Monday, 28 February 2022

Keluarga Al-Ġhumāriyy Dan Punca Mereka Tidak Mendapat Sambutan Di Tanah Air Kita

 


Syukur segala puji bagi Allah. Selamat sampai buku yang dikirim dari Mesir tentang kajian dua tokoh ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy, al-Ḥāfīz Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq dan adiknya, al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy.

Sudah lama tidak membeli barang dari luar negara semenjak bermula pandemik Covid-19 dan sejak semakin sengkek sampai sekarang. Cuma, saya tidak sangka pula buku dari luar negara pun perlu dikuarantin terlebih dahulu sebelum di hantar ke rumah.

Apapun, kajian tentang tokoh ahli bait dari keluarga al-Ġhumāriyy ini memang subjek yang saya minat dan memang ingin menyelaminya lebih dalam serta jalan manhaj yang saya pilih. Inilah antara sebab besar yang mendorong saya untuk membeli buku ini dan ia sudah dalam target saya untuk mengumpulkannya dan menelaahnya secara mendalam untuk sepanjang nyawa di kandung badan.

Kedua-dua buku ini lebih menekankan bedah kitab peninggalan mereka yang mencambahkan sumbangan keilmuan dan pembaharuan kepada tradisi keilmuan tempatan. Ia membedah tentang tujuan penulisan, latar belakang penulisan kitab, tema bagi pengisian kitab, pemaparan isi penting dalam kitab yang menarik untuk dibentangkan dan dibahaskan seperti penyebutan dalil mereka serta kronologi penyampaian poinnya.

Cuma, bezanya adalah buku tentang al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy dibentangkan terlebih dahulu asas manhaj dan pemikirannya dalam menjalankan kajian, perbahasan dan kritikannya. Adapun pada al-Ḥāfīz Aḥmad, ia terus difokuskan bedah buku, tidak ada kupasan tentang asas manhaj pemikiran.

Saya faham kenapa untuk bahagian al-Ḥāfīz Aḥmad disingkatkan perbahasannya. Ini kerana sudah ada beberapa karya kajian tentangnya yang saya kira sudah memadai dan ekstensif seperti Musāmaroh aṣ-Ṣiddīq Bi Baʿḍ Aḥwal Aḥmad Ibn aṣ-Ṣiddīq karya Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ. Pengulangannya lagi sememangnya tidak diperlukan lagi. Oleh sebab tema bedah kitab belum ada lagi sekalipun sudah ada artikel yang berkaitan, maka sememangnya patut untuk difokuskan kepadanya dalam satu buku khas.

Malah, nama beliau lebih menonjol berbanding adiknya. Memandangkan beliau sudah dikenali ramai, maka mungkin sahaja penulis mengambil kira untuk tidak perlu mengulangi lagi dan hanya memfokuskan pada tema yang lain. Adapun adiknya, sememanngya perlu diperincikan lagi memandangkan beliau masih terpendam dalam lipatan sejarah dan belum ada lagi kajian yang serius tentangnya sehingga perlu lebih banyak perincian.

Cuma yang menjadikan saya terkejut sebentar adalah penulis yang mengkaji tentang al-Faqīh ʿAbdul Ḥayy ini menyatakan bahawa beliau seorang salafi. Agak mengecewakan tiada nota kaki untuk menyabitkan sumber dakwaan ini. Sepanjang saya membaca buku ini dan sekadar pengetahuan saya dalam pembacaan kitab daripada beliau serta beberapa maklumat yang saya tahu tentang beliau tidak menunjukkan tanda-tanda sedemikian.

Namun, setelah diusahakan untuk membuat kajian silang, ternyata ada persaksian daripada Muḥammad Ḥamzah bin ʿAliyy al-Kittāniyy bahawa beliau adalah salafi pada iktikadnya. Cuma, penyebutan "salafi" ini mengandungi equivokal kerana akidah salafi di sini boleh jadi ia adalah mazhab tafwid di sisi aliran al-Ašhʿariyy pada hakikatnya atau ia adalah mazhab isbat yang bukan semestinya berpihak pada at-Taymiyyun atau wahabi. Sebab itulah penyebutan "salafi" ini mengandungi kekaburan.

Cuma, kalau betul beliau adalah salafi, maka saya tidak terkejut kerana dua perkara. Pertama, abangnya, al-Ḥāfīz Aḥmad sendiri akidahnya adalah salafi kecuali beliau menyalahi salafi dalam satu perkara yang kritikal. Malah, sampai ada yang kata beliau menganut akidah wahabi meskipun beliau adalah sufi yang pekat. Maka, untuk hairan apa lagi kalau ada salah seorang adiknya sebegitu juga?

Kedua, keluarga al-Ġhumāriyy sememangnya dituduh wahabi oleh sebahagian sufi yang tidak menyenangi walaupun mereka semua adalah sufi. Al-Ḥāfīz Aḥmad dan adiknya, al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah dan Syeikh Muḥammad az-Zamzamiyy antara yang menjadi mangsa kepada tuduhan ini. Maka, untuk apa dihairankan lagi kalau ada salah seorang daripada keluarga ini adalah salafi?

