Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy, ahli hadis yang sufi yang berketurunan Rasulullah SAW dalam karyanya Sabīl al-Tawfīq yang menceritakan biografi tentang dirinya menyatakan bahawa beliau menarik balik karyanya yang berjudul al-Kanz aṯs-Ṯsamīn Fī Aḥādīṯs an-Nabiyy al-Amīn kerana beliau mendapati banyak hadis-hadis dhaif di dalamnya setelah melakukan penyemakan semula.
Itu bukan kesengajaan beliau kerana beliau menulis karya tersebut semasa dalam penjara selama setahun disebabkan kezaliman pemerintah ketika itu, Jamal Abdul Nasir sehingga beliau kekurangan akses rujukan untuk menyemak dan meneliti hadis-hadis yang beliau tulis di dalamnya.
Kita ingin bertanya kepada para pembela al-Ḥabīb (atau harap kepada al-Ḥabīb sendiri), sufi dan mereka yang menyandarkan diri kepada akronim ASWAJA secara umum memandangkan mereka semua ini adalah pengagum keluarga al-Ġhumāriyy dan juga kepada diri kita sendiri secara khusus.
Adakah kita sanggup membuat penelitian semula hadis-hadis yang telah kita sampaikan sama ada ia adalah sahih, memiliki rujukan atau sekadar khabar angin atau sememangnya palsu dan batil?
Jika kita tersalah, adakah kita ingin memohon maaf dan menyatakan secara terbuka yang kita menarik balik dan membetulkan hadis yang telah kita sampaikan?
Mengapa persoalan ini penting? Ini kerana kita ingin menilai semula sejauh mana perhatian kita kepada memelihara kemurniaan hadis-hadis Rasulullah SAW daripada contengan kepalsuan dan kebatilan. Dan ini juga yang akan membezakan kita sama ada ikutan kita kepada yang beriltizam dengan sumber yang sahih dan sunnah yang tulen atau jalan seumpama penglipur lara.
Kadangkala kita hairan seseorang boleh redha dengan hadis yang terang-terang tidak ada asas, batil dan palsu, malah mengaburkan orang ramai dalam menyampaikan hadis dhaif yang dianggap seolah-olah sahih.
Penglipur lara pun diambil dan dipercayai buta-buta hanya kerana memakai gelaran tuan guru dan gelaran pangkat tokoh keagamaan yang tinggi.
Malah, lebih teruk lagi, falasi Argumentum Ad Verecundiam (Appeal To Authority) selalu sahaja dilaungkan dengan "fulan keturunan Rasulullah SAW" semata-mata untuk membenamkan hujah orang lain, mempertahankan ego, kesombongan, kedegilan dan keingkaran, malah mengkultuskan segala apa yang terbit daripada mereka yang berzuriat baginda (atau mungkin ia dakwaan sahaja).
Jadi, al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah al-Ġhumāriyy keturunan mana pula? Firaun? Abū Lahab? Atau beliau menipu nasab beliau?
Sebegitukah sikap kita di hadapan keturunan Rasulullah SAW dari keluarga al-Ġhumāriyy dalam mempertahankan sesuatu hadis yang disampaikan? Atau al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah tunjukkan contoh yang tidak baik untuk diteladani?
Kalaulah beliau yang berketurunan Rasulullah SAW pun menarik balik kesilapan (dan itu pun bukan kesengajaan beliau) setelah penyemakan semula, apa salahnya kita semua meneladaninya untuk melakukan yang sama apabila kita melakukan semakan atau apabila ada orang lain menyampaikan yang benar?
Kalau hadis yang dhaif pun beliau tarik balik, apatah lagi mereka yang meriwayatkan yang batil dan paslu perlu juga menarik balik setelah ditegakkan hujah ke atasnya dan dibentangkan apa yang benar.
Lihat bagaimana zuriat baginda ini dari keluarga al-Ġhumāriyy sangat peka dalam memelihara hadis yang selalu sahaja dialpakan oleh sebahagian mereka yang berakronim ASWAJA.
Janganlah hanya ambil dari keluarga al-Ġhumāriyy hanya kerana mereka adalah ahli hadis yang sufi berketurunan Rasulullah SAW serta melawan al-Albāniyy dan wahabi, tetapi perjuangan mereka kepada sunnah yang tulen dan kelurusan manhaj ilmu diketepikan kerana tidak sesuai dengan kepentingan sufi yang telah terjebak dengan praktik yang bercelaru dan kosong daripada metodologi ilmu.
Kita sebagai pendengar pun, janganlah mempercayai bulat-bulat hadis yang terang-terang telah pun terbukti palsu dan batil. Apa guna ilmu yang telah kita pelajari selama ini untuk menjaga kemurniaan hadis dan memahami syarat-syarat kesahihan hadis, tetapi mengkhianatinya dengan mempercayai bulat-bulat fulan yang mempunyai pelbagai gelaran tokoh agamawan? Itulah ilmu yang tidak memberi manfaat pada akalnya dan juga dirinya.
