Ragu dengan kemampuan hafalan al-Imām al-Bukẖōriyy?
Saya memperkenalkan kitab Taġhlīq at-Taʿlīq karya al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy.
Sememangnya patut ditelaah dan diamati kerana ia mempamerkan kehebatan al-Imām al-Bukẖōriyy dan al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy dalam kekuatan hafalan.
Kitab ini adalah usaha pencarian semula sanad-sanad hadis muaʿllaq dalam Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy dengan menyebutkan sanad secara penuh dari pelbagai sumber. Sesuai dengan tajuk kitabnya, iaitu "Penguncian Untuk Yang Tergantung".
Bagi yang tidak tahu, hadis muaʿllaq dengan penjelasan mudah adalah hadis yang tidak disebut sanad secara penuh.
Maksudnya, dalam penyampaian hadis, sepatutnya al-Imām al-Bukẖōriyy akan menyebutkan sanad secara penuh dari syeikhnya sampai kepada sahabat nabi RA, daripada Rasulullah SAW. Beliau sepatutnya akan menyebutkan dari syeikhnya, daripada syeikh kepada syeikhnya, daripada tabiin, daripada sahabat nabi RA, daripada Rasulullah SAW sebagai contoh.
Namun, dalam kes hadis muaʿllaq, al-Imām kadangkala terus langkau kepada sahabat nabi RA. Kadangkala langkau kepada kepada tabiin. Kadangkala langkau kepada syeikh kepada syeikhnya.
Ada beberapa sebab al-Imām al-Bukẖōriyy tidak sebutkan sanad penuh :
(a) Mengelakkan pengulangan sanad yang telah disebut pada hadis yang lalu jika beliau menyebutkan hadis yang sama di bab yang lain. Jadi, beliau ringkaskan sahaja penyebutannya supaya tidak jadi berjela.
(b) Tidak cukup syarat kekuatan kesahihan. Kadangkala hadis tersebut sahih dan boleh dijadikan hujah, tetapi tidak cukup kuat menurutnya untuk dimasukkan dalam Ṣoḥīḥnya yang syaratnya cukup tinggi. Oleh sebab tidak mahu orang menyangka bahawa penyebutan sanad penuh menunjukkan ia adalah pemenuhan kriteria yang ketat menurutnya, maka beliau potong sanad.
(c) Hadis itu ada masalah sama ada dhaif atau ada ʿillah (kecacatan tersembunyi). Namun, ini berjumlah yang sedikit. Salah satu beliau membawakan hadis yang bermasalah, tetapi tidak sampai terlalu teruk kedhaifannya adalah beliau menerima hadis tersebut sebagai faḍōʾil al-Aʿmāl atau ingin menyebut perselisihan ulama dalam berhujah dengan hadis dhaif tersebut yang beliau tidak mahu abaikan atau beliau mahu mengambil kira pandangan tersebut. Apapun, beliau langkau penyebutan sanad penuh supaya orang tidak terkeliru bahawa hadis itu adalah hadis sahih menurutnya.
(d) Ia bukan hadis marfuʿ, tetapi hadis mauquf atau hadis maqṭūʿ. Dengan kata lain, hadis tersebut bukan kata-kata atau perbuatan atau perakuan atau cerita tentang Rasulullah SAW, tetapi kata-kata atau perbuatan atau cerita tentang sahabat nabi RA atau kata-kata atau perbuatan tabiin. Perlu kita ingat bahawa syarat pembukuan Ṣoḥīḥ beliau adalah memasukkan yang berkaitan dengan Rasulullah SAW. Oleh itu, yang selainnya dipotong sanadnya kerana ingin memberitahu bahawa perihal selain Rasulullah SAW itu bukan syarat pembukuannya.
(e) Perbandingan sama ada untuk menguatkan sokongan bagi hadis tersebut atau mengisyaratkan wujudnya ʿillah pada hadis tersebut. Maksudnya, setelah beliau membawa hadis dengan sanad penuh, beliau akan sebut hadis lain secara muaʿllaq sama ada untuk menyatakan bahawa hadis tersebut memiliki sokongan atau hadis tersebut sebenarnya memiliki ʿillah.
Setelah beberapa lama kemudian, al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy mengerahkan usaha untuk menyambungkan semula sanad-sanad yang terpotong atau yang al-Imām al-Bukẖōriyy langkau penyebutan sanad dari pelbagai sumber.
