Kalaulah aliran al-Ašhʿariyy termasuk aliran bidaah sebagai contoh, kalaulah al-Ḥāfiẓ as-Suyūṭiyy, al-Ḥāfiz Ibn Ḥajar al-ʿAsqolāniyy, al-Imām an-Nawawiyy, al-Imām al-Bayhaqiyy, al-Imām Taqiyuddīn as-Subkiyy dan lain-lain dari tokoh terbilang dari kalangan aliran ini masih hidup pada hari ini, beranikah mereka ingin boikot mereka ini dan melarang untuk menghadiri pembelajaran dari mereka kerana kononnya mereka semua ini menyalahi manhaj salaf dalam sifat Allah?
Paling tidak malu adalah orang yang mengambil manfaat yang banyak lagi besar daripada karya-karya peninggalan mereka, lalu dia menjadikannya sebagai bahan pengajaran, syarahan dan memetik pandangannya untuk jadi penguat dan sokongan. Kemudian, mendakwa bahawa dialah pengikut salaf sejati kerana tidak duduk bersama dalam kelompok bidaah.
Era ini, berebut salafi mensyarahkan kitab al-ʿAqidah aṭ-Ṭoḥāwiyyah yang mana ia adalah kitab penting untuk aliran al-Māturidiyy dan menjadikannya sebagai subjek pengajaran di kuliah umum. Tidak malukah menumpang karya daripada ahli bidaah untuk menyebarkan fahaman mereka? Bayangkan kalau penulis kitab ini masih hidup pada hari ini dan melihat bagaimana matan kitab ini disyarahkan untuk kepentingan aliran yang lain.
Jangan lupa bahawa Qotādah adalah tokoh rujukan penting dalam tafsir meskipun beliau menganut al-Qodariyyah[1]. ʿIkrimah, maula Ibn ʿAbbās juga diperakui kewibawaannya dalam tafsir meskipun beliau adalah al-Ibāḍiyy[2].
Kedua-dua tokoh besar ini walaupun menganut aliran bidaah, tetapi para salaf masih menadah kebaikan yang besar daripadanya serta berdamping bersama demi kepentingan ilmu dan agama. Hanya sahaja salaf tidak berkompromi dengan akidah yang batil tersebut. Inilah kesaksamaan salaf.
Namun, salaf paling anti dengan Jahmiyyah, Muktazilah dan juga ar-Rōfiḍoh sampaikan mereka tidak mahu ambil hadis daripada mereka kerana teruknya keparahan akidah mereka. Jika yang ini, sememangnya layak diboikot dan ditegah dari berdamping bersama dengan mereka.
Kalaupun dia dikateogrikan kelompok bidaah, janganlah pukal semuanya adalah sama tahap keseriusannya. Ada yang cukup sekadar boikot sebahagian sahaja seperti boikot hanya pada kuliah akidah, tetapi boleh dipelajari dalam bidang lain yang bukan berkaitan dengan akidah dan yang berkepakaran dengannya. Ada yang sememangnya diboikot secara total kerana manhaj keilmuannya sudah cukup teruk dan tidak boleh ditoleransi lagi.
Jangan pukal sama rata. Kita perlu lihat satu persatu. Kalau mentahzir secara sembarangan, lihatlah apa yang telah dilakukan oleh al-Madkẖoliyy.
Cuba lihat senarai nama-nama yang dia tahzir. Jangan terkejut kalau ada nama besar yang menjadi tokoh penting bagi salafi hari ini sebenarnya termasuk dalam senarai yang ditahzir olehnya. Salafi sahaja sudah cukup jadi mangsa yang teruk oleh al-Madkẖoliyy. Bayangkan kalau tokoh-tokoh al-Ašhʿariyy yang disebutkan tadi ini masih hidup pada zamannya. Agaknya, apa kedudukan mereka di sisi dia?
Semoga Allah melindungi kita dari pelampauan dan tipu daya eksklusiviti.
[1]Rujuk Siyar Aʿlām an-Nubalāʾ karya al-Ḥāfiḏz aḏz-Ḏzahabiyy ketika membiografikannya.
[2]Rujuk kenyataan beberapa muhadditsin sepertimana yang dikutip al-Ḥāfiẓ al-Mizziyy dalam Tahḏzīb al-Kamāl Fī Asmāʾ ar-Rijāl.
No comments:
Post a Comment