Tuesday, 8 June 2021

Benarkah Para Imam Hadis Kita Menghafal Ribuan Hadis?


Kita sudah biasa menemukan orang yang skeptik bahawa para imam kita menghafal ribuan hadis sehingga mencecah beratus ribu hadis. Bagi mereka ini, ia adalah sesuatu yang mustahil untuk dicapai bagi seorang manusia meski memiliki ingatan yang kuat dan memori yang luas pun, tetapi dilebih-lebihkan ceritanya dalam mengangkat dan menjunjung tokoh.

Hakikatnya, sebenarnya ia adalah realiti bahawa sememangnya para imam hadis kita sememangnya menghafal ribuan hadis dan luas hafalannya. Ia bukan dongeng yang diada-adakan, tetapi ia adalah sesuatu yang nyata dalam sejarah.

Saya berikan bukti yang ampuh untuk menunjukkan bahawa apa yang telah disaksikan para ulama dan diabadikan dalam catatan sejarah itu bukanlah rekod yang ditokok-tambah yang dilebih-lebihkan perisanya, tetapi kebenaran yang sememangnya tidak akan disangkal lagi.

Sebelum saya menceritakan secara lanjut, kita perlu faham terlebih dahulu tentang aktiviti takhrij dalam bidang ilmu hadis. 

Bagi yang tidak tahu apa itu aktiviti takhrij, dia susah untuk melihat dan mengamati bagaimana luasnya capaian hafalan para imam kita. Ini yang saya berani katakan dan saya berani jamin.

Bahkan, yang tidak tahu, tidak layak pun menzahirkan rasa skeptik sebegini sebab apabila dia tidak tahu menahu tentang aktiviti takhrij ini. Dia sebenarnya masih jauh perjalanannya dalam ilmu hadis. Maka, jurang antara dia dengan hakikat sebenar tradisi ilmu hadis masih lebar untuk dia benar-benar melihat bahawa para imam kita sememangnya berkemampuan besar dalam menanggung hafalan yang banyak. 

Apa lagi yang tidak pernah melakukan kerja takhrij, dia sama sekali tidak layak pun mencurigai hafalan hadis para imam kita kerana tidak pernah terbabit dalam usaha kegiatan praktikal dalam ilmu hadis. Hanya orang yang pernah bergelumang dalam praktikal takhrij sahaja akan jelas di matanya tentang hal ini.

Saya dapat simpulkan bahawa aktiviti takhrij adalah menyebutkan rujukan-rujukan bagi sesuatu kenyataan sama ada hadis, maklumat perawi hadis, kenyataan tokoh al-Jarḥ Wa at-Taʿdīl dan pelbagai lagi yang lain. 

Maksudnya, kalau pengarang itu menyebutkan hadis, maka kita nyatakan rujukan tersebut khususnya dari sumber primer yang selalunya di nota kaki. Kita akan menyebut sebanyak yang boleh rujukan untuk bagi satu hadis. Kalau dalam kitab itu ada beratus-ratus, maka mungkin lebih banyak rujukan yang perlu kita sebutkan. Itu baru hadis, belum maklumat perawi hadis untuk guru, murid, catatan hidup dan pelbagai lagi.

Baiklah, bagaimana dengan memahami tentang takhrij dapat menyampaikan kepada kita bahawa para imam kita sememangnya menghafal ribuan hadis? Kita lihat dua jenis karya dalam ilmu hadis.

a) Karya al-Jarḥ Wa at-Taʿdīl

Ia adalah kitab yang bertemakan pengumpulan maklumat perawi yang bertujuan untuk memberikan merit kredibiliti dan reliabiliti bagi seseorang perawi sama ada perawi itu berkredibiliti atau tidak dan memiliki sifat kejituan (ḍōbiṭ) atau tidak yang mempengaruhi reliabiliti dalam penyampaian hadis.

