Saturday, 15 October 2022

Untuk Salafi Mangkuk Ayun Yang Suka Menuduh Mazhab Fiqh Pembawa Bidaah


Beberapa hari lepas, saya ada kongsi hantaran Dr Labīb Najīb** yang menegur seseorang yang menuduh mazhab fiqh, khusus mazhab Šhāfiʿiyy membawa pendapat yang bidaah.
Boleh baca di sini bagi mereka yang berkemampuan berbahasa Arab : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=5436724883085846&id=100002451650189

Beliau mengingatkan bahawa janganlah setiap pendapat yang berlawanan dengan orang itu seperti qunut subuh, solat tarawih 20 rakaat, merayakan maulid, menyapu muka selepas solat dan menghidupkan malam nifsu Syaaban sebagai bidaah.

Beliau menyatakan bahawa ini semua adalah ijtihad dan setiap daripada itu ada tempat sandaran. Usah menyangka bahawa ulama Šhāfiʿiyyah tidak mengenali dalil dan dan bentuk-bentuk istidlal seolah-olah mereka ini budak kecil.

Beliau menyebutkan bahawa mazhab Šhāfiʿiyy banyak melahirkan ulama yang berkepakaran dalam hadis, tafsir dan usul. Tidak ditinggalkan karya-karya kepada kita melainkan ia adalah penulisan ilmuwan yang agung dari mazhab ini. Beliau mempersoalkan patutkah mereka ini dituduh pembawa kepada bidaah?

Kemudian, ada salafi mangkuk ayun entah mana berkomentar untuk mengingatkan beliau agar jangan lupa bahawa al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy berkata: "Apabila sahihnya hadis, maka itulah mazhabku". Kemudian, salafi ini menambah bahawa apa yang Dr Labīb Najīb sebutkan ini tidak sahih hadisnya dan dia mendakwa bahawa al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy pun tidak akan menerimanya! Kemudian, salafi lain pun merespons dengan berkata: "Benarlah ašh-Šhāfiʿiyy, Aḥmad dan Abū Ḥanīfah!".

Dr Labīb Najīb tanpa banyak bicara merespons dengan berkata secara sarkastik: "Jelaskan pada orang ramai tentang tadlis kami supaya mereka tidak terpedaya!".

Salafi yang poyo ini pun entah dia tahu atau tidak bahawa masyayikh salafi dia pun sebenarnya berselisih pandangan dalam menentukan sesuatu perkara itu bidaah atau tidak. Untuk contoh pertama, lihat isu tentang menancapkan pohon di kubur yang diperdebatkan antara ustaz Hafiz al-Za'farani (HAZA) dengan ustaz Qarni Edrus.

Itu baru salah satu contoh. Belum isu yang lain seperti zikir dengan biji tasbih, mencium mushaf al-Quran setelah pembacaannya dan lain-lain.

Kalau kita sebut pandangan syeikh mereka yang menyelisihi pandangannya, mereka akan menjawab: "Ikutan kami adalah al-Quran dan sunnah! Bukan mana-mana imam atau syeikh!".

Kita berkata kepada mereka: "Kalau begitu, imam atau syeikh yang tidak menghukum bidaah sepertimana yang kamu berpendapat padanya, bahkan membenarkan dan melakukan amalan yang kamu menganggapnya sebagai bidaah, adakah mereka adalah pelaku bidaah dan berpendapat dengan pendapat ahli bidaah?".

Jika mereka menjawab: "Mereka tersalah dalam ijtihad mereka. Semoga Allah memaafkan kesalahan mereka dan memberikan satu pahala", kita berkata: "Kalau itu yang kamu boleh kata untuk syeikh kamu, mengapa kamu begitu lancang dengan imam-imam mazhab seolah-olah pendapat yang menyelisihi kamu seperti isu keharusan sambutan maulid sebagai bidaah dan penyebaran pandangan ini sama seperti penyebaran pandangan bidaah?".

Kalau kamu tidak setuju pun pada isu sambutan maulid sebagai contoh, jangan lancang terhadap imam-imam mazhab seolah-olah lawan pandangan kamu adalah bidaah dan apa yang selari pada kamu, barulah dikira sunnah! Inilah sebenarnya yang ingin dijelaskan oleh Dr Labīb Najīb.

Kalau kamu boleh menghormati manhaj syeikh salafi kamu dan tidak menyesatkannya kerana selari dengan suatu mazhab yang kamu berpandangan ia adalah bidaah, maka mengapa tidak boleh bersikap yang sama untuk mazhab-mazhab fiqh?

Kalau mereka berkata pandangan syeikh itu sama seperti pandangan ahli bidaah dan pelaku bidaah, maka jelaslah bahawa sikap ekstrim mereka yang mana sesiapa sahaja tidak berpendapat bahawa ia adalah bidaah, maka dia termasuk ahli bidaah atau orang yang redha terhadap bidaah!

---------------------------------

Al-Ḥāfiẓ Aḥmad bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy adalah antara ahli ilmu yang sangat keras terhadap taklid dan pandangannya tentang ikutan bermazhab adakalanya sangat ekstrim yang mungkin sahaja pengikutnya dari kalangan Aswaja akan menganggap seolah-olah al-Ḥāfiẓ adalah wahabi dalam isu ini dan mungkin sahaja rata-rata salafi tidak tergamak untuk mengucapkan sedemikian.

