Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy, salah seorang keturunan Rasulullah SAW yang ahli hadis lagi sufi dalam karyanya yang berjudul an-Nafḥah aḏz-Ḏzakiyyah Fī Anna al-Hajr Bidʿah Šhirkiyyah menyatakan bahawa beliau menarik balik karyanya yang berjudul al-Qowl al-Masmūʿ Fī Bayān al-Hajr al-Mašhrūʿ kerana beliau mendapati beliau melakukan kesalahan dalam karya tersebut.
Karya an-Nafḥah aḏz-Ḏzakiyyah ini adalah pembetulan terhadap karya al-Qowl al-Masmūʿ dan pandangan baru beliau dalam isu al-Hajr, iaitu "pengucilan" dalam bahasa Melayu atau "excommunicate" dalam bahasa Inggeris.
Pada asalnya, iaitu dalam kitab al-Qowl al-Masmūʿ, beliau berpandangan bahawa pengucilan ini ada yang diizinkan dalam syariat dan ada yang diharamkan. Yang diharamkan pada sabda Rasulullah SAW :
لا يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلَاثِ لَيَالٍ، يَلْتَقِيَانِ فَيُعْرِضُ هَذَا وَيُعْرِضُ هَذَا ، وَخَيْرُهُمَا الَّذِي يَبْدَأُ بِالسَّلامِ
"Tidak halal bagi seseorang Muslim mengucilkan saudaranya lebih tiga malam dalam keadaan bertemu, lalu seorang berpaling dan seorang lagi juga berpaling. Sebaik-baik mereka berdua adalah yang memulakan salam". [Ṣoḥīḥ al-Bukẖōriyy dan Muslim].
Menurut al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy pada pandangan awalnya adalah kerana mahu memutuskan persaudaraan atau kekeluargaan disebabkan pergaduhan yang melibatkan isu yang remeh, kecil dan perkara yang melibatkan perselisihan pendapat yang muktabar. Pergaduhan itu mungkin sampai tidak mahu berbalas salam, tidak mahu menziarahi ketika sakit, tidak mahu solat jenazah kepada orang yang dia bergaduh dengannya dan lain-lain.
Kemudian, pengucilan yang disyariatkan menurut pandangan lamanya adalah apabila dengan orang kafir, fasik dan beberapa hal yang memberi faktor untuk mengucilkan diri seperti ketakutan terhadap penguasa zalim dan lain-lain.
Beliau berkata pandangan lama beliau ini terkesan dengan pandangan majoriti ulama.
Pembahagian seperti ini kemudiannya disemak semula oleh beliau, lalu beliau menghasilkan karya yang baharu untuk membetulkan pandangan lamanya dan membantah mereka yang mengatakan adanya pembahagiaan pengucilan seperti ini. Maknanya, pandangan baharu beliau ini menyalahi majoriti ulama!
Pandangan baru beliau adalah pengucilan diharamkan dari semua segi kecuali jika ia sememangnya tidak dapat dielakkan. Yang tidak dapat dielakkan ini adalah kerana darurat setelah berusaha untuk menghubungkan pertalian dan mengekalkan perhubungan, tetapi tidak berjaya. Bukan sebab rukhsah atau pengecualian yang berupa harus daripada pengharaman.
Maksudnya, pembahagian pengucilan seperti ini adalah tidak benar menurut pandangan barunya. Tidak boleh sama sekali mengucilkan seseorang hanya kerana seseorang itu kafir, ahli bidaah atau maksiat melainkan sememangnya tidak dapat diselamatkan lagi untuk menyambung pertalian.
Sama ada pandangannya yang baru atau pandangannya yang lama adalah benar itu bukan persoalan utamanya dan itu terserah kepada pembaca. Di sini, saya tidak berhajat untuk membahaskannya. Yang saya inginkan adalah mengongsikan beberapa faedah yang boleh diperolehi :
a) Walaupun daripada keturunan Rasulullah SAW, bukan bermakna semuanya adalah benar, apatah lagi dikultuskan. Lihat bagaimana tokoh yang berketurunan Rasulullah SAW ini juga mengakui kesilapan dalam pandangannya dan membetulkan penulisan yang lamanya. Tidak ada konsep hari ini benar, maka selamanya benar dan wajib diterima bahawa ia adalah benar hanya kerana penulisnya memiliki darah daripada baginda dalam segenap isu. Pendapatnya juga disemak sama ada penulis sendiri atau orang lain.
Saya pernah menulis tentang penarikan balik al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy terhadap karyanya yang berjudul al-Kanz aṯs-Ṯsamīn Fī Aḥādīṯs an-Nabiyy al-Amīn kerana beliau mendapati terdapat banyak hadis yang dhaif dan karyanya ini juga disemak kritik oleh adiknya sendiri, ʿAbdul ʿAzīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy di sini :
https://www.facebook.com/photo?fbid=493740805327960&set=a.104468064255238
Daripada sini bahawa bukan semua pandangan daripada keturunan baginda adalah benar dan dijulang soelah-olah terkudus yang tiada semak dan imbang terhadapnya. Tidak! Keturunan baginda pun perlu melaksanakan kewajipan untuk menunaikan hak-hak kewajipan dirinya terhadap ilmu, hujah dan kebenaran sepertimana kaum Muslimin yang lain. Mereka juga tidak boleh melanggar disiplin ilmu dan semberono dalam berhujah dan memberi pandangan.
b) Walaupun daripada keturunan Rasulullah SAW, beliau juga membentangkan hujah berdasarkan al-Quran dan hadis serta melalui metodologi ilmu. Ini pun kewajipan mana-mana mereka yang ingin menyampaikan dan menegakkan kebenaran.
