Wednesday, 6 March 2024

Jangan Menisbahkan Sesuatu Kelompok, Tetapi Menampilkan Yang Lain Daripada Apa Yang Menjadi Pegangannya


Rasanya lebih baik mengaku tidak terikat dengan mazhab berbanding yang lain walaupun akan ada orang kecam. Kejujuran lebih patut ditampilkan berbanding bertopeng dengan rupa yang lain.
Perkara ini tidak perlu mengejutkan pun kerana jalanan ini adalah yang ditempuhi oleh al-Imām ašh-Šhawkāniyy dan al-Imām aṣ-Ṣonʿāniyy. Begitu juga ini menjadi jalanan keluarga ahli bait dari Ibn aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy.

Cuma, jangan menampilkan yang berbeza dari apa yang dicanangkan dan jenama yang dipromosikan. Inilah sikap yang dibenci.

Jangan kata bermazhab Ḥanbalī pada akidah dan fiqh, tapi yang ditampilkan adalah berbeza.

Kata berakidah Ḥanbalī, tetapi kitab utama dalam akidah seperti Nihāyah al-Mubtadʾīn, at-Tabṣiroh Fī Uṣūliddīn, al-Īḍōḥ Fī Uṣūliddīn dan lain-lain tidak pernah baca pun, bahkan tidak tahu sama sekali.

Kata fiqh bermazhab Ḥanbalī, tetapi kitab Zād al-Mustaqniʿ, Akẖṣor al-Mukẖtaṣorōt, Dalīl aṭ-Ṭōlib dan lain-lain tidak pernah mengaji pun. Bahkan, fiqh bercampur aduk yang langsung tidak menggambarkan bahawa dia iltizam dengan satu mazhab.

Ingatkan pakar dalam mazhab Ḥanbalī kerana kita pun mahu tadah kitab ini daripada mereka untuk belajar fiqh mazhab ini secara sistematik.

Rupa-rupanya yang dia belajar adalah dari kitab Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah, Muḥammad bin ʿAbdul Wahhāb dan salafi wahabi yang mutaakhirin. Sejak bila semua ini jadi muktamad untuk mazhab Ḥanbalī?

Yang lebih teruk lagi adalah mengaku Ash'arī yang mutaqaddim lagi muṯsbit, tetapi dalam sifat kalam, penafian jisim, isu al-Kasb dan praktikaliti ilmu kalam sekeras-kerasnya melawan Ashāʿirah dengan ejekan ahli kalam dan pengikut Aristotle.

Manhaj yang tidak ada jenama, tetapi sibuk mahu menumpang jenama orang lain.

Kalau pun ada ikhtiyarat pun, itu memang hampir semua ulama dalam mana-mana mazhab ada yang menyalahi muktamad, jumhur dan bahkan, kesemuanya.

Cuma, biarlah jangan sampai nampak indah khabar dari rupa sahaja dengan mengaku pakai jenama itu, tetapi terang-terangan melawan apa yang muktamad dan arus perdana mazhab itu sendiri yang paling teras sekali.

Cukup menyakitkan mata apabila membaca komentar atas nama tahqiq risalah Abū Naṣr as-Sijziyy dan Nihāyah al-Mubtadiʾīn yang cuba mengassertasi penolakannya terhadap ketetapan Ḥanābilah.

Bahkan, ada yang sampai cuba mendegradsikan perincian al-Qōḍī Abū Yaʿlā dalam menafikan sifat-sifat kekurangan dan mustahil bagi Allah dalam kitabnya Ibṭōl at-Taʾwīlāt.

Itu belum lagi usaha untuk membakulsampahkan kitab Iʿtiqōd al-Imām al-Munabbal karya Abū Faḍl at-Tamīmiyy kerana tidak dapat menerima ketetapan mazhab itu.

Inikah mazhab Ḥanbalī yang dicanangkan? Sangat menampakkan pengaku-pengaku ini banyak dakwa sendiri sahaja. Hakikatnya sembang sahaja.

---------------

Tentang akidah, mungkin ada yang ingin membangkitkan tentang al-Imām Ibn al-Jawziyy dan seolah-olah saya ada kecenderungan untuk membingkaikan gambaran akidah Ḥanbalī sejati adalah pada naratif Ibn al-Jawziyy.

Minta maaf ya. Akidah sebenar mazhab Ḥanbalī jauh lebih besar dari semata-mata untuk tumpu Ibn al-Jawziyy sahaja. Hanya orang yang kurang penerokaan sahaja yang hanya fokus Ibn al-Jawziyy semata-mata.

Sepertimana mazhab Ḥanbalī tidak hanya tersepit pada naratif Ibn Taymiyyah, Ibn Qoyyim al-Jawziyyah dan salafi terkebelakangan, seperti itu mazhab Ḥanbalī tidak hanya pada naratif Ibn al-Jawziyy semata-mata.

Konsep Majlis Riwayat Dan Ijazah


Ketikamana saya ingin menjalankan majlis riwayat dan ijazah, saya seringkali perlu menjelaskan tentang orientasi majlis ini, lebih-lebih lagi jika ada peserta baru atau peserta yang kurang biasa dengannya memandangkan ini adalah majlis yang agak langka dalam kalangan asatizah, agamawan dan penuntut ilmu agama sendiri. Tidak menghairankan kalau ramai yang tidak tahu tentangnya.

Saya perlu menjelaskannya supaya mereka tahu perjalanannya, formatnya, sasarannya dan nilai yang boleh dicapai dalam majlis ini. Adakalanya, ketidakfahaman ini menyebabkan mereka tidak dapat memanfaatkan majlis ini, bahkan ada yang memberikan respons yang negatif terhadap majlis ini.

Adakalanya, saya merasa letih dan jemu untuk mengulangi penjelasan tentang majlis ini. Oleh itu, saya cuba menghasilkan penulisan yang mudah-mudahan senang untuk difahami bagi memahami intipati bagi majlis riwayat dan ijazah.

Saya berharap saya tidak perlu mengulangi lagi penjelasan saya. Cukup dengan mempamerkan penulisan ini untuk dibaca dan difahami.

Pengenalan

Majlis riwayat dan ijazah adalah majlis perlaksanaan tradisi bagi penyerahan silsilah pewarisan riwayat dari syeikh ijazah yang memperakukan dan memperkenankan penyerahannya untuk dihubungkan kepada seseorang yang lain untuk mendapatkannya dalam rantaian silsilah sanad.

Oleh itu, ada beberapa istilah yang penting untuk diambil tahu supaya dapat memahami intipati majlis ini, objektifnya dan tatacaranya. Bagi yang pertama kali atau tidak biasa dengan majlis ini, istilah ini amat wajar untuk mengetahuinya.

Yang pertama adalah sanad. Ia adalah jalur penghubung antara seseorang dengan seseorang yang lain yang menghubungkan pertalian kepada suatu riwayat. Selalunya ia berupa warisan dari generasi ke generasi yang seterusnya.

Contohnya adalah saya memperoleh jalur penghubung pertalian kepada kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah melalui ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr dan beliau pula melalui gurunya. Gurunya pula kepada gurunya sehingga kepada empunya kitab ini, al-Imām an-Nawawiyy.

Yang kedua adalah ijazah. Ia adalah perakuan dan perkenan seorang syeikh ijazah untuk menghubungkan nama orang yang meminta atau orang yang berminat atau orang yang dia berkenan dalam hubungan rantaian silsilah sanad.