Jenis karya sebegini akan memperkenalkan nama penuhnya, tempat lahir, tarikh wafat, senarai syeikhnya, muridnya serta pelbagai malumat yang asas, lalu ahli hadis akan terus memberikan penilaian merit menurut pandangannya atau menyebutkan pandangan daripada tokoh pendahulu mereka atau yang sezaman dengan mereka atau kedua-dua sekaligus.

Kita ambil contoh daripada al-Jarḥ Wa at-Taʿdīl karya Ibn Abī Ḥātim ar-Rōziyy :

شعبة بن الحجاج أبو بسطام وهو ابن الحجاج ابن الورد مولى العتيك بصري أصله واسطي روى عن الحسن البصري وسعيد المقبري وداود بن فراهيج والعلاء بن بدر وعاصم بن عمرو وطلحة بن مصرف ومعاوية بن قرة روى عنه الثوري ومحمد بن إسحاق وإبراهيم بن سعد.

"Šhuʿbah bin al-Ḥajjāj Abū Busṭōm. Dia adalah Ibn al-Ḥajjāj bin al-Ward, maula al-ʿAtīk, orang Basrah. Asalnya adalah orang Wasit. Dia meriwayatkan daripada al-Ḥasan al-Baṣriyy, Saʿīd al-Maqburiyy, Dāwud bin Farōhīj, al-ʿAlā bin Badr, *Āṣim bin *Amr, Ṭolḥah bin Muṣorrif dan Muʿāwiyah bin Qurroh. Aṯs-Ṯsawriyy, Muḥammad bin Isḥāq dan Ibrōhīm bin Saʿd meriwayatkan daripadanya".

Dalam pembiografian ini, di sini kita mengenal siapa syeikh dan anak murid Šhuʿbah bin al-Ḥajjāj.

Syeikhnya adalah al-Ḥasan al-Baṣriyy, Saʿīd al-Maqburiyy, Dāwud bin Farōhīj, al-ʿAlā bin Badr, *Āṣim bin *Amr, Ṭolḥah bin Muṣorrif dan Muʿāwiyah bin Qurroh.

Murid-muridnya adalah aṯs-Ṯsawriyy, Muḥammad bin Isḥāq dan Ibrōhīm bin Saʿd.

Perlu diingatkan bahawa bukan hanya bilangan ini sahaja bagi syeikhnya dan anak muridnya. Šhuʿbah bin al-Ḥajjāj antara tokoh besar lagi kenamaan dalam ilmu hadis. Beliau sebenarnya memiliki ratusan syeikh yang dia ambil hadis daripadanya dan memiliki ratusan murid yang mengambil hadis daripadanya.

Tujuan penulisan kitab para pendahulu kita bagi tema ini adalah untuk memperkenalkan identiti sahaja, bukan ensiklopedia. Untuk maklumat yang lebih banyak, kita perlu merujuk karya mereka yang sesudahnya seperti Tahḏzīb al-Kamāl Fī Asmāʾ ar-Rijāl karya al-Ḥāfiẓ al-Mizziyy, Siyar Aʿlām an-Nubalāʾ karya al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy atau karya al-Ḥāfiẓ aḏz-Ḏzahabiyy yang lain atau karya yang seumpama dengannya.

Apapun, daripada mana kenyataan ini boleh menjadi bukti bahawa tokoh hadis itu menghafal ribuan hadis? 

Kita lihat bahawa Ibn Abī Ḥātim ar-Rōziyy sama sekali tidak tertukar antara nama syeikhnya dengan nama muridnya. 

Kalau kita cari setiap satu persatu nama ini dalam kitab-kitab hadis dengan melakukan aktiviti takhrij seperti Kutub Sittah, karya-karya Mustakhrōj, Muṣonnaf dan pelbagai lagi yang lain serta di ceruk kitab yang jarang dikenali dan jarang dirujuk, pasti akan ditemukan bahawa sememangnya benar nama-nama yang disenaraikan itu adalah syeikhnya atau muridnya tanpa tertukar atau tertunggang terbalik. 

