Saturday, 12 June 2021

Mengapa Saya Berhari-Hari Menyuarakan Isu Hadis Bersama Meme?


Ada orang mungkin dah jemu atau muak apabila berhari-hari saya asyik herdik golongan skeptik terhadap beberapa isu hadis + meme.

1. Siapa suruh cari pasal dengan ahli hadis? Saya secara peribadi boleh tahan lagi kalau ada orang kutuk teologiwan, fuqaha, sufi dan ahli bahasa. Bukan bermaksud saya biarkan sahaja orang lain sebebasnya mengutuk tokoh tersebut, tetapi tahap sensitif saya apabila orang kutuk ahli hadis ini memang sangat tinggi.

Sebab itu, saya memang bagi belasah habis-habisan. Saya apa peduli kalau orang mahu terasa, benci dan muak. Mereka cari pasal dengan ahli hadis, itu had batasan kesabaran dan toleransi saya, malah seluruh umat Islam.

2. Ilmu hadis antara lapangan yang pernah dan masih saya dalami dan cuba berkecimpung dalamnya. Saya bersyukur kepada Allah dengan setinggi-tinggi kesyukuran kerana dilimpahkan kefahaman dalam ilmu hadis walaupun sedikit -tetapi mungkin banyak di sisi-Nya dan Dia lebih tahu tentangnya- serta memberikan peluang untuk merasai apa yang pengkaji dan ahlinya lakukan gerak kerja mereka secara praktikal.

Oleh sebab itu, saya kagum dengan para imam kita yang hafal beratus ribu hadis bukan kerana taksub atau tumpang sanjungan orang lain, tetapi lihat dengan mata kepala sendiri. Apabila buat kerja takhrij dan dalami kajian 'ilal al-Hadits, barulah nampak keagungan tokohnya dan kesenian ilmu hadis.

Sebab itu saya kecil hati, bahkan geram orang yang mempertikaikan kemampuan imam hadis, tetapi tidak pernah pun menceburkan diri dalam aktiviti takhrij dan praktikal 'ilal al-Hadits. Langsung tidak ada segan untuk mencurigai ahli yang bukan dia di bidangnya.

3. Kebanyakan orang yang mempertikaikan kemampuan hafalan para imam hadis ini adalah orang yang tidak pernah membabitkan diri dalam praktikal takhrij dan kajian ilmu ʿilal al-Ḥadīṯs. Bahkan, jahil hakikat tradisi ini. Malah, tidak tahu bahasa Arab pun!

Inilah yang saya berani jamin. Ekoran itulah yang saya sangat berang dengan orang sebegini dan radang saya terhadap mereka ini tidak mudah pulih berhari-hari. Saya dan para pengkaji hadis yang jauh lebih berkeahlian daripada saya telah bersusah payah menekuni ilmu hadis. Namun, mereka ini yang tidak ada apa-apa pengkhususan dalam bidang ini selamba pertikai tanpa rasa bersalah apa pun.

Sudahlah tidak pernah buat kerja apa yang tokoh ahli hadis buat, malah langsung tidak tahu bagaimana tradisi praktikal ilmu hadis. Bahkan, tidak tahu bahasa Arab. Sanggupkah mencurigai ahli yang bukan mereka bidang di dalamnya? 

Sudahlah tidak belajar dan mendalami ilmu hadis, kemudian mahu pandangan mereka dalam hadis ada nilai pemberat dan diraikan? Sampah apa ini? Inikah minda kritis dan intelektual yang dijulang?

Mereka marah kalau anti-vaksin yang tidak terlibat dalam bidang perubatan secara praktikal cari pasal dengan doktor. Sekarang ini mereka buat yang sama terhadap ahli hadis.

4. Saya cakna yang ramai dari kawan saya yang agak kabur bagaimana kesenian ilmu hadis. Saya yang diberi sedikit nikmat ilmu ini perlu bertanggungjawab untuk menjelaskan dan bangkit mempertahankannya daripada syubhat yang mungkin akan tertanam dan bertunas waswas dan keraguan dalam hati kawan-kawan saya.

Saya bukan ulama. Saya ini sekadar debu hina sahaja kalau ingin dibandingkan dengan pengkaji hadis yang di kelas bawahan, apa lagi sarjananya yang terbilang. Cuma, kalau saya tidak terangkan, apa nasib kawan-kawan saya kalau saya biarkan? Hari ini mungkin dia teguh, esok mungkin perlahan-lahan akan rapuh.

Saya harap apa yang saya kongsikan adalah bermanfaat. Saya cuba membantu kawan-kawan saya sedaya upaya saya dengan merapatkan jurang antara kefahaman orang awam dengan ilmu hadis walaupun saya ini bukanlah yang sebaiknya. Rujuklah ulama dan asatizah yang jauh lebih berwibawa daripada saya.