Contohnya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr memperkenakan saya dan peserta yang lain untuk dihubungkan nama saya dengan ašh-Šhaykẖ dalam hubungan rantaian silsilah sanad kepada riwayat kitab al-Imām an-Nawawiyy. Dengan itu, saya mendapat ijazah sanad daripada beliau.

Yang ketiga adalah syeikh ijazah. Syeikh ijazah adalah orang yang memiliki penyambungan sanad dari syeikh ijazahnya yang lain. Syeikh ijazah berhak untuk memberi perkenan kepada orang lain dengan syarat yang dia kehendaki.

Contohnya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr adalah syeikh ijazah saya dan saya pula akan menjadi syeikh ijazah kepada mereka yang hadir dalam majlis yang saya adakan bagi memperoleh ijazah sanad.

Yang kempat adalah silsilah. Sepertimana seseorang ada silsilah keluarga yang menghubungkannya kepada seseorang seperti silsilah raja yang sekarang menghubungkan pertaliannya kepada raja pertama bagi negara itu, seperti itu juga silsilah yang ada bagi periwayatan ini.

Silsilah ini bukan atas dasar kekeluargaan, tetapi atas dasar perkenan antara syeikh ijazah dengan seseorang yang lain untuk dihubungkan dalam rantaian silsilah sanad untuk pertalian suatu riwayat secara zaman berzaman. Boleh juga untuk dipanggil dengan silsilah keluargaan, tetapi kekeluargaan secara artifisial atau kekeluargaan periwayatan.

Contohnya adalah hubungan saya dengan ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr bukanlah atas dasar kekeluargaan, tetapi nama saya dihubungkan dengan beliau kerana perkenan beliau untuk dihubungkan dalam rantaian silsilah sanad bagi kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah.

Jika ingin disebut sebagai keluarga pun, maka ia keluarga periwayatan bagi kitab itu. Maka, saya dan beliau serta sebegitu juga gurunya dan seterusnya adalah ahli keluarga saya dalam periwayatan untuk kitab itu.

Yang kelima adalah riwayat. Ia adalah subjek yang menjadi pertalian bagi sanad sama ada ia berupa kitab secara spesifik atau hadis musalsal atau mana-mana riwayat yang lain.

Contohnya adalah riwayat kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah. Ini adalah subjek pertalian bagi membentuk rantaian silsilah kekeluargaan secara artifisial secara zaman berzaman dari syeikh ijazah sehingga kepada al-Imām an-Nawawiyy.

Setelah faham istilah ini, baca semula definisi bagi majlis ini agar faham apa yang ingin menjadi intipati bagi majlis ini.

Tujuan

Tujuan majlis ini adalah supaya seseorang meneruskan legasi bagi yang mengijazahkannya dan mendapat warisan riwayat sama ada kitab atau mana-mana riwayat secara umum bagi mereka yang berkenan yang mana ia dilakukan oleh para masyayikh kita dan para pendahulu kita sejak zaman berzaman bagi tujuan keberkatan melalui perhubungan nama dalam rantaian silsilah sanad dan mengekalkan keistimewaan umat Islam pada aspek pewarisan yang nyata lagi berterusan.

Dengan kata lain, ia seolah-olah pembentukan rantaian silsilah kekeluargaan zaman berzaman melalui hubungan yang tersambung kepada suatu riwayat.

Contohnya adalah warisan kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah. Saya memperoleh penyambungan rantaian silsilah sanad ini melalui beberapa masyayikh saya yang mengijazahkan kepada saya.

Antaranya adalah ašh-Šhaykẖ Qōsim bin Ibrōhīm al-Baḥr melalui suatu majlis bersamanya dalam talian, lalu saya diperkenankan oleh beliau untuk dihubungkan nama saya dengan nama ašh-Šhaykẖ dalam rantaian silsilah sanad.

Beliau pula mendapat ijazah sanad daripada gurunya melalui proses yang sama. Gurunya pula mendapat daripada gurunya yang sebelumnya melalui proses yang sama. Semua ini berlangsung sehinggalah kepada murid kepada al-Imām an-Nawawiyy mendapat ijazah daripada beliau sendiri, empunya kepada judul kitab ini.

Hubungan saya dengan beliau dan sebegitu juga beliau dengan guru-gurunya akan menghasilkan rantaian silsilah sanad seperti rantaian silsilah keluarga.

Saya juga ada menjelaskan sebab saya ingin menjayakan majlis ini di : https://marzukamartillo.blogspot.com/2024/03/sebab-saya-ingin-menjayakan-majlis.html

Tatacara

Terdapat beberapa tatacara dalam perlaksanaan tradisi ini sebelum penyerahan silsilah serta perakuan dari syeikh ijazah kepada mereka yang dia berkenan untuk dihubungkan namanya dalam rantaian sanad.

Antaranya adalah pembacaan kandungan kitab secara menyeluruh seperti jika seseorang ingin mendapatkan ijazah sanad bagi kitab al-Arbaʿīn an-Nawawiyyah, dia perlu melalui majlis dengar dari bacaan orang lain kepada syeikh ijazah atau dipanggil dengan majlis samāʿ atau dia sendiri membaca di hadapan syeikh ijazah bagi mendapatkan ijazah sanad itu atau ia dipanggil dengan majlis qirōʾah.

Tentang majlis ini, saya pernah memberikan pendedahannya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2024/03/reaksi-mereka-yang-tidak-pernah-hadis.html

Majlis tidak semestinya besar-besaran. Jika hanya ada dua orang sahaja, iaitu syeikh ijazah dan orang yang meminta sahaja, maka ini pun sudah memadai.

Selalunya, majlis seperti ini adakalanya tidak ada apa-apa ulasan atau syarahan langsung. Hanya dibaca sahaja dari awal hingga habis atau sebanyak mana yang mampu yang cukup untuk masa.

Jika ada pun, ia terserah kepada mereka yang ada autoriti untuk majlis itu. Jika ada ulasan atau syarahan pun, ia tidak akan panjang sepertimana kelas atau kuliah kerana hanya memfokuskan pengkhataman dan meraih keberkatan atas pembacaan sahaja.

Antaranya adalah tidak membaca secara spesifik, tetapi membahaskan kandungan yang ada dalam buku itu, lalu diijazahkan kepada hadirin. Ini seperti yang dilakukan oleh ašh-Šhaykẖ ʿAliyy Jumʿah yang membahaskan kandungan Iḥyāʾ ʿUlūmiddīn karya al-Imām al-Ġhozzāliyy tanpa membacanya secara penuh dan sekadar membahaskan kandungan atau pengisian yang ada dalam kitab tersebut. Lalu, di akhir majlis, beliau mengijazahkan semua yang hadir dengan kesemua kitab al-Imām al-Ġhozzāliyy.

Antaranya adalah dengan cara pengajian berkitab seperti seseorang mempelajari kitab al-Waroqōt karya Imām al-Ḥaromayn sehingga khatam, lalu guru mengijazahkan sanad kitab itu kepada muridnya.

Apapun, perolehan pengijazahan pula bergantung kepada syarat yang ditetapkan syeikh ijazah. Adakalanya, dia mensyaratkan pembacaan kesemua kandungannya. Adakalanya, dia sekadar mensyaratkan pembacaan sebahagian daripadanya.