Sebentar! Bolehkah ahli bait ini sememangnya adalah wahabi atau yang "musang berbulu wahabi"? Jawapannya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/10/tokoh-ulama-yang-berketurunan.html

Apapun, nampak sangat hipokrit sebahagian orang yang angkat tinggi keluarga al-Ġhumāriyy kerana ketokohannya dalam keilmuannya, kewibawaannya dalam mempertahankan tradisi kesufian dan kerana mereka adalah ahli bait. Akhirnya, kalau ada bahagian yang menyelar mereka, terus dilabel wahabi. Ulama mereka sendiri ditongsampahkan sebegitu.

Bahkan, boleh kata kebanyakan yang tahu nama tokoh dari keluarga ini hanya tahu pada biografi, bukan pada manhaj mereka dan usaha pembaharuan mereka. Kalau pun mereka tahu, mereka abai aspek yang signifikan dan hanya ambil yang memihak kepada mereka, lalu membesar-besarkannya pada itu. Kalau yang jujur dan tegar dengan kekolotan Asamjawanya, dia akan berkata bahawa keluarga ini bawa fahaman wahabi!

Bagi yang mengenali keluarga al-Ġhumāriyy, sememangnya tidak perlu hairan mengapa mereka ini dapat labelan wahabi walaupun mereka antara yang lantang mengkritiknya. Ini kerana perjuangan tajdid mereka ini bukan selalunya mendapat sambutan yang memberangsangkan dan penerimaan yang penuh dinantikan.

Untuk membawa tajdid ini, sememangnya tidak lepas dari perbahasan, kupasan, analisis dan perbincangan yang terbebas daripada taklid, apatah lagi ketaksuban dan juga kritikan sama ada kepada masyarakat sekeliling atau ilmuwan yang ada di situ. Itulah sebabnya perjuangan tajdid ini bukan semuanya disukai ramai.

Pertama, kita perlu bersikap neutral dan fokus tanpa terikat dengan mana-mana mazhab atau aliran. Ini sukar untuk direalisasikan jika masing-masing mahu dari awal sehingga akhir dengan "Berkata imam itu", "Syeikh saya berkata", "Ini sudah ada dalam kitab", "Ada pandangan ulama tentang ini" atau seumpamanya. Inilah antara sebab al-Ḥāfiẓ Aḥmad sangat murka dengan golongan pentaklid. Al-Qurʾān dan hadis diketepikan kerana ingin kekal dengan ikutan gurunya, tokohnya atau tradisi yang telah lama diwarisi. Saya pernah menceritakannya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2022/02/kesaksian-keluarga-al-ghumariyy.html

Kedua, dalam memilih pandangan yang berbeza, mahu atau tidak mahu, perlu adanya kritikan bersama pembentangan dalil dan kupasannya dalam membatalkan pandangan seseorang tokoh meskipun besar kedudukannya dalam masyarakat, biografi dan sejarah. Siapa yang tidak berang kepanasan jika imam agung yang selama ini menjadi ikutan menjadi subjek kritikan yang entah daripada siapa yang tiba-tiba datang pada zaman ini? Inilah punca utama mengapa tajdid adalah perjuangan yang pahit kerana para pembawa panjinya akan berhadapan dengan cemuhan dan sangkaan buruk daripada masyarakat setempat.

Cuba bayangkan jika tradisi ini dibawa ke tanah air kita. Masing-masing boleh agak apa akan jadi. Rasanya kalau keluarga al-Ġhumāriyy masih hidup dan berpindah ke tanah air kita pun, pasti mereka juga akan berhadapan dengan nasib yang sama sepertimana di tanah kelahiran mereka.

Baca buku ini pun sudah cukup memadai untuk mencerahkan mata dalam melihat bagaimana mereka ini mengambil langkah yang berbeza daripada sekelilingnya. Pembaca akan faham mengapa boleh dikatakan bahawa keluarga ini sangat berbeza dengan rata-rata al-Ḥabīb pada hari ini.

Baca pendapat-pendapat kedua-dua tokoh dari keluarga ini dan jika kita mengemukakan pandangan mereka berdua ini kepada masyarakat kita, itu sudah cukup membuatkan warga tempatan kita kebanyakannya akan menggigil keresahan, lalu benci, meluat dan mencemuh habis-habisan walaupun inilah yang dipertahankan dan diunggulkan oleh tokoh ahli bait yang mereka sanjung dan membubuh wangi-wangian pujian yang hebat untuk mereka.

Walaupun ada beberapa orang tempatan kita yang dikenali dengan kearifannya dalam keluarga ini, mereka masih belum mampu membawa kerancakan sepertimana keluarga ini bawa dan jika ada pun, hanya serpihan kecil daripadanya. Ini kerana bukan mudah untuk melawan arus yang telah lama menjadi tradisi tempatan dan berakar teguh sepanjang zaman. Hanya orang yang berjiwa besar seperti keluarga ini sahaja yang mampu menggalas perjuangan ini.

