Apabila ada kemampuan bahasa Arab, rujukan kita luas dan banyak. Bahasa Arab ini sekurang-kurangnya menjadi pintu dan magnet untuk menambahkan lagi banyak ilmu yang tersimpan dalam gudang rujukan bahasa Arab.
Kalau kita lihat pada kedua-dua belah panel, masing-masing tidak hanya fokus pada satu riwayat sahaja, malah dibandingkan dengan pelbagai riwayat yang mungkin tidak diketahui oleh orang yang jahil bahasa Arab dan tidak terfikir mereka ini untuk merujuk karya tersebut. Tidak cukup dengan itu, mereka juga fokus dengan lafaz-lafaz yang ada dalam pelbagai riwayat dalam menganalisis untuk menguat pandangan mereka.
Sejujurnya. Walaupun seperti singkat dan seakan-akan seperti sisi yang kecil dalam dialog, bagi orang yang tidak mahir bahasa Arab, mungkin akan berhadapan dengan kepayahan untuk memahami istidlal dan istinbat dari kedua-dua belah pihak.
Daripada sini, ia memberikan dua pengajaran cukup besar. Pertama, isu-isu polemik agama ini sememangnya patut dibiarkan para ustaz bergaduh. Orang awam yang tidak mahir jangan lebih sudu dari kuah, jangan masuk campur dan jangan batu api.
Ini kerana ia adalah medan orang awam yang bukan di paras dimensi yang sama untuk memahami suasana dan pandang sisi yang sebenar dalam perbahasan itu. Kalau pun mereka dapat ikuti, kelak mereka akan terhimpit dalam satu persimpangan yang mereka tidak ada bekalan ilmu untuk menyelesaikan keterhalangannya.
Saya bukan mahu memperlekehkan dan memandang kecil orang awam, lebih-lebih lagi jika mereka ada latar belakang profesion yang lain, pakar rujuk pada bidangnya, berpengalaman lama dalam analisis dan kajian serta pelbagai lagi yang lain.
Akan tetapi, orang awam perlu sedar bahawa di mana dia patut berhenti dan berundur. Jangan pandang tinggi terhadap kemampuan diri yang dia sememangnya bukan walaupun latar belakang bidangnya begitu membanggakan. Ada masa, ia adalah medan yang mahir bahasa Arab dan memiliki pengetahuan dalam pelbagai rujukan bahasa Arab untuk berpencak dan beradu tenaga.
Kedua, saya pernah melihat sebahagian orang memperlekehkan kepentingan mempelajari bahasa Arab atas alasan Abu Jahal pun pandai bahasa Arab. Tidakkah lucu orang yang buta mahu memberi tanggapan tentang alam yang dia tidak nampak?
Aku tidak tahu kalau orang yang memperlekehkan ini menonton dialog pada minggu lepas. Kalau dia menonton, saya berharap dia merasa kerdilnya dirinya kerana melihat para panel memiliki luas pengamatan dan banyak rujukan dari bahasa yang dia tidak tahu. Dan juga supaya dia sedar bahawa kupasan dan pembentangan dalil dan sumber rujukan adalah yang di luar dari apa yang dia capai.
Jika demikian, masih ingin berkata bahawa Abu Jahal pun pandai bahasa Arab? Renung-renungkanlah.
Bahkan, sememangnya bahasa Arab menjadi syarat penting seseorang itu melayakkan diri sebagai ulama atau tidak. Saya amat bersetuju dengan kenyataan ustaz Nasaie Hanaffie bahawa sesiapa yang tidak mahir bahasa Arab, dia masih belum keluar dari kepompong bahasa Arab.
Untuk perkara ini, saya telah menjelaskannya dalam penulisan saya yang lalu di sini :
No comments:
Post a Comment