Adakalanya, tidak perlu dibacakan langsung dan cukup untuk meminta kepadanya, lalu dia akan terus memberinya. Adakalanya, dia mensyaratkan kehadiran penuh atau kehadiran pada kebanyakannya pada majlis yang dia mengadakannya. Pelbagai lagi syarat yang boleh dia tetapkan.

Dengan kata lain, semua syarat perolehan ini tergantung kepada syeikh itu sendiri.

Majlis Bersama Saya

Untuk setakat ini, majlis ini bersama saya, ada dua wahana utama saya menjalankannya.

Yang pertama adalah di server Discord "Sembang Akidah Dan Politik" di : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Selalunya, saya akan membuat majlis ini pada 5-10 minit sebelum sesi perbincangan pada setiap Sabtu jam 10 malam.

Untuk mendapatkan info dan pengumuman tentang majlis ini, boleh lihat saluran telegram di : https://t.me/+IOKXKrbKuVE4MjA1

Yang kedua adalah melalui kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab. Sebarang maklumat dan penerangan tentang kelas boleh didapatkan di : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Mereka yang mengikuti kelas ini bersama saya dan menghabiskannya dengan jayanya, iaitu mampu menjadi pembaca independen akan mendapat ijazah sanad lebih 400 kitab para ulama.

Saya menerima jemputan untuk mengadakannya di wahana yang berbeza. Dipersilakan untuk berbincang bersama saya.

Cuma, saya ingin mengingatkan bahawa apa yang menjadi eksklusif seperti yang eksklusif untuk pelajar kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab saya sama sekali tidak akan diberikan kepada orang luar secara mudah demi memberi keadilan kepada peserta dan jika saya ingin memperkenankannya, ia perlu melalui proses yang agak teknikal.

Reaksi Mereka Yang Tidak Pernah Hadis Majlis Samāʿ Atau Qirōʾah Atau Tidak Biasa Dengannya Apabila Mereka Hadir


Orang yang tidak pernah hadir atau tidak pernah dengar langsung tentang majlis Samāʿ atau Qirōʾah, mesti akan beri reaksi: "Majlis apa ini yang baca kitab ulama dengan laju-laju macam mesingan? Mana syarahnya? Mana penjelasannya? Mana komentarnya?".

Apabila saya menghadiri majlis Samāʿ untuk kitab Mukẖtaṣor al-Buwayṭiyy yang dipimpin oleh ustaz Syed Shahridzan, beliau berulang kali mengingatkan bahawa majlis beliau adalah bukan majlis talaqqi supaya orang tidak salah faham orientasi majlisnya.

Perkara sama yang diungkapkan oleh Syeikh Nazrul Nasir ketika menceritakan respons negatif dari seseorang yang hadir majlis Qirōʾah untuk Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy yang dibaca dengan pantas.

Sebenarnya, majlis bacaan secara laju untuk pengijazahan sanad adalah perkara tradisi yang zaman berzaman yang telah melata pengamalannya bagi yang telah lama bergelumang dengannya.

Antara rekod yang paling laju adalah al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy yang membaca Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy di hadapan Abū ʿAbdul Roḥmān al-Ḥīriyy sebanyak tiga majlis.

Dua majlis yang pertama adalah dibuat pada waktu Maghrib hingga Subuh. Majlis yang terakhir adalah pada waktu Dhuha sehingga Maghrib, kemudian berakhir dari Maghrib sehingga terbit fajar esoknya**.

Kepantasan ini sehingga dikomentari oleh al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang berkata :

وهذا شيء لا أعلم أحدًا فِي زماننا يستطيعه

"Ini adalah sesuatu yang aku tidak tahu seseorang pada zaman kita yang berkemampuan untuknya". [Tārīkẖ al-Islām].

Benar. Kalau dibuat majlis yang berdurasi sejam untuk Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy setiap hari, ia mungkin mengambil masa 60 jam - 70 jam untuk pembacaan yang paling laju dalam kalangan Qōriʾ yang ada pada hari ini.

Kalau buat tanpa henti, itu adalah tiga hari berturut-turut tanpa rehat, tidur, makan dan solat!

Bayangkan al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy hanya menghabiskan kira-kira 40 jam sahaja jika mengikut kiraan waktu Maghrib dan Isyak sehingga Subuh di Malaysia! Itu pun sudah tentu ada selang waktu solat, rehat dan lain-lain.

Ini memang pecah rekod dunia. Entah bagaimana mulut al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy ketika membaca Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy. Mungkin lebih laju daripada gandaan dua kali ganda yang ada di pilihan Youtube dalam set kelajuan video!

Apapun, tidak perlu mengejutkan jika terserempak majlis sebegini. Ia adalah biasa di negara Arab dan juga sepanjang zaman dalam tradisi pengijazahan sanad. Ini kerana ada sebahagian sanad tidak hanya diperoleh dengan pengajian sahaja. Ia boleh dengan majlis sebegini.

Oleh itu, jangan sebab tidak biasa atau tidak pernah dengar terus diingkari. Seseorang menganggap bodoh perbuatan membaca laju-laju seumpama mesingan yang entah difahami atau tidak hakikatnya ignoran tentang tradisi ini dan kelebihannya.

Majlis ini pun ada kelebihannya tersendiri. Antaranya adalah :

-Memperkenalkan kandungan isi bagi yang belum pernah membacanya. Cuma, selalunya ia tidak dapat dimanfaatkan jika tidak mahir bahasa Arab kerana selalunya majlis ini adalah untuk kitab bahasa Arab.

Bagi yang tidak pernah baca kitab, pasti mereka akan mendapat manfaat pada pengisian kandungannya walaupun tidak sebanyak dengan pembacaan secara tekun. Dapat idea tentangnya sudah memadai.

-Bagi yang pernah mempelajarinya, ia adalah sebagai ulangkaji dan mengingatkan apa yang terlupa. Ini pun sama bagi kemahiran bahasa Arab.

-Bagi yang malas membaca, mereka sudah dibantu untuk dibacakan untuk mereka atau mereka baca sama-sama dengan lihat teks.

-Bagi mereka yang sudah berkemahiran, mereka sebenarnya lebih mengutamakan perolehan sanad kerana mereka sudah tahu kemahiran kitab.

Ambil contoh Matn al-Ājurrūmiyyah. Bagi yang sudah menguasai bahasa Arab, tetapi tidak pernah melalui pembelajaran kitab ini, maka untuk dia memperoleh sanad, tidak perlu bagi mereka mengulang pengajian. Cukup mereka mendapatkan sanad secara dengar atau pembacaan teks sahaja.

Ia berbeza dengan mereka yang baru atau belum ada kemahiran. Mereka dalam kelompok ini tidak ada manfaat perolehan sanad melainkan setelah melalui proses pengajian. Mereka ini lebih baik mendalami dan menghalusi kandungan yang ada di dalamnya barulah perolehan sanad itu bermakna untuk mereka.

-Yang lebih penting adalah menjimatkan masa untuk mendapatkan sanad. Mahu dapat sanad Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy dengan majlis pengajian? Berapa lama?

Kalau buat mingguan sekali sahaja, jangan mimpilah untuk dapat dengan setahun sahaja. Lagi-lagi kalau jenis malas mengaji dan sukar untuk istiqamah.

Justeru, acara sebeginilah yang memudahkan jalan walaupun sememangnya tanpa dinafikan bahawa jalan pengajian adalah jauh lebih baik daripada segala-galanya dari bagai-bagai ijazah.