Sebab itulah antara yang saya berani cakap adalah sesiapa yang tidak mengenali keluarga ini, dia tidak akan mampu mengakui keunikan dan kepelbagaian pemikiran yang ada pada para ulama kita. Orang seperti ini selalunya akan berfikiran binari; wahabi atau Aswaja. Jenis inilah yang selalu saya bertembung, khususnya apabila bertelagah dengan mereka. Sempit otak mereka dan hanya kenal ilmu dalam pelabelan berbanding untuk fokus dengan manhaj dan analisis penghujahan.

Agak mendukacita sekali adalah nama ini cukup berpengaruh di tanah air kita, tetapi yang benar-benar dapat memeriahkan tradisi mereka ini hampir-hampir tiada. Selalunya ada dua sebab yang menghalangnya; sama ada kerana kenal pada nama sahaja atau kenal, tetapi hanya ambil aspek yang tertentu sahaja, lalu mengetepikan yang lain yang tidak menyebelahinya, khususnya yang tidak berpihak pada Asamjawa kerana banyak pandangan keluarga ini melawan tradisi tempatan.

Khazanah mereka yang mengandungi banyak keunikan tidak dimanfaatkan dengna baik dan didedahkan kepada orang ramai kerana sikap sebahagian orang yang membina naratif sepihak untuk kepentingan mereka.

Kemudian, ia juga dari orang yang sudah menuai warisan daripada mereka dan memperakui keistimewaannya, tetapi tidak dapat atau tidak mampu untuk memberikan manfaat yang seberhaknya kepada masyarakat di tanah air.

Ia lantaran sama ada kerana orang ini kurangnya kemampuan keilmuan, kefaqihan dan perluasan capaian sepertimana keluarga ini atau kerana enggan berkonfrontasi secara sengit dengan warga tempatan yang sukar untuk menuju kepada pembaharuan sehingga mereka perlu membelakangkan perjuangan mereka demi meraikan masyarakat sekeliling atau tidak mahu merosakkan hubungan kemesraan antara sesama orang ramai, lebih-lebih lagi dengan ilmuwan tempatan. Mungkin yang mereka mampu hanyalah menyampaikan sedikit demi sedikit agar masyarakat tidak terbeban dengan beban yang terlalu berat secara tiba-tiba, lalu dengan itu, mereka meluat dengan usaha pembaharuan. Saya secara peribadi juga mungkin sahaja termasuk orang sebegini.

Apapun, saya dan beberapa mereka yang lain juga sememangnya sudah menjalankan usaha untuk memperkenalkan beberapa perkara daripada keluarga ini dan menuju kepada pemerkasaan nama mereka dalam wacana keilmuan kita. Sememangnya tidak boleh dibawa secara drastik kerana itu boleh menjadi panahan kilat yang menyambar seluruh apa yang menjadi erat sepanjang zaman dan arus perdana di sini. Kejutan budaya akan membangkitkan lagi semarak kemarahan dari orang ramai.

Saya sememangnya berharap agar dapat diterjemahkan buku ini supaya kita kenal kenapa mereka ini digelar mujaddid dan bagaimana kewibawaan mereka terserlah melalui karya peninggalan mereka. Kita lihat sendiri kenapa al-Fāqih ʿAbdul Ḥayy digelar an-Nāqid (kritikus). Gelaran yang diberi ini bukan sesuka hati atau pujian lebih-lebihan dari pengikutnya yang dungu. Ia adalah realiti yang terbentang dan terabadi dalam karya mereka.

Kemudian, yang begitu mendukacitakan sekali adalah sebahagian karya mereka masih dalam berbentuk tulisan tangan dan sampai sekarang belum dicetak atau usaha untuk percetakannya. Saya tidak tahu mengapa keluarga yang cukup terkenal di mata dunia ini agak kurang diberi perhatian dalam pemeliharaan kitab mereka kecuali dari al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah yang sudah berjaya diensiklopediakan kesemua karyanya.

Apa yang sedang terjadi? Malulah kalau wahabi berjaya memelihara kitab mereka dan mampu mengumpulkannya dalam perisian Maktabah Syamilah, mengapa kita yang selalu mendabik dada bahawa kitalah lebih unggul daripada wahabi ini sangat lesu dalam memelihara kitab tokoh ilmuwan kita yang terbilang, lagi-lagi dari ahli bait?

Saya amat berharap agar akan datang, karya-karya ahli bait secara khususnya tidak begitu ketinggalan dalam pemeliharaannya. Khazanah mereka sangat bernilai dan tidak patut kita mengabaikannya jika kita berpegang teguh kepada wasiat Rasulullah صلى الله عليه وسلم untuk mengikuti jalan ahli bait baginda.

Bagi yang ingin mengenali keluarga ini, saya pernah menghasilkan penulisan tentangnya di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/kekaguman-dr-umar-muhammad-noor.html

No comments:

Post a Comment