Sebagai permulaan, boleh rujuk di sini : https://marzukamartillo.blogspot.com/2022/04/al-hafiz-ahmad-al-ghumariyy-dan-ikutan.html

Akan tetapi, dalam isu menanggapi mengapa sebahagian ahli ilmu yang berkepakaran dalam ijtihad memilih untuk bertaklid kepada suatu mazhab tertentu, beliau ada pandangan yang menyerikan pembaca.

Dalam pembahagian tiga jenis pentaklid menurut beliau, ada tiga jenis orang. Yang pertama adalah yang jahil seperti orang awam kebanyakan. Yang kedua adalah ahli ilmu dan ini subjek yang akan dibincangkan. Yang ketiga adalah pentaksub. Untuk yang ketiga, saya sudah kongsi di pautan di atas.

Ulama mujtahid yang memilih untuk kekal dalam satu mazhab adalah kerana mereka mendapati dan meyakini bahawa mazhab mereka di atas kebenaran. Ikutan mereka kepada mazhab bukan atas dasar taklid, tetapi setelah penelitian dan penganalisaan, lalu mereka mendapat kesimpulan bahawa mazhab imamnya adalah yang paling kuat, paling rajih dan paling konsisten dengan manhaj ilmu yang mereka cuba.

Bagi yang mengikuti mazhab ašh-Šẖafiʿiyy, mereka merasakan bahawa kaedah-kaedah istinbat, perajihan dan analitikal lebih kuat daripada mazhab-mazhab yang lain setelah membuat perbandingan dan penelitian. Sebegitu juga mereka yang berada di mazhab lain.

Dengan kata lain, mereka mengikuti mazhab ini atas dasar ilmu dan setelah melalui proses pengkajian, bukan masuk terjun membabi, kemudian capai apa sahaja di sekeliling tanpa mengira sampah sarap, unggun kayu atau batu-bata semata-mata untuk menguatkan binaan mazhabnya.

Selanjutnya boleh baca di sini bagi mereka yang boleh memahami bahasa Arab : https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/11/blog-post_25.html

Dengan penjelasan beliau ini, jelaslah bahawa ulama yang bertaraf mujtahid kekal di atas satu mazhab bukan kerana mereka tidak tahu dalil, tidak kenal sunnah, tidak mahir dalam analisis dan tidak mengerti keupayaan mereka untuk independen.

Mereka setia dengan mazhab walaupun mereka ada beberapa bahagian yang mereka selisihi yang mana ia menjadi pendapat pilihan (ikẖtiyārōt) mereka kerana mendapati dan meyakini bahawa mazhab itulah yang terunggul berbanding yang lain.

Daripada sini, jelaslah bahawa imam-imam mazhab mereka ini juga berijtihad sepertimana masyayikh salafi mereka, bahkan imam mazhab ini jauh lebih unggul dalam usaha ijtihad berbanding syeikh salafi mereka. Apatah lagi jika ingin dibandingkan dengan yang mentah separuh masak mahu menjadi buah-buahan yang laku di pasaran.

Jangan cuba ajar al-Imām an-Nawawiyy, al-Imām Ibn Ḥajar al-Haytamiyy, al-Imām ar-Romliyy dan semua imam lain tentang kalam al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy: "Apabila sahihnya hadis itu, maka itulah mazhabku" seolah mereka tidak tahu tentang kalam ini.

Kalau kamu betul-betul mengikuti kalam al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy, mengapa kamu boleh ada ijtihad yang berbeza dengan beliau? Adakah al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy tidak tahu hadis yang kamu kutip sebagai penghujahan dan tidak tahu cara istidlal kamu?

Kalau kamu berkata: "Setiap orang ditolak pandangannya dan diterima melainkan nabi yang maksum!" dan kamu menghormati ijtihad mereka yang berlainan, maka mengapa dengan imam-imam lain yang mengikuti al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy kamu melayani dengan cukup berbeza bahawa mereka yang berpendapat keharusan sambutan maulid sebagai contoh adalah golongan bidaah sepertimana bezanya layanan kamu dengan masyayikh salafi kamu dengan imam mazhab yang lain?

Isunya adalah bukan pandangan itu adalah bidaah atau tidak semata-mata. Soalnya adalah bagaimana tanggapan kamu terhadap imam-imam yang berijtihad, lalu tersalah menurut kamu? Adakah mereka ijtihad sama seperti ahli bidaah atau yang berselarian dengan corak pemikiran masyayikh salafi kamu? Adakah setiap yang menyetujui kamu, maka ia adalah sunnah dan setiap yang menyelisihi kamu adalah bidaah?

Mudah-mudahan mengertilah apa yang ingin dibincangkan daripada hantaran Dr Labīb Najīb.

**Ada salafi totok tempatan sayang sangat dan bela beliau daripada ditahzir oleh sekelompok salafi yang lain. Sekarang, untuk hantaran sebegini, bagaimana? Kalau salafi totok tidak mentahzir, maka mereka sebenarnya menerima manhaj Aswaja secara umum dan ustaz di Perlis secara khusus dalam isu bermazhab. Kalau mereka tahzir, pembentangan di atas adalah jawapan saya untuk mereka.

No comments:

Post a Comment