5. Mendedahkan hipokrit sebahagian orang yang bersembunyi apabila saya asak habis-habisan dalam isu hadis. Selama ini senyap, akhirnya setelah diasak bertubi-tubi, terbongkar jua apa pendiriannya sebenar.

Bayangkan, sudahlah tahu diri itu jahil dalam ilmu hadis, apatah lagi mahu mengaku melibatkan diri dalam kajian takhrij dan praktikal ilmu ʿilal al-Ḥadīṯs, tetapi sebab tidak mahu kalah, sanggup dia mengutip pandangan daripada orientalis, malah mereka yang tidak signifikan, bahkan jahil dalam bidang hadis untuk menyokong dan menguatkan pandangan mereka.

Orientalis yang dia kutip pula adalah dari golongan yang bukan sahaja mencurigai kewibawaan para imam kita yang menghafal ribuan hadis, bahkan berusaha habis-habisan untuk meranapkan institusi ilmu hadis itu sendiri!

Apa tergamak mengutip pandangan orang yang benci pada agama kita secara umum dan ilmu hadis secara khusus semata-mata ingin mempertahankan pandangannya dalam agama, tetapi dalam masa yang sama masih mendakwa mengagungkan institusi hadis?

Saya sangka mereka akan kutip pandangan tokoh-tokoh hadis untuk dijadikan pemberat dalam penghujahan. Rupanya paksi agama ini ikut orang yang tidak redha, tidak senang dan tiada kepedulian pun dengan ilmu hadis, malah agama Islam secara umum. Paling ringan pun, pandangan mereka sendiri yang tidak didasari ilmu.

Mereka pun tidak ambil pandangan perubatan daripada anti-vaksin, tentu lagi yang bukan doktor. Mengapa dalam bahagian hadis, mereka kutip pandangan orang yang memusuhi atau paling baik pun tidak begitu peduli apa terjadi pada agama kita jika dicabuli?

Jangan main-main dengan paksi agama ini. Paksi seseorang akan menentukan hala tuju agama seseorang. Rasulullah SAW bersabda :

الْمَرْءُ عَلَى دِينِ خَلِيلِهِ، فَلْيَنْظُرْ أَحَدُكُمْ مَنْ يُخَالِط

“Seseorang itu di atas agama teman rapatnya. Maka, hendaklah seseorang daripada kalian melihat siapa yang dia bercampur”. (Musnad Aḥmad).

Ibn Sīrīn berkata :

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِينٌ، فَانْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ دِينَكُمْ

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka perhatikanlah daripada siapa kalian mengambil agamamu". (Ṣoḥīḥ Muslim).

Khalifah Hārūn ar-Rošhīd pernah berkata :

وَطَلَبْتُ الْحَقَّ فَوَجَدْتُهُ مَعَ أَصْحَابِ الْحَدِيثِ

"Aku ingin mencari kebenaran, lalu aku dapatinya ia bersama ahli hadis". (Šharf Asḥāb al-Ḥadīṯs, karya al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy, m/s 55).

Sebab apa ahli hadis? Sebab zaman itu, bermacam-macam golongan zindīq dan aliran sesat mendominasi zaman tersebut seperti Jahmiyyah, Muktazilah, Murjiah, Qodoriyyah, syiah dan khawarij. Sebab itu paksi kebenaran pada zaman itu adalah apa yang dianuti ahli hadis kerana mereka ini pembela sunnah yang sejati daripada penyelewengan dan penyimpangan.

Sampai sekarang pun ia masih relevan. Kalau paksi agama seseorang lebih suka ikut liberal dan orientalis, agama seseorang itu terikutlah apa yang dia sanjung, junjung, cenderung dan perjuang. Begitulah seterusnya.

Oleh itu, pilihlah paksi yang benar. Cari teman yang benar manhajnya. Jangan menjadikan teman-teman yang rancu manhajnya sebagai awliyāʾ (أولياء).

Bagi sesiapa yang terlepas penulisan saya tentang hadis, boleh baca di sini :

(a) Benarkah Para Imam Hadis Kita Menghafal Ribuan Hadis?

https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/06/benarkah-para-imam-hadis-kita-menghafal.html

(b) Taġhlīq at-Taʿlīq Karya al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy : Bukti Kekuatan Hafalan Para Imam Hadis


(c) Al-Ḥāfiẓ Aḏz-Ḏzahabiyy : Salah Satu Bukti Kemampuan Hafalan Hadis Yang Luas

(d) Hakikat Orang Yang Memperleceh Kemampuan Hafalan Para Imam Hadis

(e) Mengapa Tidak Perlu Layan Syubhat Orang Yang Meragukan Institusi Ilmu Hadis?

No comments:

Post a Comment