Sekarang, di mana paparan kehebatan kedua-dua tokoh, baik al-Imām al-Bukẖōriyy atau al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy.
Kehebatan al-Imām al-Bukẖōriyy adalah penyebutan sanad yang dilangkau atau dipotong itu adalah sama seperti dapatan al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy dalam usaha menyambungkan sanad.
Maksudnya, tidak ada dalam hadis muaʿllaq dalam Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy yang sebut sanad secara langkau dari B, daripada C, daripada D, tetapi dapatan al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy adalah selainnya seperti dari Z, daripada X, daripada Y. Tidak pernah ada!
Ini menunjukkan kekuatan hafalan al-Imām al-Bukẖōriyy dalam menyebutkan sumber sanad yang betul yang apabila disemak semula dan dibuat usaha penyambungan sanad-sanad hadis yang muʿallaq, ternyata ia selari dan tidak kontradik!
Dari penulisan kitab ini pun, ia menunjukkan keluasan pembacaan dan hafalan al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy dalam menjejaki semula sanad-sanad hadis yang dipotong sanadnya dalam Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy dari pelbagai sumber yang sebahagiannya tidak terfikir oleh mana-mana pengkaji hadis biasa untuk mencarinya.
Sangat mustahil penghasilan kitab ini dapat dihasilkan untuk orang yang kurang daya hafalannya dan sedikit pembacaannya. Sesiapa yang membacanya, pasti akan menemukan ketakjuban dan keajaiban memori dan kesungguhan al-Ḥāfiẓ Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy.
Karya ini sudah cukup membuktikan bahawa para imam hadis kita bukan calang-calang orang dalam bab hafalan.
----------------------------------------------
Saya sudah banyak kali menyebutkan dan mahu tercabut jari saya untuk menaip berulang kali kalau tidak pernah libatkan diri dalam aktiviti takhrij dan berkecimpung dalam kajian ʿilal al-Ḥadīṯs, apatah lagi tidak tahu hakikat tradisi gerak kerja ahli hadis, bahkan tidak tahu bahasa Arab langsung, tolonglah jangan curigai sarjana yang engkau bukan di bidangnya.
Bukti kekuatan hafalan para imam hadis kita ini sangat banyak dan ia adalah nyata di mata pengkaji hadis yang telah bergelumang ke praktikal. Contoh Taġhlīq at-Taʿlīq yang saya kongsikan ini baru sekelumit daripada sekalian banyak bukti yang ada bahawa hafalan kuat para ilmuwan kita yang klasik secara khusus sememangnya sesuatu yang benar dan bukan sengaja dilebih-lebihkan oleh pencatat sejarah. Tentu lagi kehebatan dalam bidang ilmu yang lain.
Malah, yang memperlekeh kemampuan hafalan para imam kita ini mungkin sekali baru pertama kali dengar nama Taġhlīq at-Taʿlīq! Apatah lagi sumber-sumber utama untuk rujukan kajian hadis secara praktikal. Inikah kritis minda yang patut dijunjung? Dengan mengabaikan seluruh manhaj ilmu hadis?
Renunglah firman Allah ʿAzza Wa Jalla yang ini :
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ
Katakanlah: "Adakah sama orang yang mengetahui dan orang yang tidak mengetahui?". (Surah az-Zumar ayat 9).
قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الْأَعْمَىٰ وَالْبَصِيرُ أَمْ هَلْ تَسْتَوِي الظُّلُمَاتُ وَالنُّورُ
Katakanlah: "Adakah sama orang buta dan orang celik? Adakah sama kegelapan-kegelapan dan cahaya?". (Surah ar-Roʿd ayat 16).
Saya beri banyak bukti pun, kalau selagimana tidak betul-betul mendedikasikan diri dalam takhrij dan kajian ʿilal al-Ḥadīṯs, ia susah untuk mendapatkan keteguhan kepercayaan.
Samalah seperti seseorang yang tinggal di hutan belantara, tetapi tidak pernah melihat sendiri kemajuan kota. Saya kalau bercerita bagaimana Kuala Lumpur pun, ia mungkin masih dianggap lagenda atau cerita yang saya lebih-lebihkan untuk menggambarkan pemodenan sebuah negara. Selagi tidak meneroka sendiri, selagi itulah keteguhan kepercayaan masih belum melekat kuat.
No comments:
Post a Comment