**Tārikẖ Baġdād :

ولما ورد بغداد كان قد اصطحب معه كتبه عازما على المجاورة بمكة وكانت وقر بعير وفي جملتها " صحيح البخاري "، وكان سمعه من أبي الهيثم الكشميهني عن الفربري فلم يقض لقافلة الحجيج النفوذ في تلك السنة لفساد الطريق ورجع الناس فعاد إسماعيل معهم إلى نيسابور، ولما كان قبل خروجه بأيام خاطبته في قراءة كتاب " الصحيح " فأجابني إلى ذلك فقرأت جميعه عليه في ثلاثة مجالس، اثنان منها في ليلتين كنت أبتدأ بالقراءة وقت صلاة المغرب وأقطعها عند صلاة الفجر، وقبل أن أقرأ المجلس الثالث عبر الشيخ إلى الجانب الشرقي مع القافلة ونزل الجزيرة بسوق يحيى، فمضيت إليه مع طائفة من أصحابنا كانوا حضروا قراءتي عليه في الليلتين الماضيتين، وقرأت عليه في الجزيرة من ضحوة النهار إلى المغرب ثم من المغرب إلى وقت طلوع الفجر ففرغت من الكتاب، ورحل الشيخ في صبيحة تلك الليلة مع القافلة

Contoh Majlis Samāʿ Atau Qirōʾah


Bagi yang tidak pernah tahu tentang majlis samāʿ dan qirōʾah atau belum terbiasa dengannya, beginilah majlisnya.

Ia sekadar hanya membaca sahaja tanpa ada syarahan atau kupasan atau komentar melainkan jika dimahukan oleh pihak yang berkenaan. Jika ada komentar atau kupasan pun, selalunya tidak panjang kerana yang lebih penting adalah cepat untuk menghabiskannya.

Bahkan, ia dibaca dengan laju yang adakalanya peserta sukar untuk mengikutinya dengan mudah.
Sama ada peserta faham atau tidak faham, itu tidak penting. Yang penting adalah mengambil berkat dengan mendengar pembacaan dan peroleh ijazah sanad.

Sebab Saya Ingin Menjayakan Majlis Riwayat Dan Ijazah Di Server Discord Sembang Akidah Dan Politik



Sepatutnya slot setiap Sabtu jam 10 pm adalah milik Shirohige Sama untuk dia mengepalai sesi perbincangan akidah tergempar mingguan yang diadakan di sini : https://discord.gg/eVE8pVBP8e

Cuma, kenapa saya bertekad untuk ambil masanya walaupun 10 minit awal untuk menjayakan majlis riwayat dan ijazah?

Yang pertama adalah inilah acara kemuncak bagi server Sembang Politik dan Akidah yang mana atas tujuan inilah server ini dibangunkan.
 
Pada masa keramaian ini untuk mengimarahkan sesi dan bertandang untuk belajar, berdiskusi dan mengutarakan pandangan, inilah satu-satunya masa yang dapat saya ambil kesempatan untuk merealisasikan majlis ini.

Yang kedua -dan ini poin yang paling penting sekali- adalah melestarikan majlis riwayat dan mempertahankannya dari punah inilah pesan Kiyai Ahmad Marwazie dalam cuplikan video ini, artikel yang merakamkan temu bualnya dan ucap tamanya ketika hadir ke Malaysia.
 
Jika ini menjadi perkara ulangan dari semasa ke semasa, semestinya inilah visi yang dibawa oleh Kiyai Ahmad Marwazie dan antara teras utama dalam penceburan lapangan pendidikan.

Majlis riwayat dan ijazah atau program atau tradisi yang berkenaan dengannya dilihat sangat jarang di Malaysia. Tanyalah mana-mana asatizah pun, mereka akan akui perkara ini dan mereka sendiri akan menegaskan bahawa majlis seperti ini penting lagi wajar dihidupkan.

Kebiasaan sekali kita mendengar keluhan bahawa kegiatan ini jarang dijayakan di Malaysia, para penuntut sangat sukar untuk memperolehnya dan mereka yang ada kepedulian dengannya seringkali terlepas peluang berharga ini. Namun, setelah bertahun-tahun keluhan, apa tindakan kita dalam memperkasakannya?

Kita boleh lihat masalah pudarnya tradisi ini pada pelajar bahasa Arab yang begitu sukar sekali untuk mendapatkan sanad kitab Matn al-Ājurrūmiyyah, padahal kitab ini adalah kitab pilihan untuk mempelajari atau mengajar bahasa Arab dan kelas pengajiannya tersebar di serata dunia.
 
Sepatutnya adalah semakin popular kitab, semakin mudah untuk memperoleh sanad. Namun, kenapa yang terjadi adalah sebaliknya?
 
Seolah-olah kita sedang menyaksikan apa yang ašh-Šhaykẖ al-ʿAllāmah Musnid ad-Dunyā Muḥammad Yāsīn al-Fādāniyy menyaksikannya di Indonesia pada masanya pada kegiatan periwayatan.
Guru-guru berkaliber kita sangat ramai, tetapi periwayatan dari guru-guru kita sangat lesu dalam menitikberatkannya dalam mewariskan legasinya melalui ketersambungan silsilah ilmu, kerohanian dan keberkatan.

Mengenang apa yang diusahakan oleh ašh-Šhaykẖ Muḥammad Yāsīn al-Fādāniyy, saya pun fikir bahawa saya juga perlu mengambil langkah dalam merealisasikan apa yang menjadi visi ašh-Šhaykẖ Musnid ad-Dunyā meskipun saya bukanlah ahlinya dan kerdil usaha saya untuk memperkasakannya.
Antara usaha saya dalam memperkasakannya adalah melalui kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab yang saya jayakan dan saya berharap peserta yang mengikut kelas saya. Ini saya sudah cerita panjang lebar di halaman Facebook saya di Kelas Kemahiran Pembacaan Bahasa Arab - Ridzwan.

Cuma, saya terfikir bahawa jika ia sekadar terhad untuk kelas saya sahaja, orang lain di luar tidak berpeluang untuk mendapatkannya. Sememangnya tidak patut jika seseorang itu ingin majlis ini menyegar di pelusuk ceruk tanah air kita ini, tetapi hanya tertutup untuk orang tertentu sahaja yang mampu mendapatkannya.

Oleh itu, saya menceburkan diri untuk menghidupkan majlis ini bermula dengan rakan-rakan saya yang berada di Discord. Saya berharap rakan-rakan saya dari kalangan wibu, gamer atau bukan dari kalangan agamawan juga berpeluang mendapat sama apa yang asatizah di Malaysia sendiri yang jarang mendapatkannya.

Sekurang-kurangnya rakan-rakan yang hadir bukan sahaja dapat mempelajari, memahami dan mendalami perkara yang berkaitan dengan akidah dan agama, mereka juga memperoleh ijazah sanad kepada pengarang sebagai penghargaan daripada saya atas komitmen mereka untuk hadir bertandang dalam menuntut ilmu, mengongsikan idea yang bernas, menyertai dalam perbincangan dan memeriahkan sesi.

Saya bukanlah sesiapa pun dari kalangan yang terbaik. Kerja ini sepatutnya digalas oleh musnid atau asatizah yang berketerampilan.
 