Kalaulah beliau tidak kuat hafalannya, boleh jadi beliau tertukar atau menyebutkan nama orang lain yang bukan gurunya atau bukan anak muridnya.

Malah, ini bukan Ibn Abī Ḥātim ar-Rōziyy seorang sahaja. Para pendahulunya, mereka yang sezamannya dan para sesudahnya juga tidak tersilap dalam hal ini. Setiap daripada mereka selari dapatan mereka dengan mereka yang lain sama ada dalam periwayatan hadis atau pembiografian perawi. 

Kalaulah masing-masing di antara mereka adalah orang yang tidak begitu kuat hafalannya, pasti akan menemukan percanggahan dalam pelbagai karya lain dan bertentangan dengan ulama lain seperti al-Bukẖōriyy, Muslim, ad-Dāroquṭniyy, al-Kẖoṭīb al-Baġdādiyy dan pelbagai ulama hadis yang lain. Pasti kesemua mereka ini akan tertukar sanad, tertukar nama guru dan murid serta pelbagai lagi kecelaruan dan kontradiksi yang signifikan.

Perlu ingat bahawa kesemua ahli hadis tidak semuanya sama zaman dan sama tempat. Ada yang jauh di sebelah timur, ada yang jauh di sebelah barat, ada yang di ibu kota tamadun Muslim dan ada yang di tanah Arab. Kembara dan komunikasi zaman itu bukannya semudah hari ini. 

Kalau rasa jarak Kuantan dengan Kuala Lumpur sudah cukup jauh dan kereta yang dipandu sejauh 120 km/j mengambil masa lebih kurang 3 atau 4 jam untuk sampai. Bayangkan zaman unta dan kuda. Bayangkan zaman tiada gajet untuk simpan maklumat. Hanya dengan menggunakan kertas dan pen sahaja untuk mencatat. Ingat unta seekor mampu tanggung kitab yang pelbagai bersama bekalan untuk perantauan yang panjang? 

Namun, itu semua tetap tidak menatijahkan berlakunya campur aduk, sisipan yang diragui autensitasnya dan percanggahan yang signifikan. Ia semua bersemadi dalam kitab-kitab yang mereka tinggalkan. Dari semua ini, sememangnya membuktkan kehebatan hafalan dan pengumpulan memori dalam otak mereka yang menampung ribuan hadis. Hanya aktiviti takhrij sahaja yang akan dapat mengesahkan dan meninjau hakikat kehebatan ini. 

Ini baru sahaja Šhuʿbah bin al-Ḥajjāj. Belum lagi setiap satu gurunya daripada beratus-ratus syeikh yang lain yang mungkin ada ratusan syeikh yang lain dan anak murid yang lain. Begitu juga muridnya yang memiliki ratusan anak murid yang mungkin ada ratusan guru yang lain dan anak murid yang lain. 

Kalau kita lakukan kajian takhrij, sememangnya akan menemui ketepatan bahawa orang itu adalah gurunya atau muridnya. Apa yang dilakukan oleh al-Mizziyy dalam Tahḏīb al-Kamāl Fī Asmāʾ ar-Rijāl atau selainnya adalah penguat untuk hal ini. Jelas sekali bahawa ia membuktikan bahawa sememangnya ahli hadis memiliki hafalan yang kuat lagi luas.

Sangat jelas bahawa sememangnya ahli hadis menghafal ribuan hadis. Kita tidak akan menemukan berlakunya percanggahan antara susunan sanad yang pelbagai setiap generasi daripada pengumpul sanad dari perawi yang mengambil daripada gurunya dan dia pun mengambil dari gurunya sehinggalah ke penghujungnya tanpa terbolak-balik sanad antara sesama penerima. Setiap kitab tidak akan meriwayatkan percanggahan yang ketara. Dan jika ada pun, mereka boleh menganalisis masalah itu dan selalunya disebabkan masalah kejituan perawi.

b) Karya al-ʿIlal

Bercakap tentang hadis-hadis yang memiliki masalah, para ulama hadis telah pun menghasilkan karya khas untuk menganalisis masalah ini. Ia adalah karya yang bertemakan al-ʿIlal. 