Al-Imām ašh-Šhāfiʿiyy berkata :
لَيْسَ الْعِلْمُ مَا حُفِظَ الْعِلْمُ مَا نَفَعَ
"Bukanlah ilmu itu pada apa yang dihafal, tetapi apa yang dimanfaatkan". [Ḥilyah al-Awliyʾ Wa Ṭobaqōt al-Aṣfiyāʾ, karya Abū Nuʿaym al-Aṣbahāniyy, 9/213].
Apa guna ilmu hadis yang tersemat dalam hafalan dan ingatan jika ia tidak dimanfaatkan kepada akal supaya celik untuk membezakan hadis yang sahih dan selainnya? Apa guna ilmu usul fiqh dan ilmu-ilmu yang lain dihafal jika tidak dimanfaatkan kepada minda untuk menapis dan menyaring maklumat dan hujah? Apakah ilmu itu menjadi sesuatu yang bermanfaat kalau sengaja mendungukan akal hanya kerana ucapan dari lidah seorang fulan yang ada gelaran kebesaran?
Al-Ḥāfiẓ Ibn Rojab al-Ḥanbaliyy berkata :
لَيْسَ الْعِلْمُ بِكَثْرَةِ الرِّوَايَةِ وَلَا بِكَثْرَةِ الْمَقَالِ وَلَكِنَّهُ نُورٌ يُقْذَفُ فِي الْقَلْبِ يَفْهَمُ بِهِ الْعَبْدُ الْحَقَّ وَيُمَيِّزُ بِهِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْبَاطِلِ وَيُعَبِّرُ عَنْ ذَلِكَ بِعِبَارَاتٍ وَجِيزَةِ مُحَصِّلَةٍ لِلْمَقَاصِدِ
"Bukanlah ilmu itu pada banyak riwayatnya dan bukan juga pada banyak kata-katanya, tetapi ia adalah cahaya yang dihidupkan di dalam hati yang hamba itu memahami kebenaran dengannya dan dengannya juga dia membezakan antara kebenaran dan kebatilan, lalu mengungkapkan daripada hal itu dengan beberapa ungkapan yang ringkas yang diperoleh untuk tujuan-tujuan tersebut". [Bayān Faḍl ʿIlm as-Salaf ʿAlā al-Kẖolaf, m/s 5].
Bagaimana ilmu itu menjadi cahaya bagi dirinya jika sengaja tidak menggunakan akalnya yang berbekalkan pengetahuan dan kefahaman yang terbina dari pelajarannya yang lalu hanya kerana ingin percaya bulat-bulat dari fulan yang ada gelaran kebesaran?
Malah, menurut cerita Syeikh Maḥmūd Saʿīd Mamdūḥ, salah seorang murid al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah, kitab al-Kanz aṯs-Ṯsamīn ini disemak kritik oleh adiknya sendiri, Syeikh ʿAbdul ʿAzīz bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy. [Rujuk : https://www.facebook.com/permalink.php?story_fbid=391035351310744&id=100012128473491].
Ini menunjukkan bahawa bukan semua daripada keturunan Rasulullah SAW ini dikuduskan dan dikultuskan. Zuriat baginda tidak membebaskan diri daripada hak-hak ilmu yang wajib diikuti bagi setiap Muslim. Mereka juga dikritik dan disemak semula pandangannya dan penulisannya sama ada benar atau salah.
Mereka semua dan kita semua wajib beriltizam dengan hujah ilmu dan sunnah yang tulen. Tiada sesiapa pun terlepas daripada neraca ilmu dan penghakiman dari sudut hujah.
Bacaan Tambahan Untuk Mengenali Manhaj Keluarga al-Ġhumāriyy :
(a) Keluarga al-Ġhumāriyy : Keturunan Rasulullah SAW Yang Menentang Ketaksuban, Taklid Buta Dan Sufi Yang Batil
https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/keluarga-al-ghumariyy-keturunan.html
(b) Mengapa Saya Minat Mengkaji Manhaj Dan Pemikiran Keluarga Al-Ġhumāriyy?
https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/mengapa-saya-minat-mengkaji-manhaj-dan.html
(c) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġhumāriyy Pernah Menarik Balik Pandangannya
https://www.facebook.com/photo/?fbid=495626441806063&set=a.456402969061744
(d) Al-Ḥāfiẓ ʿAbdullah bin Muḥammad bin aṣ-Ṣiddīq al-Ġumāriyy Pernah Dituduh Cenderung Pada Wahabi!
https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/03/al-hafiz-abdullah-bin-muhammad-bin-as.html
(e) Az-Zāwiyah Wa Mā Fīhā Min al-Bidaʿ Wa al-Aʿmāl al-Munkaroh : Karya Tokoh Berketurunan Rasulullah SAW Dalam Membasmi Sufi Yang Batil
https://marzukamartillo.blogspot.com/2021/04/az-zawiyah-wa-ma-fiha-min-al-bida-wa-al.html
No comments:
Post a Comment