Namun, rakan-rakan saya ini kebiasaannya disisihkan dan sukar mendapat tempat dalam kalangan agamawan. Saya tidak gemar membiarkan mereka terlepas kebaikan yang mahal ini hanya kerana mereka ini wibu, gamer atau bukan orang agama.
 
Mereka juga berhak untuk mendapatkan bahagian kebaikan dalam agama dan mereka sepatutnya dihargai kerana sudi dan berusaha untuk mengisi masa mereka untuk berkumpul demi sesi keagamaan dan kerohanian.
 
Kalau saya tidak mendekati dan menyediakan ruang untuk mereka mendapat riwayat dan ijazah yang merupakan suatu yang langka dalam kalangan asatizah sendiri, siapa lagi?

Saya mengucapkan terima kasih kepada Zeddy Tate yang menyediakan ruang untuk saya menjayakan kegiatan ini dan saya juga berterima kasih kepada Shirohige Sama yang sudi memberikan laluan beberapa minit dari sesinya untuk saya memimpin majlis yang jarang dapat ditemukan di Malaysia.
Walau apapun, majlis riwayat dan ijazah tidak terhad pada 5-10 minit sebelum sesi perbincangan akidah tergempar. Jika ada waktu lain yang bersesuaian, saya boleh melakukannya pada hari yang lain. Sekali lagi, 5-10 minit sebelum sesi adalah sekadar untuk memanfaatkan kesempatan ketika ramai dan buat masa sekarang, itu sahaja masa yang saya dapat peruntukkan untuk meneruskan majlis ini.

------------------------------

Pun begitu, sebahagian ijazah sanad dan kitab adalah eksklusif untuk peserta kelas kemahiran pembacaan bahasa Arab saya demi menjaga keadilan peserta yang tidak merasa rugi bahawa orang lain di luar pun mendapat sama seperti peluang lain.

Sesiapa yang ingin mendapatkan ijazah sanad eksklusif yang tidak diberikan ke luar melainkan dengan cara yang sangat teknikal, boleh hubungi saya di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Tuesday, 13 February 2024

Kelebihan Belajar Dengan Asatizah Yang Tidak Ramai Murid

Kelebihan belajar bersama guru yang tidak ramai murid atau pengikut adalah apabila kita ingin berbincang atau bertanya, kita boleh ambil masa kita lebih lama tanpa perlu risau untuk berebut dengan orang lain atau rasa risau orang lain menyampah dengan kita kerana kita terlalu lama berinteraksi dengan guru.

Tetapi, kekurangannya adalah kalau dimarahi, kita sahaja yang kena marah. Berlainan kalau ramai. Bolehlah untuk tegur yang hadir secara umum tanpa sebut nama-nama sesiapa. Cuma, siapa yang makan cili, dialah yang terasa pedasnya.

Kalau seorang atau beberapa orang sebegini di kelas yang sedikit hadirinnya, masing-masing tahu siapa yang guru itu marah walaupun ditegur secara umum. Tambah lagi kalau kelas seorang sahaja pelajar yang hadir. Memang mahu lari ke mana lagi?

Apapun, saya tetap suka beri perhatian kepada mereka yang kurang popular dengan salah satu faktor yang telah disebutkan tadi.

Faktor yang kedua adalah adakalanya, kita selalu beri tumpuan kepada asatizah yang popular yang sudah ramai murid, pengikut dan teman sekelilingnya sehingga mereka itu mendapat lebih dari apa yang secukupnya.

Sedangkan, asatizah yang kurang popular ini seringkali disisihkan, tidak diambil peduli dan dipandang enteng. Selalunya asatizah yang kurang popular ini ada tanggapan: "Siapalah dia ini yang perlu kita menyibukkan diri dengannya?"

Padahal, adakalanya asatizah yang kurang popular ini jauh lebih berketerampilan berbanding yang popular. Kalau bukan dari segenap sudut, salah satu aspeknya sudah lebih menyerlah berbanding yang popular. Cuma, orang kita tidak mahu ambil tahu dan ambil peduli sebab sudah dibayangi dengan asatizah yang popular.

Saya adakalanya kasihan yang sebahagian asatizah yang kurang popular ini yang terpaksa membatalkan pengajian kerana kurang pendaftaran atau menamatkan kelas walaupun tidak habis silibus pembelajaran kerana kurang kehadiran yang sepatutnya.

Padahal, ilmunya, penguasaannya dan pengajaranya sebahagian aspeknya lebih banyak membantu untuk perjalanan pembelajaran kita dan mencambahkan lagi benih-benih kefahaman yang berbuah.

Lebih menyedihkan lagi, mereka ini adakalanya hidup dengan cukup-cukup makan dan kesempitan kerana tiada orang menghiraukannya dan memberi khidmat kepadanya.

Berbeza dengan asatizah popular kalau rumahnya ditimpa banjir dan memusnahkan rumahnya, ramai yang akan membantu dan kerugian asatizah yang popular dapat ditampung, bahkan mendapat keuntungan sehingga boleh membeli rumah yang baru di tempat yang baru dan dapat membeli kitab-kitab serta keperluan rumah yang baru!

Bagaimana kalau rumah asatizah kurang popular ditimpa yang sama? Rasanya, ingin beli semula kitab yang hilang pun tidak dapat ditampung. Apa lagi untuk membeli rumah baru untuk kehidupan yang lebih selesa.

Ini bukanlah bermakna untuk mengajak orang lain menjauhkan diri daripada asatizah popular atau menujukan celaan kepada asatizah yang popular.

Saya hanya ingin menyeru jika antara kita ambil perhatian juga di sekeliling kita dari kalangan asatizah yang kurang popular dan dia didapati pada kelebihannya, kebolehannya, kewibawaannya dan keahliannya.

Mereka ini sepatutnya diberikan perhatian juga, lebih-lebih lagi jika ia adalah kejiranan atau orang yang berdekatan di kawasan kita atau orang yang mudah untuk kita hubungi di media sosial atau seumpamanya.

Faktor yang lain pula adalah apabila kita berulang-alik dalam pengajian asatizah yang popular, asatizah ini akan menghargai kehadiran kita dan menanti-nanti komitmen kita walaupun sekadar hadir.

Apabila seorang guru memandang kita dengan pandangan yang baik dan fokus pada kita dengan penuh penghargaan, mudah-mudahan ia bermakna dalam jalinan hubungan bersama guru dan ia menjadi doa untuk kita agar dilimpahkan lagi kebaikan dalam ilmu dan amal.

Ini adalah keberkatan yang kita harapkan dalam kelas pengajian yang tidak ramai murid. Cukuplah suatu majlis ilmu diharapkan keberkatannya apabila seorang guru ada rasa kasih kepada murid yang selalu bertandang kepadanya, sentiasa rindu untuk bertentang mata, bersemangat untuk mengajar kerana hadirnya kita dan menanti-nanti imarah majlis dari kita tatkala orang lain lebih memilih untuk membelakannginya dan menyisihkannya.

Kita berharap agar kita semua termasuk yang mendapat bahagian keberkatan yanag agung ini.

Berbanding asatizah popular yang ramai hadirin yang mana-mana kadangkala adanya kita atau tiadanya kita, tetap sama sahaja di sisi mereka. Kalau ingat pun, selalunya terlupa.

Untuk membina hubungan rapat dan mesra pun agak sukar memandangkan terlalu ramai yang berebut-rebut untuk bersemuka dengannya, bertandang dengannya dan bergaul dengannya.