Karya ini mengumpulkan hadis-hadis yang dilihat bercanggahan atau dihidu memiliki masalah untuk dibedah siasat dan dikenal pasti punca masalahnya. Sama ada menyebutkan puncanya atau mengutarakan riwayat yang lebih tepat bersesuaian dengan pemenuhan syarat kesahihan hadis.

Kita ambil contoh daripada al-ʿIlal al-Wāridah Fī al-Aḥādīṯs an-Nabawiyyah karya al-Imām ad-Dāruquṭniyy :

 وسئل عن حديث خلاس بن عمرو، عن أَبِي الدَّرْدَاءِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: إِنَّ اللَّهَ يَقُولُ: أَنَا اللَّهُ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا أَنَا مَلِكُ الْمُلُوكِ، قُلُوبُ الْمُلُوكِ بَيَدِي، فَإِنِ الْعِبَادُ أَطَاعُونِي حَوَلَّتُ قُلُوبَ مُلُوكِهِمْ عَلَيْهِمْ بِالرَّأْفَةِ وَالرَّحْمَةِ، وَإِنِ الْعِبَادُ عَصَوْنِي ... الْحَدِيثَ. فَقَالَ: يَرْوِيهِ وَهْبُ بْنُ رَاشِدٍ، عَنْ مَالِكِ بْنِ دِينَارٍ، عَنْ خِلَاسِ بْنِ عَمْرٍو، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، وَوَهْبُ بْنُ رَاشِدٍ هَذَا ضَعِيفٌ جِدًّا، مَتْرُوكٌ، وَلَا يَصِحُّ هَذَا الْحَدِيثُ مَرْفُوعًا. وَرَوَاهُ جَعْفَرُ بْنُ سُلَيْمَانَ، عَنْ مَالِكِ بْنِ دِينَارٍ، أَنَّهُ قَرَأَ فِي بَعْضِ الْكُتُبِ هَذَا الْكَلَامَ، وَهُوَ أَشْبَهُ بِالصَّوَابِ.

وَسُئِلَ عَنْ حَدِيثِ سُوَيْدِ بْنِ غَفْلَةَ، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: مَنْ أَتَى فِرَاشَهُ، وَهُوَ يَنْوِي أَنْ يُصَلِّيَ مِنَ اللَّيْلِ، فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ حَتَّى يُصْبِحَ كُتِبَ لَهُ مَا نَوَى. فَقَالَ: يَرْوِيهِ عَبْدَةُ بْنُ أَبِي لُبَابَةَ، وَاخْتُلِفَ عَنْهُ؛ فَرَوَاهُ حَبِيبُ بْنُ أَبِي ثَابِتٍ، وَشُعْبَةُ، وَابْنُ عُيَيْنَةَ، عن عبدة بن أبي لبابة، واختلفوا فيه فقال زائدة، عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ حَبِيبٍ، عَنْ عَبْدَةَ، عَنْ سويد بن غفلة، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلم. وقال أبو عَوَانَةَ: عَنِ الْأَعْمَشِ، عَنْ حَبِيبٍ، عَنْ عَبْدَةَ، عَنْ زِرِّ بْنِ حُبَيْشٍ، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ موقوفا. وَخَالَفَهُ فِي مَوْضِعَيْنِ، وَقَالَ الثَّوْرِيُّ: عَنْ حَبِيبٍ، عَنْ عَبْدَةَ، عَنْ زِرٍّ، عَنْ أَبِي ذَرٍّ، وَقَالَ الثَّوْرِيُّ: فَلَقِيتُ عَبْدَةَ، فَحَدَّثَنِي عَنْ سُوَيْدِ بْنِ غَفْلَةَ، عَنْ أَبِي الدَّرْدَاءِ، عَنْ أَبِي ذَرٍّ. وَقَالَ شُعْبَةُ: عَنْ عَبْدَةَ، عَنْ سُوَيْدِ بْنِ غَفْلَةَ؛ أَنَّهُ عَادَ زِرًّا فِي مَرَضِهِ، فَقَالَ: قَالَ أَبُو ذَرٍّ، أَوْ أَبُو الدَّرْدَاءِ، شَكَّ شُعْبَةُ. وَرَفَعَهُ مِسْكِينُ بْنُ بُكَيْرٍ، عَنْ شُعْبَةَ، وَوَقَفَهُ غُنْدَرٌ، وَغَيْرُهُ، وَوَقَفَهُ ابْنُ عُيَيْنَةَ، عَنْ عَبْدَةَ، وَلَمْ يَرْفَعْهُ، وَالْمَحْفُوظُ الْمَوْقُوفُ.