Beliau sama sekali tidak menggunakan lesen zuriat baginda semata-mata untuk memaksa atau memperdaya orang ramai supaya pendapatnya didengar dan ditundukkan serta ditepis dari sebarang kritikan dan penyemakan semula sepertimana yang dilakukan oleh sebahagian sufi jahil yang menggunakan falasi Argumentum Ad Verecundiam (Appeal To Authority) yang selalu sahaja berkata: "Fulan berketurunan Rasulullah" semata-mata untuk tidak mahu memberi kredit kepada hujah dan pendapat pihak lain, menebalkan lagi kesombongan, keegoan, pengingkaran dan kedegilan serta mengkultuskan dan mengkuduskan apa sahaja yang datang daripada zuriat baginda.
Keturunan baginda ini sendiri tidak memposisikan dirinya sepertimana yang dilakukan oleh sufi jahil ini. Jika beliau mendapati beliau salah, beliau menarik balik dan membetulkannya. Beliau sama sekali tidak mempertahankan yang telah jelas batilnya sepertimana yang dilakukan oleh sufi taksub, apatah lagi mencanangkan kepada orang ramai bahawa itu adalah pendapat yang patut dikuduskan.
Maka, hendaklah sekalian sufi menjadi celik dalam menimbang, menilai dan memerhati hujah kebenaran. Wajib beriltizam dengan sunnah meskipun menyalahi aliran tertentu dan tokoh tertentu. Inilah yang diperjuangkan oleh keluarga al-Ġhumāriyy secara khusus.
c) Apabila kita dapati kita tersilap, maka kita juga perlu menarik balik meskipun kita ini dipandang tinggi dan diberikan kedudukan yang terhormat oleh masyarakat sekeliling mahupun dunia. Tidak ada kehinaan untuk menarik balik pandangan yang salah setelah tertegaknya hujah ke atasnya sama ada melalui pengamatan sendiri melalui ulangkaji dan penyelidikan semula atau pemberitahuan dan penjelasan orang lain tentang kebenarannya.
Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy telah mempamerkan akhlak yang baik untuk kita meneladani. Beliau tidak mempertahankan egonya dengan berkata: "Aku keturunan Rasulullah" atau seumpamanya. Jika salah, tetap salah. Apa yang beliau lakukan adalah mengakui kesilapan beliau dan membetulkannya serta menyampaikan pandangan yang baharu dengan hujah.
Kadangkala, aneh juga orang yang kekal ingin taksub dengan pihak tertentu walaupun tiada hujah yang tertentu. Yang terbit dari lidah dalam mempertahankan ketaksubannya adalah melalui alasi dan bias kognitif.
Sebutkan sahaja nama falasi dan bias kognitif itu. Ad-Hominem, Argumentum Ad Verecundiam, bandwagon, Red-Herring, Petitio Principii, Argumentum Ad Misericordiam, Argumentum Ad Traditionem, Contrast Effect, Halo Effect, Bulverism, Strawman, Tu Quoque dan macam-macam lagi falasi yang boleh kita namakan. Semuanya keluar dari lidahnya. Tidak ada pun yang mengandungi hujah ilmiah secara objektif.
Ketaksuban ini adalah sesuatu yang ditentang oleh keluarga al-Ġhumāriyy. Oleh itu, ikuti hujah yang telah tertegak dan jauhi ketaksuban.
d) Beliau menyelisihi pandangan majoriti ulama, tetapi beliau tetap menegakkan hujah beliau. Malah, dalam karya ini, beliau berkata Ibn ʿUmar RA salah dalam ijtihadnya dalam mengucilkan anaknya dan al-Imām Abū Dāwud terkeliru dalam pandangan beliau bahawa tidak ada masalah pengucilan kerana Allah disebabkan Rasulullah SAW pernah mengucilkan isterinya selama empat puluh hari. dengan membentangkan alasan beliau, bukan dengan kata-kata kosong sahaja. Selain itu, beliau juga membantah wahabi yang berpandangan adanya pensyariatan pengucilan dalam karya ini.
Apa yang beliau pamerkan di sini adalah keberanian dan tegas dengan pendirian jika diyakini hujah yang dia pegang adalah kukuh meskipun perlu menyelisihi pandangan majoriti dan juga pandangan sahabat Rasulullah RA serta pandangan imam dalam sesuatu bidang. Ini menunjukkan bagaimana kuatnya pengaruh di jiwa beliau dalam menentang taklid dan seruan kepada ijtihad.
Bacaan tambahan untuk mengenali manhaj keluarga al-Ġhumāriyy :
(a) Keluarga al-Ġhumāriyy : Keturunan Rasulullah SAW Yang Menentang Ketaksuban, Taklid Buta Dan Sufi Yang Batil
https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/keluarga-al-ghumariyy-keturunan.html
(b) Mengapa Saya Minat Mengkaji Manhaj Dan Pemikiran Keluarga Al-Ġhumāriyy?
https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/mengapa-saya-minat-mengkaji-manhaj-dan.html
(c) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy Pernah Dituduh Cenderung Pada Wahabi!
https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html
(d)
Az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh : Karya
Tokoh Berketurunan Rasulullah SAW Dalam Membasmi Sufi Yang Batil
https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/az-zawiyah-wa-ma-fiha-min-al-bida-wa-al.html
No comments:
Post a Comment