Apabila masing-masing dari kalangan murid bersaing dan mungkin bergelut untuk mendapatkan perhatian dari guru, saya fikir kalau jadi sebegini, seeloknya cari asatizah lain untuk dia dampingi yang setara dengan asatizah popular itu.

Itu lebih baik dari dia memudaratkan orang lain untuk tolak-menolak terhadap pelajar lain atau memudaratkan diri sendiri kerana tidak dapat menunaikan hasrat yang ingin dicapai untuk dia memperoleh perhatian dari guru.

Mudah-mudahan dia menemukan asatizah sedemikian yang mudah untuk dia capai.

Teguran Untuk Orang Yang Merasa Dirinya Pandai Dalam Agama Tanpa Penguasaan Bahasa Arab


"Aku tidak pandai bahasa Arab pun tidak apa. Asalkan aku baca terjemahan al-Umm, ar-Risālah dan Musnad ašh-Šhāfiʿiyy yang mana pendakwa-pendakwa mengikut mazhab ašh-Šhāfiʿiyy tidak baca pun kitab ini".
Ini sama macam perangai orang yang berkata: "Aku tidak sekolah pun tidak apa. Asalkan aku boleh buat duit, bla bla bla...".

Sejujurnya, kita tidak minta pun kelayakan akademik untuk membuktikan hujah seseorang itu valid atau tidak kerana kadangkala itu tidak mencerminkan sebenar pun kefahaman seseorang. Ini semua orang maklum tentangnya walaupun sijil akademik serba sedikit dapat membantu beberapa aspek.

Betul bahawa kita perlu lapang telinga untuk mendengarkan hujah setiap pihak kerana meneladani firman Allah Subḥanahu Wa Taʿālā :

فَبَشِّرْ عِبَادِ الَّذِينَ يَسْتَمِعُونَ الْقَوْلَ فَيَتَّبِعُونَ أَحْسَنَهُ ۚ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ هَدَاهُمُ اللَّهُ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمْ أُولُو الْأَلْبَابِ

"Sampaikanlah khabar gembira kepada hamba-Ku yang mendengarkan hujah, lalu mengikut yang sebaik-baiknya. Mereka itulah orang yang Allah memberi hidayah kepada mereka dan mereka itu adalah orang yang punya perseptif". [Surah az-Zumar ayat 17-18].

Cuma, pastikanlah seseorang itu ada menampilkan merit untuk mengukuhkan lagi validitas poinnya.

Antara merit pertama yang diukur adalah kemampuan pembacaan bahasa Arab. Ini semua orang akan ambil berat dan beri perhatian dalam membezakan seseorang itu sekurang-kurangnya ada asas ilmu alat yang paling vital untuk melayakkan seseorang itu menjadi faqih atau tidak.

Kalau ini tidak lepas, maka orang itu sendiri buang masa dirinya dan buang masa orang lain.

Buang masa dirinya kerana sibuk dengan perkara yang belum patut untuk dia sentuh, tetapi bahasa Arab yang paling penting untuk pembinaan kemantapan dalam kemahiran ilmu agama yang lain tidak diusahakan untuk mempelajarinya.

Buang masa orang lain kerana perlu melayan orang yang dirinya sendiri membuang masa dirinya. Kalau kita perlu pilih rakan yang betul, kita pun pilih rival yang sesuai. Buat apa kita perlu bazir masa dengan orang yang tidak ada usaha untuk bina merit pada dirinya? Ada banyak lagi yang boleh dibuat.

Orang pun tidak akan ambil ilmu agama sembarangan. Kenapa kita pula sembarangan ingin peduli melayan orang yang tidak ada tahap yang sesuai dalam menjadi protagonis kita? Itu tanda orang yang tidak matang dalam memilih kawan dan lawan.

Proses penapisan pun kita akan pilih yang ada kualiti dan ada merit untuk mana-mana urusan pun. Kalau tidak ada, barulah kita ambil alternatif yang kurang popular atau yang kurang penarafannya. Kita sendiri tidak membazir masa untuk mencari produk yang kurang kuang kualiti dan entah apa-apa meritnya. Mengapa disibukkan pula dengan orang itu hanya kerana dia ada hujah?

Ini tiba-tiba orang yang tidak tahu bahasa Arab cuba melagak dan menyangak seolah-olah dengan adanya dia menerbitkan hujah, maka dia setara dengan orang lain dan dia beranggapan semua orang perlu meletakkan hujahnya dengan hujah para ulama dalam satu dacing untuk dinilai mana satu yang lebih merit.

Hei sang lembap yang tohor akalnya! Allah membezakan kedudukan setiap orang dengan ilmu. Dia ʿAzza Wa Jalla telah berfirman :

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

"Nescaya Allah mengangkat orang beriman dari kalangan kalian dan orang yang diberikan ilmu dengan beberapa darjat". [Surah al-Mujādilah ayat 11].

Ilmu pertama yang paling membezakan antara orang yang berilmu dengan orang yang tidak adalah pada kemampuan bahasa Arab. Kalau tahap pertama ini tidak lepas, seseorang itu sangka dengan mengutarakan hujah dan penulisan yang dilihat tuntas melayakkan seseorang utnuk sama meritnya dengan orang yang sudah melepasi pelbagai tangga?

Sedarlah diri wahai sang dangkal. Tidak malukah dengan tangga pertama yang tidak pernah dia capai cuba membongak bahawa dia sudah terbang ke kayangan hanya kerana dia dapat bersembang secara ilmiah?

Betul. Hujah anda mungkin akan diambil kira. Namun, dalam proses penapisan, anda orang yang terakhir untuk dipertimbangkan. Memang anda diletakkan di bawah kasta yang rendah sebab anda sendiri yang membiarkan diri anda di situ.

Orang suruh belajar bahasa Arab, hafal tasrif dan wazan, bersungguh-sungguh untuk praktis dan ambil masa untuk rajin mengulangkaji, membaca lebih luas dan tekun anda buat apa? Buat-buat tidak tahu dan tidak peduli.

Sibuk dengan kegiatan lain yang bukan tidak terfokus pun. Bahkan, beri banyak alasan macam-macam seperti sibuk dengan kerja. Namun, ada masa untuk gaduh dengan orang lain dan ke sana ke sini untuk menampilkan pada orang ramai bahawa dialah yang paling betul, paling berpengetahuan dan paling berpendidikan!

Tidak pernah rasa terdesak pun untuk melangkah dengan tekad sekalipun sudah sembang tentang manhaj, kelompok dan polemik bertahun-tahun lamanya. Dialah sendiri yang menghinakan dirinya dan merendahkan kedudukannya, malah membiarkannya sebegitu.

Kita bukan ingin mendakwa bahawa orang yang sudah pandai bahasa Arab ini adalah serba berpengetahuan dan lebih mulia.

Cuma, kita merasa hairan kerana kita yang bersusah payah untuk habiskan wang dan masa demi belajar dalam mendapatkan kemahiran bahasa Arab dengan menghadapi segala pening, hafal, baca sebanyak-banyaknya dan lain-lain, tetapi orang yang tidak tahu apa-apa tentang bahasa Arab dan tidak pernah melalui susah payah seperti orang yang belajar begitu lancang sekali untuk membongak seolah-olah di tahap yang tinggi dan setara dengan orang yang mahir bahasa Arab hanya kerana dia menampakkan dirinya berbicara dengan hujah atau membaca kitab tahap tinggi versi terjemahan yang jarang dibaca oleh kebanyakan orang.

