿAbdul Muḥsin bin Ḥamd Kẖolf


Alhamdulillah. Sampai juga barangan yang dibeli dari laman web Mashreq tadi. Ni produk pertama dari antarabangsa yang saya bayar pakai debit card. Sebelum ini tidak pernah cuba. Selepas ini, akan cuba untuk website lain pula.

Buku ʿAlāqoh ʿIlm Uṣūl al-Fiqh Bi ʿUlūm al-Luġhoh al-ʿArobiyyah Bayna at-Taʾtṣīr Wa at-Taʾaṯsṯsur karya Dr. Jamīl ʿAbdul Muḥsin bin Ḥamd Kẖolf mempersembahkan perkaitan antara ilmu usul fiqh dengan ilmu bahasa Arab.

Antara punca yang mendesak saya untuk mencari buku ini adalah disebabkan ada sebahagian orang yang mempertikaikan mengapa menjadi seorang ustaz perlu menguasai bahasa Arab dan ada yang sampai menyindir Abu Jahal pun pandai bahasa Arab, mengapa sibuk sangat dengan bahasa Arab?

Orang yang cakap sebegini sememangnya jelas jahil dalam bahasa Arab, kemudian disebabkan kejahilannya, dia tidak nampak pengaruh besar ilmu bahasa Arab kepada ilmu alat dalam agama. Dia hanya beranggapan bahawa penguasaan bahasa Arab sekadar mahu nampak orang Arab atau mahu tonjolkan diri sebagai alim.

Ilmu usul fiqh ini boleh dikatakan ilmu undang-undang untuk memahami al-Quran dan hadis, cara menggali intipati makna daripadanya dan menggali kandungan yang terkandung dengannya dengan cara sistematik. Sesiapa yang tidak menguasai ilmu ini, memang tidak layak berbahas tentang polemik dalam agama dan dalil, apatah lagi ingin merasakan diri itu sebagai mujtahid.

Ilmu bahasa Arab ada memainkan peranan penting untuk pemahaman ilmu usul fiqh. Ia seperti wuduk untuk solat atau tapak kepada tiang. Tanpanya, ilmu usul fiqh tidak dapat difahami dan sukar untuk mendapat keteraturannya. Bahkan, al-Imam Taqiyuddin as-Subkiyy berkata :

فإن الإصوليين دققوا في فهم أشياء من كلام العرب لم يصل إليها النحاة ولا اللغويون

"Sesungguhnya ahli usul meneliti pada kefahaman sesuatu yang terdiri daripada kalam Arab yang tidak para ahli nahu dan bahasa sampai kepadanya". [Al-Ibhāj Fī Šharḥ al-Minhāj, 1/7].

Kalau ilmu bahasa tidak diketahui, bagaimana kita ingin memahami undang-undang dalam pentafsiran dan penggalian makna daripada teks al-Quran dan hadis secara teratur lagi berdisiplin? Orang yang jahil berlapis ini yang tidak tahu apa kepentingannya sememangnya akan meremehkan pembelajaran dan penguasaan ilmu ini serta orang yang jenis ini bercakap apa sahaja yang dia tidak tahu.

Buku ini memperlihatkan secara singkat untuk para pembaca melihat betapa besarnya pengaruh ilmu bahasa Arab pada ilmu usul fiqh. Bahkan, kita melihat bagaimana ilmu usul fiqh juga memberikan pengaruh kepada ilmu bahasa Arab.

Walaupun buku ini tidak tebal, tetapi ia padat dengan maklumat dan penjelasan penting untuk kita memahaminya.

No comments:

Post a Comment