Maaf. Saya malas ingin terjemah. Tetapi, kalau terjemah pun, ia agak membosankan pembaca yang tidak ada minat atau kurang upaya dalam kajian sanad dan perbahasan al-ʿIlal sebab banyak nama perawi.

Di sini, al-Imām ad-Dāruquṭniyy menyebutkan beberapa hadis yang kelihatan bercanggahan untuk dianalisis.

Yang menariknya adalah jika kita melakukan aktiviti takhrij, kita pasti akan menemukan sumber hadis yang disebut oleh al-Imām ad-Dāruquṭniyy dan apa yang dia sebutkan itu adalah sama dengan sumber tersebut sama ada pada sanad atau matan.

Ini baru satu tema hadis. Belum lagi beberapa ratus lagi hadis yang dianalisis memiliki masalah. Malah, kalau kita lihat pengkaryaan ahli hadis yang lain tentang hal ini seperti al-ʿIlal karya Ibn Abī Ḥātim ar-Rōziyy serta melakukan takhrij baginya, pasti kita akan menemukan keselarian dapatan antara pengarang dan tokoh yang lain.

Oleh itu, keluasan hafalan para imam hadis sememangnya adalah sesuatu yang realiti dalam catatan sejarah kita. Kesaksian para sarjana dan rekod tentang mereka adalah berdasarkan kebenaran, bukan atas dusta atau dilebih-lebihkan.

Bagi yang susah untuk melihat kehebatan ini, cubalah lakukan aktiviti takhrij atau lihat takhrij yang telah dilakukan oleh pentahqiq kitab. Hanya mereka yang menempuhi apa yang telah ditempuhi oleh ahli hadis sahaja akan menikmati apa yang telah diperoleh dan dicapai oleh mereka yang telah berkecimpung, berkeahlian dan mengabadikan diri dalam bidang hadis. 

Dan saya berani jamin yang mempertikaikan kekuatan hafalan imam hadis kita adalah orang yang tidak pernah langsung melakukan aktiviti takhrij, apatah lagi melibatkan diri dalam tahqiq kitab.

Maka, segala puji bagi Allah yang melahirkan tokoh-tokoh hadis yang membela sumber agama ini daripada dicemari penyelewengan, ketidaktulenan dan percanggahan yang membawa manusia dalam kecelaruan. Mereka semua adalah wira yang berjasa besar dalam dunia keilmuan Islam dan para pejuang yang tidak tertanding nilainya.

Kalaulah ada nikmat yang wajib disyukuri setelah nikmat iman dan Islam, maka ia adalah ahli hadis dan ilmu hadis kerana tanpa mereka dan ilmu yang mereka perjuangkan, ketulenan sumber agama kita mudah diragukan dan terdedah dengan pelbagai tipu daya.

No comments:

Post a Comment