Orang ini sebenarnya menghina para penuntut ilmu dan ahli ilmu yang telah menempuh ranjau onak dan duri seolah-olah sama sahaja kedudukannya hanya kerana dia ada hujah.

Susah payah selama ini untuk dipelajari hanyalah sampah buangan dan kemuliaan ilmu itu diperoleh tanpa usaha. Sepertinya cukup seseorang itu mendakwa bahawa dia ada hujah telah melayakkannya ia untuk berdiri di mana sahaja yang dia mahu.

Penuntut ilmu tidak perlu layan orang yang rendahan sebegini dan menghinakan diri untuk menempatkan mereka di ruang yang sama, apatah lagi mengangkatnya dengan tinggi.

Kita ketika memilih produk atau pakej pun tidak akan mengambil dari agensi atau syarikat atau pengeluar yang mencurigakan, entah apa meritnya, rendah mutunya dan sedikit penarafannya secara sembarangan. Mengapa dalam keilmuan, kita boleh ceduk dari mana-mana air sahaja?

-------------------------

Selagimana saya ada masa yang fleksibel, saya akan bantu orang yang ingin belajar bahasa Arab sampai boleh membaca dengan bekalan yang tersedia lengkap pada aspek yang kritikal.

Hanya tinggal bawa diri, bayar yuran bulanan dan beli kamus secara berkala sahaja.

Pelajar yang berjaya menghabiskan dengan jayanya, dengan izin Allah, akan mendapat ijazah sanad untuk pelbagai kitab. Antaranya adalah Musnad ašh-Šhāfiʿiyy.

Boleh hubungi saya di sini : https://t.me/infokelasarab_ridzwan

Kenapa Ketidaksahan Sebahagian Enakmen Syariah Kelantan Menjadikan Isu Yang Membimbangkan Umat Islam


Ada sebab kenapa kegugatan kedaulatan Mahkamah Syariah ini menjadi kebimbangan sekalipun punca asal kesalahan adalah pelanggaran dari Kelantan dan sememangnya negeri itu memberi bola tanggung kepada pesaingnya.

Jika lihat rekod sebelum ini yang berkaitan dengan hal ehwal Islam di mahkamah, kita sebenarnya berhadapan dengan gasakan yang agak teruk.

Sebelum ini kita diasak dahsyat dalam isu kalimah Allah dan kita pula tewas dalam keabsahan pengislaman 3 anak Siew Heng.

Cuba bayangkan yang semua ini tidak terjangka akan terjadi di negara yang Islam merupakan agama rasmi dan kuat konservatif agamanya. Kesan Domino sebenarnya bukan bermula baru-baru ini, tetapi ia adalah rentetan dari yang lepas.

Mungkin boleh ada penafian bahawa yang baru-baru ini tidak akan melunturkan kekuasaan Mahkamah Syariah, tetapi masa hadapan, jika gelombang ini berterusan dan tidak dirintangi, kita tidak tahu apa lagi yang bakal dirobek dan didegradasikan pada yang berkaitan dengan Islam dan keluhurannya di negara ini.

Ya mungkin kali ini negeri Kelantan jadi pencetus kepada badai yang memalukan kita semua. Cuma, jangan lalai bahawa selepas ini bukan Kelantan sahaja yang akan jadi sasaran dan yang selama ini kita merasa betul tidak akan mendapat tentangan.

Mengapa Saya Setuju Untuk Tidak Mengaitkan Kisah Israk Dan Mikraj Dengan Penjelasan Sains

Saya agak setuju untuk tidak mengaitkan kisah Israk dan Mikraj dengan penjelasan sains untuk dua sebab.

Pertama, ini kerana pada zaman rasul kita صلى الله عليه وآله وسلم tiada teknologi atau kemampuan yang canggih untuk memenuhi kriteria dan hukum sains yang telah pun dirasionalkan penjelasannya pada masa kini. Ia tetap sesuatu yang berupa keajaiban yang melangkaui sains pada zaman tersebut.

Mungkin seseorang boleh menjadikan peristiwa Israk dan Mikraj sebagai contoh sahaja untuk suatu penjelasan sains pada masa kini, tetapi untuk mengatakan bahawa peristiwa ini adalah peristiwa saintifik dan rasional dari sudut sains adalah tidak tepat kerana itu adalah penilaian orang sekarang untuk konteks zaman sekarang, bukan tanggapan orang pada zaman itu seiring dengan perkembangan pengetahuan pada zaman itu.

Kedua, falsafah di sebalik peristiwa ini adalah keimanan yang utuh untuk sesuatu yang tidak terjangkau oleh manusia ketika itu dan manusia sekarang pun menilai mustahil secara adat untuk ada orang ketika itu dapat menjalankan seperti apa yang mereka telah dapat sekarang ini.

Kalau semuanya boleh dijelaskan dengan saintifik, hilang falsafah sebenar untuk peristiwa Israk dan Mikraj dalam menampilkan keajaiban yang wajib diimani secara utuh, di samping pengajaran dari beberapa siri penemuan baginda terhadap kelakuan penghuni neraka yang diazab atas dosa masing-masing.

----------------------------

Dalam masa yang sama, wajar setiap penceramah untuk menyaring hadis-hadis yang tidak sabit untuk disampaikan di meja kuliah. Sepertimana peristiwa ini tidak patut dicemari dengan perkaitan sains, lebih-lebih lagi yang pseudo, tentu lagi pseudohadis sama sekali tidak patut dimasukkan dalam menu penyampaian kuliah.

Salam Israk dan Mikraj

Sikap Aneh Sebahagian Pemegang Saham Tempatan Apabila Restoran Francais Di Bawahnya Diboikot


"McD dan Starbuck salahkan i$rqh311 kerana punca saham dan jualan merundum"
"Salah satu organisasi pemegang saham terbesar KFC Malaysia ialah Lembaga Tabung Haji".

LMAO. Orang peduli apa? Ada keluaran tempatan lagi Muslim bukannya mahu bantu. Sibuk cari produk dan keluaran orang kafir demi keuntungan cepat.

Lepas itu, menyalahkan umat Islam lain dan tempatan pula kenapa ketinggalan dalam persaingan ekonomi dan penonjolan dalam jenama antarabangsa.

Padahal, duit besar gedabak ada pada syarikat engkau tidak disalurkan untuk kembangkan potensi tempatan dan orang Islam pun.

Sekarang apabila rugi disebabkan terpalit dengan isu i$rqh311, mempergunakan pula bahawa pemegang saham dan pekerja yang bekerja di bawahnya adalah orang Muslim dan Islam supaya ingin terus kekal relevan.

Rugi pada saham dan jualan engkau satu hal. Pekerja yang bekerja di situ lagi kasihan kerana dikecam teruk akibat syarikat yang dia bekerja di situ terpalit isu yang membabitkan maruah umat Islam di negara sana.

Tidak perlulah cakap jihad kalau syarikat umat Islam sendiri dan anak tempatan sendiri dipinggirkan. Rakyat Malaysia yang Muslim rata-ratanya memang memboikot sebab itu sahaja cara untuk menzahirkan jihad dan solidariti kerana mereka tidak ada kemampuan kewangan untuk kukuh dan bangkit dengan ekonomi.

Yang pemegang saham yang punya duit banyak ini buat apa? Fikir duit poket sendiri atau fikir kepentingan umat Islam secara umumnya?

