Saturday, 12 June 2021

Mengapa Ahli Hadis Dijulang?

Sememangnya umat Islam patut sensitif apabila ahli hadis diperleceh dan dipermainkan.

Saya secara peribadi boleh tahan lagi kalau ada orang hentam, membahan dan menyinggung para fuqaha, sufi, teologiwan, ahli nahu. Bukan maksudnya saya merelakan sahaja tokoh-tokoh berpengkhususan ini dicabuli dan dipermainkan sebegitu sahaja.

Namun, kalau melibatkan ahli hadis dan para ilmuwannya, saya secara peribadi sangat sensitif. Sampai sekarang ini pun ketika saat menulis ini, radang geram saya masih belum reda.

Ahli hadis ini para salaf menjulang tinggi sampai kalau agama ini menghalalkan penganutnya untuk wujudkan kultus, pasti salaf akan jadikan tokoh ahli hadis sebagai berhala untuk dipuja.

Sumbangan ahli hadis dalam sejarah Muslim sangat besar. Mereka adalah barisan hadapan dalam memelihara ketulenan dan kemurniaan riwayat hadis. Sedikit daripada orang yang sanggup mengembara demi mencari, menulis dan mengumpul hadis serta membuat saringan dalam hadis.

Ahli hadis ini bukan sahaja pakar hadis, tetapi mereka juga adalah fuqaha, teologiwan dan pelbagai bidang ilmu yang lain. Ahli hadis jadi sarjana rujukan apabila timbul kemusykilan tentang sunnah. Mereka juga tidak hanya memfokuskan isu sanad dan matan sahaja, malah mereka juga berjuang mempertahankan umat Islam daripada golongan zindīq, aliran sesat seperti Jahmiyyah, Qadariyyah, Murjiah, Khawarij dan syiah serta melawan Asḥāb ar-Roʾy. 

Sufyān aṯs-Ṯsawriyy pernah berkata :

الْمَلَائِكَةُ حُرَّاسُ السَّمَاءِ وَأَصْحَابُ الْحَدِيثِ حُرَّاسُ الْأَرْضِ

"Malaikat adalah pengawas di langit, manakala tokoh hadis adalah pengawas di bumi". (Šharf Asḥāb al-Ḥadīṯs, karya al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy, m/s 44).

Saya selalu sahaja menyebutkan bahawa jika ada nikmat yang besar selepas iman dan Islam, maka ia adalah ahli hadis dan ilmu hadis. Izinkan saya melantunkan syair :

إِنْ كَانَ هُنَاكَ نِعْمَةٌ كُبْرَى بَعْدَ الْإِسْلَامِ وَالْإِيمَانِ # فَإِنَّهَا أَصْحَابُ الْحَدِيثِ وَعُلُومِهِ 
لَوْلَاهُمْ وَلَوْلَاهَا لَضَلَّتْ الْأُمَّةُ وَأَهْلُ الدِّينِ # عُرَاةً عَنْ رُسُوخِ أَصْلِ الْيَقِينِ وَدَفْعِ كَبْكَةِ الشُّبَهِ

Kalaulah di sana ada nikmat yang terbesar selepas Islam dan iman # Maka, sesungguhnya ia adalah ahli hadis dan ilmunya

Kalau bukan kerana mereka dan kalau bukan kerananya, pasti tersesat umat dan penganut agama ini # Dalam keadaan telanjang pada kekukuhan akar keyakinan dan penolakan bolak-balik syubhat

Mereka ini cekal dalam menekuni dan berdedikasi untuk memartabatkan dan memperkasakan gerak kerja usaha pemurniaan hadis dan membela umat dari sebarang penyelewengan dan kesesatan.

Sebab itu paksi agama salaf ini akan mengikut apa yang ahli hadis tempuhi. Khalifah Hārūn ar-Rošhīd pernah berkata :

وَطَلَبْتُ الْحَقَّ فَوَجَدْتُهُ مَعَ أَصْحَابِ الْحَدِيثِ

"Aku ingin mencari kebenaran, lalu aku dapatinya ia bersama ahli hadis". (Šharf Asḥāb al-Ḥadīṯs, karya al-Kẖoṭīb al-Baġhdādiyy, m/s 55).

Percayalah. Selalunya mereka yang menyalahi ahli hadis akan terdedah kepada zindīq dan aliran sesat. Apabila kita melihat golongan sesat pada hari ini, cuba lihat sendiri di mana paksi mereka dalam agama mereka. Selalunya, mesti jauh daripada manhaj ahli hadis.

Apabila ahli hadis dipermainkan, maksudnya ini membuka ruang untuk sumber ketulenan agama diperkotak-katikkan. Selepas ini bukan sahaja Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy yang akan jadi sasaran pembulian, malah kesemua karya hadis yang lain, malah keseluruhan ilmunya akan dihinjak-hinjak untuk mengheret kita kepada keraguan, waswas dan porak-peranda. Atas sebab inilah perlecehan terhadap ahli hadis dan ilmunya adalah isu yang sangat besar buat semua umat Islam.

Kebanyakan yang memperleceh ahli hadis ini adalah terdiri daripada orang yang jahil. Ilmu hadis sendiri pun hanya dikuasai oleh beberapa orang sahaja walaupun namanya kelihatan ramai di persada dunia. Ambil contoh lingkungan tempatan kita ini. Berapa ramai sahaja yang menyerlah dan berkompeten dalam ilmu hadis? Boleh dibilang dengan jari sahaja atau peratusannya sangat kecil. 

Kalau umat Islam sendiri tidak ramai yang menguasai ilmu hadis, tentu lagi golongan yang memperlekeh ahli hadis dan seni ilmunya. Sedikit yang mungkin hampir-hampir tidak ada langsung.

Sebab itu, saya sangat berani jamin orang yang mencurigai kemampuan hafalan para imam hadis kita sehingga ratusan ribu ini tidak pernah langsung pernah membuat kerja takhrij dan mendedikasikan diri dalam praktikalʿilal al-Hadiṯs. Sekali lagi, ini yang berani saya jamin.

Kalau mereka tidak pernah terlibat dalam kegiatan takhrij dan ʿilal al-Hadiṯs, apatah lagi tidak tahu langsung bagaimana pengamalan takhrij dan ʿilal al-Hadiṯs, bagaimana mungkin mereka sanggup berkata sesuatu yang di luar pengkhususan mereka? 

Mereka sendiri jauh daripada gerak kerja yang dilakukan ahli hadis, apatah lagi jahil dalam kesenian ilmu hadis, patutkah mereka berkata seakan-akan memposisikan diri seolah-olah tahu hakikat tradisi ilmu hadis dan ahlinya?

Mereka boleh mengamuk kalau anti-vaksin menimbulkan keraguan tentang perubatan yang anti-vaksin sendiri tidak pernah terlibat langsung dalam lapangan praktikal. Mengapa untuk kes lapangan hadis, mereka boleh pula melanggar dan merasa tidak perlu untuk mendalami ilmu hadis terlebih dahulu? 

Kritis minda? Dengan mengabaikan sistem yang distabilkan dalam ilmu hadis? Kemudian, mahu pendapat mereka ada nilai pemberat dan dihormati? Mereka sendiri cabul untuk tidak mengukuhkan diri dalam ilmu hadis terlebih dahulu, tetapi tergamak memperlekeh kemampuan besar para tokohnya. Cukuplah "bullshit" ini.

No comments:

Post a Comment