Antara sebab rakyat boikot bukan sebab pemegang saham ini menjalankan operasi francais yang terbabit dengan negara penindas sana sahaja.

Rakyat juga boitkot kerana pemegang saham ini sendiri tidak peduli untuk jaga dan bantu perniagaan Muslim dan keluaran tempatan. Mengapa pula rakyat perlu peduli, kasihan dan jaga mereka pula?

Kami Terpaling Ulama Kerana Mengadakan Sesi Perbincangan Akidah Mingguan


Kami dikatakan terpaling ulama menurut kamu kerana mengadakan sesi perbincangan akidah mingguan dan berbincang agama bersama teman dalam server. Setakat ini belum ada pergaduhan melainkan kamu yang lebih banyak memulakan dahulu.

Kami tidak lupa apa yang kamu cakap ini yang sememangnya kritikal terhadap iman kamu sendiri dan berpotensi menyakitkan hati orang lain kerana ucapan sebegini yang diluahkan secara sebegitu sahaja di sekeliling teman yang sensitif dengan ini.

Kamu fikir ini bukan lagi fardu ain untuk sekurang-kurangnya setiap orang yang ada dalam server yang berpengetahuan walaupun sedikit untuk tampil menjawab? Kamu fikir ini bukan fardu ain lagi untuk setiap orang yang tidak tahu menjadi wajib ke atas dirinya untuk belajar bagi menangkis virus ini?

Oh! Mungkin kamu tidak peduli lagi sama ada ini fardu ain atau tidak atau kamu mungkin tidak peduli lagi sama ada tugas ini tugas ulama atau sesiapa sahaja yang ada kebolehan sekalipun bukan ulama kerana kamu sendiri tidak peduli pada membuat pertimbangan sebelum berkata-kata dan sebab itu kamu tanpa semena-mena bercakap seperti orang yang tidak peduli lagi perasaan orang dan status keimanan diri.

Mungkin kamu tidak peduli lagi sama ada ini fardu ain atau tidak atau kamu mungkin tidak peduli lagi sama ada ini adalah tugas ulama atau sesiapa sahaja yang ada bahagian nikmat daripada Allah walaupun bukan ulama kerana kamu sendiri tidak peduli dengan kasih sayang Allah terhadap kamu dengan menempatkan kamu di lingkungan teman-teman yang melayani kamu dengan baik dan cuba membantu kamu dari segi emosi.

Baiklah. Kalau kamu rasa sepatutnya ini adalah urusan ulama, apakah kamu berjumpa para ulama untuk memberi terapi pada penyakit yang menimpa kamu sekarang ini?

Daripada para ulama dan asatizah terus dipersalahkan kerana dianggap tidak mendekati orang seperti kamu dan tidak melayan mesra dengan orang seperti kamu, sekurang-kurangnya kami tolong untuk mendekati orang seperti kamu yang mana kami dan kamu memiliki persamaan dalam pelbagai latar dan perkara supaya jurang kefahaman dan perbincangan antara kamu dan kami tidak terlalu lebar.

Kami terpaling ulama menurut kamu sebab kami cuba mempertahankan diri kami dari muntah berpenyakit kamu. Kami terpaling ulama menurut kamu kerana kami berusaha membantu rakan-rakan di server itu dalam membina imunisasi melalui pembelajaran akidah agar tidak terjangkit dari penyakit yang kamu timbulkan.

Kami terpaling ulama kerana saling berganding antara satu sama lain melalui sesi perbincangan secara terbuka supaya kami dapat membuat semakan status kesihatan akidah masing-masing agar tidak terjebak dengan penyakit kamu ini.

Kemudian, apabila kamu tidak mendapat apa yang kamu mahu di server itu setelah semua orang melayan kamu dengan baik-baik biarpun kenyataan kamu ini sangat meruncing dan setelah rakan-rakan yang ada di situ memaafkan semua drama yang berlaku antara kamu sebelum ini, kamu meludahkan semua orang yang ada di server itu dan berambus dengan cara tidak terhormat.

Kamu patut rasa bersyukur dan bernasib baik kerana kami di server ini tidak ingin menjadi orang yang mengecam, offensif dan hostiliti apabila melihat kenyataan yang kamu luahkan. Kami sama sekali tidak menghukumi buruk ke atas kamu dan kami cuba melayaninya seperti seorang rakan yang memerlukan bantuan.

Bahkan, kalau seperti ini terjadi pada anak kami, kami sebagai ayah atau ibu akan bertanggungjawab untuk menjelaskan dan merawat. Bukan campak semua urusan kepada para ulama tanpa keperluan, lebih-lebih lagi masalah yang mereka tidak terbabit pun. Selagi kami ada kapasiti untuk bantu tanpa perlu mengheret orang luar, kami akan bantu.

Berbeza di tempat lain yang barangkali kamu akan diserang bertubi-tubi dan menambahkan lagi stres kamu, bahkan kamu akan dihalau dengan cara yang sangat terhina! Bandingkanlah wahai yang tidak mengerti untuk bersyukur bagaimana layanan ahli dalam server dan yang bakal kamu akan menerima di tempat lain.

Kalau kamu tidak dapat melihat kasih sayang Allah kepada kamu, sekurang-kurangnya cubalah lihat kasih sayang teman-teman kamu di server itu. Kecuali kalau anda memang membutakan mata dan tidak mahu menghargai sama sekali dengan hanya mementingkan diri sendiri.

Kami tidak lupa. Kami akan ingat ini dan beberapa lain yang kamu menimbulkan kegusaran yang berkaitan dengan sensitivit perkara keimanan rakan-rakan di server ini. Kami kalau boleh ingin padam semua hantaran kamu di server itu disebabkan sikap kamu yang celaka lagi jelek yang tidak tahu bersyukur.

Tetapi, kami sengaja tidak buat sedemikian supaya mereka yang datang berkunjung selepas ini menilai siapa yang sebenarnya mencetuskan perbalahan tidak tentu pasal dan tidak tahu menghargai kesantunan teman-teman yang kamu bina hubungan di dalam server itu.

Apabila kami tahu ini potensi yang mungkin ada pada orang lain seperti kamu, kami tetap akan meneruskan sesi yang kamu kata terpaling ulama agar mereka yang berpotensi ini dapat kami usaha untuk bantu dan tangani biarpun kamu membencinya dan menghasut orang lain untuk membencinya.

Betul kami bukan ulama dan kami hanyalah sang kuman yang tidak seberapa pun, tetapi amanah yang para ulama titipkan kepada kami untuk menyampaikan dan menyebarkan inilah kami usaha untuk merealisasikannya.

Mudah-mudahan orang yang menginginkan manfaat akan mendapatkan manfaat melalui usaha kami yang kerdil ini. Mudah-mudahan orang yang terjauh dari para ulama dan asatizah dapat didekatkan melalui sesi ini.

Mudah-mudahan penyebaran ilmu melalui sesi ini meningkatkan keberkatan dalam ilmu kami, menambah kasih sayang daripada-Nya, membaiki apa yang kami kurang dan memantapkan apa yang telah kami pelajari dari guru-guru yang kami kasihi.

Kami mengucapkan terima kasih kepada Zeddy Tate dan Shirohige Sama atas kerjasama dan insiatif dalam menjayakan majlis ini dan mengumpulkan teman-teman yang sudi berkongsi manfaat dan bertemu untuk kebaikan bersama.